{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Utara


Pelan strategik majukan daerah Gerik

Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT

Oleh HANIPAH TEH
utusanperak@utusan.com.my

GERIK 30 Mac - Pembangunan Parlimen Gerik sedang rancak dirangka melibatkan pelan strategik yang memfokuskan kepada kesejahteraan dan kemakmuran membabitkan dua kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) iaitu Temengor dan Pengkalan Hulu.

Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman berkata, perangkaan pelan yang bermula tahun lalu itu kini dalam proses penambahbaikan bagi memastikan segala perancangan dapat berjalan lancar.

Menurut beliau, pelan yang dirangka bersama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed dan ADUN Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim itu diharap akan memberi perubahan dalam menjadikan Gerik sebuah daerah yang lebih maju.

"Memperkasa sektor pelancongan menjadi fokus utama kami selain membangunkan industri pertanian dan penternakan serta kemudahan infrastruktur serta pendidikan membabitkan semua kaum termasuk Orang Asli dan berketurunan Siam," katanya selepas menghadiri mesyuarat Koperasi Anggota Polis Khas (SC) dan Warisan Hulu Perak Berhad di sini baru-baru ini.

Menurut Hasbullah, peruntukan sebanyak RM5 juta bakal diterima pada tahun ini sebagai tambahan kepada RM1 juta yang dibelanjakan tahun lalu, dijangka dapat memudahkan pihaknya merencanakan pelan pembangunan yang dirancang.

Katanya, sektor pelancongan diberi keutamaan kerana kawasan Gerik memiliki banyak tarikan penting untuk industri tersebut termasuk yang bertaraf antarabangsa seperti Taman Negeri Royal Belum.

"Kawasan-kawasan lain yang berpotensi untuk dibangunkan ialah muzium bijih timah di Kelian Intan, Tasik Takong dan Gua Gendang di Pengkalan Hulu serta lokasi aktiviti lasak menggunakan pacuan empat roda sejauh 300 kilometer di hutan Gerik," katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga sudah mengenal pasti lebih 10,000 hektar tanah yang sesuai untuk tanaman pisang, betik, nangka madu serta pelbagai jenis sayuran.

Malahan katanya, kawasan di Hulu Gerik, Kampung Bersia, Kampung Jong, Kampung Pahit, Kampung Alai dan Kampung Selarung pula mampu menyediakan beratus-ratus hektar tanah yang membolehkan penduduk kampung terbabit memulakan pelbagai program ternakan seperti kerbau, lembu, rusa dan kambing dengan aplikasi teknologi secara serius.

"Saya sendiri akan memastikan setiap projek di DUN Pengkalan Hulu dan Temengor benar-benar memberi manfaat kepada semua kaum secara maksimum.

"Sehubungan itu, kami sentiasa mendengar pandangan daripada UMNO bahagian, cawangan serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kerana mahu menentukan projek pembangunan yang hanya memberikan impak sahaja akan dilaksanakan," katanya.

Dua beradik akhirnya dapat sijil kelahiran

Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT

Jamil Khir Baharom menyerahkan sijil kelahiran kepada, Nurul Syawal Azwani Mohd. Raslan (dua dari kanan) dan Nurul Hanisuhaira (kanan) di Kampung Titi Teras, Kepala Batu Yan, Kedah, semalam.

JERAI 30 Mac - Penantian seorang ibu bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri untuk dua anaknya berakhir apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyerahkan sijil kelahiran itu kepada mereka hari ini.

Norlela Harun, 43, bersyukur kerana dua anaknya, Nurul Syawal Azwani Mohd. Raslan, 21, dan Nurul Hanisuhaira, 15, berjaya mendapat sijil kelahiran dengan bantuan Jamil Khir yang juga Ahli Parlimen Jerai.

"Saya mengadu masalah ini kepada beliau kira-kira sebulan lalu dan hari ini beliau datang sendiri ke rumah kami untuk menyerahkan sijil kelahiran anak saya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau yang cepat mengambil tindakan dan membantu keluarga saya," katanya ketika ditemui di Kampung Titi Teras, Kepala Batu di sini hari ini.

Dia yang merupakan ibu kepada tujuh orang anak berkata, Nurul Syawal Azwani terpaksa berhenti sekolah selepas mengambil Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana tertekan disebabkan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

"Saya tidak mahu Nurul Hanisuhaira juga berhenti sekolah sebab tiada dokumen pengenalan, selepas ini saya akan terus buat kad pengenalan untuk mereka berdua.

"Nurul Syawal Azwani akan mengambil semula Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) demi masa depan yang lebih baik," jelasnya.

Dalam pada itu, Nurul Syawal Azwani berkata, dia tidak mahu lagi mengalami kesukaran hidup akibat tiada dokumen pengenalan diri.

"Sebelum ini saya nak minta kerja susah, saya juga malu nak berdepan dengan kawan-kawan tetapi selepas adanya sijil kelahiran saya boleh sambung semula pelajaran," jelasnya.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, selepas kes anak-anak Norlela diterima, beliau terus berhubung dengan Jabatan Pendaftaran Negara daerah Yan untuk memudahkan dua beradik itu memperoleh sijil kelahiran.

"Dengan hasil kerjasama semua dua beradik ini berjaya memperoleh sijil kelahiran yang amat diperlukan mereka, saya berharap mereka akan segera memohon kad pengenalan untuk masa depan mereka," jelasnya.

Mesyuarat Exco 2 April putuskan catuan air di Pulau Pinang

Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT

GEORGETOWN 30 Mac - Kerajaan negeri Pulau Pinang akan menimbangkan langkah untuk mengenakan catuan bekalan air pada mesyuarat Exco pada 2 April ini, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau berkata kerajaan negeri sebelum ini pernah mengumumkan bahawa tidak akan melakukan catuan bekalan air walaupun melalui musim kemarau yang panjang.

"Bagaimanapun kajian semula bagi April akan dibuat oleh Exco untuk mempertimbangkan sama ada perlu diadakan catuan bekalan air atau tidak," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Lim dalam kenyataannya juga menyatakan kekecewaan kerana penggunaan air semakin meningkat walaupun banyak program pendidikan diadakan serta pelaksanaan surcaj pemuliharaan air sebagai penalti kepada mereka yang membazir air.

"Tahun lepas, penggunaan air di Pulau Pinang adalah paling tinggi di Malaysia, iaitu 295 liter padu seorang sehari, untuk dua bulan pertama tahun ini sehingga 1 Mac angka penggunaan air sudah meningkat 5.4 peratus iaitu sebanyak 311 liter padu seorang sehari," katanya.

Oleh itu katanya rakyat negeri ini diseru supaya memulihara dan tidak membazir air kerana penggunaan air sekarang hampir 50 peratus lebih tinggi daripada purata kebangsaan, iaitu 215 liter padu seorang sehari. - BERNAMA

Leave a Reply

Raja Alias

G. Musang

J. Bahru

Terengganu

A. Setar