{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Politik

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Politik


Azmin kena tolak sandiwara Anwar

Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Mac - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali perlu segera sedar dengan menolak sandiwara kotor yang cuba diwayangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam pemilihan parti itu Mei ini.

Hal demikian kerana tindakan Anwar bertanding jawatan Presiden PKR dilihat sebagai taktik licik menyekat Azmin daripada mencabar Wan Azizah memandangkan dalam apa jua keadaan sekalipun, 'insurans politik' terbaik Ketua Pembangkang itu ialah isterinya dan bukan Ahli Parlimen Gombak tersebut.

Bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, walaupun Azmin dianggap banyak pihak sebagai anak emas Anwar tetapi sebenarnya Wan Azizah lebih boleh dipercayai.

"Apa pun saya sebenarnya bersimpati dengan nasib Azmin. Sudahlah impian beliau untuk menjadi Menteri Besar Selangor terbantut akibat mainan politik licik Anwar, sekarang harapan mencabar Wan Azizah turut terhalang sekali lagi kerana mainan licik sandiwara politik Anwar.

"Saya cukup yakin Anwar akan memberitahu Azmin, kamu lawan Khalid (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim), biar saya berdepan dengan Wan Azizah. Tapi sebenarnya Anwar tidak mahu kedudukan Wan Azizah dicabar Azmin," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, PKR mengesahkan pemilihan parti itu Mei ini akan menyaksikan 'pertarungan' antara Anwar dan Wan Azizah bagi merebut jawatan Presiden sehingga menimbulkan pelbagai persoalan apakah benar-benar berlaku atau sekadar satu lagi sandiwara politik.

Bagi kerusi Timbalan Presiden PKR pula, Azmin yang dianggap tidak sehaluan dengan Wan Azizah bakal berdepan cabaran sengit Abdul Khalid dan empat calon lain iaitu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution; K. Ramachandran serta S. Murali.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli menjangkakan Anwar akan mengheret Kementerian Dalam Negeri dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam sandiwara politik ciptaannya itu dengan menuduh wujudnya cubaan untuk menghalang demokrasi dalam PKR.

"Anwar tahu dia tidak layak bertanding kerana dihukum penjara lima tahun akibat kesalahan meliwat dan beliau menjangka ROS akan buat kenyataan berhubung kelayakannya itu. Jika itu berlaku, Anwar akan segera ambil peluang dan menuduh Barisan Nasional (BN) zalim.

"Sebab itu saya berharap Kementerian Dalam Negeri dan ROS tidak akan terheret dalam sandiwara politik ini kerana sememangnya itu yang diharapkan Anwar, biar rakyat sendiri yang menilai dan menghukum PKR kerana saya percaya pengundi sudah cukup matang," ujarnya.

Sementara itu, Zulkifli meminta Karpal Singh yang baharu sahaja melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi DAP selepas didapati bersalah oleh mahkamah dan dihukum denda RM4,000 agar menasihati Anwar supaya tidak bertanding menentang isterinya sendiri.

"Ini kerana kedudukan Karpal dan Anwar adalah sama. Anwar sendiri disabitkan dengan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhary Azlan dan dihukum penjara. Kalau Karpal lepas jawatan sepatutnya Anwar juga tidak bertanding jawatan Presiden," katanya.

Pengundi Melayu perlukan 68%

Posted: 30 Mar 2014 11:55 AM PDT

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Mac - Sokongan orang Melayu akan terus menjadi teras atau kunci utama kesinambungan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) tanpa menidakkan kepentingan sokongan kaum-kaum lain terutama pengundi Cina.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, adalah penting untuk mendaftar semua pengundi Melayu yang layak kerana pada masa ini cuma 60 peratus yang berdaftar walaupun orang Melayu membentuk 68 peratus daripada penduduk negara ini.

Katanya, daftar pengundi Cina pada masa ini pula lebih tinggi iaitu 32 peratus walaupun mereka merupakan 24.7 peratus daripada keseluruhan penduduk.

"Baki lapan peratus yang sepatutnya diisi orang Melayu itu telah beralih kepada kaum Cina kerana sebaik sahaja layak mengundi pada umur 21 tahun, mereka terus daftar," katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup Konvensyen UMNO Bahagian Batu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad menambah, UMNO juga perlu mengambil tanggungjawab menyatukan seluruh orang Melayu terutama golongan yang berada di atas pagar agar mereka menyokong kerajaan tetapi langkah tersebut perlu dimulakan dari dalam parti terlebih dahulu.

Jelasnya, walaupun perkara itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan berikutan orang Melayu kini sudah berpecah kepada beberapa parti, UMNO tidak boleh berputus asa kerana keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah memberi pengajaran cukup berguna.

"Orang Melayu dan bumiputera selaku kaum majoriti juga mesti terus dibantu terutamanya dari segi bantuan modal perniagaan dan pendidikan kerana kita masih ketinggalan dalam banyak aspek berbanding kaum lain. Tanggungjawab ini perlu berterusan dan jangan bermusim," katanya.

Menyentuh mengenai usaha menawan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini menjadi milik pembangkang, beliau berkata, BN perlu menjaga kubu sendiri terlebih dahulu sebelum merampas satu persatu kerusi di bawah pembangkang

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, keyakinan untuk menawan kerusi pembangkang adalah tinggi kerana sokongan pengundi terhadap BN meningkat dalam empat pilihan raya kecil di Sungai Limau, Kedah; Kuala Besut, Terengganu; Kajang, Selangor dan Balingian, Sarawak.

"Kuala Besut dan Balingian kita menang dengan majoriti lebih besar. Di Sungai Limau dan Kajang walaupun kalah, BN berjaya menurunkan undi majoriti pembangkang manakala undi kita meningkat, menunjukkan sokongan rakyat bertambah hanya dalam beberapa bulan sahaja," ujarnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat