Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Karl hargai pengalamanBULAT hati Karl Shafek memilih dunia penyiaran untuk mengembangkan kerjaya tidak pernah bertanda sia-sia. Bahkan, bekas kru kabin Penerbangan Malaysia (MAS) ini langsung tidak menyesal dengan keputusannya meninggalkan kotak selesa itu kira-kira enam tahun lalu. Apa tidaknya, dengan usaha yang ditonjolkan selama ini, tuan empunya nama, Khairul Shafek Ibrahim, 34, kini mampu tersenyum dengan pencapaiannya dalam bidang pengacaraan. Walaupun berjaya mengutip banyak pengalaman berharga sepanjang mengemudi kariernya, tiada siapa sangka anak kelahiran Pekan, Pahang itu pernah dibayar gaji sebanyak RM 1,600 sebulan ketika mula-mula menjinakkan diri dengan dunia penyiaran. "Saya mula menceburkan diri dalam bidang ini sejak tahun 2008. Ketika itu, saya nekad meninggalkan pekerjaan tetap saya sebagai kru kabin untuk mengejar cita-cita dalam bidang penyiaran. "Walaupun pada mulanya agak perih menjalani cara hidup yang jauh berbeza dan hanya berbekalkan gaji yang kecil tetapi kerana cinta saya terhadap bidang penyiaran, saya mampu meneruskan hidup sehingga hari ini," ujar Karl. Hidup mewah Disebabkan nekadnya itu, Karl tidak mengendahkan tohmahan sesetengah pihak yang mengatakan dia tidak lagi hidup secara mewah selepas kurang mendapat tawaran pengacaraan sejak akhir-akhir ini. "Alhamdulillah, sejak mula memasuki industri (bidang pengacaraan) rezeki saya tidak pernah putus. Walaupun tawaran yang diterima tidak sebanyak dulu, sekurang-kurangnya, saya masih ditawarkan untuk mengacara atau mengendalikan acara setiap bulan. "Saya bukanlah mahu menunjuk-nunjuk, cuma apa yang saya peroleh sepanjang bergelar pengacara cukup untuk saya hidup secara sederhana," ujarnya lagi.
Menegaskan kehidupannya bukanlah berpaksi pada erti kemewahan, Karl lebih mempercayai dengan harga pengalaman yang diperoleh serta kepuasan melakukan kerja-kerja yang diminatinya. "Bagi saya, pengalaman yang saya kutip selama ini lebih berharga jika mahu dibandingkan dengan wang ringgit. Lagipun, ia dapat digunakan dalam tempoh masa yang sangat panjang," tambah Karl yang menyifatkan rasa gembira perlu ada pada setiap pekerjaan yang dilakukannya. Dunia lakonan Selain rancak bergelar pengacara, Karl juga tidak ketinggalan untuk mencuba nasib sebagai seorang pelakon. Pernah muncul di kaca televisyen dan layar perak, graduan Institut Integratif Media Malaysia (MIIM) ini bercadang mahu memberikan lebih tumpuan terhadap bidang lakonan tahun ini. "Pada tahun ini, saya bercadang mahu memberi fokus yang lebih terhadap bidang lakonan. Bukan tidak mahu bermula dari awal, cuma saya perlu berhati-hati dalam membahagikan masa untuk karier. "Jadi, pada pendapat saya, selepas kedudukan saya kukuh sebagai pengacara, apa salahnya untuk saya mencuba bidang seni yang lain pula," katanya mengakui masih lagi bertatih dalam bidang tersebut. Menurut Karl, sewaktu mula-mula beraksi di hadapan kamera, ramai yang memberitahu bahawa intonasi dan gaya percakapannya kedengaran seperti seorang pengacara. Bagi mengelakkan perkara itu berulang, dia tidak teragak-agak untuk belajar tentang selok-belok dunia lakonan dengan menyertai pementasan teater secara kecil-kecilan. "Ketika mula-mula berlakon, saya sering ditegur peminat kerana bercakap seperti seorang pengacara. Saya sedar, cara percakapan di dalam drama atau filem adalah lain dan perlu mengikut skrip. "Justeru, apabila ditawarkan untuk berlakon teater Madu Ku Kalut pada tahun lalu, saya cuba menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin. Alhamdulillah, prestasi saya semakin lama semakin meningkat," katanya. KARL SHAFEK menjadikan pentas teater sebagai platform untuk belajar selok-belok dunia lakonan. Dua tawaran Melanjutkan perbualan bersama jejaka berbintang Aries itu, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran untuk sebuah drama bersiri 40 episod terbitan Suhan Movies berjudul Masihkah Ada Cinta. Ternyata begitu teruja dapat bekerja dengan syarikat milik Rosyam Nor itu, Karl juga tidak menafikan bahawa dia sungguh gembira kerana berpeluang berlakon bawah pengarah ternama, Amy Maziah. "Sejujurnya, pihak Suhan Movies telah beberapa kali menawarkan saya untuk berlakon dalam drama terbitan mereka. Namun, disebabkan kekangan masa, saya terpaksa menolak tawaran tersebut. "Bagaimanapun, setelah mendapat tawaran untuk memegang watak Johan dalam drama Masihkah Ada Cinta, saya terus bersetuju. Lagipun, saya sudah lama ingin bekerja dengan pengarahnya," ujar Karl yang begitu meminati nashkah-nashkah yang pernah diterbitkan oleh Suhan Movies sebelum ini. Drama yang diadaptasi daripada novel yang pernah diterbitkan sekitar tahun 90-an itu bakal menemui penonton di saluran RTM tidak lama lagi. Di samping itu, Karl baru sahaja memulakan sebuah lagi penggambaran drama untuk slot Akasia TV3 yang bakal disiarkan pada bulan Ramadan tahun ini. "Selain Masihkah Ada Cinta, saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Rindu Awak 200 Peratus bersama Ayda Jebat dan Zul Ariffin," ujar Karl. Ketika ditanya mengenai keputusannya menerima dua tawaran dalam satu masa, Karl memberitahu, dia telah mengadakan perbincangan dengan pihak produksi Rindu Awak 200 Peratus terlebih dahulu sebelum menerima tawaran tersebut. "Sebelum menerima tawaran ini, saya ada berbincang dengan mereka tentang drama yang sedang saya lakonkan dengan Suhan Movies. Jika mereka mampu mengikut jadual saya dengan Suhan, maka tidak menjadi masalah untuk saya menerima tawaran tersebut. "Walaupun saya menerima tawaran berlakon yang berjalan secara serentak, namun saya akan pastikan bahawa saya tidak berkejar dari dua set penggambaran yang berbeza dalam satu masa," ujarnya. SELAIN mengacara dan berlakon, figura ini juga bercita-cita mahu membuka sebuah restoran pada masa akan datang. Buka cafe Jika mahu diberi jolokan, status selebriti serba boleh mungkin tepat menggambarkan figura yang pernah membintangi drama muzikal Hotel Mania ini. Sudah puas beraksi di hadapan kamera sebagai pengacara dan pelakon, Karl Shafek turut menunjukkan kemahirannya dalam bidang kulinari menerusi program pertandingan masakah MasterChef Selebriti dan MasterChef Celebrity All Stars. Selepas muncul sebanyak dua kali dalam pertandingan memasak itu, bakat yang ada padanya sering menjadi bualan ramai. Justeru, tidak hairanlah jika kebanyakan daripada peminatnya begitu tertarik mahu mencuba masakan yang dimasak oleh Karl. "Disebabkan oleh permintaan mereka, saya bercadang mahu membuka restoran atau kafe yang menampilkan menu-menu yang pernah saya masak ketika menyertainya MasterChef. "Bagaimanapun, itu hanya perancangan awal sahaja. Jika saya ingin memulakan sebuah perniagaan, saya memerlukan modal yang besar. Insya-Allah, dalam masa dua tahun, mungkin cita-cita saya ini akan menjadi kenyataan," ujar Karl. | ||
Posted: Adam nafi rumah tangga goyahOleh IZWAN MOHD. ISA
BEBERAPA bulan selepas mendirikan rumah tangga, hubungan antara penyanyi dan pelakon, Adam bersama isterinya, Fiza Halim dikatakan mulai renggang. Fiza yang dahulunya merupakan bekas anggota kumpulan Elite dikatakan sering mengemas kini status di aplikasi permesejan Whatsapp miliknya dengan kata-kata dan ungkapan yang berbaur sedih. Lantaran itu, timbul gosip mengatakan keadaan rumah tangga Adam atau nama sebenarnya, Mohd. Aizam Mat Saman, 31, dikatakan sedang bergolak. Pernah beberapa kali Kosmo! cuba menghubungi penyanyi yang popular dengan lagu Tak Tahu itu untuk mendapatkan komen, namun usaha tersebut gagal. Baru-baru ini, Adam yang sepatutnya datang ke studio Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur bagi menjayakan sesi fotografi sempena promosi filem Apokalips X bersama Kosmo!, tidak hadir. Temu janji tersebut terpaksa dibatal- kan atas alasan Adam perlu pulang ke kampungnya di Sabah. Walaupun sesi tersebut telah ditunda ke tarikh yang lain, anak jati negeri Sabah itu turut membatalkannya untuk kali yang kedua. Kosmo! bagaimanapun berkesempatan bertemu dengan Adam pada majlis tayangan perdana filem, Bahaya Cinta di TGV 1 Utama, Damansara, Selangor baru-baru ini. Ikuti temu bual selanjutnya antara Adam dan Kosmo!. Kosmo!: Benarkah anda sedang mengalami masalah rumah tangga? ADAM: Saya sedar ramai orang sedang bercakap tentang perkara ini dan ada juga ura-ura yang mengatakan hubungan kami sedang dilanda masalah. Namun, saya dan Fiza baik-baik sahaja. Rasanya, saya tidak perlu memberikan komen mengenai perkara ini dengan lebih lanjut. Adakah disebabkan ura-ura tersebut, anda cuba untuk lari daripada media dan meninggalkan majlis yang anda hadiri dengan lebih awal? Saya akui pulang awal sewaktu menghadiri majlis sidang akhbar Selawat Perdana baru-baru ini. Namun, saya pulang awal kerana perlu menghadiri sesi fotografi untuk filem Apokalips X. Saya tidak pernah berniat untuk lari daripada wartawan. Jika mahu menyembunyikan diri, saya tidak akan datang pada majlis tayangan perdana malam ini. Bercakap tentang Apokalips X, anda juga dikatakan pulang awal sewaktu majlis tayangan perdana filem itu yang diadakan beberapa minggu lalu. Boleh berikan sedikit komen? Tuduhan itu tidak benar sama sekali. Saya hadir pada majlis tayangan tersebut. Bagaimanapun, tiada wartawan yang datang berjumpa saya untuk diwawancara. Apakah komen anda terhadap pembatalan sesi fotografi bersama Kosmo!? Saya akui, itu merupakan kesalahan saya sendiri. Saya memang ada hal yang perlu diselesaikan dan perlu pulang ke Sabah. Namun, saya telah memaklumkan perkara tersebut beberapa hari sebelum sesi fotografi tersebut dijalankan.
Apakah pula komen anda terhadap cakap-cakap negatif mengenai kerjaya anda sebagai penyanyi yang berjalan seiring dengan keupayaan mengubat orang sakit dengan menggunakan kaedah Islam? Buat masa ini, saya hanya membantu guru saya mengubati orang. Jika guru saya berada di luar kawasan, baru saya mengambil alih tugasnya. Lagipun, saya memakai serban dan jubah mengikut tempat yang dituju. Padahal, saya masih Adam yang sama. Adakah isu-isu ini menggugat kebahagian rumah tangga anda? Tidak sama sekali. Walaupun dihambat dengan pelbagai cerita, saya dan Fiza tidak pernah bergaduh. Mungkin ini adalah ujian yang Allah ingin berikan kepada saya. Sampai bilakah anda akan meneruskan kerjaya sebagai seorang penyanyi? Insya-Allah, saya memang mengharapkan perubahan yang lebih baik dalam hidup saya. Di samping itu, saya akan cuba untuk memperlahankan karier saya sebagai penyanyi. Sebab itu, saya mula menyanyi lagu-lagu berentak perlahan dan mengurangkan lagu-lagu yang memerlukan saya menari. Bagaimanapun, saya tetap akan menari jika mendapat permintaan. Boleh ceritakan sedikit tentang filem Bahaya Cinta? Ini merupakan filem kerjasama pertama antara Malaysia dengan Vietnam. Filem arahan Yusof Kelana ini mengisahkan Iskandar, lakonan saya, terbang ke Hanoi, Vietnam untuk mencari kekasih lama ibunya yang merupakan pelarian negara itu suatu ketika dahulu. Filem ini akan menemui penonton pada 1 Mei depan. Apakah perkembangan terbaharu anda? Saya akan muncul dengan single terbaharu berjudul Marmie Maafkanku. Lagu tersebut merupakan karya komposer dari seberang, Bajai. | ||
Julfekar rancang bisnes di Filipina untuk Min Posted: Julfekar rancang bisnes di Filipina untuk MinOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA PERBEZAAN usia melebihi 20 tahun tidak menjadi halangan buat Julfekar dan Min membina rumah tangga. LEBIH seminggu melayari alam rumah tangga selepas melangsungkan pernikahan pada 4 April lalu, komposer Julfekar dan isterinya, penyanyi Min Yasmin disandingkan dalam acara begitu romantis di Dewan Ndah Mahligai, Shah Alam, Selangor. Mengasyiki (menyukai) pada warna putih, pasangan ini melatari majlis persandingan mereka dengan warna putih dan Min juga anggun menyarung gaun berwarna putih dari Butik Princess. Bergelar suami buat kali kedua selepas lima tahun hidup menduda, Julfekar mengakui bersyukur dan lega. "Saya memang terbiasa hidup bersendirian selepas lima tahun menduda. Saya juga terfikir bagaimana berkahwin semula pada usia yang sudah mencecah 49 tahun. "Terfikir juga berapa lama hidup saya. Walaupun pada mulanya kurang yakin untuk berkahwin, namun siapa saya untuk menolak jodoh," ungkapnya jujur selepas majlis resepsi yang berlangsung pada Ahad lalu. Julfekar juga bersyukur apabila isterinya, pemilik sebenar nama Nurul Yasmin Abdul Aziz, 25, itu, menerima lamarannya. Kini, hidupnya terisi dengan kehadiran isteri yang dapat menjaga sakit dan makan minumnya. Yakin Min pilihan tepat, luah Julfekar, bekas isterinya, anak-anak dan juga cucu-cucunya menyukai Min dan berharap dia mengahwini wanita berkulit hitam manis itu. Sedar perbezaan usianya dengan Min begitu ketara, Julfekar sudah memikirkan perjalanan hidup isterinya itu dan merancang masa depan Min. "Saya perlu fikirkan perjalanan hidup dia. Ada beberapa perancangan yang dirangka sejak dulu akan terhasil tidak lama lagi. Antaranya, album penuh Min dan juga album kolaborasi dengan penyanyi-penyanyi Filipina. "Selain itu, saya juga merancang untuk membuka syarikat rakaman, restoran dan pusat peranginan di sana (Filipina)," jelasnya yang memilih negara itu kerana kuasa besarnya dalam bidang muzik. Mengulas mengenai album kolaborasi Min dengan penyanyi Filipina, kata Julfekar, Min bakal berduet dengan penyanyi-penyanyi Filipina seperti Nikki Bacolod, Bryan Termulo, Diya dan Eima. PASANGAN ini bakal berbulan madu di Pulau Boracay, Filipina. Menyanyi dalam bahasa Tagalog, akui Min pula, dia perlu belajar dan bercakap dalam bahasa itu. "Nicky Bacolod pernah datang sini (Malaysia). Dia banyak membantu saya bertutur dan melontar dialog dalam bahasa Tagalog," kata Min mengenai penyanyi yang juga merupakan pelakon dan pengacara MTV itu. Ditanya tentang perancangan berbulan madu, pasangan itu merancang untuk menikmatinya di Pulau Boracay, Filipina. Berduet Malam resepsi Julfekar dan Min turut dihiburkan dengan persembahan duet daripada pasangan pengantin itu. Pasangan itu menyanyikan lagu Jangan Kau Pergi nyanyian Farawahida. Menurut Min, lagu ciptaan Julfekar itu juga akan dihasilkan semula dan dinyanyikan mereka dalam susunan muzik berbeza untuk dipasarkan sebagai single mereka. Biarpun ia pernah dipopularkan oleh Farawahida, Min tidak kisah untuk menyanyikan semula lagu tersebut kerana dia menyukai lagu itu. "Saya suka lagu itu kerana lirik dan melodinya yang bagus," ulasnya. Sementara itu, menurut Julfekar pula, Min sendiri yang meminta untuk menyanyikan lagu tersebut pada majlis resepsi mereka. Majlis yang dikendalikan oleh anak Julfekar iaitu Zulfadhli itu turut dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi-penyanyi bawah bimbingan Julfekar. Sekitar 500 tetamu hadir termasuk ahli keluarga dan sahabat-handai kedua-dua belah pihak serta rakan-rakan artis seperti Datuk Rosyam Nor, Faradhia, Lufyia dan David Teo. Terdahulu, Min dan Julfekar atau nama sebenarnya, Julfekar Ahmad Shah, sah bergelar suami-isteri pada 4 April lalu. Mereka diijabkabulkan di Masjid Kota Damansara, Kuala Lumpur. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |