Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Ego yang surut
RESTORAN Chawan, Publika, 2. 15 petang. Saya duduk di sebelah pemilik nama sebenar Mohamad Noh Salleh atau dikenali sebagai Noh. Dia yang mengenakan kaca mata hitam sedang cuba menikmati keropok lekor dan teh ais miliknya dalam selang-seli temu bual kami. Berbanding lebih lima tahun silam, kali ini Noh terkesan berbeza. Bicaranya tidak malas-malas. Penerimaannya terhadap media tidak terlalu dingin. Sikap skeptikalnya pada sesi temu bual juga cuba dibuang jauh- jauh. Dia nampak lebih terbuka untuk berbicara dan berhemah untuk tidak menjawab persoalan yang dirasa tidak perlu dibahaskan. Akuinya, sikap ego dan darah muda yang pernah menggelegak dalam diri- nya beberapa tahun lalu sudah mula surut sedikit demi sedikit. "Dulu saya rasa rimas dan punya satu perasaan yang sukar diungkapkan terhadap pihak media. Waktu muda, ego tinggi dan darah muda, saya rasa kehadiran media agak mengganggu. "Sebab waktu pada permulaan Hujan wujud dan punya kelompok peminat sendiri, kami 'hidup' melalui rangkaian alam maya dengan MySpace tanpa media. Jadi, apabila tiba-tiba dicari media, saya rasa nak marah dan sukar menerima keadaan itu. "Padahal, jika difikirkan balik, kalau saya tidak suka, bukannya tidak boleh menolak secara berhemah. Tapi, itulah, darah muda, saya tidak fikir impaknya pada masa akan datang. Ya, semua orang tidak pernah terlepas melakukan kesilapan," katanya serius. Sebenarnya jelas Noh lagi, apa yang membuat dirinya bersikap skeptikal terhadap media adalah apabila berita yang ditulis lebih bersifat peribadi, bukannya mengenai jatuh bangun kariernya. "Bagaimanapun, semakin lama dalam industri, saya fikir, saya tidak berhak menghalang apa yang mahu ditulis atau diberitakan media. Ini adalah sebahagian perkara yang perlu saya lalui, jadi saya mula bersikap lebih terbuka. MELALUI album solo perdananya, single Angin Kencang telah dipilih menjadi lagu tema program Romantika. Noh dan Nina turut akan diterbangkan program ini ke Paris untuk 'berbulan madu'. Noh mengambil kesempatan melakukan klip video Angin Kencang di sana. "Apa yang penting, berita itu jangan mengguris hati ibu dan bapa saya kerana sebagai orang kampung yang naif, mereka selalu menerima bulat- bulat apa yang diberitakan," katanya yang mula lebih bersahabat dengan media dan industri hiburan. Namun, seiring waktu bergulir, sikap ego dan darah muda mula terhakis. "Sebenarnya, saya pun tidak sedar bagaimana ia berlaku. Bagaimanapun, satu yang saya pasti, ia terjadi selepas saya mula bercampur dengan banyak orang, sekali gus persekitaran dan percampuran itu membuat saya matang," katanya jujur. Berbicara tentang perjalanan 10 tahun kehidupannya sebelum menjadi satu ikon dalam industri muzik tempatan, Noh termenung lama sebelum menjawab. Hujan mula ditubuhkan pada tahun 2005 sebelum 2006 mula menjadi virus dalam dunia underground dan kemudian menjadi buruan penggemar muzik arus perdana selepas lagu-lagu mereka seperti Ah Moi Chantek, Bila Aku Sudah Tiada dan Pagi Yang Gelap mempunyai jiwa berhaluan berbeza dengan muzik sedia ada. "Sepuluh tahun lalu, saya hanya seorang budak naif dari Sarawak yang datang ke bandar untuk jadi anak seni. Tiga tahun pertama adalah tahun yang amat sukar buat saya, namun dugaan yang datang kepada saya dibalas dengan kasih sayang banyak orang di sekeliling saya," ceritanya yang mendadak terkenal dalam dunia arus perdana menerusi EP, Pagi Yang Gelap. Noh tiba-tiba ketawa mengekek dan memberitahu bahawa selama beberapa tahun awal pembabitannya sebagai anak seni, bapanya adalah individu yang paling menentang pekerjaan yang dilakukannya. "Kalau balik kampung, dia akan panggil dan membebel. Kalau jumpa di Kuala Lumpur pun dia akan bising dengan apa yang saya buat. "Bayangkan masa album pertama kami keluar pun (Hujan, 2008) dia bising. Dia mahu saya bekerja dengan mendapat pendapatan bulanan yang tetap. "Namun sejak kebelakangan ini, dia sudah boleh menerima pekerjaan saya, tapi saya pula yang rasa sedih sebab sudah tidak kena marah dengannya," katanya ketawa. CINTA selepas ijab kabul. Noh banyak menumpahkan perasaan kasih, sayang dan cintanya buat Nina dalam karyanya. Angin Kencang dan Bunga Di Telinga diilhamkan daripada wanita yang banyak memberi warna dalam kehidupannya kini. Tidak terlalu mencuba Sebagai seorang penyanyi, pemuzik dan juga komposer, Noh dinilai termasuk dalam kelompok genius seni. Lagu-lagu ciptaannya, dengan lirik yang bersahaja tetapi mengesankan selalu membuat khalayak terfikir bahawa Noh seorang anak seni yang penuh metafora. Bagaimanapun, lelaki berusia 29 tahun itu menilai dirinya bukan seorang yang sarat metafora, jauh sekali seorang karyawan seni yang berat. Dia hanya melakukan kerja mengikut kemampuan. Tidak mahu terlalu berusaha untuk menunjukkan dirinya bagus sehingga merosakkan karya. "Sebab itu saya akan sangat gembira bila orang suka lirik saya kerana mereka tidak tahu betapa saya mengambil masa yang sangat lama untuk menyiapkan lirik lagu sebab saya tak penuh dengan metafora," akuinya yang juga bukan jenis anak seni yang memerlukan sebuah studio lengkap untuk mendapat hasil karya yang bagus. Namun, untuk pembikinan album solo yang mengandungi lima buah lagu yang sedang dipromosikannya sekarang, Noh mengaku, dia melakukan kerja dua kali teliti berbanding menghasilkan karya bersama Hujan. Menurutnya, dia bukan mahu lepas tangan sewaktu membuat karya bersama Hujan, namun di dalam Hujan, mereka bekerja secara berpasukan dan setiap orang memainkan peranan penting untuk mencantikkan hasil karya mereka. Berbanding untuk album yang masih belum mempunyai judul dan kulit album kerana dia mahukan yang terbaik, ia semua terletak atas tanggungjawabnya sepenuhnya. Berpuas hati dengan album yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan, Angin Kencang yang mengambil latar tentang kerinduannya terhadap isteri tercinta Mizz Nina, menjadi peluru pertama ditembak kepada khalayak pendengar. Album dengan empat buah lagu lain termasuk Gelung, Bunga Di Telinga, Sang Penikam dan Biar Seribu itu memperlihat sisi berbeza, segar dan genius Noh apabila menggabungkan kredibilitinya bersama rakan pejuang muzik dari Indonesia, Sore untuk memperkemas dan mempersembahkan sebuah karya dengan suntikan muzik berbaur 60-an di dalam naskhah tersebut. "Album ini bersifat peribadi buat saya. Isi-isi lagu, mood, pembikinan dan semua tentang album ini cukup berharga buat saya. Sementelah ia merupakan pelaburan terbesar saya pernah keluarkan iaitu RM30,000 untuk menghasilkan album ini. "Ia sangat berbeza dengan karya-karya di dalam album Hujan, sekali gus memperlihat sisi lain Noh Salleh," katanya yang tidak berani menebak selera pasaran untuk menyukainya, namun dia berharap agar kerja kerasnya menghasilkan lima karya tersebut mendapat respons positif untuk industri hiburan tempatan. Seiring kemunculan album tersebut yang menyaksikan Noh menandatangani kontrak bersama Sony Music untuk edaran, bertebaran berita bahawa riwayatnya bersama Hujan berakhir. Bantah Noh: "Tidak benar. Ini hanya sebuah album projek peribadi saya. Hujan masih wujud dan kami sendiri sudah merancang sebuah konsert besar sempena meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan Hujan pada tahun depan." | ||
Posted: Kilafairy tak gentar dikritikOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
PELAKON dan penyanyi Kilafairy mengakui tidak gentar dengan tempias kontroversi pelakon Hanez Suraya apabila dia bersetuju mengambil alih enam pementasan teater Projek Kahwin yang bakal berlangsung pada 6 hingga 10 Jun depan. Bakinya, Hanez pula akan melakukan empat pementasan pada tarikh 11 hingga 14 Jun nanti. Malah, anak kepada penyanyi Rohana Jalil itu juga sudah bersedia jika dibandingkan dengan Hanez dalam pementasan tersebut. Teater Projek Kahwin yang akan dipentaskan bermula 6 hingga 14 Jun itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Izzue Islam, Shah Iskandar, Kaka Azraff, Imam Muda Asyraf, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz. Ikuti temu bual bersama Kilafairy ketika ditemui pada majlis sidang akhbar memperkenalkan barisan pelakon baharu teater Projek Kahwin di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Kosmo!: Apakah perasaan Kilafairy apabila ditawarkan berlakon dalam teater Projek Kahwin? KILAFAIRY: Saya agak terkejut apabila ditawarkan berlakon dalam teater ini menggantikan tempat Hanez. Begitupun, saya anggap ia rezeki dan bersyukur dengan tawaran ini. Apa yang mengujakan saya apabila pementasan ini dilakukan di pentas besar iaitu Istana Budaya. Ibu saya juga mengatakan, bukan senang seseorang pelakon itu beraksi di pentas Istana Budaya. Saya anggap ini projek paling besar dan serius untuk saya pada tahun ini. Adakah anda berasa terbeban apabila diminta mengantikan tempat Hanez? Saya tidak melihat ia sebagai satu beban, sebaliknya cabaran. Memang sudah lama saya impikan untuk berlakon dalam teater besar seperti ini. Tidakkah anda takut kontroversi yang melanda Hanez akan terkena pada anda apabila mengambil keputusan untuk berlakon dalam teater ini? Insya-Allah tidak. Kami adalah dua orang yang berbeza. Cerita dia tiada kena mengena dengan saya. Bagaimana pula anda melihat pada barisan pelakon yang membintangi Projek Kahwin ini? Agak berisiko juga apabila barisan pelakon merupakan muka-muka baharu dalam pementasan teater. Sama juga dengan saya yang pertama kali beraksi dalam pementasan teater. Namun, bagi saya kalau tidak cuba kita tidak tahu peluang sebegini akan tiba lagi atau tidak. Ia juga merupakan peluang bagi saya untuk belajar vokal, tarian dan lakonan melalui latihan yang ditawarkan. Adakah sebarang rasa gusar di hati untuk melakukan pementasan ini? Sebelum saya setuju untuk terlibat dengan teater ini, saya sudah tahu risiko orang akan membandingkan saya dengan Hanez. Perkara itu pasti. Tambahan pula, ada dua pementasan (pementasan Kilafairy dan juga Hanez). Bagaimanapun, saya sudah bersedia jika ada yang cuba membandingkan saya dengan Hanez. Saya tiada masalah kalau orang cakap lakonan Hanez lebih bagus daripada saya. Ini kerana dari situ saya boleh mengasah lagi bakat saya. Bagaimana kalau ada yang mempertikaikan pemilihan anda untuk berlakon dalam teater besar ini memandang anda tidak mempunyai sebarang pengalaman? Saya akui mesti ramai yang mempertikaikan saya berlakon pementasan ini. Sebab saya hanya berlakon beberapa drama dan filem tetapi kalau tidak cuba kita tidak tahu. Ini adalah peluang pertama saya. Orang boleh nilai selepas menontonnya. Saya juga ada satu pendirian untuk tidak mudah serik. kalau orang tidak suka dengan lakonan saya nanti, saya akan cuba lagi beraksi lebih baik untuk pementasan seterusnya. Apakah yang boleh anda berikan kepada peminat melalui pementasan teater itu nanti? Saya akan membuat persembahan terbaik. Orang selalunya tertanya-tanya saya ini sebenarnya berlakon ke menyanyi? Tiada yang kukuh antara kedua-duanya. Saya akui masih seperti bayi (baharu) dalam industri. Saya baru tiga tahun dan masih banyak lagi ruang untuk membuktikan keupayaan saya dalam industri. Banyak lagi benda yang saya kena belajar. Apa yang saya buat sekarang ini saya akan usaha sampai orang nampak kehadiran saya dalam industri ini. Kalau saya mahu popular saya ambil sahaja semua tawaran yang datang seperti watak antagonis atau gedik. Namun, saya mahu berada lama dalam industri. Saya tidak kisah menyepi seketika dan berharap dengan strategi ini saya lama dalam industri lakonan. Mungkin sehingga tua orang masih memanggil saya berlakon. Saya tidak mahu memegang watak gedik sampai bila-bila. Jadi, masih banyakkah watak gedik yang ditawarkan kepada anda? Sebenarnya, apakah watak yang anda idamkan? Ya, masih banyak. Mungkin watak lain daripada filem Karak atau Hoore! Hoore!. Seperti watak wanita lembut atau watak wanita yang berdikari. Tiada kena mengena dengan watak menggoda lelaki. Saya juga tidak salahkan pihak penerbit yang melabel seseorang artis itu sesuai dengan watak menggoda atau gedik tetapi saya kena buat sesuatu. Saya kena berusaha untuk mengubah persepsi tersebut. Selain daripada teater Projek Kahwin, apakah lagi projek terbaharu selepas ini? Saya sedang menyiapkan single kedua yang belum mempunyai judul. Ia sebuah lagu Melayu dengan alunan melodi Bollywood. Saya dengan Aidil AF yang terbitkan lagu tersebut. Saya juga buat lirik untuk lagu itu. Saya juga baru membuka studio fotografi untuk butik Rack yang saya usahakan. | ||
Filem The Journey di Singapura dan Taiwan Posted: Filem The Journey di Singapura dan TaiwanOleh HARYATI KARIM
SELEPAS berjaya meraih kutipan sebanyak RM17.16 juta sepanjang enam minggu ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, kini filem The Journey telah menembusi pasa- ran Singapura (20 Mac lalu) dan Taiwan pada bulan April ini. Pengarahnya, Chiu Keng Guan berkata, dia sendiri tidak menyangka filem itu mendapat kutipan tertinggi di Malaysia dan akan ditonton oleh penonton luar negara. "Apa yang berlaku sekarang memang di luar jangkaan saya. Saya tidak sangka filem ini akan mendapat kutipan tertinggi dan pihak luar berminat untuk tayangkan filem The Journey di negara mereka. "Rasanya bukan saya sahaja terkejut dengan penerimaan luar biasa ini tetapi juga barisan pelakonnya yang bukan pelakon komersial," ujarnya yang ditemui pada majlis tayangan dokumentari khas filem berkenaan berjudul End Credits di TGV One Utama baru-baru ini. Kejayaan filem The Journey telah memberi tekanan untuknya membikin filem yang lebih baik pada masa hadapan. "Tekanan untuk saya bukan untuk meraih kutipan tertinggi, sebaliknya menghidangkan sesuatu yang berbeza untuk filem akan datang. "Sekarang, banyak mata yang memerhatikan apa lagi yang saya mampu buat untuk menghasilkan karya yang lebih baik daripada The Journey, bukannya berapa jumlah tiket yang mampu saya jual," balasnya. Kata Keng Guan, jika diberi peluang, dia teringin untuk mencuba genre filem aksi pula selepas ini. "Saya sudah mempunyai beberapa perancangan untuk filem yang akan datang tetapi jika boleh saya mahu mengarahkan sebuah filem aksi yang tidak pernah dicuba lagi," ujarnya. Dalam pada itu, dokumentari khas filem tersebut yang berjudul End Credits cukup meruntun hati ketika sesi tayangan kepada pihak media. Dokumentari yang diarahkan oleh Bak Chee Hong itu memaparkan kesukaran dan cabaran yang terpaksa dihadapi pihak produksi sebelum penggambaran bermula dan ketika ia penggambaran berlangsung. Paling menarik, belon panas yang dipaparkan dalam filem The Journey itu benar-benar dibuat oleh pihak produksi dengan bantuan 200 orang awam. "Sebanyak lapan kali percubaan untuk kami menaikkan belon panas ini. Setiap kali gagal diterbangkan, kami akan memperbaikinya semula. "Sebab itu, apabila belon itu berjaya diterbangkan, semua pihak termasuk pelakon dan kru produksi menangis kerana terlampau gembira," jelasnya. Pada majlis itu, selain pengarah, pelakon filem berkenaan iaitu Frankie Lee, Khong Tuck Khoon, William Khok dan Chong Nyuk Ling turut hadir menceritakan pengalaman menarik mereka. Peminat yang tidak sempat menyaksikan filem The Journey di pawagam boleh saksikan filem itu beserta dokumentarinya di Astro First bermula 20 Mac lalu dengan harga RM15 bagi setiap pembelian. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |