Kosmo Online - Horizon
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Horizon |
Cari harta karun dalam kapal persiaran Posted: Cari harta karun dalam kapal persiaranOleh AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA
SORAKAN semangat dan tawa girang sekumpulan kanak-kanak berkumandang di Marina Putrajaya ketika menanti giliran masing-masing menaiki kapal persiaran Cruise Tasik Putrajaya (CTP). Keterujaan itu jelas terpancar di wajah 166 murid dari Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Seksyen 4, Shah Alam apabila menyaksikan sendiri dua buah kapal persiaran iaitu Sebarau dan Kelah 'menunggu' kedatangan mereka. Majoriti murid-murid berusia 11 tahun itu pernah menjejakkan kaki ke Putrajaya, bagaimanapun menyaksikan keindahan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan tersebut dengan menyusuri Tasik Putrajaya seluas 650 hektar itu merupakan satu pengalaman baharu. Pelayaran selama kira-kira dua jam itu bukan sahaja sebuah pelayaran yang menjanjikan panorama seperti monumen di sekitar Putrajaya, malahan merupakan pelayaran ilmiah mengenai pusat pentadbiran negara yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu. Pendekatan CTP adalah melalui penganjuran Cruise&Hunt yang menawarkan aktiviti permainan cari harta karun membabitkan empat misi berkaitan sejarah Putrajaya dan negara secara amnya. Atas faktor kapasiti, semua murid dibahagikan kepada dua kumpulan melibatkan kira-kira 80 murid untuk sebuah kapal persiaran. Setiap kapal persiaran hanya mampu memuatkan seramai 120 orang dalam satu masa. Selepas kesemua murid termasuk sembilan guru pengiring mengambil tempat duduk masing-masing, petugas CTP memulakan program dan bertindak sebagai fasilitator. WAJAH keriangan jelas terpancar di setiap wajah peserta sepanjang mengikuti program Cruise&Hunt. Mencipta identiti Perkara pertama yang dilakukan fasilitator ialah pembahagian kumpulan melibatkan kira-kira lapan kumpulan yang diwajibkan mencipta identiti kumpulan menggunakan nama ikan air tawar. Tanpa melengahkan masa jari-jemari setiap murid pantas mencari nama ikan air tawar melalui laman carian Google. "Cepat cari nama kumpulan, nanti kita kalah," teriak Harris Syamil Ismail dari kelas 5 Bumi kepada ahli kumpulannya. Sering berkunjung ke Putrajaya bersama keluarga, Harris Syamil berkata, kunjungannya dalam program tersebut bersama rakan-rakan menyuntik pengalaman yang berbeza. "Program yang dianjurkan CTP ini sangat menarik dalam usaha memperkenalkan Putrajaya kepada kami semua. Aktiviti permainan dan cabaran yang disediakan juga mengujakan kami. "Sebelum mengikuti program ini, apa yang terbayang di fikiran saya ialah seorang konduktor akan berdiri di hadapan dan menceritakan bangunan di sekitar tasik. "Ia nyata meleset, malah setiap monumen yang terdapat di sekitar tasik diperkenalkan melalui kuiz dan misi," ceritanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Pelayaran itu diisi dengan aktiviti berkumpulan dan individu sambil sesekali mereka dibenarkan menghayati panorama di Putrajaya. Selain misi suai padan, terdapat juga misi mencari perkataan tersembunyi, misi pengetahuan sejarah Malaysia dan Putrajaya. Antara monumen yang dapat disaksikan ialah Putra Perdana, Istana Darul Ehsan, Jambatan Putra, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan. Fasilitator turut bersama dengan murid dalam membantu melunaskan setiap misi dan bertindak sebagai pakar rujuk sepanjang aktiviti itu berlangsung. Sebagai fasilitator, tugas mereka ialah memastikan setiap peserta menyempurnakan misi yang diberi selain menceritakan beberapa lokasi menarik di Putrajaya. Malah fasilitator turut mengambil peluang untuk menerapkan unsur mencintai negara. Antara perkara yang dikongsi ialah cita-cita murid-murid dan tugas sebagai pemimpin negara. KANAN: Masa yang ada digunakan sepenuhnya untuk merakamkan momen indah dari dek kapal persiaran ini. Pengetahuan Ia termasuk menguji para peserta mengenai pengetahuan am seperti isu terkini yang berlaku dalam negara. Selepas 30 minit, murid-murid tiba di Monumen Alaf Baru bagi menyelesaikan misi melibatkan sejarah penting Malaysia bermula sebelum tahun 1957 sehingga tahun 2020. Kesemua peserta bertempiaran lari bagi mengisi jawapan bagi setiap soalan. Tempoh yang diberikan hanyalah 15 minit membuatkan kesemua peserta tidak tentu arah. Monumen tersebut yang turut dikenali sebagai Tugu Milenium mempunyai ketinggian 68 meter menjadi medan bertempur para murid ketika menghadapi cabaran. Setelah kembali ke kapal persiaran, 80 murid diberikan peluang untuk berlegar di dek kapal persiaran. Peluang yang jarang diperoleh itu dihabiskan sepenuhnya untuk merakamkan foto indah berlatarbelakangkan pemandangan Putrajaya. Apatah lagi, suasana Putrajaya yang sedikit redup disambut pula dengan hembusan angin yang mendamaikan. Ia umpama sebuah pelayaran mewah yang penuh eksklusif. Yasmin Alya Badrul Rezal, 11, sempat berseloroh berjanji untuk memaksa ibu bapanya berkunjung lagi di kapal persiaran itu. "Selepas balik ke rumah nanti, saya akan 'paksa' mereka ke sini. Lagipun, jarak perjalanan antara Putrajaya dan Shah Alam tidak begitu jauh. "Harga yang ditawarkan untuk mengikuti pakej atau menaiki kapal persiaran juga tidak begitu mahal" ujar murid kelas 5 Utarid itu. Katanya, mempelajari Putrajaya melalui permainan dan misi seperti mencari harta karun adalah lebih menarik berbanding monumen tersebut diperkenalkan oleh pemandu pelancong. "Banyak ilmu yang saya peroleh terutama melibatkan sejarah Malaysia dan Putrajaya. Saya mempunyai cita-cita untuk membina daerah seakan-akan Putrajaya sekiranya bergelar pemimpin kelak," katanya yang meminati mata pelajaran Sejarah. Menyayangi Sementara itu, Penyelaras Tahun 5 Sekolah Kebangsaan Raja Muda, Datin Nor Zaiton Hussein berkata, pemilihan Putrajaya bersesuaian dengan konsep lawatan sambil belajar. Kesemua murid yang juga merupakan anak didik Program Menuju Puncak Tahun 5 perlu mengenali dan menyayangi Putrajaya sebagai pusat pemerintahan negara. "Pada pendapat kami generasi muda perlu menghargai dan menyayangi Putrajaya sebagai pusat pemerintahan Kerajaan Pusat. "Putrajaya telah banyak memberikan sumbangan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana di sini mempunyai pelbagai kementerian yang menjaga kebajikan rakyat. "Sebagai warga pendidik, ia adalah tanggungjawab kami untuk memastikan mereka mengenali Putrajaya secara lebih dekat," katanya. Ujarnya lagi, Cruise&Hunt dipilih kerana ia menawarkan pengetahuan mengenai Putrajaya dengan pendekatan yang menyeronokkan. "Kaedah pengajian dalam kelas kadangkala membosankan. Oleh itu, program ini berbeza daripada kaedah pembelajaran dalam kelas," tuturnya. | |
Ritual kesyukuran di Pulau Sumba Posted: Ritual kesyukuran di Pulau SumbaPERTARUNGAN antara penduduk dalam ritual Pasola pernah mengorbankan beberapa nyawa.
DUA kumpulan dari puak yang sama sedang menunggang kuda. Kelihatan lembing yang diperbuat daripada buluh berada di genggaman tangan mereka. Ia merupakan rutin biasa dalam ritual yang diamalkan oleh penduduk di Kampung Ratenggaro, Pulau Sumba, Indonesia. Ritual yang bertujuan untuk memohon kepada tuhan mereka agar mendapat kemakmuran dan kejayaan ketika menuai padi itu mendapat sorakan daripada penonton. Pemain kemudiannya mencapai parang mereka dan menyambar pihak lawan dari jarak dekat. Akibat perbuatan itu, pengadil memberi amaran kepada pemain kerana bermain secara kotor. Sambil menonton ritual itu, penonton mengunyah sireh sehingga mulut mereka kelihatan berwarna merah. Masyarakat Sumba yang menganut kepercayaan Marapu atau ajaran para leluhur sentiasa melakukan upacara dan perayaan ritual. Salah satu ritual dan acara tahunan mereka ialah Pasola yang bermaksud lembing dan dianjurkan pada bulan Februari dan Mac di Sumba Barat yang merupakan pulau yang terletak di tengah-tengah Kepulauan Indonesia. Secara tradisional, ritual itu merupakan simbolik kepada pengorbanan manusia apabila puak tersebut berusaha untuk menumpahkan darah lawan mereka di kawasan padang. Peserta yang terlibat dalam ritual yang melibatkan pertarungan olok-olok dan kebiasaannya mereka tidak mengalami kecederaan teruk. Namun, terdapat sebilangan kes kematian akibat kemalangan semasa ritual itu dijalankan. Ritual yang berlangsung baru-baru ini telah menarik kehadiran seramai 10 orang pelancong asing ke Ratenggaro. Kebiasaannya, dianggarkan seramai 100 orang pelancong hadir dalam acara berskala lebih besar. Pegawai-pegawai di kawasan tersebut berharap ritual tahunan itu berupaya meningkatkan ekonomi pulau yang didiami oleh penduduk miskin. Kebanyakan penduduk menyara kehidupan mereka dengan menanam padi, jagung dan menganyam rotan. Tarikan utama Menurut Lembaga Pelancongan Wilayah Nusa Tenggara Timur yang turut meliputi kawasan Sumba, Bona Fantura Rumat, ritual berkuda itu merupakan satu tarikan utama dan berpotensi besar untuk pembangunan kawasan itu. Sumba terkenal kerana pantainya bersih, laut biru dan kampung-kampung tradisional. Dianggarkan seramai 2,500 pelancong berkunjung ke Sumba tahun lalu. Pusat pelancongan terkenal iaitu Pulau Bali yang berdekatan dengan Sumba pula berjaya menarik kunjungan kira-kira tiga juta pelancong. Tambah Rumat, pihaknya sedang merangka cadangan untuk mempromosikan ritual Pasola. Selain itu, pihaknya juga akan meningkatkan kemudahan infrastruktur dengan membina jalan raya yang lebih baik. Jelasnya, lebih banyak penerbangan ke pelbagai destinasi di Indonesia juga merupakan langkah terbaik untuk memudahkan pelancong mengunjungi Sumba. Usaha itu seperti yang dilakukan di Darwin yang terletak di Utara Australia. Upacara ritual yang dijalankan telah disesuaikan untuk memudahkan penerimaan para pelawat yang menyaksikan acara itu. Mengikut tradisi asal, ritual itu akan berakhir dengan pertumpahan darah manusia dan kuda. Ia merupakan satu penghormatan besar bagi penduduk tempatan yang mati semasa mengambil bahagian dalam ritual itu. Dalam upacara ritual itu baru-baru ini, tiada insiden buruk yang melibatkan kecederaan fizikal dilaporkan. Penduduk kampung kini menggunakan darah haiwan yang dikorbankan. Mereka juga tidak lagi mencampurkan darah manusia dan haiwan untuk tujuan ritual itu seperti yang dilakukan pada masa lampau. Sebelum upacara Pasola, lelaki yang tinggal di pondok gelap akan memenggal kepala ayam dan menyimpan darah haiwan itu dalam baldi dan dibacakan jampi serapah. Anjing dan khinzir yang telah dikeringkan darahnya kemudiannya dipanggang. Selepas itu, haiwan itu dimakan beramai-ramai selepas perayaan. Lembing ditumpulkan dan pemegang besi ditanggalkan semasa acara itu. Anggota polis di Ratenggaro lengkap bersenjatakan senapang untuk memastikan bahawa tiada yang maut semasa upacara itu dijalankan. Namun, masih berlaku pergaduhan. Cacing Terdapat juga perubahan dalam perancangan upacara itu. Mengikut tradisi, ritual itu akan dimulakan selepas beberapa jenis cacing laut berenang ke pantai. Ia merupakan simbolik yang menandakan tamatnya musim hujan dan permulaan penanaman untuk pertanian. Namun, golongan tua dewasa ini memutuskan tarikh sehari lebih awal agar pelancong mempunyai masa yang cukup untuk merancang perjalanan mereka ke pulau itu. Penduduk boleh mengutip cacing lebih banyak dan mereka percaya, sekiranya cacing masih hidup maka, semakin baik hasil tanaman mereka. Selain itu, cacing laut yang berwarna biru dan hijau berlendir itu turut dimasak bersama kek pai. Walaupun berlaku perubahan, kebanyakan penduduk Sumba percaya upacara Pasola masih mempunyai pengisian rohani yang tinggi. Ketua Kampung Ratenggaro, Agustinus Pandak memberitahu, sekiranya ada peserta yang mengambil bahagian dalam upacara Pasola dengan hati yang tidak bersih, nescaya ada keburukan akan menghantui mereka. "Sekiranya terjatuh dari kuda, mereka pasti akan dipukul dengan lembing. Namun, itu tidak akan terjadi sekiranya penunggang lain datang secara aman dan bermain dengan hatinya penuh dengan kasih sayang," ujarnya yang memakai kain tenunan berwarna oren diikat di kepalanya. Tambah Agustinus, dia amat gembira dengan langkah menarik kedatangan pelancong untuk menyaksikan upacara Pasola. Bagi kebanyakan pelancong asing yang berkunjung ke Sumba, kemunduran industri pelancongan di pulau itu merupakan antara faktor yang menjadi kesukaan mereka. Seorang backpakers dari Sweden, Christoffer Kullman, 26, berharap sekiranya industri pelancongan berkembang, cara hidup tradisional mereka dikekalkan. Pengembaraan Christoffer ditemani rakannya, Linus Strandholm dan mereka merasai pengalaman menyertai upacara Pasola versi moden. Bagaimanapun, Christoffer menerima nasib malang apabila terkena balingan lembing dan batu. "Batu yang terkena kepala, saya simpan sebagai cenderamata untuk dibawa pulang," tambahnya. - AFP | |
Posted: Pukauan aksi Tony HawkOleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA TONY HAWK turut berkongsi pengalamannya dalam arena sukan papan selaju kepada kanak-kanak MESA. KETIBAAN Tony Hawk di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini menerima tepukan dan sorakan gemuruh daripada pemain papan luncur tempatan. Tanpa menunggu lama, legenda berusia 46 tahun itu terus beraksi di kawasan gelanggang papan luncur di kompleks itu. Kebanyakan aksi yang dilakukan pada bahagian palang dan tanjakan gelanggang itu ternyata berjaya memukau pandangan setiap penonton yang hadir. Penonton dihidangkan dengan aksi Kickflip, Nosegrind dan Pop Shove-it yang sempurna tanpa sebarang cacat cela. Namun, aksi Mute Invert menjadi skil yang ditunggu-tunggu oleh penonton dan pengunjung. "Melihat Tony Hawk beraksi di Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara umpama mimpi yang menjadi kenyataan. Apatah lagi saya diberi peluang untuk beraksi di satu gelanggang dengan beliau," ujar Johary Fitry Khairudin, 41. PELUANG menyaksikan Tony Hawk beraksi merupakan impian setiap pemain papan selaju tempatan. Kagum Johary atau lebih dikenali dengan nama Joe Ipoh dalam arena papan selaju tempatan dan antarabangsa merupakan antara individu yang bermain papan selaju bersama Tony Hawk. Selain dapat melihat idolanya beraksi secara langsung, Johary juga ternyata kagum dengan stamina Tony Hawk sewaktu bermain papan selaju. "Beliau terus bermain papan selaju dengan melakukan pelbagai aksi dengan sempurna walaupun tidak melakukan sesi memanaskan badan. Ia menunjukkan bahawa papan selaju sudah sebati dengan dirinya. Walaupun fokus ketika bermain, saya sempat berbicara dengannya mengenai sukan ini," ujarnya yang juga pengasas jenama produk papan selaju tempatan, The G Hard. Kehadiran Tony Hawk yang terkenal sebagai pemain papan selaju pertama di dunia yang berjaya melakukan aksi akrobatik The 900 ke ibu negara baru-baru ini berikutan jemputan untuk menghadiri Anugerah Sukan Dunia Laureus ke-15. Bersempena dengan acara itu, Tony Hawk sempat meluangkan masa untuk menghadiri klinik papan selaju bersama kanak-kanak daripada Persatuan Sukan Ekstreme Malaysia (MESA). Selain bermain papan selaju bersama kanak-kanak, Tony Hawk juga menceritakan serba sedikit pengalamannya selama 37 tahun dalam arena sukan tersebut.
Berkongsi Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu, beliau amat gembira kerana dapat bertemu dengan pemain papan selaju muda yang ternyata bersemangat dalam sukan tersebut. "Ini merupakan kali pertama saya berkunjung ke Malaysia. Walaupun dalam jangka masa yang singkat, pelbagai perkara teori dan praktikal mengenai sukan papan selaju dapat dikongsi. Saya juga mempunyai anak-anak. Saya membesarkan mereka dengan sukan ini. "Momen indah sepanjang kerjaya saya sebagai pemain papan selaju profesional ialah berada di sisi kanak-kanak dan berkongsi pengetahuan," ujarnya ketika ditanya oleh kanak-kanak dalam sesi soal jawab bersama mereka. Beliau yang terkenal dengan gelaran The Birdman juga memberi kata-kata motivasi terutama tip latihan eksklusif kepada kanak-kanak agar tidak mudah patah semangat dalam sukan tersebut. Sementara itu, seorang lagi jaguh tempatan, Mohd. Fikry Zulkifly, 28, atau lebih dikenali dengan nama jolokan Usher berpendapat, aksi yang dilakukan Tony Hawk semasa bermain menjadi inspirasi kepada setiap pemain papan luncur di seluruh dunia. "Dalam usia 46 tahun, beliau masih berjaya melakukan aksi persis yang saya tonton dalam internet dan permainan video sewaktu kanak-kanak. Bagi saya, masih tiada pemain papan selaju lain yang dapat menandingi beliau," ujarnya yang sudah bermain papan selaju sejak 20 tahun lalu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Horizon To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |