Utusan Online - Feminin
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Feminin |
Posted: 03 Apr 2014 09:35 PM PDT MINAT Nor Diana Mohamed Nor terhadap unggas membuatnya komited untuk menceburi bidang pekerjaan yang lebih didominasi kaum lelaki. DENGAN kelulusan yang ada, beliau sebenarnya boleh bekerja di bilik berhawa dingin, sebaliknya memilih kerjaya menjejak hidupan liar di hutan belantara. Kerjaya yang dipilih anak kelahiran Terengganu ini bagaimanapun sebati dengan jiwanya yang suka kepada unggas. Beliau pernah menghabiskan masa berjam-jam menelaah buku mengenai kepelbagaian spesies itu termasuk burung hijrah. Kecintaan yang mendalam terhadap spesies unggas itulah yang membuatkan Nor Diana Mohamed Nor nekad berhenti kerja dan menerima tawaran jawatan Pembantu Hidupan Liar. Beliau kini adalah seorang daripada tiga renjer wanita yang berkhidmat dengan Jabatan Perhilitan Perak. Emaklah yang paling risau apabila saya mengambil keputusan berhenti kerja kerana bagi emak, tugas bukannya mudah, banyak bahaya. Ayah pula tidak kisah kerana memahami minat saya yang sukakan cabaran dan alam semulajadi. Saya mengambil masa memujuk emak, biarpun pada masa sama saudara-mara turut mempertikaikan keputusan saya itu," kata Nor Diana, 35, kepada Bernama ketika mengikuti Program Kembara Bersama Media Taman Negeri Royal Belum anjuran KementerianSumber Asli dan Alam sekitar. Liku-liku perjalanan kehidupan seorang renjer ternyata begitu mencabar dan getir, justeru, bukan sebarangan orang berupaya memikul tugas yang lazimnya didominasi kaum adam. Namun Nor Diana serta dua lagi renjer wanita di Jabatan Perhilitan Perak membuktikan kaum hawa juga boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah" dengan renjer lelaki. Menurut Nor Diana, secara amnya tugas renjer adalah untuk membantu pegawai dalam pengurusan hidupan liar. Pada masa ini saya ditugaskan di bahagian penguatkuasaan pelesenan. Sebelum itu di bahagian pengurusan. Biar pun tugas renjer tidak sama tetapi apabila masuk ke hutan, semua akan bekerjasama tanpa mengira datang dari bahagian mana," katanya dengan menambah beliau tidak menghadapi masalah dari segi penjagaan anak kerana bantuan ibu mentuanya. Nor Diana juga menyatakan syukur kerana suaminya amat memahami keperluan tugas. Suaminya juga pernah berkhidmat dengan Jabatan Perhilitan. Bagi seorang renjer, risiko diancam binatang buas adalah perkara lumrah memandangkan antara skop tugas mengenalpasti spesies haiwan dengan menjejaki kesan tapak dan najis binatang di hutan. Bagi yang tidak biasa, mendengar sahaja butiran ini pasti menjadikan bulu roma berdiri tegak tetapi berlainan pula dengan Nor Diana dan rakan renjernya yang lain. Mereka akan merasa gembira dan teruja setiap kali menjumpai banyak kesan tapak, najis dan cakaran binatang. Kami pernah sekali terserempak dengan harimau sewaktu di Taman Negara Terengganu, Tasik Kenyir. Ketika itu ia berada sekitar 50 km sahaja dari tempat kami berdiri. Kami terkejut dan terus berlari. Nasib kami baik kerana harimau itu tidak mengejar kami. Binatang buas tidak akan mengganggu manusia melainkan ia diancam dahulu," jelas Nor Diana. Sewaktu gelombang virus Influenza A (H1N1) melanda negara ini, beliau diberi tugas yang mendedahkannya kepada kepelbagaian risiko. Nor Diana diarahkan mencari itik spesies Belibis dan Cotton Pygmy Goose di sekitar lombong di Perak untuk dijadikan sampel ujian H1N1. Selain berhadapan kesukaran mencari spesies itu, beliau juga terpaksa berendam di dalam lombong sehingga tubuhnya dipenuhi selut. Keadaan itu agak membahayakan kerana kemungkinan diserang haiwan berbisa. Risiko memang ada tetapi sebagai renjer kami diajar untuk mengambil langkah keselamatan sewajarnya," kata beliau. Kini sudah hampir 10 tahun Nor Diana bertugas sebagai renjer. Setiap pengalaman pahit getir meredah hutan rimba tidak sedikit pun melunturkan semangatnya. Malahan, semangat beliau semakin kental untuk memberikan komitmen terbaik dan sekali gus membuktikan keputusan yang diambilnya untuk menjadi renjer bukan satu kesilapan. Menjadi renjer juga memberi Nor Diana peluang keemasan untuk mengenali dengan lebih dekat lagi kepelbagaian spesies burung. Jika sebelum ini beliau hanya terpaksa berpuas hati merujuk kepada paparan gambar, kini unggas yang beliau minati itu boleh berada di depan mata. Saya meminati beberapa jenis burung yang sukar dijumpai seperti Asian Fairy Bluebird, Asian Paradise Flycather (white-morph) dan Siul Berjambul. Di taman burung juga pun belum tentu ada tetapi sebagai renjer saya berpeluang melihat secara realiti dan bukan lagi gambar di buku, internet semata-mata," katanya. Dianggarkan terdapat antara 8,800 dan 10,200 spesies burung di seluruh dunia dan di Malaysia sahaja terdapat 750 spesies burung tempatan. Bagaimanapun, setakat ini hanya kira-kira 300 jenis sahaja yang dikenalpasti. Dalam pada itu, terdapat ratusan ribu burung hijrah singgah di 55 kawasan di Malaysia yang dikenalpasti sebagai kawasan penting burung (IBA) melalui beberapa kriteria termasuk penghijrahan burung dari kawasan sejuk. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |