Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Klinik Kesihatan Rengit dinaik taraf dalam RMK-11
- FMM bangunkan industri Johor
- MAINJ sedia RM386,000 baik pulih, bina 14 rumah baharu di Sungai Balang
Klinik Kesihatan Rengit dinaik taraf dalam RMK-11 Posted: 22 Apr 2014 11:40 AM PDT Ayub Rahmat (dua dari kiri) meninjau persekitaran Klinik Kesihatan Rengit sempena lawatan kerja ke Rengit, di Batu Pahat, Johor, baru-baru ini.- UTUSAN/MUHAMAD AIMY AHMAD BATU PAHAT 22 April - Pembangunan semula Klinik Kesihatan Rengit di sini bagi menggantikan klinik sedia ada yang mula beroperasi sejak tahun 1956 akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11). Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, pembinaan yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM30 juta itu sebelum ini berdepan dengan masalah berkaitan tanah. Menurutnya, klinik sedia ada tidak lagi sesuai untuk menampung kira-kira 42,000 penduduk sekitar selain keadaannya yang boleh dikatakan kurang selesa kepada pesakit dan kakitangan klinik. "Kita mahu melipatgandakan perkhidmatan di klinik ini agar pesakit yang membuat pemeriksaan berasa selesa, jadi klinik ini perlu dinaik taraf agar ia seiring dengan perkembangan semasa. "Malah, kita yakin masalah tanah yang menyebabkan rancangan ini sedikit terganggu akan berjaya diselesaikan tidak lama lagi hasil kerjasama semua pihak," katanya ketika mengadakan lawatan kerja di Rengit baru-baru ini. Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Khairi Yakub; Pegawai Daerah Batu Pahat, Ab. Wahab Ridwan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Ayub Jamil. Menurut Ayub lagi, pihaknya bercadang untuk menambah beberapa perkhidmatan kesihatan di klinik tersebut selain pergigian, x-ray dan perkhidmatan sedia ada. "Buat masa ini, hanya terdapat tiga orang doktor yang bertugas di klinik tersebut dan apabila klinik kesihatan baharu siap kelak, kita akan mengambil tindakan selanjutnya termasuk mungkin menambah bilangan kakitangan agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik," katanya. |
Posted: 22 Apr 2014 11:40 AM PDT Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM JOHOR BAHRU 22 April - Kerajaan negeri bersetuju melantik Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Johor sebagai ahli Jawatankuasa Pelaburan Johor (JIC) bagi meningkatkan pembangunan industri Johor terutamanya di Iskandar Malaysia. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dengan pelantikan tersebut kerajaan negeri percaya FMM Johor boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam membantu syarikat pengeluar dalam negeri. "Sejak ditubuhkan, FMM Johor terlibat dalam membantu syarikat pengeluar terutamanya dalam melaksanakan kajian, mengeluarkan panduan perniagaan, menyediakan khidmat penasihat dan juga sebagai penyedia latihan. "FMM Johor juga boleh memainkan peranan sebagai ahli Jawatankuasa Pengurusan Kawasan Perindustrian (IPMC) dan bersama mempengerusikan pasukan tugas khas untuk memudah dan meringankan operasi perniagaan," katanya dalam ucapan pada majlis makan tengah hari bersama Ketua Pegawai Eksekutif FMM di sini hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Presiden FMM, Davies Danavaindran dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff. Mohamed Khaled berkata, pelbagai usaha telah dibuat untuk membentuk satu rancangan ekonomi baharu yang berinovasi, kreativiti dan bernilai tinggi untuk mengangkat Johor menjadi negeri berpendapatan tinggi. Katanya, rancangan ekonomi baharu yang diwujudkan bertujuan mengalihkan pergantungan terhadap tenaga buruh separuh mahir dan kos rendah kepada sektor berteknologi tinggi dan melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi. "Kita perlu membuat perubahan di peringkat akar umbi dan ubah pemikiran kita. Kita akan menerima pakai pendekatan holistik yang akan mencetus perubahan dalam semua sektor ekonomi, bukan sahaja di wilayah Iskandar Malaysia, tetapi juga di luar kawasan itu. "Kita juga secara sistematik akan membantu peningkatan inovasi sebagai pemacu utama bagi menggalakkan ekonomi baharu di Johor iaitu dalam bidang pendidikan, pelancongan kesihatan, industri kreatif, bioteknologi dan hospitaliti," katanya. |
MAINJ sedia RM386,000 baik pulih, bina 14 rumah baharu di Sungai Balang Posted: 22 Apr 2014 11:40 AM PDT MUAR 22 April - Sebanyak 14 buah rumah di kawasan Sungai Balang sudah dikenal pasti Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk dibaik pulih dan dibina rumah baharu dalam tahun ini dengan kos kira-kira RM386,000. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Zaiton Ismail berkata, lapan buah rumah akan dibina baharu dengan kos RM40,000 setiap satu unit manakala selebihnya dibaik pulih dengan kos RM11,000. "Penerima terdiri daripada golongan miskin terutama yang berpendapatan rendah. Rumah-rumah mereka berada dalam keadaan mendesak, antaranya keadaan bumbung dan lantai sudah bocor serta rumah yang hampir roboh kerana terlalu uzur. "Terdapat pula rumah hanya berlantaikan tanah dan tidak kurang juga pasangan suami isteri yang masih menumpang rumah ibu bapa mereka sehingga sesak dan tidak selesa dalam satu rumah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jom Baca Bersama Selama 10 Minit di Kompleks Penghulu Sungai Balang, dekat sini hari ini. Katanya, 14 buah rumah terpilih itu adalah di Mukim Sri Menanti, Mukim Sungai Balang serta Mukim Sarang Buaya dan penerima terbabit layak menerima bantuan tersebut kerana tidak mampu membeli rumah sendiri. Menurutnya, kos bina dan baik pilih itu adalah bantuan pertama kerajaan negeri kepada 14 ketua keluarga tersebut yang tidak disenaraikan dalam E-kasih dan tidak pernah menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Jelasnya, bantuan MAINJ itu adalah untuk menjaga kebajikan serta meningkatkan taraf hidup umat Islam di negeri ini dan penerima sebelum ini mendakwa tidak mengetahui cara untuk mendapatkan bantuan tersebut. Sehubungan itu, beliau mengingatkan 18 ketua kampung yang menjaga kira-kira 200 kampung induk dan rangkaian di DUN Sungai Balang agar turun padang melihat keperluan masyarakat di peringkat akar umbi. Dengan cara itu katanya, masalah penduduk kampung terutama mereka yang miskin, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta ibu tunggal dapat ditangani dan dengan cara itu juga kerajaan boleh membela nasib mereka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |