Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- Tutup pasar malam bermasalah
- Peniaga dakwa catuan air tidak ikut jadual
- MB Selangor tidak dimaklum keputusan tutup Hotel Quality
Posted: 02 Apr 2014 11:58 AM PDT Oleh SITI AINIZA KAMSARI Ahmad Phesal Talib (kanan) mendengar bacaan ikrar oleh Mahdzir Jaafar (kiri) pada majlis perjumpaan bersama pengusaha pasar malam di Kuala Lumpur, semalam . - utusan/ZAKARIA IDRIS KUALA LUMPUR 2 April - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertindak tegas dengan menutup mana-mana pasar malam di ibu negara sekiranya peniaga melanggar peraturan yang ditetapkan seperti mengabai kebersihan dan menyewakan lesen tapak perniagaan kepada warga asing. Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan ini terbukti apabila Pasar Malam di Taman Tun Dr. Ismail di sini ditutup baru-baru ini selepas banyak aduan dibuat mengenai tahap kebersihan di pasar malam yang mempunyai kira-kira 200 peniaga itu. Katanya, peniaga di pasar malam itu dikesan membuang sisa makanan, minyak masak terpakai dan sampah sarap ke dalam longkang sehingga menimbulkan bau busuk. Para peniaga di situ tidak menjaga kebersihan terutamanya selepas selesai berniaga. Mereka memberi alasan ada pihak yang akan membersihkannya kelak. Sepatutnya mereka menjaga kebersihan dan DBKL hanya datang untuk mengutip sampah bukannya membersihkan segala sampah sarap yang bertaburan. Bayangkan, kita ada 98 buah lokasi pasar malam di seluruh Kuala Lumpur yang dibuka hampir setiap hari dan DBKL menjaga setiap kawasan tersebut," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perjumpaan Datuk Bandar Kuala Lumpur Bersama Pengusaha Pasar Malam Wilayah Persekutuan di Dewan Megapuri , Menara DBKL Jalan Raja Laut di sini, hari ini. Antara yang turut hadir Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pengurusan Penjaja DBKL, Rolan Abd. Rahman. Pada majlis itu, Ahmad Phesal menyampaikan watikah pelantikan kepada 30 penganjur pasar malam yang mewakili 21,618 peniaga berlesen di sekitar Kuala Lumpur. Ini diikuti dengan bacaan ikrar Integriti Penganjur Pasar Malam 2014/2015 yang diketuai oleh Mahdzir Jaafar. Ahmad Phesal memberitahu, mulai Mei ini, DBKL akan menyusun semula pengurusan pasar malam dengan memastikan setiap tapak mempunyai nombor manakala peniaga diberikan nombor siri untuk digantungkan pada kanopi setiap kali berniaga. Nombor siri itu mewakili jumlah peniaga tempatan yang berdaftar di sesebuah pasar malam dan jika tiada nombor dipamerkan, peniaga tersebut diragui statusnya dan boleh dikenakan diambil tindakan," jelasnya. Menurutnya, pasar malam di ibu negara perlu diberikan nafas baharu agar ia menjadi daya tarikan utama kepada para pelancong asing. Pelancong datang bukan semata-mata untuk melihat bangunan moden dan tinggi tetapi juga cara hidup rakyat Malaysia yang boleh dilihat di pasar-pasar malam. Jika pasar malam kita teruk, kotor dan tidak terurus, sesedap mana pun makanan yang dijual tidak akan memberi makna malah akan memburukkan imej rakyat dan negara ini," katanya. |
Peniaga dakwa catuan air tidak ikut jadual Posted: 02 Apr 2014 11:58 AM PDT Norzaini Muhammad menadah air untuk kegunaan di kedainya di Desa Pandan, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/AZLAN HADI ABU BAKAR KUALA LUMPUR 2 April - Beberapa peniaga di kedai makanan di sekitar Taman Pandan Jaya dan Desa Pandan di sini keliru dengan pelan catuan bekalan air yang didakwa tidak mengikut jadual dikeluarkan sebelum ini. Seorang pemilik kedai di Desa Pandan, Osman Ismail, 53, mendakwa, jadual tersebut tidak dilaksanakan dengan sempurna sehingga dia bingung untuk merancang persediaan bagi menghadapi catuan air. Sepatutnya kawasan ini mendapat air selama dua hari dan terputus bekalan dua hari berikutnya. Malangnya, bekalan air tidak disalurkan pada hari yang dijadualkan dan ini menjejaskan perniagaan saya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini. Menurutnya lagi, dia terpaksa menutup kedainya beberapa kali sejak pelan catuan tersebut dilaksanakan dan menanggung kerugian besar. Apabila kedai ditutup selama satu hari, saya akan rugi kira-kira RM500 dan ini menjejaskan pendapatan. Jika tiada air, peniaga tidak dapat memasak dengan kuantiti yang banyak, apatah lagi menyediakan minuman kepada pelanggan serta mencuci pinggan," katanya. Sementara itu, seorang lagi peniaga, Muhammad Zahid Ahmad, 51, berkata, kedainya tidak berdepan sebarang masalah berhubung catuan air namun rumahnya kerap tidak menerima bekalan air. Rumah saya yang terletak berhampiran kawasan kedai tiada air sedangkan kedai makan tidak menghadapi masalah itu," katanya. Seorang pemilik kedai makanan di Taman Pandan Jaya, Norzaini Muhammad, 49, pula memberitahu, kawasan itu sudah terputus bekalan air selama tiga hari. Bagaimanapun, perniagaan semakin laris kerana pelanggan tidak dapat memasak di rumah ekoran ketiadaan air dan mereka lebih gemar membeli makanan di kedai," katanya. |
MB Selangor tidak dimaklum keputusan tutup Hotel Quality Posted: 02 Apr 2014 11:58 AM PDT SHAH ALAM 2 April - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor terkejut dengan tindakan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad menutup operasi Hotel Quality Shah Alam sehingga menyebabkan ratusan pekerja terpaksa diberhentikan. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenai keputusan KPS tersebut. Saya akan panggil mereka (KPS) pada minggu depan termasuk pengurusan tertinggi Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) yang memiliki sepenuhnya KPS. Walaupun kerajaan negeri melalui KDEB mempunyai milikan saham majoriti tetapi keputusan dibuat oleh pengurusan operasi iaitu Ahli Lembaga Pengarah KPS," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini. Sebanyak 105 kakitangan dan pekerja Hotel Quality Shah Alam di Seksyen 14 di sini bakal ditamatkan khidmat berikutan penutupan operasi hotel itu pada 1 Jun ini selepas mengalami kerugian besar. Kesemua pekerja itu menerima surat pemberhentian kerja kelmarin yang antara kandungannya memaklumkan hari terakhir mereka bertugas adalah pada 31 Mei ini. Abdul Khalid menambah, langkah pemberhentian pekerja hotel berkenaan adalah hak Ahli Lembaga Pengarah KPS. Saya pasti apa-apa keputusan yang dibuat oleh mereka mestilah mengambil kira kebajikan pekerja serta mengikut Akta Perhubungan Industri ," ujarnya. Berhubung pengambilalihan syarikat konsesi air oleh kerajaan negeri, beliau memberitahu, satu perjanjian baharu akan dimeterai di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) agar proses seterusnya tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak di mahkamah. Menurutnya, perbincangan semula akan dibuat pada Jumaat ini dengan Menteri Tenaga , Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili bagi menyelaras proses untuk memastikan industri air dipulangkan kepada kerajaan negeri menerusi anak syarikatnya, KDEB. Dokumen perjanjian telah disediakan minggu lalu dan bakal dibawa untuk perbincangan bersama Kerajaan Pusat pada Jumaat ini. Kita yakin mekanisme ini menguntungkan kerajaan negeri kerana pampasan yang perlu dibayar kepada pemegang konsesi lebih murah berbanding tawaran awal sebanyak RM9.65 bilion," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |