Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- Stesen KL Monorel lebih selamat
- 'Seksa' menuju ke 'perhentian akhir'
- 908 kes curi air dilaporkan sejak Januari lalu
Stesen KL Monorel lebih selamat Posted: 09 Apr 2014 11:53 AM PDT Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR TREN baharu yang mempunyai empat gerabak tiba di Stesen Tun Sambathan, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/AZLAN HADI ABU BAKAR KUALA LUMPUR 9 April - Aspek keselamatan di semua Stesen Monorel KL akan dipertingkatkan bagi mengelak risiko kemalangan dalam kalangan penumpang semasa menunggu tren. Naib Presiden II Seksyen Monorel Jabatan Tren Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), Shah Hazli Shahurudin berkata, pihaknya telah mula membina Sistem Pagar Automatik Platform (PAGS) di setiap stesen yang hanya akan terbuka apabila tren tiba dan berhenti. Ujarnya, pemasang-an pagar itu dapat menghalang penumpang daripada terjatuh ke landasan sekali gus mengelak kemalangan tidak diingini. Pada masa ini, ramai yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan tren monorel ke pejabat atau berkunjung dalam kawasan pusat bandar raya dan kita perlu pastikan keselamatan mereka terjamin. RUANG dalam tren yang menarik dan kemas memberi lebih keselesaan kepada penumpang. Platform menunggu tren di stesen-stesen yang terdedah tanpa pagar boleh mengundang padah dan kita tidak dapat menjangka malapetaka yang akan berlaku," katanya. Beliau berkata demikian selepas membawa wakil media melawat dan menaiki tren empat gerabak yang dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada Ogos 2015 di depot baharu berdekatan stesen KL Monorel Tun Sambanthan di sini semalam. Yang turut hadir, Naib Presiden Eksekutif Jabatan Tren Prasarana, Muhammad Isom Azis. Tren baharu yang kini berada di depot itu menjalani ujian dinamik antara lain tentang kecekapan sistem brek dan pintu, setiap hari dari pukul 12.30 malam hingga 4.30 pagi. Sementara itu, Shah Hazli memberitahu, tren baharu itu bukan sahaja memiliki ciri-ciri keselamatan lebih baik malah mesra orang kurang upaya (OKU) antaranya ruang kerusi roda khas lengkap dengan tali pinggang keselamatan, sistem kamera litar tertutup serta alat pengesan asap. Setiap permukaan lantai stesen juga dilitupi jubin khas yang boleh menjadi panduan kepada OKU sama ada untuk menuju ke tren atau keluar dari stesen," katanya. Sementara itu, seorang penumpang yang mengalami masalah penglihatan, Nakasha Mohsin, 22, memuji pembaharuan di stesen KL Monorel kerana ia membantu penumpang OKU untuk menggunakan pengangkutan tersebut. Sebagai contoh, permukaan lantai baharu membantu melancarkan perjalanan saya kerana terdapat panduan untuk melencong ke kiri atau kanan sekali gus mengelak daripada terlanggar orang lain atau tersalah arah," ujarnya |
'Seksa' menuju ke 'perhentian akhir' Posted: 09 Apr 2014 11:53 AM PDT Oleh ABDUL RAZAK IDRIS Jalan masuk ke Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam, Selangor yang rosak dan tidak rata menyukarkan pemandu van jenazah dan kenderaan waris menuju ke tanah perkuburan dengan selesa. SHAH ALAM 9 April - Beberapa tahun lalu, laluan menuju Tanah Perkuburan di Seksyen 21 di sini boleh dilalui van jenazah dan kenderaan waris dengan selesa. Berbeza hari ini, keadaan jalan di situ rosak teruk sehingga menyusahkan urusan pengkebumian dan kelewatan urusan itu selesai. Penduduk mendakwa, kerosakan jalan itu disebabkan lori sampah yang sering berulang-alik menggunakan laluan itu untuk ke kawasan pemindahan sampah yang terletak di kawasan bersebelahan. Tambah mengecewakan, sikap tidak peka dan prihatin pihak berkuasa terhadap masalah itu menyebabkan keadaan jalan yang menempatkan tanah perkuburan Islam, penganut agama Buddha, Hindu dan Kristian itu bertambah teruk. Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi terlibat hari ini mendapati dakwaan tersebut berasas apabila permukaan jalan di situ bukan sahaja tidak rata dan pecah malah berlubang-lubang umpama dibom periuk api dan peluru berpandu. Berdasarkan pemerhatian, kerja-kerja pembaikan jalan perlu disegerakan bagi memastikan keselesaan dan keselamatan orang ramai yang berurusan di tanah perkuburan itu. Seorang pengunjung, Mohd. Faizal Mohd. Arif, 43, berkata, jalan ke tanah perkuburan memang jarang digunakan kecuali ada kematian, namun ia bukan alasan untuk pihak bertanggungjawab melakukan kerja-kerja baik pulih. Katanya, tanah perkuburan merupakan perhentian terakhir manusia di alam fana ini maka secara rohaniahnya sudah pasti setiap jenazah dan jasad yang melalui laluan tersebut tidak 'diseksa' dengan kesan hentakan akibat tayar kereta melanggar jalan berlubang. Memang ada dua jalan ke kawasan ini, tetapi jalan rosak ini merupakan laluan utama. Eloklah pihak bertanggungjawab mengambil tahu kerosakan jalan ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini. Penduduk di Seksyen 16, Khozim Baharun, 56, berkata keadaan jalan di situ yang rosak teruk cukup menyedihkan. Katanya, ketiadaan pihak berkuasa memantau kegiatan lori pengangkut sampah yang bebas keluar masuk menggunakan laluan itu memburukkan lagi keadaan. Pihak bertanggungjawab yang mengawal-selia jalan di sini seharusnya peka terhadap masalah ini. Lori yang keluar masuk dari tempat pelupusan sampah adakalanya keluar sesuka hati dan jika pemandu kereta mahupun van jenazah melalui jalan tersebut tidak berhati-hati, mereka pula berisiko ditimpa kecelakaan," ujarnya. Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Nor Hisham Ses mendesak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyegerakan kerja-kerja pembaikan mana-mana jalan yang rosak di kawasan pentadbirannya. Menurutnya, tiada guna kerajaan negeri mendabik dada mengatakan kantung mereka penuh dengan duit sedangkan infrastruktur sedia ada tidak sempurna. MBSA perlu segera melantik kontraktor untuk memperbaiki jalan-jalan yang rosak terutama jalan ke tanah perkuburan tersebut. Jika tiada peruntukan dijadikan alasan, pihak terbabit perlu menuntut kos pembaikan daripada kerajaan negeri kerana perkara ini membabitkan kebajikan dan kese-lamatan rakyat," ujarnya. |
908 kes curi air dilaporkan sejak Januari lalu Posted: 09 Apr 2014 11:53 AM PDT SEORANG kakitangan Syabas memotong sambungan paip haram yang dibuat oleh pemilik sebuah ladang di Rawang, Selangor, semalam. - UTUSAN/AZLAN HADI ABU BAKAR RAWANG 9 April - Sebanyak 908 kes curi air dilaporkan dari Januari sehingga awal bulan ini ketika kebanyakan daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan mengalami masalah kekurangan bekalan sehingga terpaksa dicatu. Ini menyebabkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) me-ngalami kehilangan air terawat sebanyak 1.29 juta liter padu yang menyebabkan kerugian sebanyak RM2.95 juta. Pengarah Eksekutif Projek Syabas, Yusuf Badawi berkata, tindakan mencuri bekalan air dari paip-paip utama Syabas yang dilakukan sama ada untuk tujuan komersial atau domestik memburukkan lagi keadaan krisis air ketika ini. Kegiatan itu menyebabkan tekanan air menjadi rendah sekali gus menyumbang kepada masalah gangguan bekalan air tidak berjadual," katanya dalam sidang akhbar selepas penguat kuasa Syabas menyerbu sebuah ladang tanaman bunga melur dan kandang lembu di Batu Arang di sini, hari ini. Dalam serbuan tersebut, pengusaha ladang tersebut didapati membuat sambungan paip secara haram dari paip dan meter milik Syabas untuk tujuan tanaman dan ternakan lembu di kawasan itu. Ini menyebabkan Syabas kehilangan sebanyak 4,900 ribu liter padu air yang kerugiannya bernilai RM11,000. Siasatan juga mendapati pengusaha ladang dan menternak lembu tidak mempunyai akaun bekalan air yang sah. Yusuf tidak menafikan kegiatan mencuri air semakin bertambah ekoran krisis bekalan air yang me-landa Lembah Klang. Bagaimanapun, ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka memnbuat sambungan haram bagi mendapatkan bekalan air yang boleh menyebabkan berlaku gangguan kepada jadual catuan air di kawasan lain yang sepatutnya menerima bekalan air," katanya. Sementara itu, dalam serbuan lain, sebuah syarikat kontraktor pembinaan kepada syarikat pemaju milik Perbadanan Kemajuan Ne-geri Selangor Infra, sebuah anak syarikat negeri Selangor didapati menceroboh sebuah premis Per-khidmatan Takungan Air milik Syabas di PJU 5 Kota Damansara. Syarikat kontraktor itu didapati membina rumah kongsi, menyimpan bahan-bahan binaan dan membuang sisa-sisa binaan di premis terbabit. Yusuf berkata, lot premis dan sebuah tangki air yang tidak aktif itu dipercayai diceroboh sejak hampir setahun lalu. Pihak kontraktor tersebut ada membuat permohonan untuk menggunakan premis ini tetapi permohonan mereka ditolak oleh Syabas pada 31 Januari lalu. Bagaimanapun, mereka didapati masih menceroboh kawasan ini sehingga hari ini," katanya. Ujarnya, kontraktor itu boleh diambil tindakan melalui Seksyen 122 (1) (d) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |