Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Agenda risikan asing: Respons Malaysia? Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST Oleh Khairuddin Mohd Zain Sebahagian penunjuk perasaan memegang poster dan sepanduk menyokong pendedahan bekas kontraktor keselamatan, Edward Snowden berhubung program intipan dilakukan Agensi Keselamatan Nasional (NSA) di Capitol Hill, Washington, baru-baru ini. - AGENSI Kepada mereka yang mempunyai minat yang tinggi dalam bidang risikan, mahupun risikan balas (counter-intelligence), antara tempoh masa yang paling 'meriah' dengan perkara-perkara begini adalah di zaman Perang Dingin. Pada tempoh masa sama jugalah, cerita fiksyen dan filem seperti 'James Bond' dengan nombor 007 menjadi ikon. Hari ini, hasil pendedahan yang dilakukan seorang lelaki bernama Edward Joseph Snowden, kita sedang dilambakkan dengan cerita risikan bentuk baru. Zaman lelaki macho seperti James Bond, mahupun seperti Johnny English sudah tidak lagi relevan. Risikan zaman baru tidak berlaku secara 'fizikal'. Kalaupun masih ada, yang lebih diutamakan adalah risikan bersifat 'mass surveillance'. Ini adalah cabaran baru kepada mana-mana negara di dunia. Tanpa kita sedar, perbualan kita di facebook, e-mail biasa, perbualan 'Whatsapp' (yang kadangkala dipenuhi dengan lawak kotor) pun boleh dipintas oleh mereka yang berkeupayaan. Memang kita tidak nampak impak dan kesan strategik atas sifat kita orang biasa. Tetapi bayangkan apa yang mampu diperoleh oleh pihak yang berkenaan, jika mereka mahu benar-benar mencari 'salah' dan kelemahan mana-mana pemimpin mahupun individu. Usaha menaikkan dan menjatuhkan pemimpin pun, bisa diatur melalui platform 'mass surveillance'. Dalam konteks strategi politik, risikan total dengan konsep 'mass surveillance' ini melangkaui kemampuan diplomasi biasa. Sudah tidak ada rahsia dalam berkerajaan. Jika 'mass surveillance' ini dilakukan secara maksimum, kita berada di dalam suasana pentadbiran yang hampir telanjang. Inilah juga yang menjadi asas kepada kerisauan banyak kerajaan di dunia pada ketika ini. Laporan media bagaimana komunikasi Canselor Jerman, Angela Merkel yang dipantau daripada bumbung berhampiran Berlin adalah satu realiti baru yang merisaukan (http://www.france24.com/en/20131105-germany-britain-ambassador-summoned-spying- nsa-espionage). APA RESPONS MALAYSIA? Sama ada kita mahu mengakuinya ataupun tidak, kita juga terdedah kepada elemen risikan sama. Tidak ada istilah ambil mudah apabila rahsia negara dikompromi sedemikian rupa. Tindakan segera mesti diambil, sama ada melalui jalan diplomasi, mahupun memastikan tidak ada ruang ketirisan maklumat, dalam apa sahaja bentuk. Zaman semuanya boleh dianalisis di atas talian, dengan istilah 'big data, metadata, metacontent' dan entah apa lagi, kita sebenarnya sedang memasuki zaman risikan tanpa had. Semuanya boleh dianalisis oleh mereka yang berkepentingan dan mahu mempunyai kelebihan dalam berurusan. Pasca 9/11 memberikan lesen besar kepada beberapa negara untuk melancarkan risikan yang bersifat total dan menyeluruh. Pada mereka, jika 'mass surveilance' ini wujud sebelum peristiwa 9/11, peristiwa itu tidak mungkin berlaku! Dengan segala lambakan data selepas peristiwa 9/11, program risikan total ini dikatakan mengetepikan 54 plot terorisme. Namun, setelah disiasat dengan teliti, hanya 4 plot pengganas yang mampu diketepikan. Apakah mungkin segala infra yang telah disediakan, digunakan untuk tujuan lain? Ini isu akarnya. Entah berapa banyak data yang mampu mereka simpan dengan menggunakan beberapa inisiatif yang diberikan kod nama BLARNEY, FAIRVIEW, OAKSTAR and STORMBREW. Kalau diikutkan pendedahan Snowden, tidak ada yang terselamat dari pemantauan, ini termasuk - Gmail, Yahoo, facebook, hotmail, skype, Youtube dan lain-lain. Penulis tidak mencadangkan kita nyah terus daripada aplikasi yang ada. Ia tidak realistik. Namun, kita masih perlu mempunyai respons balas yang lebih pragmatik dan bersesuaian dengan zaman. Untuk itu, kita mungkin perlu memperkasa beberapa agensi keselamatan untuk berhadapan dengan risikan zaman 'metadata' ini. Majlis Keselamatan Negara (MKN), pada hemat penulis, sudah perlu keluar daripada imej agensi 'malapetaka dan bencana' semata-mata. MKN perlu diberikan peneguhan, untuk turut melihat isu-isu besar yang lebih strategik. Merujuk kepada laman sesawang MKN, penulis merasakan ia perlukan satu iltizam politik dan pentadbiran yang lebih kukuh dan bersungguh. Peranan MKN perlu diperkasa sesuai dengan zaman. Cabaran politik era 1970-an, cukup berbeza dengan waktu semasa. Dasar Keselamatan Siber Negara (DKSN) memang sudah sedia ada wujud. DKSN dikatakan mengutamakan perlindungan kepada Infrastruktur Maklumat Kritikal Nasional (Critical National Information Infrastructure - CNII). Namun, kita masih menunggu respon MKN dengan pendedahan yang dilakukan Snowden. Penulis tidak fikir pengwujudan entiti dan agensi baru sebagai jalan ke hadapan. MKN perlu diperkasa dan diperteguhkan. Ia cukup strategik dan sudah akrab dengan pentadbiran kerajaan. Mungkin tiba masanya 15 bidang fokus MKN diperkemas dan diperjelas. Jika ada bidang yang bertindih dengan agensi lain, garis kelabu mesti diperjelaskan tentang apakah bidang keutamaan yang perlu diberikan perhatian. Bidang strategik baru mesti turut dimasukkan. Kerjasama inter-agensi mesti diperteguh. Dalam suasana ekonomi dan politik global pada ketika ini, bersangka baik pun ada hadnya. Kita perlu sentiasa mempunyai keraguan, tentang niat tersurat dan tersirat dalam apa jua inisiatif ekonomi dan politik yang dilakukan pihak lain. Respons kita tidak cukup sekadar menghantar nota protes dan mengharapkan penjelasan jujur. Naif benar kita ini, jika semuanya akan dibentangkan di atas semangat kejujuran dan terus terang. Mungkin benar, 'mass surveillance' juga mungkin banyak membantu pihak keselamatan kita dalam menangani sebarang kemungkinan. Namun, ianya masih perlu ditangani dengan baik dan hemah. Jika ia sampai merisik komunikasi pemimpin negara, ia sudah jelas tersasar daripada matlamat asal. Sesuatu mesti dilakukan, dan ia perlu dilakukan sekarang. 'Sudah terhantuk, baru nak terngadah', kalau nak dipakai dalam konteks ini - akan memberikan ruang yang terlalu besar untuk kerahsiaan kita dikompromi, hampir setiap saat dan detik. Ia satu realiti yang amat merisaukan. |
Ke arah manakah tahaluf siyasi Pas? Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST Oleh Zulkiflee Bakar SEBENARNYA, kita tidak perlu mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh DAP atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap Pas. Kalau diulangi pun ia tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada perjalanan politik Pas. Ia memandangkan apa pun berlaku, biarlah maruah 'dipijak' sekali pun, Pas ingin terus kekal atas nama tahaluf siyasi bersama DAP dan PKR. Bagi Pas, tidak apa kalau martabat dan maruah mereka dilihat diperlekeh atau perlekehkan oleh kedua-dua parti itu, tetapi jangan Barisan Nasional (BN) atau UMNO melakukannya. Jika UMNO mengkritik atau menegur Pas berhubung sesuatu isu termasuklah berkaitan dengan kepentingan Islam dan orang Melayu, sudah pasti parti itu akan 'diserang' habis-habisan oleh pemimpin-pemimpin Pas termasuklah Dewan Pemuda Pas Pusat dan Dewan Muslimat. Bagi pemimpin-pemimpin Pas, apa pun PKR dan DAP hendak kata tentang mereka tidak apa kerana itu sekutu politik mereka, sahabat satu selimut biarpun mimpi lain-lain dan teman sekapal biarpun haluan berbeza. Namun mereka tidak boleh menerima sama sekali sebarang teguran UMNO, bagi sesetengah pemimpin Pas, pemimpin-pemimpin UMNO tidak layak menegur Pas kerana UMNO dianggap tidak Islamik, mengamalkan rasuah dan penyelewengan. Walaupun apa yang mereka katakan itu tidak benar, namun Pas tidak akan menerima sebarang kritikan UMNO tetapi mereka akan bersikap terbuka menerima kritikan PKR dan DAP. Tidak kisahlah apa pun pemimpin kedua-dua parti itu hendak cakap soal Pas, malah kalau mereka hendak membuat tindakan yang dilihat 'memijak' maruah Pas tidak apa, Pas akan merelakannya kerana yang penting tahaluf siyasi jangan menjadi korban. Tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR ini dilihat cukup penting dan 'mulia' oleh Pas sehingga apa yang boleh dikorbankan akan dikorbankan, apa sahaja yang dipersetujui harus disokong dan apa yang diarahkan mesti dipatuhi. Pas tidak mahu sebarang tindakan mereka membantah kehendak kedua-dua parti itu akan menyebabkan Pas tidak berpeluang untuk mengikuti misi ke-2 menawan Putrajaya selepas mereka gagal dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Kesudahannya, mereka akan menyalahkan media termasuklah kononnya media sengaja hendak memecah belahkan perpaduan dalam pakatan pembangkang. Kononnya, apa yang berlaku adalah perancangan kerana UMNO dan BN semakin bimbang dengan kekuatan pakatan pembangkang sehingga memungkinkan mereka mendapat undi popular terbanyak dalam pilihan raya umum lalu. Dalam soal ini, Pas boleh berkata apa sahaja, tetapi sejarah politik negara telah membuktikan dalam apa juga keadaan UMNO tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangannya apatah lagi membiarkan mana-mana parti memijak maruahnya. Keberanian dan ketegasan UMNO jauh lebih hebat berbanding Pas kerana dalam komponen BN tidak ada parti yang bersikap seperti PKR dan DAP. Kesemua parti menghormati antara satu sama lain, tetapi dalam pakatan, ada parti yang mahu menjadi dominan dan ada pula parti dilayan bagaikan 'pak turut'. Pas harus sedar daripada lamunan yang menganggap mereka terlalu penting dan dihormati dalam pakatan pembangkang. Hakikat sebenarnya tidak begitu sebab itulah pemimpin-pemimpin DAP dan PKR tidak pernah peduli perasaan pemimpin-pemimpin Pas apabila hendak membuat kenyataan atau tindakan. Kita tidak tahu sampai bilakah pemimpin-pemimpin Pas akan terus rela dilayan sebegitu rupa oleh kedua-dua pemimpin parti tersebut. Pas terlalu menjaga tahaluf siyasi kononnya ia bertepatan dengan Islam dan jauh lebih baik daripada hubungan UMNO dengan parti-parti komponen BN lain. Tetapi apa yang kita saksikan, Pas semakin lemah, keterujaan untuk terus bersama-sama dengan PKR dan DAP telah menyebabkan parti itu seolah-olah sanggup mempertaruhkan maruahnya. Mungkin bagi sesetengah pemimpin dan ahli Pas, mereka tidak akan berasa apa-apa terhadap apa juga tindakan kedua-dua parti itu kerana mereka melihat dari sudut kepentingan politik. Namun orang Melayu khususnya atas pagar atau mungkin dalam kalangan ahli-ahli UMNO sendiri, mereka juga berasa marah dengan layanan yang diterima oleh Pas dalam hubungannya dengan DAP dan PKR. Ia memandangkan apabila ia dilihat dari persaudaraan Islam, mahu tidak mahu sedikit sebanyak mereka akan terasa jika sebuah parti yang dianggotai majoriti orang Islam, begitu mudah diperkotak-katikkan atau rela diperkotak-katikkan. Bagaimanapun kita tidak boleh berbuat apa-apa selagi Pas tidak berani berubah. Apatah lagi apabila akan muncul 'fatwa' dan 'hujah' songsang daripada kalangan pemimpin parti itu yang terlalu menyayangi hubungan dengan DAP dan PKR. Keadaan inilah yang akan memungkinkan DAP dan PKR akan tersenyum kerana mereka sudah tahu buatlah apa pun Pas tidak akan membantah atau berasa marah. Justeru tidak perlu mengharapkan apa-apa yang drastik berlaku kerana Pas tidak akan berupaya bersuara lantang dalam pakatan pembangkang bagi menegur PKR dan DAP. Sebaliknya, pemimpin-pemimpin mereka hanya mempunyai kebijaksanaan luar biasa untuk memaki hamun pemimpin-pemimpin BN khususnya UMNO atas pentas ceramah. Tidak kisahlah 'ayam sabung' atau 'ayam tambatan', semuanya tidak akan berani berkata apa-apa kepada PKR dan DAP. Tahniahlah kepada Pas kerana mempunyai satu semangat setiakawan atas nama tahaluf siyasi yang cukup mengagumkan. UMNO sendiri tidak akan berupaya berbuat demikian kerana apa pun berlaku UMNO sama sekali tidak akan membiarkan maruahnya dipijak oleh sesiapa jua. Bagaimanapun kita tetap menaruh sedikit a harapan supaya ada dalam kalangan pemimpin dan ahli Pas yang akan berani membantah tindakan pemimpin-pemimpin dalam pakatan itu terhadap parti tersebut. Kita percaya ada antara mereka benar-benar ingin menegakkan perjuangan Islam dan mahu menjadikan Pas sebagai platform, kelompok inilah yang diharapkan akan menyedarkan Pas supaya tidak terlalu teruja dan ghairah hendak memburu kuasa sehingga segala-galanya mahu digadaikan!. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |