Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- 12,113 pelajar ditawar biasiswa
- LIEC 2013 bermula hari ini
- Sungai Sepetang diwarta Hutan Simpan Kelip-Kelip
12,113 pelajar ditawar biasiswa Posted: 29 Nov 2013 11:09 AM PST IPOH 29 Nov. - Kerajaan negeri menawarkan biasiswa berjumlah RM7.96 juta kepada 12,113 pelajar di bawah bantuan Dermasiswa Pendidikan Negeri Perak sehingga bulan lalu. Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, biasiswa berkenaan bertujuan membantu pelajar membuat persediaan kemasukan semester dan tahun pertama ke Politeknik, Kolej Komuniti, institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang terpilih dalam negara. Beliau berkata, biasiswa itu diberikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda. "Keutamaan diberikan kepada keluarga yang berpendapatan di bawah RM3,000. "Di bawah skim bantuan ini, sehingga Oktober lalu, sebanyak RM862,200 biasiswa diberikan kepada 2,874 pelajar yang mengikuti kursus peringkat sijil, matrikulasi dan asasi manakala RM2.4 juta untuk 4,807 pelajar yang mengikuti pengajian peringkat diploma. "Dalam masa sama, sejumlah RM3.09 juta diberikan kepada 3,089 pelajar untuk kategori Ijazah Sarjana Muda Kursus Bukan Profesional/Diploma Lanjutan manakala RM1.61 juta untuk 1,343 pelajar yang mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Kursus Profesional," katanya demikian ketika menjawab soalan Lim Pek Har (DAP-Menglembu) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kali Ke-13 di sini hari ini. Tambah Dr. Muhammad Amin, di bawah program Dermasiswa Pendidikan Negeri Perak tahun lalu, sebanyak 2,195 pelajar yang mengikuti kursus sijil, matrikulasi dan asasi mendapat biasiswa berjumlah RM658,500. Menurutnya, pemberian biasiswa untuk pelajar kategori diploma melibatkan 4,281 orang (RM2.141 juta), 5,841 pelajar untuk kursus Ijazah Sarjana Muda Kursus Bukan Profesional (RM5.841 juta) dan 1,132 pelajar untuk kursus Ijazah Sarjana Muda Kursus Profesional (RM1.35 juta). |
Posted: 29 Nov 2013 11:09 AM PST Antara aktiviti Program Langkawi International Extreme Challenge yang diadakan pada tahun lepas. - Gambar/Ihsan Penganjur ALOR SETAR 29 Nov. - Langkawi International Extreme Challenge (LIEC) 2013 yang dahulunya dikenali sebagai sebagai Langkawi Extreme Challenge (LEC) kini bakal menemui peminat sukan lasak berprestij itu bermula esok hingga Isnin ini. Kejohanan anjuran bersama Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM) itu buat julung kalinya akan disertai sebanyak 104 peserta dari 12 Kolej Komuniti, tiga buah politeknik serta sembilan Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta. Pengarah Akademi Pelancongan Langkawi, Zainab Othman berkata, para peserta kejohanan tersebut adalah dari dalam dan luar negara termasuk 21 orang dari China, Arab Saudi, Iran, Nigeria, Tanzania, Pakistan, Yemen, Uganda, Kenya dan Thailand. "LIEC 2013 ini merupakan program khas di bawah Bahagian Sukan, Sektor Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama antara Jabatan Pengajian Kolej Komuniti (JPKK) dan Langkawi Tourism Academy@KKLangkawi sebagai penganjur program," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata, LIEC 2013 juga merupakan program tahunan sejak 2009 dan kini memasuki edisi kelima dengan penjenamaan semula daripada Langkawi Extreme Challenge (LEC) kepada LIEC. Secara keseluruhannya, katanya, LIEC 2013 merupakan program yang berbentuk sukan lasak melibatkan aktiviti darat dan gunung yang menguji ketahanan fizikal dan mental para peserta dengan penglibatan pelajar-pelajar IPT, Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh negara. "Edisi kali ini memerlukan peserta untuk berlari merentas desa di laluan yang ditetapkan, mengayuh basikal melalui trek off road serta mendaki dan menuruni Gunung Raya. "Kesemua disiplin ini perlu dilakukan semua peserta dengan jayanya dan di samping aktiviti yang melibatkan para peserta, kami turut menyediakan acara sampingan kepada jemputan yang hadir," katanya. Antaranya, Zainab berkata, aktiviti berbasikal melibatkan sebanyak 10 tetamu kehormat yang hadir ketika majlis pembukaan iaitu mereka akan melalui laluan sama dilalui para peserta LIEC 2013. Beliau berkata, majlis perasmian LIEC 2013 Sabtu ini di pekarangan Underwater World akan dihadiri Setiausaha Bahagian Sukan (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan Tinggi, Hazally Jali. Menurutnya, majlis penutup pula akan diadakan Isnin ini di Resort World, Langkawi dan akan disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancang dan Pembangunan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr. Yusof Ismail. |
Sungai Sepetang diwarta Hutan Simpan Kelip-Kelip Posted: 29 Nov 2013 11:09 AM PST IPOH 29 Nov. - Kerajaan negeri mewartakan tanah kerajaan seluas 152.98 hektar di sepanjang Sungai Sepetang kepada Hutan Simpan Kekal yang dikenali sebagai Hutan Simpan Kelip-Kelip pada 13 November lalu bagi menjaga habitat dan memastikan spesies tersebut tidak diancam kepupusan. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, Hutan Simpan Kelip-kelip itu melibatkan kawasan seluas 81.92 hektar di Mukim Jebong di daerah Larut Matang dan Selama serta 71.06 hektar di Mukim Selinsing di daerah Kerian. Katanya, kerajaan negeri Perak Tourism juga mengeluarkan peruntukan untuk kerja-kerja pewartaan yang sedang dijalankan di kawasan berkenaan. "Kawasan tanah kerajaan yang mempunyai pokok berembang dan telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal akan diurus dan dipantau oleh Jabatan Perhutanan negeri bagi memastikan pokok ini berkekalan dan mendapat perhatian spesies kelip-kelip," katanya semasa menggulung pembentangan dan perbahasan Bajet 2014 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini. Menurut Nolee Ashilin, kerajaan negeri juga memandang serius isu kekurangan kelip-kelip di kawasan berkenaan yang boleh menjejaskan industri pelancongan dan mengambil beberapa langkah untuk mengatasi masalah tersebut. Katanya, antara usaha tersebut ialah menanam lebih banyak pokok berembang dan pada Julai lalu, sebanyak 200 pokok berembang ditanam dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |