Kosmo Online - Stailo
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Stailo |
- Sasar pasaran global
- Individualiti gaya berani Jaspal, CPS Chaps
- Transformasi bentuk badan Mary Chia
Posted: Sasar pasaran globalOleh ALIF ABU BAKAR BERBEKALKAN segunung harapan dan selautan usaha, Mohd. Fahmi Mohammad Fabilah nekad menubuhkan Abstrax. Perkembangan fesyen jalanan dalam kalangan remaja tempatan sejak lima tahun lalu dijadikan inspirasi. Cubaan Mohd. Fahmi, 31, menjadi dan membuahkan sedikit demi sedikit kejayaan. Selaku pengasas, beliau sedar bahawa dia memerlukan lebih ramai individu kreatif bagi mengendali Abstrax. Lantas, lahir barisan individu dengan idea-idea unik untuk membawa jenama pakaian lokal itu ke tahap membanggakan seperti hari ini. Gerakan bawah tanah fesyen jalanan kemudiannya beranjak menjadi gaya harian. Anak-anak muda mula beralih minat daripada jenama antarabangsa kepada rekaan label-label tempatan. Sejujurnya, Abstrax merupakan antara nama yang bertanggungjawab mencetuskan revolusi positif tersebut. Satu per satu perusahaan pakaian tempatan diwujudkan sehingga membolehkan pameran dan jualan besar-besaran seperti Tempatan Fest diadakan. Siapa sangka, masyarakat Malaysia kembali meletakkan kepercayaan kepada hasil kerja anak tempatan, malah ia turut mencuri perhatian orang luar. Peluang melibatkan diri di Pameran Dagangan Pakaian Jalanan dan Urban Ulung Asia 2013 di Jakarta, Indonesia pada pertengahan bulan lalu menjadi permulaan kepada Abstrax untuk mengetengahkan rekaan mereka ke pentas dunia. Sebagai salah satu wakil negara, Abstrax berhasrat untuk mengembangkan pasaran jenama mereka ke seluruh benua Asia dan Eropah. Setiap item keluaran jenama itu diperhati dan dinilai syarikat-syarikat global, sama ada mereka layak untuk diberi peluang memasarkan hasil kerja ke peringkat antarabangsa atau tidak. "Penyertaan pertama kami tidak begitu memberangsangkan dari segi penerimaan dalam kalangan syarikat besar. Bagaimanapun kami tidak kecewa kerana ia telah memberi ruang kepada Abstrax untuk bekerjasama dengan jenama luar. KEISTIMEWAAN Abstrax terletak pada kepelbagaian item keluarannya. "Tiga label pakaian Indonesia telah bersetuju untuk berkolaborasi dengan Abstrax dan ia secara tidak langsung membantu kami untuk melebarkan perniagaan ke negara seberang," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Abstrax, Dr. Faiz I. Anuar, 33, ketika ditemui Stailo. Pengalaman sepanjang tiga hari berkampung pada pameran itu turut menemukan mereka dengan pengikut setia Abstrax dari republik berkenaan. Paling mengharukan apabila mereka didekati pembeli yang datang dari Makassar semata-mata ingin membeli barangan Abstrax. "Kebanyakan pembeli Indonesia mengikuti perkembangan kami menerusi laman Facebook dan apabila mereka tahu kami di sini, mereka ambil kesempatan untuk bertemu tenaga kerja di sebalik jenama ini," tambah Faiz. Variasi Magis Abstrax terletak pada variasi rekaan yang dihasilkan. Tiada istilah terhad dalam setiap karya mereka. Disebabkan itu, Abstrax mampu melakar kejayaan lebih awal berbanding label-label tempatan lain. Bermula dengan baju-T biasa, Abstrax kemudiannya bereksperimen dengan mencipta jaket, baju-T polo, jean, topi dan blazer. Permintaan tinggi orang ramai terhadap baju-T dan topi snapback Abstrax telah membuka jalan kepada mereka untuk lebih berani mempelbagaikan item keluaran. Jaket kasual berserta baju-T polo dan seluar chinos menyusul, seterusnya menjadi petanda awal bahawa jenama itu akan terus mengukuhkan namanya dalam industri pakaian tempatan. Kekurangan label tempatan mengeluarkan koleksi denim dalam rangkaian seluar jean dijadikan peluang keemasan Abstrax untuk terus memajukan empayar kecil mereka. Maka tercipta tiga rekaan jean Abstrax dengan potongan biasa (regular), skinny dan langsing (slim), kesemuanya mengekalkan rona asli denim iaitu biru. Ciri-ciri eksklusif Abstrax ketara pada topi keluarannya. Kualiti diutamakan, sekali gus menciptakan aksesori kepala urban buat pencinta fesyen jalanan. Diperbuat daripada fabrik ringan premium berteraskan rekaan lima panel, kesemua topi Abstrax membentuk ciri-ciri versatil moden dengan jayanya. Bagi menambah aura maskulin remaja, sarungkan jaket celoreng Abstrax yang digelar RVJ. Ideal untuk aktiviti luar dan dalam, jaket itu dibuat khusus untuk memberi keselesaan dan mengatasi stail konservatif. Paling istimewa, jaket daripada material poliester bersama perincian grafik itu direka dengan ciri-ciri rintang angin dan air.
Propaganda "Kami mahu mencapai audiens yang lebih besar, jadi kami perlu meluaskan kreativiti dari segi rekaan dan produksi item. Ia sangat penting kerana kami mahu Abstrax menjadi jenama lain daripada yang lain. "Setakat ini kami berjaya membentuk pengikut sendiri dan sasaran kami tentunya kelompok pelajar kolej dan universiti," kongsi Fahmi yang memberitahu bahawa hitam kekal menjadi warna signatur Abstrax. Selain bertujuan membentuk gaya individualiti kepada pengikut mereka, Abstrax juga cuba mencerminkan sisi kepimpinan dalam rekaan mereka. Item paling laris di bawah koleksi Propaganda menjadi intuisi subjektif terhadap empat pemimpin tanah air yang disegani. Nilai utama setiap pemimpin diangkat menjadi gambaran kebanggaan pengikut Abstrax sebagai seorang rakyat Malaysia. Penghormatan menjadi milik bekas Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas kewibawaan beliau memimpin negara selama 22 tahun. Baju-T lengan pendek dan panjang dengan wajah Mahathir berserta perkataan Respect ialah rekaan paling diminati, khususnya dalam kalangan golongan belia. Rekaan bertunjangkan tema Malaya Heroes itu turut meliputi Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang mendukung mesej kesatuan (unity), Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dengan kredibiliti beliau sebagai Bapa Pembangunan menerusi wadah Progress dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mewakili jati diri keagamaan bersandarkan subjek Faith. Menolak perihal politik sebagai pencetus Propaganda, tegas Fahmi, Abstrax sekadar memberi penghargaan kepada empat pemimpin tersebut yang dilihat banyak berbakti terhadap pembangunan infrastruktur, sosial dan insani di Malaysia. Setiap rekaan dikongsikan kepada orang ramai dan terpulang kepada individu memilih pejuang nusa dan bangsa mengikut firasat peribadi masing-masing. Abstrax berharap ia dapat menyuntik semangat nasionalisme dalam diri pengikut mereka terutamanya orang muda. | ||
Individualiti gaya berani Jaspal, CPS Chaps Posted: Individualiti gaya berani Jaspal, CPS ChapsOleh NIZHA PERIASWAMY
PERTUKARAN musim bukan sahaja memberikan suasana persekitaran yang berbeza, malah dunia fesyen turut berwajah baharu dengan memaparkan rekaan terkini. Antaranya, koleksi musim luruh/sejuk 2013 Jaspal dan jenama baharu anak syarikatnya, CPS Chaps yang menampilkan rangkaian pakaian bercita rasa rock, berani dan penuh keyakinan. Koleksi tersebut mengetengahkan fesyen yang segar dengan material fabrik denim dan bercorak ketara selain diperkaya dengan aksesori untuk dipadankan bersama pakaian fashionista untuk musim ini. Memperaga pelbagai gaya fesyen terkini daripada material denim, antaranya, seluar pendek, weskot comel dan jaket motor yang menonjolkan individualiti fesyen setiap pemakai. Lambang keremajaan Bukan itu sahaja, setiap koleksi Jaspal dipadankan pula dengan corak berinspirasi alam semula jadi sekali gus menampakkan keistimewaan setiap helaian yang diperagakan. Bagi koleksi pakaian yang menunjukkan kewanitaan pula, gaun dan blaus serba putih, antara pilihan wajib dimiliki yang dikhususkan untuk gaya dan keselesaan mutlak si pemakai.
Kelainan adalah perkataan yang paling sesuai bagi koleksi musim luruh/sejuk 2013 CPS Chaps. Label ini memberikan kejutan dengan memperkenalkan rekaan baharu yang segar dan kemas. Semua pakaian koleksi tersebut juga dipadankan dengan aksesori unik dan dibawa ke atas pentas dengan gaya tersendiri oleh model-model CPS Chaps. Jenama CPS Chaps ini dibawa sebagai lambang keremajaan dengan tema tersendiri, The Look of Rock bagi musim luruh/sejuk 2013. Ia juga merupakan koleksi yang disediakan khas sebagai memberi penghormatan kepada dunia rock 'n roll. Pakaian ini disesuaikan bersama aksesori yang bersifat garang daripada kulit dan kain renda berwarna merah manggis seumpama penampilan bintang rock. Semua koleksi yang diperagakan disesuaikan dengan pilihan mudah padan yang boleh dipakai ke pejabat, bersantai pada waktu malam atau rekreasi pada hujung minggu. "CPS Chaps adalah jenama unggul yang menyerlahkan gaya santai ketika di luar, koleksi untuk bergaya di kelab atau sebagai pilihan ultra moden untuk dipakai di tempat kerja oleh profesional dalam industri kreatif. Sementara itu, label Jaspal pula akan terus mengekalkan keseimbangan antara kelembutan dan ciri feminin dan dipersembahkan dalam gaya profesional penuh anggun," kata Pengurus Besar JPS Fashions Malaysia, Annie Wang. "CPS Chaps dan Jaspal adalah dua label berbeza dengan harapan untuk memenuhi cita rasa serta mood wanita daripada dua latar yang berlainan. Justeru, kami melihat CPS Chaps dan Jaspal sebagai label sokongan, menawarkan rangkaian yang lebih luas untuk pilihan pelanggan," tambah Annie pada majlis pelancaran koleksi baharu Jaspal dan pelancaran jenama CPS Chaps di Sunway. | ||
Transformasi bentuk badan Mary Chia Posted: Transformasi bentuk badan Mary ChiaNATASHA (tengah) bersama Mary Chia, pengasas jenama Mary Chia (dua dari kanan) pada majlis pelancaran Shape Up With Mary Chia di Petaling Jaya baru-baru ini. SEMUA wanita mengidamkan bentuk badan ramping, sihat dan wajah yang cantik. Penampilan yang menarik mampu memberikan impak positif terhadap keyakinan mereka, di samping menarik perhatian setiap mata yang memandang. Memberikan pilihan untuk merealisasikan impian tersebut, jenama kecantikan dan spa kesihatan terkenal, Mary Chia baru-baru ini tampil dengan kempen, Shape Up with Mary Chia. Program Transformasi Menyeluruh 360° di bawah kempen tersebut adalah salah satu pendekatan terbaharu pengurusan berat badan yang memberi jaminan hilang berat badan sekurang-kurangnya dua kilogram, dalam hanya dua minggu. Setiap kaedah yang digunakan seiring dengan keperluan setiap individu dan ia dibuat selepas penilaian teliti dilaksanakan oleh perunding profesional Mary Chia. Ini bagi membolehkan satu program khas direka untuk pengurusan berat badan yang realistik, kekal dan selamat. Selebriti tempatan, Natasha Hudson berkongsi rintangan ketika proses menurunkan berat badannya selepas kelahiran anak kedua, Naeema Khaleela, lima bulan lalu. Justeru, Natasha melalui program Transformasi Menyeluruh 360° dan kini mendapat kembali bentuk badan sebelum mengandung iaitu 51 kilogram (kg). Berjaya mengurangkan 14 kg, Natasha menjelaskan 6 kg pertama berjaya dikurangkan dalam tempoh tiga minggu sahaja. Selebriti jelita itu turut berharap dapat mengurangkan 2 kg lagi dalam tempoh dua minggu lagi. "Saya mendapat tahu mengenai Mary Chia daripada rakan-rakan dan pendekatan yang digunakan untuk menurunkan berat badan menarik perhatian saya. "Saya gembira melihat perubahan bentuk badan saya ketika ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program tersebut di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Pakej lengkap Pakej lengkap program Transformasi Menyeluruh 360° ini bernilai RM499 meliputi tujuh kali rawatan menggunakan lima pendekatan. Pendekatan yang digunakan, menurut Natasha, ialah penyahtoksikan, stimulasi kardio, pembentukan kawasan sasaran, pembakaran selulit dan pengurangan tahanan air. Dalam pada itu, pakar perubatan estetik, Dr. David Low yang turut hadir berkata, selain mengawasi pengambilan makanan dan senaman, pelbagai faktor lain juga perlu diberi perhatian. Ini kerana, katanya, faktor seperti tahap metabolisma, faktor kesihatan seperti tiroid, tekanan, kekurangan atau terlebih tidur, ubat-ubatan dan faktor menopaus juga mempengaruhi kesukaran penurunan berat badan. "Kita harus memberi perhatian dalam gaya hidup supaya lebih sihat. Nasihat doktor atau pakar juga penting supaya rawatan yang dipilih selamat, berkesan dan memberikan impak yang diingini," tegasnya. Untuk maklumat lanjut tentang pakej ini, orang ramai boleh melayari laman web www.marychia.com/shapeup atau laman sosial www.facebook.com/ MaryChiaMalaysia. Mereka yang berminat boleh mengunjungi rangkaian Mary Chia di The Boulevard Mid Valley City, pusat beli-belah seperti Tropicana City, Sunway Pyramid dan 1Utama di Lembah Klang selain Sutera Mall dan Plaza Pelangi di Johor Bahru, Johor. – NIZHA PERIASWAMY |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |