Berita Harian: Ratu
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Ratu |
Posted: 24 Nov 2013 03:58 PM PST Bantuan BSK hanya beri kelegaan sementara buat keluarga Noerhayaty Kehidupannya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Nasi dijamah sekali sehari, itupun berlaukkan lada hitam untuk memberikan rasa bagi mengalas perut sekeluarga. Itulah hakikat kedaifan dilalui, ibu tunggal Noerhayaty Dollah, 43, bersama empat anak berusia antara 12 hingga 18 hingga yang menetap di Perumahan Awam, Kampung Kerinchi Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Nama saja duduk di bandar metropolitan.
Katanya, satu persatu kejadian tidak diingini berlaku dalam keluarga, sekali gus mengheret penderitaan yang perlu ditanggung. "Anak tak pernah merungut jika kami tak makan sekalipun. Mereka seolah-olah, memahami kesusahan ibu mereka. Jadi, sebagai alas perut kami akan minum air saja tanpa makanan. Jika tiada beras untuk masak, saya dan anak terpaksa tahan kelaparan," kata Noerhayaty mengimbas kesukaran hidup dilalui sebelum ini. Sedikit lega Kini Noerhayaty boleh menarik sedikit nafas lega apabila menerima bantuan RM1,000 sebulan daripada Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sejak Ogos lalu sebagai menambah perbelanjaan hidup sekeluarga.
Selepas dipertimbangkan, Noerhayaty sememangnya layak menerima bantuan BSK. Ini berikutan, Mahkamah Syariah sebelum ini ada mengeluarkan perintah supaya bekas suaminya membayar nafkah anak sebanyak RM1,000 sebulan bermula Oktober 2012. Pembayaran nafkah anak terbabit adalah melalui pemotongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain menerima potongan nafkah sebanyak RM400 setahun bermula tahun berikutnya. Tetapi bayaran itu tidak dapat dilaksanakan kerana bekas suami Noerhayaty kini dalam penjara. Kena tunggu lama "Saya juga tidak tahu sama ada bekas suami yang dulunya bekerja sebagai pengawal keselamatan ada harta lain, selain wang KWSP. "Saya sudah dua kali berjumpa pihak KWSP untuk berbincang perkara ini, tetapi gagal kerana KWSP tidak boleh mengeluarkan wang caruman itu secara berkala kerana bekas suami belum mencecah 55 tahun. Malah, saya diberitahu jika bekas suami sudah mencapai umur 55 tahun sekalipun, jika dia tidak membenarkan, saya tidak dapat memperoleh wang nafkah itu. "Saya perlu menunggu lebih lama lagi kerana bekas suami kini baru berusia 45 tahun dan menjalani hukuman selama 30 tahun, sedangkan saya memerlukan duit untuk membesarkan tiga anak yang masih bersekolah. "Jadi, saya harap sangat ada cara atau saluran yang boleh dipermudahkan untuk saya dan anak mendapat hak nafkah ini," katanya. Noerhayaty juga resah kerana bantuan BSK diterima hanya untuk enam bulan dan tempohnya akan berakhir tahun depan. Selepas itu, BSK akan menjalankan penguatkuasaan bayaran balik kepada pihaknya menerusi KWSP bekas suami. "Sudah tentu, saya bersyukur kerana BSK tampil segera membantu membela nasib saya. Dengan wang bantuan pendahuluan yang diberikan, saya dapat membayar sewa rumah, membiayai persekolahan anak, memperbaiki paip rumah bocor dan membeli keperluan dapur. Tetapi saya bimbang apa jadi kepada anak selepas berakhir bantuan ini," katanya. Terbabit kemalangan Kebimbangan ibu tunggal ini bertambah, kerana Februari lalu beliau terbabit dalam kemalangan. Akibatnya, bukan saja pergerakannya terbatas, tetapi turut menyebabkan beliau diberhentikan kerja dan hilang punca pendapatan. "Dulu saya bekerja sebagai pencuci di sebuah kedai dengan berpendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan untuk menampung kehidupan. Tetapi kini, pergerakan saya terbatas kerana kaki saya dipenuhi besi dan skru akibat dilanggar lari ketika menunggu bas di Subang Jaya. Akibatnya, kaki saya patah dan perlu dimasukkan besi manakala kaki anak, Nooralya patah serta kena disimen," katanya. Mengimbas kejadian dilanggar kereta, Noerhayaty berkata, ketika itu beliau dan anak bongsunya, Nooralya Marni Hayaty Zubir, 12, baru saja pulang dari kenduri kesyukuran. Secara tiba-tiba, ada kereta melanggar menyebabkan mereka tercampak dan cedera teruk. Sejak itu juga, wanita berasal dari Kelantan ini, perlu mendapatkan rawatan susulan di Pusat Perubatan Hospital Malaya tiga kali seminggu. Mungkin bagi orang lain, ia nampak mudah, tetapi bagi Noerhayaty yang hidup dalam kedaifan ini, perbelanjaan setiap hari ke hospital menggunakan khidmat teksi sebanyak RM30 sehari begitu membebankan. "Saya memang sudah biasa jalan kaki dari rumah ke tempat kerja di Petaling Jaya, jika wang cukup-cukup untuk makan saja. Tetapi dalam keadaan kaki berselirat dengan besi dan perlu menggunakan kerusi roda atau tongkat, saya terpaksa menaiki teksi bersama anak," katanya. Katanya, ketika hidup sebumbung dengan bekas suami, dan selepas bercerai pada 2008 kehidupannya juga susah, tetapi masih mempunyai wang untuk menyara keluarga. Kini, segala-galanya lebih sukar. Setiap kali bercerita kisah lalu, juraian air mata tidak pernah lekang menitis membuatkan wanita ini sesekali berhenti bercerita dan menyambung kembali perbualan. Sesekali, beliau memerhatikan wajah kedua anak perempuan yang berada di hadapannya. Mungkin mencari seribu satu kekuatan kerana hanya mereka yang ada untuk menguatkan semangatnya sebagai ibu tunggal. "Kaki saya hanya pulih dalam tempoh setahun. Tidak mungkin majikan mahu ambil saya kerja dalam keadaan ini. Jika saya sudah dapat berdiri sendiri tanpa bantuan tongkat, saya mahu keluar cari kerja atau berniaga di kawasan rumah. Setakat ini, memang sukar untuk saya bergerak atau melakukan apa-apa kerja. Saya juga ada menerima bantuan daripada Baitulmal sebanyak RM200 sebulan namun kos sara hidup anak memerlukan saya untuk bekerja," katanya. Tambahnya, duit simpanan ketika bekerja juga sudah habis digunakan perbelanjaan kos mahkamah sejak beberapa tahun lalu selain kos berulang-alik ke hospital. "Anak sulung saya baru saja bekerja. Saya tidak mahu susahkan dia kerana gajinya bukanlah besar. Dia dapat hidup berdikari pun saya sudah lega. Lagipun, saya kasihan melihat anak sulung yang lebih pendiam dan mengalami kemurungan. Mungkin dia trauma dengan apa yang terpaksa kami tanggung dalam usianya yang masih muda," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Ratu To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |