{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Selatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Selatan


Sistem kutip sampah 2+1 diperluas

Posted: 29 Nov 2013 11:09 AM PST

Oleh AINAA MARDHIAH MOHD. GHAZALI
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 29 Nov. - SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) akan meneruskan pelaksanaan sistem baharu kutipan sisa pepejal dengan kaedah 2+1 pada 1 Disember ini melibatkan kawasan bandar ini secara berperingkat.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) Negeri Sembilan, Mohd. Azhar Abd. Hamid berkata, kawasan yang terlibat di Skim 1 ialah Pusat Bandar Seremban, Temiang, Lobak dan Rasah membabitkan 21,574 premis.

"Di Skim 3 melibatkan kawasan Senawang dan Rahang iaitu 28,705 premis dan di Skim 4 pula di Seremban 2 dan Mambau 29,937 premis.

"Sementara itu, kawasan terlibat di Skim 2 iaitu Paroi, Sikamat, dan Ampangan dengan 26,001 premis dilaksanakan pada September lalu," katanya dalam sidang media di Bangunan PPSPPA, di sini hari ini.

Jelasnya, menerusi sistem 2+1 itu, kutipan sampah organik dilakukan mengikut kekerapan dua kali seminggu manakala kutipan sisa kitar, sisa pukal dan sisa kebun dilaksanakan sekali seminggu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai melaksanakan pengasingan sampah sisa makanan, kitar semula dan kebun bagi memastikan kutipan sampah dapat dilaksanakan dengan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Sisa makanan juga hendaklah dimasukkan ke dalam beg plastik sampah, diikat kemas dan dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan secara percuma oleh pihak SWM manakala itu bagi sisa yang boleh dikitar semula hendaklah dimasukkan ke dalam beg plastik, diikat kemas dan diletakkan di sebelah tong sampah," katanya.

Menurut Mohd. Azhar, sistem itu dirangka untuk meningkatkan kadar kitar semula, mengurangkan tekanan pusat pelupusan sampah dan mewujudkan sikap tanggungjawab dalam kalangan rakyat khususnya di negeri ini.

"Pihak kami mengambil beberapa langkah untuk menyampaikan maklumat berkenaan tatacara pengasingan sampah yang betul dan jadual bagi memudahkan penduduk mematuhi pelaksanaan kutipan 2+1.

"Kesedaran sivik orang ramai amat diperlukan dan diharap dapat mempraktikkan pengasingan sisa domestik mahupun sisa kitar semula," katanya.

Menurutnya, penduduk boleh menghubungi talian 1-800-88-7472 atau melayari laman web www.swmsb.com bagi mendapatkan penjelasan tepat berkenaan jadual kutipan sisa pepejal 2+1.

Sains gempur premis curi air di Port Dickson

Posted: 29 Nov 2013 11:09 AM PST

Anggota Unit Penguat Kuasa Sains memeriksa sambungan haram paip air menggunakan paip jenis mudah lentur di sebuah premis kedai dua tingkat di Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

TELOK KEMANG 29 Nov. - Usaha mengesan kegiatan mencuri air di negeri ini terus diperluaskan apabila Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) bertindak menyerbu sebuah premis kedai dua tingkat di Port Dickson yang dikesan melakukan penyambungan air secara haram.

Pengurus Besar Sains, Zulkifli Ibrahim memberitahu, serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin disertai sepasukan pegawai dan anggota daripada Unit Penguatkuasaan Sains dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melibatkan sebuah premis kedai dua tingkat.

"Hasil serbuan terhadap premis itu, penghuni premis didapati melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip jenis mudah lentur bersaiz 16 milimeter dan penghuni premis mengambil air tersebut untuk kegunaan harian.

"Para pegawai penguat kuasa telah menjalankan ujian klorin di lokasi berkenaan dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains. Kita telah menyita paip mudah lentur tersebut sebagai bahan bukti," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Zulkifli, Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan SPAN dan Ketua Operasi, Mohadir Hid telah mengeluarkan notis memaklumkan kesalahan kepada pemilik premis berkenaan.

Katanya, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (AIPA) 2006 yang memperuntukkan denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Malah, katanya, tindakan tegas itu merupakan salah satu langkah berterusan bagi mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan kes kecurian air sekitar negeri ini diharap menghubungi talian bebas tol Sains iaitu 1-800-88-6982," katanya.

Kerajaan Melaka sedia tawar tapak kilang kepada Medicfit

Posted: 29 Nov 2013 11:09 AM PST

MELAKA 29 Nov. - Kerajaan negeri sedia menawarkan tapak untuk digunakan syarikat Medicfit Technology Sdn. Bhd. (Medicfit) dalam usaha memperluaskan lagi pengeluaran produk perubatan pakai buang di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, syarikat tempatan itu dilihat berdaya maju dalam bidang perubatan walaupun mencabar dan mempunyai persaingan tinggi.

Menurutnya, usaha syarikat tempatan itu menghasilkan produk berinovasi tinggi untuk berkhatan iaitu Rapidclamp juga telah menaikkan nama negara di peringkat antarabangsa dengan menerima pelbagai anugerah.

"Kerajaan negeri bersedia menyediakan tapak kilang bagi digunakan syarikat ini dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berucap dalam majlis Perasmian Produk Rapidclamp dan Berkhatan Beramai-ramai di Pusat Konvensyen Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob serta isterinya, Toh Puan Zurina Kassim.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah dan Pengarah Urusan Medicfit Technology Sdn. Bhd, Datuk Rahadian Mahmud Tun Mohd. Khalil.

Dalam majlis itu, sebanyak 171 kanak-kanak dari seluruh negeri terpilih untuk dikhatankan secara percuma menggunakan produk Rapidclamp tersebut.

Menurut Idris, Medicfit telah melalui proses pengauditan untuk mengeksport barangan keluarannya ke luar negara malah telah menerima Sijil Eropah (CE Mark) iaitu lesen rasmi yang diwajibkan kepada semua syarikat yang ingin memasarkan barangan ke seluruh dunia kecuali Amerika Syarikat (AS).

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat