{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Pemotoran

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Pemotoran


Jimny kekal rugged

Posted:

Jimny kekal rugged

Jimny kekal rugged

Oleh SHAWKATH AZDE

AKHIR tahun 1970-an menyaksikan ketibaan sebuah jentera jenama Suzuki yang didakwa sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) pacuan empat roda (4X4) pertama dunia. Model itu ialah Suzuki Jimny.

Binaan model generasi pertama Jimny mempersembahkan gaya rugged yang menepati karakter sebenar jentera itu. Ia lasak. Pada waktu itu, SUV itu meraih sokongan pembelian daripada individu yang terlibat dalam industri pembinaan. Ada juga pemilik daripada bidang pengurusan ladang.

Rasionalnya, mereka memerlukan sebuah kenderaan yang mampu menempuh kepelbagaian halangan muka bumi selain tidak memerlukan pelaburan besar. Ekoran sambutan positif daripada pasaran Malaysia, Suzuki Jimny akhirnya menemui barisan pengeluaran pada tahun 1984.

Hampir 10 tahun model itu meraih populariti sehinggalah ketibaan Suzuki Vitara pada pertengahan tahun 1990-an. Jimny akhirnya tenggelam dengan strategi pemasaran Vitara yang terbukti berjaya meraih perhatian.

Ikon baharu

Percaturan salah itu memaksa jualan Jimny ditamatkan pada tahun 2000. Sepanjang berada dalam pasaran Malaysia, statistik jualan terkumpul produk SUV itu berjaya melepasi paras 20,000 unit.

Hala tuju jenama Suzuki memasuki episod baharu selepas tahun 2000. Tugas mengimport dan pengedaran model-model kenderaan Suzuki jatuh kepada Suzuki Malaysia Automobile Sdn. Bhd. (SMA).

SMA adalah subsidiari DRB-HICOM Bhd. Di bawah pengurusan SMA, nama Suzuki kembali popular dengan kereta kompak Swift.


KEISTIMEWAAN model Jimny terletak pada sistem pacuan Drive Action 4X4.


Begitu banyak versi Swift diperkenalkan sehingga model itu dianggap sebagai ikon Suzuki di Malaysia. SMA sebenarnya ada juga beberapa produk lain termasuk Suzuki SX4 dan kereta sedan Kizashi. Bagaimanapun, perniagaan kereta kompak ialah kekuatan sebenar SMA.

Stigma Swift sebagai ikon Suzuki bakal berubah kerana Jimny dibawa kembali ke pasaran domestik. Model SUV yang diimport terus dari Jepun itu dilancarkan oleh pada SMA awal bulan ini. Sebenarnya, model yang dibawa masuk ke Malaysia adalah versi naik taraf generasi ketiga.

Ketua Jualan dan Pemasaran SMA, Shahrul Mizan Abd. Jalil ketika ditemui menyatakan hasrat untuk mengembalikan imej ikon Suzuki kepada Jimny.

Katanya, tindakan itu adalah strategi penjenamaan produk Suzuki. Berhubung nasib model Swift, dia menjelaskan produk kompak itu lebih tertumpu kepada pada aspek jualan kenderaan.

Malah SMA percaya Jimny tidak mempunyai pesaing secara langsung atau terdekat daripada mana-mana syarikat automotif di Malaysia buat masa ini. Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Pengarah Urusan SMA, Keiichi Suzuki selepas majlis pelancaran Jimny di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kepercayaan itu berpaksikan kepada faktor ketiadaan beberapa model khasnya keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) seperti Kembara dan Nautica.

Ada khabar melaporkan Perodua sedang mengkaji keperluan menghasilkan sebuah jentera 4X4. Sejauh mana kebenarannya, nantikan sahaja pengumuman peneraju pasaran automotif itu.

Selain itu, Toyota Rush juga tidak layak dikategorikan sebagai pesaing terhadap Jimny berikutan perbezaan pada format sistem pacuan roda. Rush hanya jentera pacuan dua roda.


MODEL SUV Suzuki memberi penekanan pada aspek keselesaan biarpun saiz ruang kabin agak terhad.


Masih rugged

Model generasi ketiga Jimny sudah melepasi transformasi kemodenan untuk menjadikannya sebagai sebuah jentera kembara atau kenderaan kegunaan harian.

Pembaharuan dilakukan melibatkan pemasangan hud enjin, bampar hadapan dan gril baharu. Biarpun tampil dengan rekaan moden ringkas, sifat asal rugged tetap terpelihara.

Kerangka model Jimny dicipta untuk mengimbangi kestabilan dan menyerap getaran dengan lebih baik.

Perkara itu dizahirkan dengan format kejuruteraan suspensi gegelung tiga pautan dan pengasingan pegas gegelung dan penyerap hentak.

Rahsia kehebatan Jimny sebenarnya terletak pada Sistem Drive Action 4X4 yang boleh ditetapkan mengikut selera pemandu.

Tiga mod pacuan

Dengan menekan butang pada bahagian konsol tengah, sistem pacuan boleh bertukar daripada dua roda kepada empat roda biarpun kelajuan semasa di bawah paras 100 kilometer sejam.

Sistem Drive Action 4X4 menawarkan tiga jenis mod pacuan. Pertama, butang pacuan empat roda (4WD) mengubah tetapan untuk tanah rata off-road. Untuk jalan lurus, pilih sahaja mod 2WD (pacuan dua roda) atau 4WD.

Pilihan tetapan 2WD akan menyah lepas aci pacu hadapan sekali gus mengurangkan kesan bunyi dan getaran. Jika perlu tambahan kuasa cengkaman untuk mendaki bukit atau meredah permukaan kasar, sila tekan butang 4WD-L.

Kuasa menggerakkan roda Jimny dibekalkan daripada rangkaian kuasa DOHC 1.3 liter M13A dan sistem transmisi manual atau automatik.

Enjin aluminium itu dikatakan kaya dengan hamburan kuasa kilas sekali gus menjayakan respons pantas ketika mengharungi apa jua laluan muka bumi.

Tugas mengawal keupayaan memperlahankan atau memberhentikan Jimny disandarkan kepada sistem brek cakera berprestasi tinggi dengan bantuan sistem brek antikunci.

Ruangan dalaman Jimny kelihatan seperti sebuah trak asas. Tidak sarat dengan pelbagai ciri seperti sebuah kereta konvensional.


KEIICHI (hadapan) bersama sebuah Jimny yang diberi solekan kosmetik dan empat model pada majlis pelancaran SUV itu di Subang, Selangor baru-baru ini.


Di dalamnya, ada empat tempat duduk yang menawarkan keselesaan khususnya pada zon letak kaki, lutut dan siku. SMA mendakwa posisi kedudukan Jimny tidak mendatangkan tekanan kepada pemandu. Malah memberi keselesaan dan membuatkan anda sentiasa terjaga.

Setiap kerusi penumpang yang disaluti fabrik boleh dilipat secara berasingan untuk meluaskan ruang simpanan barang dalam kabin.

Untuk keselesaan keluar masuk dalam SUV itu, jurutera Suzuki melengkapkan Jimny dengan kerusi jenis boleh gelongsor pada barisan hadapan dan sudut pembukaan pintu yang lebih luas.

Apabila berada di kerusi pemandu, didapati susun atur butang kawalan pada papan pemuka mudah dicapai oleh pemandu.

Segala maklumat berhubung situasi semasa pemanduan dipamerkan menerusi instrumen meter dan mudah dilihat mata tanpa perlu menoleh lebih.

Tambahan lain melibatkan pengenaan ciri kekunci pintu kuasa, tetingkap kuasa dan sistem kawalan suhu untuk keselesaan pemandu dan para penumpang.

Jika anda sedang mencari sebuah kenderaan untuk aktiviti kembara dan kegunaan harian dengan imej rugged, mungkin Jimny menepati keperluan itu.

Subaru XV Crosover unik

Posted:

Subaru XV Crosover unik

Subaru XV Crosover unik

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR


WALAUPUN Subaru XV banyak digunakan di kawasan bandar tetapi tidak salah jika pemiliknya mahu membawanya di jalan offroad kerana model ini merupakan sebuah crossover.


SEBUT sahaja Subaru sudah tentu model Impreza pasti meluru dalam minda apatah lagi ia cukup terkenal dengan imej rali.

Baru-baru ini penulis berpeluang untuk memandu uji Subaru XV 2.0i yang merupakan model pemasangan tempatan pertama.

Sekali imbas model ini nampak seperti kereta hatchback tetapi sebenarnya ia sebuah crossover yang tetap sesuai digunakan dalam bandar.

Sebaik punggung mula melabuh di tempat duduk, sesiapapun pasti mendapati ruang dalamannya terasa kompak.

Walaupun ringkas berbanding pesaing terdekatnya, Subaru tetap memastikan setiap aksesori dari stereng sehingga ke papan pemuka berada di kedudukan yang betul dan kemas.

Sebaik sahaja mulakan pemanduan di Pusat Jualan Subaru di Petaling Jaya baru-baru ini, penulis dapat rasakan perbezaan terutamanya peranan enjin Boxer 2.0 liter ditambah dengan sistem empat roda yang berfungsi sepenuhnya.

Bagi membuat pandu uji XV ini penulis memilih untuk ke Ayer Keroh, Melaka menerusi lebuh raya manakala perjalanan pulang melalui jalan lama.

Permulaan pemanduan dirasakan begitu lancar kerana kotak gear enam kelajuan CVT pantas memberikan pemandu keselesaan memandu.

Jika pemandu mengubah mod untuk memandu dalam keadaan yang agresif, paddle shifter yang terletak di belakang stereng merupakan jalan pintas untuk mengawal kuasa enjin.

Kerjasama antara enjin, sistem empat roda dan kawalan pemanduan XV mampu menghasilkan maksimum tork 196 Nm pada 4,200 rpm.

Subaru XV ini hanya memerlukan kira-kira 7.9 liter minyak petrol untuk perjalanan sejauh 100 kilometer malah boleh dikatakan jimat untuk kenderaan sistem empat roda dengan enjin 2.0 liter.


PAPAN pemuka yang ringkas tetapi turut dimuatkan dengan beberapa aksesori berguna kepada pemandu.


Kepuasan memandu Subaru XV 2.0i ini terletak pada kecekapan pengendalian sistem pacuan empat rodanya terutama ketika mengambil selekoh.

Model itu juga turut diberikan skrin papan maklumat yang terletak di tengah papan pemuka. Skrin itu akan memaparkan info suhu, jam dan jarak penggunaan petrol.

Skrin itu banyak membantu pemandu terutamanya untuk perjalanan jauh.

Kerusi pemandu dan penumpang yang dibalut kulit memberikan keselesaan kepada sesiapa yang menaiki XV walaupun kerusi pemandunya dilaras secara manual.

Selain itu headrest pemandu dan penumpang hadapan juga boleh dilaras atas dan bawah serta depan dan belakang untuk lebih keselesaan.

Perjalanan yang jauh pasti rasa bosan tanpa sistem audio. Subaru XV ini dilengkapi dengan set audio dengan skrin sentuh dari jenama Kenwood. Ia juga turut dilengkapi port untuk USB.

Selain itu set audio itu juga dipadankan dengan enam speaker. Penulis difahamkan sistem audio XV telah ditala. Maka tidak hairanlah mendengar lagu Macarena bagai terasa seperti berada di dalam kelab hiburan.

Bagi memastikan perjalanan lancar Sistem Penentu Kedudukan Sejagat (GPS) juga turut dimuatkan pada set audi Kenwood itu.

Antara ciri-ciri yang lain ada pada paparan monitor Kenwood itu ialah kamera undur dengan bantuan garisan untuk memberikan gambaran jarak sebenar kepada pemandu.

Pengedar tunggal Subaru di sini Motor Image Malaysia Sdn. Bhd. menawarkan lima pilihan warna seperti biru, putih, perak, hitam dan kelabu.

Harga atas jalan termasuk insurans ialah RM151,227 sebuah.

CB500F sesuai untuk kegunaan bandar

Posted:

CB500F sesuai untuk kegunaan bandar

CB500F sesuai untuk kegunaan bandar

Oleh SHAWKATH AZDE

REKA bentuk model CB500F ringkas dan sesuai bagi penunggang amatur yang ingin naik taraf motosikal sedia ada.


SETELAH penantian sekian lama, peluang untuk menunggang uji motosikal Honda dalam kelas 500cc akhirnya menjadi nyata. Kali ini Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) bermurah hati untuk meminjamkan CB500F.

Tergolong dalam kategori naked bike, produk keluaran kilang Honda di Thailand itu menggunakan rangkaian kuasa sama seperti CBR500R (sportbike) dan CB500X (tourer).

Perbezaan antara ketiga-tiga model lebih tertumpu pada aspek ergonomik tunggangan dan beberapa komponen tambahan.

Melihat profail Honda CB500F, sudah pasti binaannya tampak ringkas tanpa pengenaan fairing. Lebih tepat, ia sesuai untuk pemanduan bandar.

Posisi mendada

Badan mula mendada sejurus sahaja menempatkan diri di atas model ini sambil menggenggam hendal. Terasa posisi tangan dan lengan mula berbentuk sudut seperti huruf L. Penyumbang kepada posisi itu sudah tentu berpunca daripada hendal jenis menegak.

Biarpun begitu, pelana yang rendah dan posisi pemijak kaki membantu mengimbangi kedudukan atas motosikal sekali gus membuatkan penunggang rasa relaks.

Butang kawalan pada bahagian kiri hendal sedikit mengelirukan. Jurutera Honda mengaplikasi susun atur macam kapcai Honda Future. Punat hon berada di bahagian tengah manakala butang isyarat membelok ditempatkan di bawahnya.

Di sebelah kanan hendal pula, butang lampu kecemasan ditempatkan di situ untuk memudahkan capaian penunggang baharu motosikal kelas sederhana. Tekan sekali, kedua-dua lampu isyarat membelok mula berkelip.

Sejurus kunci motosikal dihidupkan, instrumen meter digital memaparkan pelbagai maklumat termasuk kelajuan semasa, meter RPM, total jarak perjalanan, trip perjalanan, status bekalan bahan api, purata penggunaan minyak petrol dan jam. Mana petunjuk kedudukan gear semasa?

Memandangkan sasaran pengguna tertumpu pada peringkat umur 20 hingga 30 tahun dan mereka yang mahu menaik taraf motosikal sedia ada, sepatutnya ciri paparan gear semasa perlu ada.


SISTEM brek antikunci membantu mengawal kestabilan jika jentera mula gelincir.


Mudah dikendalikan

Saya mendapati ada ruangan yang tidak sekata antara penutup tangki dan tangki minyak. Penutup tangki nampak senget sebelah.

Bahagian penutup hadapan memang kemas, di belakang pula macam ada longkang. Begitu juga keadaannya pada model CB500X. Mungkin perkara itu perlu disemak semula jurutera Honda.

Ketika menunggang dalam bandar, hendal lebar memudahkan pengemudian antara barisan kenderaan beroda empat. Enjin semakin ringan sebaik paras pusingan enjin seminit melepasi paras 8,000.

Tunggangan di lebuh raya memerlukan kerahan tenaga lebih untuk mengawal CB500F ketika tamparan angin kuat pada kelajuan 150 kilometer sejam (km/j).

Getaran enjin jelas terasa pada bahagian tapak kaki. Jika mengepit tangki minyak dengan paha, kuat getaran boleh dirasai sehingga meresap ke tulang belakang.

Biarpun begitu, fork hadapan dan sistem penyerap hentak tunggal dengan bantuan Pro-Link menawarkan keseimbangan yang agak baik. Sepanjang tunggangan sejauh 600km, jarang sekali terasa CB500F membuai ketika melayan selekoh.

Tugas memperlahankan atau memberhentikan jentera disandarkan kepada dua set brek cakera dengan bantuan sistem antikunci.

Berhubung kadar penggunaan bahan api, satu tangki penuh minyak petrol membolehkan penulis mencapai jarak tunggangan sejauh 290km sebelum petunjuk mula berkerdip. Catatan purata terbaik bagi satu liter petrol ialah 21km.

Honda CB500F sememangnya satu produk kelas pertengahan yang sesuai untuk mereka yang mahu menaik taraf motosikal sedia.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat