{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Sukan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Sukan


Khairy terkejut kenyataan Ahmad Said

Posted: 28 Nov 2013 10:31 AM PST

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ternyata terkejut dengan kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang berhasrat untuk menarik tajaan RM2 juta bagi perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan serta menarik diri daripada menjadi tuan rumah untuk sebarang peringkat perlumbaan.

Khairy berkata, pengumuman tersebut dibuat berdasarkan andaian Ahmad sendiri bahawa acara perlumbaan berbasikal lebuh raya pada Sukan SEA 2017 akan diadakan di Johor dan kejohanan pelayaran Piala Monsun pula akan dipindah dari Pulau Duyong bermula tahun depan.

"Saya ingin menerangkan bahawa Jemaah Menteri serta Kementerian Belia dan Sukan setakat ini belum menetapkan sebarang keputusan mengenai lokasi atau gelanggang sebarang acara untuk Sukan SEA 2017," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui akuan laman sosial, Facebook miliknya, semalam.

Kelmarin, Ahmad meluahkan rasa kecewa kerana kerana tidak mendapat hak penganjuran acara ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017, seterusnya mengumumkan Terengganu akan menarik tajaan RM2 juta bagi perlumbaan LTdL 2014 dan menegaskan mereka juga tidak akan menganjurkan sebarang peringkat pada perlumbaan itu.

Jelas Khairy, walaupun Jemaah Menteri sudah memutuskan bahawa Malaysia akan menawarkan diri sebagai tuan rumah untuk temasya tersebut pada 2017, namun, Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) hanya bakal membuat keputusan rasmi pada 10 Disember ini.

"Sebarang kenyataan mengenai lokasi atau gelanggang bagi acara-acara adalah hanya di peringkat cadangan buat masa ini. Kerajaan juga belum membuat sebarang keputusan tentang penganjuran Piala Monsun akan datang.

"Walaupun perjanjian antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan bekas penganjur T-Best Events Sdn Bhd untuk mengadakan kejohanan ini di Terengganu sudah tamat pada 2012, masih belum ada apa-apa keputusan muktamad tentang lokasi kejohanan itu bagi tahun depan dan seterusnya," ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya telah pun menjelaskan mengenai perkara tersebut kepada Ahli Exco Sukan Terengganu, Rozi Mamat, yang juga pernah menjadi rakan seperjuangannya dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Khairy juga meminta semua pihak agar tidak tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan berdasarkan andaian yang tidak tepat.

"Saya amat berharap Menteri Besar Terengganu mengkaji semula keputusan beliau semalam (kelmarin) tentang LTdL. Walaupun terdapat salah faham mengenai dua perkara yang saya telah jelaskan di sini, sukan berbasikal tidak seharusnya dijadikan mangsa terutamanya dalam acara antarabangsa sebegini.

"Memang tepat kenyataan beliau bahawa kebanyakan pelumba basikal terunggul berasal dari negeri Terengganu dan saya rasa mereka amat mengharapkan penglibatan Terengganu dalam LTdL," tegasnya.

Sampai bila begini?

Posted: 28 Nov 2013 10:31 AM PST

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Serbegeth Singh

KUALA LUMPUR - Apa lagi yang ditunggu oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)? Sampai bila kes mengenai pemain melakukan pusingan 'u' dan mempunyai dua kontrak dengan pasukan berbeza bakal berdendang tiap kali pintu perpindahan Liga Malaysia dibuka?

Bermula dengan bekas pemain Negeri Sembilan, Mohd. Nazrin Nawi, kemudian disusuli dua tonggak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar serta Norfazly Alias diikuti penyerang kebangsaan, Safee Sali dan paling terbaru, Mohd. Nazri Ahmad yang didakwa Selangor telah bersetuju menandatangani kontrak sebelum membuat keputusan ke Kelantan.

Bagaikan seperti tiada kesudahan cerita-cerita ini apabila peminat saban tahun dihidangkan dengan isu yang sama cuma wataknya berbeza dan formula paling mujarab yang dilihat untuk menyelesaikan masalah ini adalah pengenalan peraturan mewajibkan semua pemain mempunyai ejen yang dilantik.

Melalui ejen yang diiktiraf, para pemain tidak perlu lagi pening kepala dan terkeliru mengenai soal perbincangan kontrak atau meneliti tawaran yang diterima sebaliknya mampu fokus untuk memberikan yang terbaik di atas padang.

Langkah itu seiring dengan apa yang dilakukan oleh liga-liga profesional luar negara terutama di Eropah selain menyahut kepada seruan penswastaan Liga Malaysia pada 2015 seperti diuar-uarkan oleh FAM sebelum ini.

Hasrat itu juga bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan tambahan ramai pemain profesional di negara ini sudah mempunyai gaji yang ditakrifkan cukup lumayan dan mampu menampung pembayaran komisen kepada ejen.

Menurut bekas pemain kebangsaan yang kini Penasihat Global Blackburn Rovers, Serbegeth Singh yang lebih mesra dipanggil Shebby, sudah sampai masanya FAM memperkenalkan peraturan yang menghendaki semua pemain ada ejen yang arif mengenai soal kontrak atau sekurang-kurangnya melantik peguam.

''Jika di Eropah, semua pemain wajib mempunyai ejen sendiri kerana ketika berbincang mengenai soal kontrak, bukan para pemain yang mereka akan jumpa sebaliknya ejen kepada pemain itu sendiri.

''Ini penting supaya pemain boleh berikan tumpuan kepada permainan mereka sepanjang musim, peranan orang ketiga iaitu ejen cukup penting sebenarnya dalam karier pemain.

''Sudah tiba FAM bertindak lebih tegas dalam soal ini, bola sepak kita sudah berdepan dalam keadaan tidak menentu sejak sekian lama dan jangan berterusan membiarkan masalah-masalah lama terus berulang seperti kitar semula, " katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Jelas Shebby, apa yang berlaku pada masa sekarang mengenai pemain yang seolah-olah buta prosedur memang memalukan kerana ia menunjukkan bola sepak negara masih dilanda kekurangan dalam banyak aspek.

''Perkara ini sepatutnya tidak berlaku dan seolah-olah ia menunjukkan pemain-pemain ini kurang matang (soal kontrak) dan inilah apabila mereka tidak mendapat nasihat daripada pihak lain.

''Pemain dari satu segi memang sudah salah kerana menurunkan tandatangan tanpa usul periksa tetapi pihak pentadbir juga kena memainkan peranan dengan turut membantu menyelesaikan masalah jika timbul, " katanya.

Mengikut amalan bola sepak di Eropah, para pemain akan memberikan kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan yuran perpindahan pemain sebagai komisen kepada ejen namun ia akan dibayar oleh kelab yang diwakili oleh pemain berkenaan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat