Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
Posted: 05 Apr 2014 11:53 AM PDT Oleh NAZARUDIN SHAHARI MOHAMAD HASAN REMBAU 5 April - Pelaksanaan Projek Rimbunan Kaseh mampu meningkatkan taraf hidup keluarga miskin terpilih di negeri ini dalam usaha membasmi kemiskinan luar bandar. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, projek yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu mampu memberi manfaat kepada 100 peserta khususnya penduduk sekitar Rembau. Menurutnya, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan RM9.8 juta termasuk menyediakan tanah manakala Unit Penyelaras Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) memberi pembiayaan hampir RM24 juta bagi membangunkan projek penempatan baharu itu. "Projek ini melibatkan pembinaan 100 unit rumah mampu milik dan ladang moden yang dibangunkan oleh syarikat IRIS Corporation Berhad di tanah seluas 14 hektar. Ini adalah projek Rimbunan Kaseh pertama di negeri ini dan saya mahu projek ini berjaya, malah saya akan memantau perkembangannya sehingga siap," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Rumah Contoh Projek Rimbunan Kaseh di Mukim Batu Hampar, di sini semalam. Yang turut hadir, Ketua Pengarah ICU, JPM, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh dan Pengarah Urusan IRIS, Datuk Tan Say Jim. Mohamad memberitahu, sehingga semalam terdapat 47 orang telah memohon menyertai projek Rimbunan Kaseh itu. Jelas beliau, aktiviti pertanian yang dicadangkan adalah tanaman buah rock melon dan penternakan beberapa jenis ikan seperti keli, talapia dan jadeperch dari Australia. "Pembinaan penempatan ini dijangka siap selewat-lewatnya Julai tahun ini dan saya mengharapkan projek tersebut menjadi perintis kepada program lain," ujarnya. Setiap kediaman memiliki keluasan 109.2 meter persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, malah kawasan itu turut menyediakan kemudahan seperti pusat sumber, dewan serbaguna, surau, dua unit gerai serta pusat pembelajaran. Ladang moden bersepadu pula dilengkapi 28 unit rumah hijau, 400 unit tangki ikan serta kawasan tanaman terbuka seluas 1.2 hektar. Projek Rimbunan Kaseh di Rembau adalah yang ketiga selepas Serkam, Melaka dan projek perintis yang diperkenalkan di Kuala Lipis, Pahang. Bagi enam bulan pertama, para peserta diberi elaun sebanyak RM1,000 dan selepas enam bulan, mereka menerima tambahan elaun RM500 lagi. |
Dua wanita kerugian RM30,000 urus niaga dalam talian Posted: 05 Apr 2014 11:53 AM PDT MELAKA 5 April - Akibat terlalu percaya dengan urus niaga dalam talian di internet, dua wanita berputih mata apabila mereka kerugian RM30,000 dengan sindiket perniagaan yang sebenarnya tidak wujud. Kedua-dua wanita tersebut mendakwa ditipu oleh sebuah syarikat yang sama atas nama Zulhursrey Resources yang dikenali mereka melalui laman sosial Facebook (FB). Seorang wanita, Junaidah Ayob, 36, berasal dari Larkin, Johor Bahru tertipu dengan syarikat berkenaan yang menawarkan telefon bimbit berjenama Samsung Note 3 dan iPhone 5 dengan setiap satu berharga RM999. Dalam kejadian awal Februari lalu katanya, dia mengenali syarikat itu melalui seorang wanita di FB yang menawarkan pelbagai jenama telefon bimbit dengan harga murah berbanding pasaran. Menurutnya, dia dan beberapa rakan telah menempah 10 unit telefon berkenaan keseluruhan berharga RM10,000. Katanya, dia memasukkan wang sebanyak dua kali melalui akaun Maybank dan CIMB tetapi malangnya 10 unit telefon yang diterimanya bukan asli dan telah diguna pakai. Apabila saya menghubungi wanita yang mendakwa pemilik syarikat tersebut, dia berjanji akan menggantikannya dengan telefon lain tetapi dua telefon yang dihantarnya melalui bas ekspress ke Larkin juga bukan yang asli. Setiap kali saya telefon meminta wang dikembalikan, bermacam-macam alasan diberikannya sehingga memaksa saya membuat laporan di Balai Polis Larkin 18 Mac lalu," katanya. Dia berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat Lembaga Pelindungan Kebajikan Pengguna Malaysia yang dihadiri Presidennya, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya di Taman Tasek Utama, Ayer Keroh, di sini semalam. Majmin Mohd. Shariff, 37, dari Bayan Lepas, Pulau Pinang pula mendakwa kerugian RM20,000 sebagai bayaran ganjaran bagi permohonan pinjaman perniagaan engan SME Bank sebanyak RM350,000. Menurutnya, wanita yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu atas urusan perniagaan peralatan kecantikan wanita dalam talian itu menawarkan bantuan membolehkannya mendapat pinjaman perniagaan dengan mudah. Katanya, pada 15 Mei tahun lalu, dia berbincang dengan wanita itu yang dikenali sebagai Syarifah Fariz Syed Othman yang menjadi orang tengah bagi membantunya mendapat pinjaman tersebut. "Wanita itu memberi jaminan pinjaman saya boleh diluluskan dalam tempoh tiga minggu dan saya telah menghantar borang permohonan serta beberapa dokumen termasuk memasukkan RM5,000 ke akaun bank sebagai bayaran kertas kerja manakala baki RM15,000 sebagai ganjaran," katanya. Ujarnya, Syarifah telah menghubunginya dan dimaklumkan proses pinjamannya dijangka selesai pada 10 Jun 2013 tetapi malangnya selepas tarikh yang dijanjikan itu pelbagai alasan diberikannya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |