Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 09 Apr 2014 11:53 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN KUALA LUMPUR - Tumpuan pemerhati bola sepak tempatan kini tertumpu kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah sama ada akan mempertahankan jawatan disandang semenjak 30 tahun lalu apabila baginda dijangka mengumumkan hasratnya pada hari ini. Walaupun sebelum ini terdapat sumber yang kuat mengatakan baginda masih berminat menjadi presiden buat tempoh empat tahun lagi iaitu hingga 2018, masih tiada pendirian rasmi daripada Sultan Ahmad Shah mengenai perkara berkenaan. Apa jua kenyataan yang dizahirkan oleh baginda pada hari ini pasti akan melenyapkan segala spekulasi mengenai kedudukannya sejak dua nama lain, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang merupakan Timbalan Presiden FAM dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut dikaitkan berminat memikul jawatan berkenaan. Jika seperti diramalkan baginda akan mempertahankan kedudukan selaku presiden, ramai pemerhati meramalkan tiada perebutan bagi jawatan berkenaan dengan Tengku Abdullah yang merupakan anakanda baginda dan Tunku Ismail pasti tidak akan mencabar kerusi paling panas di FAM itu. Jika ayahandanya membuat keputusan untuk kekal, Tengku Abdullah pasti akan mempertahankan jawatan selaku Timbalan Presiden manakala Tunku Ismail yang tidak menerima sebarang pencalonan bagi jawatan nombor dua di FAM, mungkin tidak akan bertanding pada kali ini. Selain itu, pendirian Sultan Ahmad Shah dilihat cukup penting bagi sesetengah calon yang masih memikirkan jawatan mana untuk ditandingi sebelum membuat keputusan akhir agar tidak tersalah langkah. "Jika Sultan Ahmad Shah dan Tengku Abdullah kekal di jawatan masing-masing, persaingan sengit pasti akan berlaku bagi mengisi satu lagi kerusi Timbalan Presiden yang kosong dengan tiga calon, Datuk Seri Subahan Kamal, Datuk Seri Afandi Hamzah dan Datuk Mokhtar Ahmad antara nama yang paling mencuri tumpuan. "Namun andai kata berlaku sebaliknya dengan Tengku Abdullah mahu menawarkan diri bertanding presiden, perebutan kerusi timbalan presiden pasti lebih terbuka dan kemungkinan lebih ramai calon yang layak akan tampil berbuat demikian. "Bagi naib presiden, tiada siapa yang dilihat ke hadapan buat masa ini dan semua nama yang layak bertanding dilihat mempunyai kedudukan seimbang untuk menang," kata sumber yang rapat dengan FAM. Exco FAM yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Status, Datuk Takiyuddin Hassan dan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Sudarsono Osman, dikhabarkan antara nama yang mendapat pencalonan tertinggi bagi jawatan naib presiden. Semua calon akan membuat keputusan akhir selewat-lewatnya pada 19 April ini kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin sama ada mahu bertanding dan jawatan mana akan ditandingi. Setakat ini, Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Mukhriz Mahathir dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengesahkan mereka menolak pencalonan sebagai Timbalan Presiden FAM. |
Mohamad: Pilih orang berkaliber terajui FAM Posted: 09 Apr 2014 11:53 AM PDT MOHAMAD HASAN SEREMBAN - Jangan pegang jawatan hanya untuk menunjuk-nunjuk pangkat dan memanaskan kerusi dalam organisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana apa yang diinginkan orang ramai adalah perubahan demi memastikan lonjakan dalam arena bola sepak negara dapat dilakukan. Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu pemilihan untuk mengisi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden FAM dalam kongres pada 25 Mei ini dijadikan sebagai medan untuk memilih calon berkaliber. Kepada semua ahli gabungan dalam FAM inilah masanya untuk memilih mereka yang kita rasakan benar-benar layak dan mampu membawa perubahan kepada arena bola sepak kita. Pilih orang yang berkaliber untuk memandu FAM ke tahap yang lebih tinggi. Apa yang saya katakan ini bukanlah untuk memilih orang baharu buang orang lama. Orang lama pun bagus tetapi dia mestilah bekerja dalam satu pasukan. Kalau menang tetapi tidak sehaluan dan tidak boleh bekerjasama itu tidak bolehlah. Kita tawarkan diri jadi Presiden atau Timbalan Presiden mesti boleh bekerja dalam satu pasukan dan jangan buat hal sendiri, dan apabila digantung marah kepada FAM,'' katanya. Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma negeri di sini semalam. Beliau juga memberitahu telah menolak pencalonan untuk dirinya bagi bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden (FAM) biarpun telah mendapat pencalonan daripada ahli gabungan dalam FAM. Ditanya sebab beliau menolak jawatan berkenaan, Mohamad berkata, beliau hanya mahu melonjakkan prestasi bola sepak di negeri ini selain menumpukan sepenuh masa beliau untuk tugas rasmi selaku Menteri Besar. Bagaimanapun selaku Presiden PBNS, katanya, beliau akan menyokong sesiapa sahaja yang layak dan mampu untuk membantu dan menyumbang kepada kegemilangan bola sepak tanah air. Saya pun tidak suka pegang banyak sangat jawatan sebab sekarang ini pun dah banyak jawatan saya pegang. Bola sepak di negeri ini pun kadang-kadang memeningkan kepala saya,'' katanya sambil berseloroh. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |