Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Sedia juadah pelbagai negara
- Lantik syarikat bukan bumiputera
- Usul khas bincang gejala fitnah berkaitan MH370
Posted: 14 Apr 2014 12:29 PM PDT Oleh HAPIZAH AZIZ Tom Yam Putih original Thailand juga disediakan sempena Ekspo Makanan Halal Antarabangsa Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV , Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. KOTA BHARU 14 April - Ekspo Makanan Halal Antarabangsa Kelantan yang berlangsung di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini baru-baru ini telah memberi peluang kepada orang ramai untuk menikmati bermacam-macam juadah makanan dari pelbagai negara. Antaranya, menu istimewa dari negara-negara ASEAN, China, India, Jepun serta Palestin. Kelainan yang ditonjolkan itu menyebabkan pengunjung berpusu-pusu datang untuk mencuba makanan sebaik sahaja ekspo berkenaan yang berlangsung selama seminggu dibuka pada pukul 10 pagi sehingga 10 malam. Sambutan menggalakkan yang diterima membuatkan para peserta pameran terutama dari negara luar berpuas hati kerana dapat memperkenal dan mempromosikan makanan tradisi masing-masing. Pemilik Malaysian Kitchen dari Yangon, Myanmar, Aishah Bi Omar memberitahu, menerusi ekspo itu, dia berpeluang memperkenalkan mi kari dan laksa dari negara kelahirannya yang mempunyai rasa berbeza berbanding menu sama dari Malaysia. Mi Kari atau onok koswae mengandungi campuran santan, rempah dan tulang ayam yang direbus. Isi ayam yang dipotong halus dan digoreng dengan lada pula dijadikan sebagai hiasan mi. Laksa atau mohingga pula merupakan bihun kasar yang dimakan bersama kuah isi ikan yang ditumbuk dan digoreng. Hiasannya terdiri daripada bawang, kacang panjang dan sambal," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini. Menurut Aishah, dua makanan itu enak dinikmati bersama teh Burma yang merupakan minuman kegemaran masyarakat Myanmar. Selain onok koswae dan mohingga, juadah lain yang menggamit kehadiran ramai pengunjung untuk mencubanya ialah 'Maqlubah', iaitu sejenis nasi minyak yang dimakan bersama ayam serta kambing panggang. Makanan dari Palestin itu disediakan oleh ahli Persatuan Cakna Palestin dengan kerjasama belia negara itu yang menuntut di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM). Uniknya nasi minyak dari negara timur tengah itu, adalah dimasak dengan campuran rempah ratus, kentang, tomato, biji gajus serta daun pokok kayu manis. Dari Wilayah Yunan, China pula, para peserta pameran menunjukkan kemahiran mereka mengadun dan menguli tepung gandum untuk menjadikannya sejenis mi yang berpintal. Mi yang menjadi makanan kegemaran penduduk dari wilayah itu sedap dimakan bersama sup daging. Dari Wilayah Linxia pula, pengunjung didedahkan dengan tapangi iaitu nasi goreng yang dicampur ayam, kentang dan ulam-ulaman serta goreng ayam pedas sebagai hidangan tambahan. Makanan Jepun turut dipamerkan dalam ekspo halal itu. Antara yang menarik perhatian adalah takoyaki', sejenis makanan ringan menyerupai jemput-jemput yang dicampur sotong, udang, ketam dan dimakan bersama sos mayonis, sesuai sebagai makanan petang. Sementara itu, seorang peniaga dari Pattani yang hanya ingin dikenali sebagai Nooreeya pula memanfaatkan sebaik mungkin peluang untuk mempromosikan som tam dan tom yam putih asli yang lazat dimakan bersama mi. "Selain tom yam, Thailand juga mempunyai 'colek' iaitu udang kecil yang direbus. Rasanya jauh berbeza berbanding pencicah biasa dan sesuai dimakan bersama mangga muda, nenas atau jambu. "Makanan ringan lain seperti bebola ikan pula enak dimakan bersama pencicah berlada," katanya. Pasangan yang berasal dari Sungai Golok, Mohd. Hairul Aziekei Hassan dan Azuriada Muhamad pula menunjukkan kepakaran mereka memasak makaroni goreng dan bakar serta durian crepe. Selain itu, mereka berdua juga mewarisi resipi tradisional mi berkuah istimewa daripada nenek moyangnya. "Kami tidak mempunyai kedai atau premis sendiri, sebaliknya hanya berniaga di ekspo-ekspo seumpama ini atau menerima tempahan daripada orang ramai," kata Mohd. Hairul. |
Lantik syarikat bukan bumiputera Posted: 14 Apr 2014 12:29 PM PDT AHMAD SAID KUALA TERENGGANU 14 April - Kerajaan negeri mengesahkan telah melantik syarikat bukan bumiputera dari luar Terengganu untuk menyiapkan projek zon bebas cukai di Tasik Kenyir mengikut jadual dan tidak lagi tertangguh. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, syarikat pembinaan berpangkalan di Perak itu mengambil alih pelaksanaan daripada syarikat bumiputera tempatan yang tidak berupaya meneruskannya setelah diberi tanggungjawab. Beliau memberitahu, berdasarkan persetujuan bersama, syarikat tersebut bersedia memikul tanggungjawab meneruskan projek pembinaan di kawasan tasik berkenaan bagi merealisasikan hasrat menjadikan Kenyir sebagai zon bebas cukai. Menurut Ahmad, kemajuan projek berkenaan kini sudah 55.1 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini dan dijangka mula beroperasi pertengahan tahun depan. Kita dah ada kontraktor penyelamat yang berjanji untuk siapkan projek ini mengikut jadual yang ditetapkan tanpa tambahan kos," katanya bagi menjelaskan perkembangan projek yang dirancang sebagai ikon pelancongan negeri dan negara itu. Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan lisan Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Buruk) dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-13 di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Menjawab soalan tambahan Syed Azman yang mendakwa projek berkenaan menghadapi masalah termasuk menyebabkan banjir kawasan sekitar, Ahmad menjelaskan, dakwaan itu tidak benar. Katanya, projek dirancang berasaskan kajian pakar dan beliau meminta semua pihak terutama pembangkang agar memberi kepercayaan dan sokongan moral bagi memastikan projek tersebut siap mengikut jadual dan kelak memberi manfaat besar kepada rakyat serta negeri. Katanya, kerajaan bukan pinggirkan kontraktor tempatan untuk melaksanakan sebarang projek di negeri ini malah telah memberikannya kepada mereka tetapi sebahagiannya gagal memenuhi janji yang dinyatakan sebelum mendapat projek. Apabila situasi ini berlaku, kita terpaksa menamatkan kontrak projek dengan memberi peluang kepada kontraktor lebih cemerlang dan mempunyai rekod bersih. Mana-mana pihak terutama pembangkang tidak boleh menuduh kerajaan pilih kasih atau bersifat berat sebelah," katanya. |
Usul khas bincang gejala fitnah berkaitan MH370 Posted: 14 Apr 2014 12:29 PM PDT Mohd. Mahdi Musa KUALA TERENGGANU 14 April - Satu usul khas dikemukakan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini bagi membincangkan gejala penyebaran segala maklumat palsu dan fitnah berkaitan kehilangan pesawat MH370 dalam laman-laman sosial yang dibimbangi memberi kesan cukup buruk. Usul itu dibentangkan oleh penyokong kerajaan, Mohd. Mahdi Musa (BN-Kota Putera) yang kemudiannya mencadangkan agar persidangan ditangguhkan mengikut fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri untuk sama-sama membincangkan usul tersebut. Beliau berkata, fenomena penyebaran fitnah yang semakin berleluasa itu cukup membimbangkan kerana bukan hanya satu penghinaan kepada negara malah turut mengancam keselamatan serta mencemarkan sistem pentadbiran negara. Menurutnya, isu itu ternyata melibatkan kepentingan awam disebabkan spekulasi dan maklumat tidak tepat selain memfitnah kepemimpinan negara yang akhirnya boleh mencetuskan kemarahan rakyat terhadap kerajaan atas sangkaan kononnya kerajaan menyembunyikan fakta sebenar. Fitnah terhadap kepemimpinan negara yang tidak tepat ini menyebabkan berlaku perpecahan kalangan rakyat memandangkan ramai yang mempercayai spekulasi yang disebarkan dalam media sosial ini. Perbuatan menyebar maklumat palsu dan fitnah ini telah mengganggu siasatan dan memberi tekanan emosi kepada keluarga mangsa," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri ke-13 di Wisma Darul Iman di sini hari ni. Beliau seterusnya menyifatkan perbuatan menyebar luas maklumat palsu dan fitnah itu sebagai barah yang semakin merebak dan serius yang akan menjejaskan hubungan baik Malaysia dengan negara lain. Katanya, jika gejala itu tidak ditangani dengan serius dan kadar segera, ia akan mengancam keselamatan negara termasuk rakyat Malaysia di luar negara. Perkara ini perlu diambil tindakan segera dan dicegah bagi mengekalkan keharmonian negara. Perasaan marah, dendam dan tidak puas hati pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu ini akan mengundang perpecahan yang dahsyat, jika tidak segera dibendung," tegasnya. Mohd. Mahdi yang bimbang dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu turut membayangkan kemungkinan penentangan terhadap kepemimpinan negara dan Yang di-Pertuan Agong sepertimana peristiwa Al-Maunah suatu ketika dahulu, tidak mustahil berulang. Menurutnya, semua pihak perlu mengutuk sekerasnya perbuatan penyebaran palsu dan fitnah itu dan kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab itu. "Tindakan mereka membuat fitnah dan spekulasi berkaitan kehilangan MH370 merupakan penderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong kerana meletakkan negara dalam ancaman. "Setiap penderhaka adalah pengkhianat negara, KDN (Kementerian Dalam Negeri) perlu bertindak tegas dan mengenakan hukuman setimpal dan kalau tidak dibendung, negara diambang perpecahan dan tersisih daripada negara lain," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |