Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Sedia timbang pemberian ihsan
- 31,372 keluarga berjaya keluar kemiskinan
- 70 peratus hasil tani dipasarkan oleh orang tengah
Posted: 15 Apr 2014 12:32 PM PDT Ahmad Said KUALA TERENGGANU 15 April - Kerajaan negeri sedia menimbangkan pemberian ihsan kepada penduduk di Kampung Pasir Puteh, Marang setelah tanah kerajaan yang mereka duduki secara haram itu terlibat dengan pelebaran jalan Kuala Terengganu-Dungun. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said membayangkan perubahan pendirian kerajaan negeri itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri setelah anggota pembangkang menemuinya semalam dan hari ini rayuan dikemukakan lagi kepadanya. Ahmad berkata, kerajaan sedia memberi sagu hati yang dianggap bersesuaian sekiranya penduduk terlibat mengambil pendekatan secara baik dan tidak mengemukakan tuntutan tidak munasabah sehingga RM1 juta. Menjelaskan isu yang mencuri tumpuan dalam sidang hari ini beliau berkata, tanah itu telah diambil oleh kerajaan beberapa dekad lalu dengan pampasan setimpal mengikut nilai semasa ketika itu. Geran baharu telah didaftarkan 15 Januari 2007 tetapi sebahagian penduduk masih belum mengambil geran tersebut dan sebahagian telah pun dipindah milik kepada pemilik baharu, maknanya berlaku urus niaga jual beli. Siasatan jabatan mendapati, pemilik baharu tidak maklumkan pengambilan tanah daripada milik asal. Pihak pejabat tanah mengeluarkan 64 notis bagi meroboh mana-mana bangunan dan gerai-gerai yang terdapat dalam rezab jalan," katanya. Menurutnya, kerajaan tidak bertindak zalim walaupun sudah berpuluh tahun tanah itu diduduki tanpa mengenakan sebarang bayaran, cuma perlu diserahkan apabila kerajaan mahu menggunakannya kelak. Kita tidak mengambil satu sen pun, bermakna kerajaan tidak zalim kerana itu adalah tanah kerajaan. Mereka mendapat wang hasil pendapatan mereka atas tanah kerajaan tetapi jika kerajaan mahu menggunakannya sampai masa kena serah balik. Saya sebenarnya lembut sangat orangnya. Cuma minta jangan berkasar dengan saya. Adalah tidak adil bagi kerajaan, tanah kerajaan kita duduk, kita kena bayar sejuta lebih, kalau RM3,000 atau RM4,000 seorang boleh kita timbang," katanya ketika menggulung perbahasan. Sebenarnya saya sudah tanda tangan surat rayuan itu tetapi bila dah nak saman atau nak apa, kita pun rasa juga. Kita tiada masalah, tapi janganlah sampai berjuta, kita bukan buat salah, kita kena bayar pula. Insya-Allah, kita dengan rela hati untuk mempertimbang dengan satu kadar yang akan ditentukan, tiada masalah," katanya. Wakil pembangkang, Tengku Hassan Tengku Omar (Pas-Ladang) yang bangkit mencelah merayu agar Menteri Besar membuat keputusan serupa sebagaimana yang dilakukan kepada penduduk di kawasan yang diwakilinya sebelum ini dengan kadar RM5,000 seorang. |
31,372 keluarga berjaya keluar kemiskinan Posted: 15 Apr 2014 12:32 PM PDT KUALA TERENGGANU 15 April - Sebanyak 31,372 keluarga di negeri ini berjaya keluar daripada lingkaran kemiskinan berdasarkan statistik sehingga 31 Mac tahun ini. Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini diberitahu, kini terdapat 412 keluarga yang dikategorikan sebagai miskin tegar, 9,839 keluarga (miskin) dan 4,596 keluarga (mudah miskin) di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, kerajaan menggerakkan pelbagai perancangan dan mengambil beberapa pendekatan alternatif untuk jangka pendek dan panjang bagi mengubah kehidupan golongan itu. Menurut beliau, kerajaan negeri juga sedang dalam perbincangan untuk menubuhkan satu lagi tabung bagi membantu golongan miskin dengan kerjasama agensi pembangunan iaitu Felda, Felcra dan Lembaga Tabung Amanah Warisan negeri. Kita sedang berbincang untuk tubuh satu lagi tabung kemiskinan yang dilakukan secara perkongsian bersama Felda, Felcra dan Lembaga Tabung Amanah Warisan negeri. Tabung kemiskinan ini secara langsung akan membantu warga miskin yang terdapat di negeri ini," katanya ketika menjawab soalan lisan Mohd. Mahdi Musa (BN-Kota Putera) dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-13 di sini hari ini. Kepada soalan tambahan Bazlan Abd. Rahman (BN-Batu Rakit) tentang jumlah ibu tunggal di Terengganu ketika ini, Muhammad Pehimi berkata, sehingga kini terdapat 22,900 golongan itu mengikut beberapa kategori. Jelasnya, daripada jumlah itu, ibu tunggal miskin mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 8,537 orang diikuti ibu tunggal mudah miskin (4,018 orang) dan miskin tegar (79 orang). Menurutnya, antara program yang diatur kerajaan dalam membantu golongan berkenaan adalah penyediaan 16 program pembangunan modal insan, selain kemahiran keibubapaan, motivasi anak-anak ibu tunggal dan pembentukan sahsiah. Kerajaan turut mewujudkan 32 kelab ibu tunggal dan satu persatuan bagi membantu di segi kewangan, membolehkan mereka saling berinteraksi berkaitan aktiviti dan masa depan mereka," jelasnya. Kerajaan negeri juga katanya, tidak terkecuali mengeluarkan peruntukan RM1.6 juta bagi menjayakan program insentif perkahwinan dalam kalangan ibu dan bapa tunggal, melibatkan 810 peserta. |
70 peratus hasil tani dipasarkan oleh orang tengah Posted: 15 Apr 2014 12:32 PM PDT KUALA TERENGGANU 15 April - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mengenal pasti kira-kira 70 peratus petani di negara ini masih bergantung kepada orang tengah untuk memasarkan hasil pengeluaran mereka. Pengerusi LPP, Datuk Zainal Dahalan berkata, kebergantungan kepada orang tengah itu menyebabkan pengusaha memperoleh keuntungan yang kecil dan pengguna terpaksa membeli dengan harga tinggi. Oleh itu katanya, LPP akan mempergiat kempen dalam kalangan 500,000 ahli di seluruh negara bagi mengurangkan kebergantungan petani kepada golongan berkenaan dengan menggerakkan aktiviti pertanian secara komersial. Untuk mengurangkan kadar peratusan itu mungkin mengambil masa tetapi usaha awal dan langkah secara beransur-ansur perlu bagi memperkasa pertanian di negara ini. Sehubungan itu, LPP akan menambah pusat pengumpulan daripada 15 yang sedia ada sekarang kepada 80 buah sehingga akhir tahun ini," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Anggota dan Menandatangani Petunjuk Prestasi Utama (KPI) LPP Terengganu 2014 di Wisma Peladang di sini semalam. Yang turut hadir Ketua Pengarah LPP, Datuk Arpan Shah Satu. Menurut Zainal, dengan adanya lebih banyak pusat penjualan memberi peluang kepada petani menjual secara terus dan pembeli boleh membeli dengan harga yang lebih rendah berbanding pasaran biasa. Selain itu, katanya, LPP juga sedang berusaha untuk menarik lebih ramai golongan muda terutama bawah 40 tahun terlibat dalam bidang pertanian. Jelasnya, pada masa ini kira-kira 65 peratus merupakan mereka yang berusia lebih 50 tahun ke atas terlibat dalam bidang pertanian berbanding golongan muda. Persepsi bidang pertanian tidak menguntungkan seharusnya tidak wujud lagi pada era kini kerana sudah ramai yang berjaya dalam bidang pertanian, tambahnya. Malah katanya, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Asas Tani mewujudkan pelbagai skim dan kemudahan untuk membantu golongan muda menceburi bidang berkenaan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |