Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Berhenti sekolah bantu ibu sakit
- Pengulas sukan perlu sentiasa tingkatkan kemahiran
- RM43,000 bantu mangsa banjir di Gelang Mas
Berhenti sekolah bantu ibu sakit Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT Oleh ROSMIZAN RESDI Siti Aisyah Harun (kiri) dan adiknya, Siti Syahirah Harun menunjukkan keadaan lantai rumah mereka yang usang di Kampung Chempaka, Kota Bharu, baru-baru ini. KOTA BHARU 20 April - Rasa simpati terhadap ibu yang terpaksa bekerja seorang diri menyara keluarga walaupun menghidap penyakit radang lutut menyebabkan Mohd. Syahir Harun, 18, mengambil keputusan untuk berhenti sekolah tiga tahun lalu. Menurut Mohd. Syahir, ketika dia di tingkatan tiga, bapanya meninggal dunia manakala ibunya pula tidak berdaya selepas diserang penyakit radang lutut. Kesempitan hidup mereka sekeluarga memaksa anak kedua daripada tiga beradik itu membuat keputusan berhenti sekolah untuk mengambil alih tugas menyara keluarga. "Selepas kematian ayah tiga tahun lalu, saya terpaksa berhenti sekolah untuk bekerja sebagai buruh dan menyara kami sekeluarga memandangkan saya satu-satunya anak lelaki dalam keluarga ini. "Selain perlu menjaga ibu yang mengalami penyakit radang lutut, saya juga perlu menampung perbelanjaan pengajian kakak sulung, Siti Aisyah, 20, dan adik, Siti Syahirah, 15, " katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chempaka, di sini baru-baru ini. Mohd. Syahir kini mengambil upah bekerja buruh di merata-rata tempat dengan pendapatan yang kecil serta tidak menentu. Sementara itu, ibunya, Gayah Mamat, 54, berkata, dia kini buntu memikirkan kehidupan mereka empat beranak yang serba kekurangan. Katanya, selain hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, mereka berempat juga terpaksa tabah menjalani kehidupan dengan berteduh di rumah yang sudah reput dimakan anai-anai dan bocor di sana-sini. "Selepas kematian suami, saya bekerja sambilan mengambil upah mencuci pakaian di rumah jiran, selain menjadi pembantu kedai makan dengan pendapatan RM15 hingga RM20 sehari. "Namun, selepas diserang penyakit radang lutut, saya sudah tidak mampu bekerja berat seperti sebelum ini dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada anak lelaki," katanya. Menurut Gayah, walaupun dia menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan, jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan rawatan penyakit yang dihidapi serta persekolahan dua anaknya. "Saya berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban kami sekeluarga yang kini bergantung sepenuhnya kepada Mohd. Syahir," katanya. |
Pengulas sukan perlu sentiasa tingkatkan kemahiran Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT KUALA TERENGGANU 20 April - Pengulas sukan atau acara rasmi di media elektronik perlu sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran dalam menyampaikan laporan agar lebih berketrampilan dan profesional bagi memberi impak besar kepada pendengar serta penonton. Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A. Latiff Awang berkata, langkah itu wajar bagi memastikan maklumat dan ulasan yang disampaikan dapat memberi gambaran tepat dengan penyampaian menarik. "Pengetahuan mengenai kaedah, teknik serta disiplin dalam menyampaikan laporan rasmi atau sukan amat penting kerana zaman telah berubah dan pendengar juga berbeza di samping perlu mengetahui lebih mendalam mengenai peristiwa yang akan dilaporkan. "Misalnya, ketika ini banyak aktiviti kerajaan negeri yang sedang dan akan berlangsung dalam masa terdekat termasuk Pesta Mencandat Sotong Antarabangsa, perlawanan Liga Super dan Sukan Malaysia (Sukma) yang pastinya menjadi tumpuan rakyat," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Penutup Kursus Ulasan Selari Rasmi dan Sukan Zon Timur 2014 anjuran Jabatan Penyiaran Terengganu, di sini baru-baru ini. Yang hadir sama, Pengarah Penyiaran Terengganu, Azizah Mohd. Yusoff dan Pengarah Penyiaran Kelantan, Zulkipli Salleh. Kursus selama tiga hari yang pertama kali diadakan itu melibatkan penyertaan 30 penyiar bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan tentang tugas serta tanggungjawab dalam menyampaikan laporan rasmi atau sukan. Dalam perkembangan sama, A. Latiff berkata, media terutama Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu memperbanyakkan program berinformasi serta semasa selaras dengan permintaan rakyat yang mahukan laporan terkini dan tepat. "Walaupun pada hari ini banyak pesaing daripada swasta tetapi kita harap RTM dapat jadi penyalur maklumat bagi pihak kerajaan yang unggul. "Selama ini RTM telah memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih, justeru dalam apa jua keadaan sekalipun RTM masih menjadi rujukan rakyat," katanya. |
RM43,000 bantu mangsa banjir di Gelang Mas Posted: 20 Apr 2014 11:57 AM PDT PASIR MAS 20 April - Kerajaan Pusat mengagihkan peruntukan sebanyak RM43,000 bagi membantu mangsa yang terlibat dengan banjir di sekitar kawasan Gelang Mas, di sini. Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Saaudi Mohammad berkata, bantuan tersebut diberikan kepada 86 mangsa yang terjejas teruk ketika banjir melanda kawasan berkenaan pada musim tengkujuh baru-baru ini. "Setiap seorang mangsa menerima bantuan wang tunai sebanyak RM500. "Bantuan itu bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan dengan baik selepas diduga setiap tahun dengan musibah banjir ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Banjir Kepada Penduduk Gelang Mas, di sini semalam. Yang turut hadir Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Mohd. Azmawi Abdul Rahman. Tambah Saaudi, bantuan tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat di kawasan berkenaan yang sering kali terlibat dengan bencana banjir. Katanya, setiap tahun rakyat terpaksa menghadapi musibah banjir namun kerajaan terus komited menyalurkan pelbagai bentuk bantuan. "Perkembangan ini turut membuktikan tidak timbul soal rakyat negeri ini dianaktirikan walaupun berbeza pentadbiran serta fahaman politik. "Saya berharap penerima dapat memanfaatkan sebaik mungkin bantuan yang diberikan itu," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |