Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
Posted: 17 Apr 2014 11:36 AM PDT Oleh SAFINA RAMLI OTHMAN Aziz (tengah) menyampaikan replika cek kepada Ahmad Saad bagi insentif NKEA bagi musim 1/2014 sempena sambutan Hari Jalinan Tani Nafas bersama PPK Mada C - IV Simpang Empat Kangkong di Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/Ismail Kamadin ALOR SETAR 17 April - Proses tanaman semula padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada musim ini berjalan dengan lancar walaupun sebelum ini berlaku penyusutan paras bekalan air di tiga empangan utama di negeri ini akibat musim kemarau. Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz berkata, ketika musim kemarau yang lalu, paras air di tiga empangan tersebut iaitu Empangan Muda, Ahning dan Pedu mengalami penyusutan sebanyak 65 peratus. Namun katanya, hujan yang turun baru-baru ini membantu meningkatkan semula paras air di tiga empangan tersebut sehingga 80 peratus. "Untuk fasa pertama penanaman padi pada musim ini, MADA telah menyalurkan air ke kawasan penanaman padi bermula pada 26 Mac lalu dan pesawah yang menerima air sedang sibuk membajak sawah mereka. "Pihak MADA menetapkan 21 April ini sebagai tarikh akhir untuk menabur benih dan bekalan air yang disalurkan mencukupi untuk semua pesawah di negeri ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Jalinan Tani dan Hari Bertemu Pelanggan Wilayah IV Mada di sini hari ini. Menurut Othman, para pesawah juga dinasihatkan agar mengikut jadual penanaman padi yang ditetapkan oleh MADA bagi memastikan sasaran 10 metrik tan padi bagi setiap tuaian tercapai. "Untuk memastikan kita dapat capai sasaran yang ditetapkan memang banyak faktor yang menyumbang seperti benih bermutu tinggi. "Tetapi para pesawah juga perlu memastikan saliran dan pengairan mengikut jadual yang telah ditetapkan, MADA selalu ikut jadual tetapi pesawah yang tidak mahu mengikut jadual yang diberikan. "Ini menyebabkan banyak masalah pada masa depan seperti kesukaran untuk menabur baja dan mengawal serangga perosak," jelasnya. Sementara itu, Othman berkata, pada Jumaat dan Sabtu ini, MADA akan mengadakan program 'Jom Turun Bendang' untuk memberi kesedaran kepada pesawah agar turun ke bendang sebagai persedian musim baharu tanaman padi telah bermula. "Selain itu, MADA ingin menarik minat dan penyertaan generasi baru menyertai sektor tanaman padi dan menyampaikan matlamat MADA terus kepada golongan sasar," katanya. |
Polis jadi 'bapa angkat' pelajar Posted: 17 Apr 2014 11:36 AM PDT Oleh SHOLINA OSMAN KANGAR 17 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap kakitangannya yang ditempatkan sebagai Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) atau bapa angkat di 202 sekolah rendah dan menengah di negeri ini mampu menangani masalah disiplin pelajar. Ketua Polis Perlis, Datuk Zull Aznam Haron (gambar) berkata, Pengetua dan Guru Besar juga perlu memberikan maklum balas kepada pihaknya berhubung prestasi PPS. "Jika ada timbul sebarang masalah dengan PPS ini maka ia boleh diatasi dengan melakukan penambahbaikan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Penyerahan Papan Kenyataan kepada 10 Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) Negeri Perlis di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma di sini semalam. Yang turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Nuzrin Nuiman. Zull Aznam berkata, tugas PPS bukan sahaja mengadakan lawatan ke sekolah tetapi mendengar masalah disiplin di sekolah yang mereka ditempatkan serta menjadi pengantara pihak polis dan sekolah. Sementara itu, beliau berkata, penglibatan pelajar dalam jenayah di negeri ini dalam tiga bulan pertama tahun ini menurun dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lalu. "Hanya dua saja pelajar yang ditahan kerana terlibat dalam jenayah indeks iaitu curi motosikal berbanding tahun lalu sembilan orang," katanya. Tambahnya, bagi kes bukan indeks pula, hanya seorang ditahan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding lapan orang tahun lalu. Katanya, penglibatan kes juvenil dalam tempoh yang sama juga hanya menyumbang kepada 4.9 peratus atau 13 kes sahaja daripada 262 kes yang dilaporkan. "Antara kes melibatkan pelajar ialah curi motosikal, pecah rumah siang hari, pecah rumah malam hari dan curi di tempat bebas," katanya. Jelasnya, usaha mewujudkan KPJ di sekolah juga merupakan satu platform bagi meningkatkan kesedaran dan kepekaan pelajar terhadap gejala sosial. |
Posted: 17 Apr 2014 11:36 AM PDT MOHD. Zaidi Mohd Said (duduk, tengah) bertanya khabar kepada Zaiton Manoon yang menghidap sakit barah payu dara di Kampung Kota, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kelmarin. - UTUSAN/Sazali Che Din BUKIT MERTAJAM 17 April - Seorang suri rumah kini berjuang bagi melawan penyakit kanser payu dara kronik yang dihidapi sejak dua tahun lalu. Zaiton Manoon, 54, berkata, dia kini telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali di Hospital Sungai Petani. Beliau berkata, sejak menghidap penyakit itu, payu daranya membengkak dan bernanah. Katanya, dia perlu mencuci luka di sekeliling payu dara setiap hari di Klinik Rakyat 1Malaysia di Merbau Kudung, Sungai Dua dekat sini. "Saya membelanjakan sekitar RM15 setiap hari untuk membayar kos tambang kereta untuk ke klinik berkenaan. "Kos itu tidak termasuk membeli ubat untuk mencuci luka dan susu khas yang diperlukan," katanya ketika ditemui di Kampung Kota, Permatang Pasir di sini baru-baru ini. Beliau berkata demikian ketika dikunjungi oleh Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said melalui program Doktor Masuk Kampung. Zaiton berkata, segala perbelanjaan yang diperlukan itu ditanggung menggunakan wang bantuan anak-anaknya dan jiran yang prihatin kerana suaminya, Zainol Lin, 63, tidak bekerja. "Suami saya dahulu kerja kampung, kini hanya duduk di rumah kerana kurang sihat setelah diserang penyakit angin ahmar baru-baru ini. "Kami suami isteri juga tidak pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak tahu prosedurnya, malah tidak ada orang yang dapat membantu kami untuk ke sana," ujarnya yang mempunyai tiga anak. Sementara itu, Mohd. Zaidi berkata, program seperti ini mempunyai kebaikan kerana dapat membantu pesakit kronik mendapat bantuan pemeriksaan yang sewajarnya. "Ini dapat membantu pesakit kronik untuk berjuang melawan penyakit yang mereka hidapi dan tidak berputus asa untuk meneruskan kehidupan. "Selain itu, ia dapat menarik agensi kerajaan dan swasta untuk sama menyertai program bagi meringankan beban pesakit menanggung kos rawatan penyakit yang mereka hidapi," katanya. Sehubungan itu, sesiapa yang prihatin bagi meringankan penderitaan dialami Zaiton boleh menghulurkan bantuan kewangan menerusi akaun Maybank Zaiton bernombor 157250076783. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |