{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Utara


Karpal: Polis nafi tidak pantau keadaan

Posted: 22 Apr 2014 11:40 AM PDT

Abdul Rahim Hanafi (berdiri, tengah) bersama Timbalannya, Datuk A. Thaiveegan (berdiri, kanan) melawat salah seorang anggota polis yang menderma darah untuk disalurkan ke tabung darah Hospital Pulau Pinang di pekarangan IPK Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM

PULAU PINANG 22 April - Polis menafikan dakwaan tiada anggota dan pegawainya ditugaskan bagi mengawal keadaan termasuk lalu lintas di sepanjang upacara penghormatan terakhir mendiang Karpal Singh hujung minggu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, anggota polis telah ditempatkan di simpang dan kawasan-kawasan yang ditentukan bagi memastikan keadaan terkawal terutamanya di kediaman mendiang di Jalan Utama, Kebun Bunga, di sini.

Tegasnya, beberapa anggota juga telah diarah untuk mengiringi kenderaan yang membawa mayat mendiang sebaik melepasi Plaza Tol Juru, Khamis lalu.

"Kita juga telah arahkan 20 anggota trafik untuk mengawal lalu lintas di kawasan rumah mendiang dan delegasi pegawai diketuai Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk A. Thaiveegan juga telah hadir untuk memberi penghormatan terakhir.

"Malah Ahad lalu kita juga telah menempatkan anggota di simpang-simpang tertentu bermula dari rumah mendiang ke Dewan Seri Pinang dan dari Dewan Seri Pinang sehingga ke Krematorium Batu Gantung," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika melawat anggota dan pegawai polis yang menderma darah di Program Derma Darah sempena sambutan Hari Polis Ke-207 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini.

Dalam majlis itu, seramai 400 anggota dan pegawai polis hadir untuk menderma darah bagi disalurkan ke Bank Darah Hospital Pulau Pinang (HPP).

Semalam, lidah rasmi parti DAP roketkini.com melaporkan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan kekesalannya dengan pihak polis yang dikatakan tidak muncul bagi mengawal keadaan ketika upacara penghormatan terakhir mendiang Karpal Singh diadakan di Dewan Seri Pinang, di sini kelmarin.

Abdul Rahim menambah, beliau tidak faham bagaimana tohmahan boleh dilemparkan dengan mendakwa polis tidak menempatkan anggota dan pegawai bagi mengawal keadaan serta kelancaran upacara itu.

"Dua buah balai polis mini bergerak telah ditempatkan di luar kawasan Dewan Seri Pinang Ahad lalu, selain dua pegawai bersama empat anggota petugas am dan 20 anggota trafik telah dikerah bagi mengawal keadaan.

"Jumlah ini tidak termasuk anggota-anggota berpakaian preman yang telah ditugaskan di sepanjang upacara berkenaan. Kita telah lakukan yang terbaik dan upacara itu berjalan lancar serta tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan," ujarnya.

Jelas beliau, pihaknya akan mengedarkan gambar-gambar bagi membuktikan dakwaan yang dibuat adalah tidak benar.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 306.1, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke arah utara berdekatan Gua Tempurung, Ipoh, awal pagi Khamis lalu.

Masalah pelajar di Jordan bakal selesai

Posted: 22 Apr 2014 11:40 AM PDT

ALOR SETAR 22 April - Pemuda UMNO negeri yakin beberapa masalah yang dihadapi para pelajar dari negeri itu di Jordan dapat diatasi sepenuhnya setelah Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan komitmen untuk memberi perhatian terhadap isu berkenaan.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, komitmen itu dinyatakan Mukhriz kepadanya sebaik beliau selesai membentangkan hasil lawatannya ke Jordan baru-baru ini dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri Ahad lalu.

"Antara komitmen dinyatakan Menteri Besar adalah beliau akan berunding dengan Yayasan Islam Kedah tentang beberapa perkara yang dicadangkan termasuk kenaikan bantuan pinjaman yayasan itu daripada RM5,000 kepada RM8,000 untuk satu semester.

"Selain itu, kami juga mencadangkan agar dermasiswa yang diterima daripada Pusat Zakat Negeri turut dinaikkan kepada RM8,000 daripada hanya RM6,500 ketika ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Pada 16 April lalu, Shaiful Hazizy bersama Exco Pemuda UMNO, Dr. Fathul Bari Mat Jahya berangkat ke Jordan untuk mendalami masalah 370 pelajar yang berasal dari Kedah di sana setelah menerima pelbagai aduan tentang bebanan ditanggung terutamanya berhubung kenaikan yuran pengajian sehingga melebihi 100 peratus.

Selain itu, para pelajar berkenaan turut mengadu seringkali lambat menerima wang pinjaman tersebut, di samping berdepan isu keselamatan iaitu pencabulan seksual kerap kali berlaku serta layanan 'double standard' oleh pihak berkuasa di negara itu.

Beliau menambah, antara cadangan lain dikemukakan adalah menukar status daripada pinjaman kepada biasiswa sekiranya pelajar berkenaan memperoleh keputusan cemerlang.

"Kami turut memohon agar caj perkhidmatan diturunkan kepada dua peratus berbanding empat peratus kini, selain memohon Yayasan Islam untuk menanggung tiket penerbangan pelajar yang baru memulakan pengajian serta sudah tamat pengajian.

"Baucar buku khas seperti Baucar Buku 1Malaysia turut dicadangkan bagi membolehkan mereka memperoleh buku secara percuma seperti dinikmati pelajar-pelajar di universiti tempatan," ujarnya.

Tidak terhenti di situ kata beliau, pihaknya turut meminta yayasan tersebut mewujudkan sekretariat khas atau penyelia tetap di Jordan bagi membantu pelajar yang berdepan dengan isu keselamatan.

"Kami difahamkan sekretariat tersebut sudah pun diwujudkan di Mesir dan adalah sesuatu yang baik jika turut diadakan di Jordan memandangkan jumlah pelajar yang berasal dari Kedah di sana agak ramai," katanya.

80,000 disasar sertai 'Jom Membaca Bersama 10 Minit'

Posted: 22 Apr 2014 11:40 AM PDT

ALOR SETAR 22 April - Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah menyasarkan kira-kira 80,000 orang menyertai program 'Jom Membaca Bersama 10 Minit' yang diadakan serentak di seluruh negara hari ini.

Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Aminuddin Omar berkata, sasaran tersebut melibatkan semua jabatan di Kedah termasuk sekolah-sekolah terpilih yang meluangkan masa selama 10 minit untuk membaca.

Menurutnya, program pertama kali diadakan itu adalah bersempena Hari Buku dan Hakcipta Sedunia.

"Mereka yang menyertai program ini dengan membaca apa jua bahan bacaan sama ada di pejabat ataupun di restoran boleh menghantar gambar sebagai bukti penyertaan kepada pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.

"Program ini bertujuan menggerakkan semangat membaca dalam kalangan masyarakat khususnya di negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Membaca Bersama 10 Minit, di sini hari ini.

Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kesenian, Kebudayaan, Warisan dan Badan Bukan Kerajaan negeri berkata, program tersebut diinspirasikan daripada sambutan Earth Hour yang meminta penduduk bumi memadamkan lampu selama sejam.

Menurutnya, walaupun program tersebut diadakan pada 22 April sahaja namun masyarakat diharap dapat menjadikan buku sebagai wadah perjuangan dan meneruskan budaya membaca.

"Saya memberi sokongan penuh kepada pihak perpustakaan agar program ini dapat diteruskan pada tahun akan datang untuk memantapkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

"Kita juga berharap langkah ini dapat memartabatkkan Perpustakaan Awam Negeri di seluruh negara sebagai tempat menambahkan ilmu," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat