Kosmo Online - Kesihatan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Kesihatan |
Posted: Hilang memori 20 tahun
KAY DELANEY menatap gambar ketiga-tiga anaknya satu persatu. Riak wajahnya kosong seolah-olah dia tidak mengenali mereka. "Ya, saya tidak cam wajah mereka. Saya rasa mereka masih kecil lagi tetapi rupa-rupanya sudah dewasa," ujarnya. Itulah sebahagian daripada realiti yang terpaksa dilalui Delaney apabila dia kehilangan separuh daripada memori akibat kemalangan dua tahun lalu. Perkara terakhir yang masih jelas dalam ingatan wanita berumur 57 tahun itu ialah saat dia menidurkan anak-anaknya yang ketika itu baru berusia enam dan dua tahun. Kini anak-anaknya, Kenny, 29, dan Sandy, 25, sudah meningkat dewasa serta telah menamatkan pengajian di universiti di Britain. Perkara selebihnya yang terjadi selepas peristiwa itu tidak meninggalkan secebis ingatan pun kepada wanita malang tersebut. Kemalangan yang berlaku secara tidak sengaja di tempat kerja Delaney pada Julai 2011 itu telah memadamkan kenangan wanita berkenaan selama lebih 20 tahun. Dia yang berkhidmat sebagai pengurus di Rumah Asuhan Dove Court di Wisbech, Cambridgeshire, England sebelum ini mengalami kecederaan teruk pada kepala selepas terjatuh dan kepalanya terhantuk ke lantai. Akibatnya, memori wanita itu terus terpadam sehinggakan dia gagal menyedari perkara yang berlaku di sekelilingnya dalam tempoh dua dekad sebelum kemalangan itu. Dia tidak berupaya mengingati banyak perkara termasuk hari perkahwinannya bersama Robert, 62, serta memori membesarkan anak-anaknya. Lebih malang, ibu kepada tiga zuriat itu juga tidak mengingati kelahiran anak bongsunya, James yang kini berusia 21 tahun. "Saya rasa sedikit janggal apabila anak-anak memeluk saya kerana saya berasa seperti dipeluk orang tidak dikenali. Hubungan kami tidak sama selepas kemalangan itu. Renggang "Kami jadi renggang, tidak seperti hubungan anak dengan ibu sebaliknya macam kawan-kawan sahaja. Saya akui perkara itu membuatkan hidup saya tidak bahagia seperti dahulu," katanya seperti dipetik portal berita The Sun. DELANEY masih merasakan dirinya berusia 34 tahun di samping anak-anak yang masih kecil. Selain itu, Delaney turut beranggapan dia masih berumur 34 tahun dan sering terkejut setiap kali melihat wajahnya di cermin kerana menyangka sedang memandang orang lain. Baginya, dia masih hidup dalam era awal 1990-an. "Saya tidak mengenali telefon bimbit atau komputer. Saya juga tidak ingat peristiwa-peristiwa penting dalam tempoh lima tahun lalu seperti pemilihan Barrack Obama sebagai presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat pada tahun 2008 serta pemergian bintang pop, Michael Jackson pada 2009," jelasnya. Bagaimanapun, penyakit yang dialami membolehkannya bertutur dalam bahasa Perancis dengan fasih sedangkan dia tidak pernah mempelajari bahasa tersebut. Menurut Robert, ketika isterinya mula-mula menghidap penyakit tersebut, dia akan mengejutkan Robert daripada tidur dengan menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Perancis. Hal itu menyebabkan mereka sekeluarga menjadi bingung lalu membawa Delaney bertemu doktor. Bagaimanapun, Robert dimaklumkan bahawa Delaney tidak mengalami masalah serius kecuali sedikit gegaran di kepala yang sepatutnya tidak memberi kesan kepada ingatannya. Namun, lama-kelamaan dia didapati gagal mengingat banyak perkara baik untuk jangka masa pendek mahupun dalam tempoh masa panjang. Dia turut berhadapan dengan masalah lain iaitu tidak dapat melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak dan mencuci pakaian. Semua kerja itu terpaksa dibuat oleh Robert yang berhenti kerja demi menguruskan hal rumah tangga selain menjaga Delaney. "Dia tidak mampu menyediakan secawan teh untuk dirinya kerana sentiasa terlupa untuk menekan suis," ujar Robert. Sementara itu, pakar otak dari Headway Cambridge, Prof. Jeanette Tasker berkata, Delaney berkemungkinan mengalami kecederaan otak yang membawa kepada penyakit amnesia retrogred. Menurutnya, pesakit biasanya berasa gelisah, tidak berupaya mengingati sesuatu perkara sama ada yang berlaku sebelum atau sesudah kemalangan serta menghadapi masalah daya tumpu yang sangat lemah. "Pesakit lebih cenderung untuk kehilangan memori baharu berbanding memori lama. Dalam situasi Delaney, dia gagal mengingati sebarang peristiwa yang baru berlaku sebaliknya lebih cenderung mengingati kisah lampau," jelasnya. | |
Makan sushi untuk panjang umur Posted: Makan sushi untuk panjang umurIKAN salmon dan kod dalam hidangan sushi mengandungi kandungan asid lemak omega-3 yang tinggi. - Gambar hiasan SUSHI bukan sahaja dikatakan baik untuk kesihatan malah makanan Jepun itu dipercayai dapat membantu memanjangkan usia. Para penyelidik dari Univerisiti Pittsburgh, AS percaya ini berlaku kerana rakyat Jepun mengambil lebih banyak ikan dalam diet harian mereka. Ketua saintis, Dr. Akira Sekikawa berkata, asid lemak omega-3 yang ditemui dalam ikan kod, tuna dan salmon membantu mengurangkan keradangan dan melambatkan pembentukan lemak dalam saluran arteri. Kajian tersebut dijalankan ke atas 300 lelaki di Jepun, serta Hawaii dan Philadelphia di AS selama lima tahun. Kajian mendapati, responden lelaki Amerika terdedah kepada penyakit jantung tiga kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki Jepun. Bacaan tahap asid lemak omega-3 dalam darah responden lelaki Jepun pula adalah 100 peratus lebih tinggi berbanding lelaki Amerika. "Ini kerana kebanyakan responden Jepun makan kira-kira 100 gram (g) ikan sehari termasuk sushi. Responden dari Amerika pula hanya mengambil 13g hidangan ikan sehari. "Perkara ini meningkatkan kecenderungan masyarakat Barat untuk menghidap penyakit kardiovaskular yang menjadi penyumbang tertinggi kematian di Amerika," katanya. | |
Telur kurangkan risiko demensia Posted: Telur kurangkan risiko demensiaTELUR kaya dengan antioksidan yang berupaya meningkatkan fungsi kognitif. - Gambar hiasan PARA penyelidik kini sedang melakukan kajian sama ada amalan memakan telur boleh mencegah kehilangan daya memori serta mengurangkan risiko demensia. Penyakit demensia disebabkan oleh gangguan keupayaan kognitif yang mengakibatkan kemerosotan daya berfikir serta penjagaan kendiri. Kajian yang dijalankan penyelidik dari Universiti Tufts, Amerika Syarikat (AS) itu dilakukan selama enam bulan membabitkan dua kumpulan responden. Kumpulan pertama dikehendaki memakan dua biji telur sehari dan hasil penelitian tersebut akan dibandingkan dengan kumpulan yang tidak memakan telur. Kedua-dua kumpulan tersebut akan diuji dari beberapa aspek termasuk daya ingatan, penaakulan, kefasihan lisan dan tempoh memberi tumpuan. Sedikit penurunan dalam salah satu aspek dipercayai akan menjadi faktor utama dalam pembentukan demensia pada masa akan datang. Menerusi kajian tersebut, para penyelidik menjangkakan ada peningkatan yang ketara dalam fungsi otak kumpulan responden yang diberikan telur. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |