Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
- Bantu selesaikan konflik sosial komuniti
- Sains tidak dapat huraikan semua perkara
- Sisi gelap industri kulit di Dhaka
Bantu selesaikan konflik sosial komuniti Posted: konflik sosial komuniti Bantu selesaikan |
PROSES mediasi dilakukan secara dewasa, matang, bertamadun dan penuh dengan keterbukaan tanpa sebarang kekerasan. |
KESUNYIAN malam di Kampung Malaysia Raya, Kuala Lumpur jelas terasa walaupun terletak di tengah-tengah bandar raya.
Tiba-tiba kedengaran suara tangisan bayi datang dari sebuah rumah di perkampungan tersebut sekali gus memecahkan kesunyian malam. Suara tangisan bayi mungkin perkara normal bagi yang hidup berjiran, namun bagi seorang wanita di kampung tersebut, tangisan itu telah mengganggu ketenteramannya untuk beristirehat selepas penat bekerja pada siang hari.
Akibat tidak tahan mendengar tangisan tersebut, dia nekad menyerang rumah jirannya itu sehingga tercetus pertengkaran kecil.
Pertengkaran tersebut berlarutan beberapa minit sehingga berjaya menarik perhatian jiran-jiran lain di sekitar kampung untuk keluar mententeramkan mereka.
Selepas dicadangkan oleh seorang penduduk kampung, kedua-dua pihak akhirnya bersetuju untuk merujuk permasalahan yang timbul kepada Mediator Komuniti (MK) kawasan itu yang bertempat di Pusat Mediator Komuniti Kampung Malaysia Raya.
Selepas melakukan proses mediasi oleh MK selama dua jam, akhirnya kedua-dua belah pihak akur dengan cadangan-cadangan yang diberikan oleh MK. Masalah tersebut berjaya diselesaikan secara baik dan kedua-dua belah pihak berpuas hati.
Watikah pelantikan
Kejadian itu merupakan salah satu kes dalam komuniti yang berjaya diselesaikan oleh Salwanah Kalsom Abu Seman, 42, iaitu salah seorang daripada enam ahli MK di kampung itu.
Ujar ibu kepada lima cahaya mata itu, dia mula menjadi MK selepas dipilih oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Rukun Tetangga Kampung Malaysia Raya untuk menjalani kursus asas dan seterusnya menerima watikah pelantikan daripada Jabatan Perdana Menteri melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) pada tahun 2012.
"Pada mulanya, saya pun tidak tahu peranan sebenar MK kepada komuniti, selepas saya menghadiri khusus khas sebanyak empat peringkat yang diberikan oleh JPNIN, baru saya tahu bahawa MK merupakan satu perkhidmatan sukarela yang sangat mulia.
INDIVIDU yang ingin bergelar Mediator Komuniti haruslah menjalani kursus khas sebanyak empat peringkat.
"Tugas utama MK ialah menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku dalam komuniti secara rundingan atau meja bulat," katanya sambil memaklumkan bahawa Kampung Malaysia Raya merupakan salah satu kampung terawal yang mempunyai MK iaitu pada tahun 2009.
Menurutnya yang juga merupakan seorang usahawan, sepanjang tempoh dua tahun berkhidmat sebagai MK di kawasan tersebut, pelbagai masalah membabitkan komuniti berjaya diselesaikan antaranya termasuklah masalah bising, sampah, perkauman dan sebagainya.
Hari ini, masyarakat Malaysia cukup gemar memperbesarkan isu remeh-temeh sehingga mewujudkan perpecahan dalam kalangan komuniti di sesebuah kawasan.
"Isu-isu kejiranan, keluarga dan perkauman yang kecil pun hendak saman-menyaman dan akhirnya merugikan kedua-dua belah pihak apabila terpaksa membayar kos guaman dan sebagainya.
"Sebenarnya, masalah-masalah tersebut boleh diselesaikan secara baik apabila kedua-dua belah pihak bersabar dan berfikir secara rasional seperti mendapatkan khidmat mediasi daripada MK di kawasan masing-masing," kata Salwanah Kalsom yang juga merupakan seorang ibu tunggal.
Titik persetujuan
Sementara itu, Ketua Koordinator Pusat Khidmat Mediator Komuniti daerah Cheras, Kuala Lumpur, Khairul Salleh Hassan, 47, berkata, setiap MK yang diberi tauliah akan mempelajari serba sedikit proses mediasi.
Ujar bapa kepada dua cahaya mata itu, mediasi ialah satu proses yang memerlukan pihak ketiga berusaha menyelesaikan sesuatu konflik sosial dalam komuniti secara menang-menang.
"Kami cuba mencari titik-titik persetujuan yang boleh diterima oleh semua pihak yang terlibat dengan harapan perhubungan mereka bertambah positif.
"Proses mediasi ini dijalankan secara dewasa, matang, bertamadun dan penuh dengan keterbukaan tanpa sebarang kekerasan," katanya.
Tambahnya, kehadiran kedua-dua pihak yang bersengketa dalam sesuatu proses mediasi adalah secara sukarela tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.
Dalam pada itu, dia turut memaklumkan sekiranya semua pihak atau salah satu pihak tidak mahu melakukan proses mediasi, mereka mempunyai hak untuk memberitahu kepada MK untuk menghentikan proses mediasi serta-merta.
KEHARMONIAN komuniti boleh dikekalkan sekiranya masalah yang timbul dapat diselesaikan secara mediasi.
Menurutnya, proses mediasi selalunya melibatkan lima peringkat asas iaitu proses tolak ansur, pencarian fakta, jasa baik, mediasi dan penyelesaian.
Ujarnya, pada peringkat pertama iaitu tolak ansur, semua pihak diberi peluang yang sama rata untuk menyatakan permasalahan yang timbul.
"Pada peringkat ini semua pihak dibenarkan bercakap apa sahaja isu yang berlaku, namun pada masa yang sama MK akan cuba mencari fakta atau punca sebenar berlakunya konflik tersebut.
"Ketika ini, kita dapat melihat semua individu yang terlibat cuba mempertahankan hak mereka dengan bercakap dalam nada yang tinggi dan mahu melakukan provokasi antara satu sama lain. Namun selagi tidak membabitkan kekerasan, pihak MK akan membenarkan apa sahaja provokasi," jelas Khairul Salleh.
Menurutnya, selepas berjaya mengenal pasti punca masalah, MK akan cuba berbincang dengan semua pihak yang terlibat untuk meminta jasa baik mereka agar salah satu pihak dapat mengalah.
Sekiranya tiada pihak yang ingin mengalah, setiap pihak yang bertelagah haruslah menghantar seorang wakil untuk berbincang bersama MK di dalam sebuah bilik khas.
Perjanjian bertulis
"Tujuan menghantar wakil ini adalah untuk memudahkan proses rundingan berlangsung, pada peringkat keempat ini MK akan memberi nasihat secara psikologi kepada pihak-pihak yang terlibat agar menyelesaikan masalah tersebut secara baik," katanya.
Tambahnya lagi, jika kedua-dua pihak berjaya mencari jalan penyelesaian ketika proses rundingan berlangsung, maka MK akan menggalakkan mereka membuat perjanjian bertulis bagi mengelakkan masalah tersebut berulang.
Menurut Khairul Salleh, seandainya tiada jalan penyelesaian yang dipersetujui, proses mediasi tersebut masih dianggap berjaya kerana telah menemukan pihak-pihak yang bertelagah di meja rundingan.
Bagi salah seorang penduduk Kampung Malaysia Raya, Zokifli Osman, 60, dengan adanya MK di kawasan tersebut membolehkan masalah komuniti diselesaikan secara baik tanpa melibatkan sebarang bentuk kekerasan.
Dia yang telah bermastautin di kampung tersebut hampir 26 tahun berkata, sebelum MK diwujudkan sukar bagi penduduk di situ mengenal pasti individu atau kumpulan yang sanggup menjadi orang tengah untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku dalam komuniti.
"Kewujudan MK sangat bagus kerana masyarakat boleh menyelesaikan sesuatu masalah secara bertolak ansur sebelum dipanjangkan kepada pihak berkuasa," katanya yang juga merupakan seorang pesara kerajaan.
Tambahnya, MK merupakan individu-individu terlatih dan telah menerima watikah pelantikan. Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan komuniti untuk mengadu masalah mereka kepada pihak MK.
Beliau berharap pihak kerajaan dapat menambah lagi bilangan anggota MK di seluruh negara kerana ketika ini masalah membabitkan komuniti sangat membimbangkan.
Sains tidak dapat huraikan semua perkara
Posted:
Sains tidak dapat huraikan semua perkara
Illusory correlation dalam istilah psikologi ialah apabila manusia mengaitkan dua perkara yang tidak berkaitan. Begitu juga kesnya dengan kehilangan pesawat MH370 apabila ada yang mengandaikan pesawat udara adalah pengangkutan yang berbahaya.
SELAIN berdoa, solat sunat hajat juga merupakan cara terbaik untuk memohon petunjuk daripada Allah SWT - Gambar hiasan
KEHILANGAN pesawat MH370 masih menjadi misteri. Ketika artikel ini ditulis, masih belum ada apa-apa petunjuk tentang apa yang sebenarnya terjadi kepada pesawat tersebut.
Malah, nasib 227 penumpang dan 12 anak kapal yang berada di dalamnya juga tidak diketahui. Sebagai manusia biasa, kita hanya mampu berdoa semoga semua penumpang dan anak-anak kapal berada dalam keadaan baik.
Walaupun kejadian seumpama ini sangat misteri, namun pada akhirnya kita tahu tidak semua perkara yang berlaku dalam hidup manusia dapat dihuraikan secara saintifik. Ada juga hal-hal yang berlaku di luar jangkauan imaginasi manusia.
Bagaimanapun, kita juga berharap pihak berkuasa dan pasukan penyelamat mampu menemukan mereka semula. Itulah yang paling baik yang dapat kita lakukan.
Selamat
Bagi sesetengah individu, kejadian seumpama ini tentulah membimbangkan mereka untuk menaiki pesawat. Ia dianggap sebagai pengangkutan yang menyeramkan. Hakikatnya tidak. Kapal terbang masih merupakan pengangkutan yang paling selamat untuk manusia kerana ia diselia secara terperinci oleh kumpulan profesional setiap masa.
Walaupun kita selalu mendengar atau membaca kes-kes malapetaka kapal terbang komersial, umumnya ia tidak selalu berlaku. Dalam tempoh sedekad, kebarangkalian untuk berlaku sesuatu perkara buruk kepada pesawat daripada syarikat penerbangan yang sama adalah sangat rendah.
PENGANGKUTAN udara seperti kapal terbang bukan penyumbang terbesar dalam statistik kemalangan berbanding di jalan raya - Gambar hiasan
Malah, sebagai penumpang hanya beberapa kali kita menggunakan perkhidmatan penerbangan untuk mengembara dari satu tempat ke tempat lain.
Sebaliknya, malapetaka yang sebenarnya banyak berlaku adalah di atas jalan raya. Perangkaan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) misalnya, menunjukkan 3,400 manusia terbunuh di atas jalan raya setiap hari.
Di Malaysia, secara purata 18 maut sehari dalam kemalangan jalan raya atau bersamaan 6,500 kematian dengan lebih 400,000 kes kemalangan yang berlaku.
Ini menunjukkan bahawa manusia lebih berpeluang terdedah dengan malapetaka ketika berada di atas jalan raya, dan bukannya ketika menaiki pesawat.
Peluang itu pula semakin besar dengan mengambil kira kita menggunakan kenderaan setiap hari untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja atau untuk bergerak ke sana sini.
Bagaimanapun, memandangkan setiap kali berlakunya malapetaka pesawat udara, ia menjadi berita yang sensasi, maka orang lebih cenderung mengandaikan bahawa pesawat udara adalah pengangkutan yang membahayakan.
Dalam psikologi, inilah yang dikatakan sebagai illusory correlation. Manusia mengaitkan dua perkara yang tidak berkaitan. Ia sekadar perkaitan yang bersifat ilusi semata-mata.
Dalam kehidupan kita yang lain, perhubungan ilusi ini juga sering berlaku. Misalnya, mengaitkan orang lelaki sebagai mempunyai prestasi yang tinggi, sebaliknya wanita pula dianggap sebagai insan lemah. Hakikatnya, ia merupakan hal yang tidak ada hubungan antara satu sama lain. Ia hanya sekadar satu ilusi.
Berbalik kepada isu kehilangan pesawat MH370 tadi juga, walaupun kita percaya rakyat Malaysia khususnya, sangat prihatin dengan apa yang berlaku tetapi malangnya ada individu yang lebih berminat untuk menyebarkan pelbagai khabar angin dan melakukan analisis berdasarkan tafsiran mereka sendiri.
SOKONGAN moral seluruh rakyat Malaysia mampu menstabilkan emosi keluarga penumpang pesawat MH370 yang kini sedang bersedih - Gambar hiasan
Spekulasi
Harus diingat, dalam keadaan ketidakpastian seumpama ini, akan wujud pelbagai spekulasi yang adakalanya sukar terjangkau oleh akal. Malah, wujud pelbagai teori mengenai kehilangan pesawat MH370 yang adakalanya hanya dimulai oleh mereka yang mungkin tidak pernah menaiki pesawat pun.
Justeru, dalam keadaan cemas dan tidak menentu seperti ini, ramai manusia percaya dengan apa sahaja yang disebarkan tanpa berfikir mengenainya. Hal seumpama ini juga telah berlaku dalam kes ancaman sekumpulan pengganas Sulu di Lahad Datu setahun yang lalu.
Orang ramai lebih percaya dengan berita yang bertebaran di internet atau dalam talian tanpa memperhitungkan apakah maklumat itu benar atau tidak. Ia kemudiannya disebarkan pula kepada orang lain. Semua ini menjadikan cerita kehilangan pesawat tadi menjadi semakin sensasi.
Sedangkan, apa yang dilakukan ini mungkin memburukkan pasukan penyiasat untuk melakukan pekerjaan mereka. Ia juga boleh menjejaskan moral ahli keluarga mangsa yang sedang mengharapkan keajaiban berlaku.
Sebab itulah, kita semua sebagai pembaca patut kembali pada landasan yang benar. Tidak semua perkara yang berlaku adalah dalam jangkauan manusia. Tidak juga semua perkara berlaku mampu dihuraikan dengan hanya menggunakan keupayaan sains dan teknologi.
Apa yang boleh kita lakukan ialah jangan putus berharap. Tatkala pihak berkuasa berusaha gigih menjalankan usaha mencari dan menyiasat apa yang sedang berlaku, kita sebagai orang awam pula seharusnya berdoa agar diberikan keselamatan kepada semua penumpang dan anak kapal pesawat MH370. Itulah yang terlebih baik untuk kita semua.
Sisi gelap industri kulit di Dhaka
Posted:
Sisi gelap industri kulit di Dhaka
PARA pekerja di kilang memproses kulit haiwan di Dhaka, Bangladesh ini berdepan pelbagai risiko kesihatan.
BERDIRI paras lutut dalam bahan kimia bertoksik, Mokter Hossain memasukkan kulit haiwan ke dalam tong-tong besar berisi cecair berbahaya di pusat pembersihan kulit haiwan di Dhaka, Bangladesh.
Dalam keadaan tidak sihat dan berkaki ayam, lelaki tersebut berhenti seketika apabila terbatuk sebelum meneruskan kerjanya. Malah, doktor juga sering memberi amaran mengenai risiko pekerjaannya yang boleh menyebabkan maut.
"Ada beberapa hari saya berasa sangat tidak sihat untuk bekerja," kata Mokter, 35, yang sejak bertahun lalu menghidu pelbagai bahan kimia bagi melembutkan kulit haiwan termasuk kromium heksavalen.
Sambil menunjukkan lengan dan kaki yang dipenuhi ruam dan bintik-bintik hitam, dia menambah, saya terpaksa memakan ubat untuk mengawal penyakit kulit yang dihidapi. Jika tidak, ia menjadi lebih teruk.
Tempat kerjanya merupakan salah satu daripada 200 pusat memproses kulit haiwan di Hazaribagh, Dhaka yang menawarkan pendapatan serendah AS$50 (RM164) sebulan kepada kira-kira 25,000 pekerja. Kulit haiwan yang diproses tersebut digunakan untuk membuat kasut dan pelbagai barang lain untuk dieksport ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Kira-kira 10 bulan lalu, peruncit Barat digesa memberi perhatian terhadap keselamatan pekerja selepas sebuah kilang pakaian di Dhaka roboh sehingga menyebabkan 1,135 kematian.
Namun, hanya terdapat beberapa perubahan dalam industri kulit di Bangladesh dan keadaan tersebut hanya melibatkan peningkatan permintaan dari Barat, sedangkan para pekerja bekerja di persekitaran yang kejam.
Aktivis tempatan, Rizwana Hasan berkata, situasi tersebut berlaku kerana pengguna tidak didedahkan mengenai keadaan tempat kasut dan beg kulit mereka dibuat.
"Di pusat memproses kulit haiwan ini, para pekerja berhadapan dengan kematian secara perlahan-lahan," kata Rizwana sambil menjelaskan mengenai risiko masalah pernafasan, kanser, penyakit kulit dan pelbagai jenis penyakit yang boleh dihidapi para pekerja industri tersebut.
DUA pekerja sedang memasukkan kulit haiwan ke dalam mesin untuk diproses dengan cecair kimia.
Tragedi
Katanya, tragedi kilang pakaian runtuh di Bangladesh menjadi berita muka depan akhbar-akhbar seluruh dunia, namun demikian, keadaan yang lebih buruk di pusat memproses kulit haiwan tidak pernah dijadikan bahan berita.
"Kilang memproses kulit ini tidak ubah seperti kilang-kilang pada abad ke-19," tambah Rizwana.
Malah, kanak-kanak seawal usia 14 tahun juga didapati bekerja di kilang memproses kulit lembu dan kambing di Dhaka yang lantainya diselaputi bahan buangan kimia kromium dan garam.
Para aktivis juga kecewa terhadap rantaian bekalan yang kabur di Hazaribagh sehingga sulit untuk menentukan hubungan sesebuah kilang dengan peruncit Barat yang spesifik.
Di Hazaribagh, risiko terhadap persekitaran dan kesihatan awam jelas terpampang ketika industri itu sedang berkembang maju.
Menurut Kementerian Alam Sekitar, setiap hari, kilang-kilang terlibat membuang 22,000 liter kubik sisa toksik termasuk kromium yang mampu menyebabkan penyakit kanser ke dalam Sungai Buriganga yang menjadi sumber utama bekalan air di Dhaka.
Kira-kira 200,000 penduduk tinggal di Hazaribagh termasuk di tebing Sungai Buriganga yang dikategori sebagai salah satu daripada sungai paling teruk tercemar oleh sebuah kumpulan aktivis alam sekitar di New York, AS.
Hazaribagh satu ketika dahulu merupakan sebuah daerah perkampungan yang tiada banyak pencemaran sebelum bertukar menjadi sebuah paya toksik dengan timbunan sampah dan pergunungan sisa kulit haiwan.
Berpuluh-puluh kilang industri hiliran dibuka bagi mengitar semula sisa kulit haiwan untuk dijadikan makanan ternakan, mengakibatkan di sana semakin buruk.
"Ia lebih teruk daripada segala-galanya, tetapi kami tiada pilihan lain," kata Munia, 19, yang mengalami masalah pernafasan akibat bekerja di salah sebuah kilang kitar semula.
Rizwana telah lama terlibat dalam proses undang-undang untuk menempatkan semula kilang-kilang berbahaya tersebut keluar dari Dhaka dan pada masa sama dilengkapi dengan prasarana untuk merawat sisa industri.
Dia mendakwa, kekurangan langkah berkesan dalam menyelesaikan masalah tersebut adalah disebabkan wujud hubungan yang terlalu baik antara kerajaan dengan pemilik kilang yang memberikan pekerjaan kepada penduduk.
PEKERJA ini sedang menjemur kulit haiwan untuk mengeringkannya sebelum diproses menjadi barangan kulit.
"Amat jarang penguat kuasa jabatan alam sekitar dan jabatan buruh melakukan pemeriksaan di kilang-kilang berkenaan. Ia mungkin disebabkan kerajaan tidak mahu melakukan satu tindakan yang akan mengecewakan komuniti peniaga di sana" ujarnya.
Kerajaan Bangladesh dikatakan mengakui pusat-pusat memproses kulit haiwan itu melanggar undang-undang alam sekitar. Malangnya, pihak pentadbir itu juga dikatakan berterusan memberi pelbagai kemudahan kepada para pelabur berbanding mengambil tindakan tegas untuk memperbaiki suasana.
"Pengilang tidak mahu berpindah ke lokasi lain, mereka mahu kekal di sini. Mereka memberi pelbagai alasan supaya pemindahan ditangguh," kata bekas Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Munir Chowdhury.
Berkembang
Pada ketika kebuntuan berlarutan, industri tersebut terus berkembang maju di Hazaribagh apabila para peruncit dari Barat membuat permintaan lebih tinggi selepas kos pengeluaran produk yang sama meningkat tinggi di China.
Kulit siap diproses serta barangan kulit seperti kasut menjadi produk eksport paling laris di negara mundur seperti Bangladesh menyaksikan peningkatan bilangan kargo sebanyak 35 peratus sejak Jun hingga Disember 2013 berbanding tempoh yang sama bagi tahun sebelumnya.
"Peruncit dan pembeli dari Barat seperti ketagihan terhadap kos buruh yang sangat murah di Hazaribagh serta kelonggaran standard penguatkuasaan di negara ini. Semua ini tidak akan berubah, melainkan kita melakukan pelbagai tekanan dari semua arah," kata Rizwana sinis.
Bagaimanapun, masih terdapat tanda-tanda penambah baik dalam industri tersebut apabila beberapa pengilang tidak mengamalkan formula penjimatan kos yang memudaratkan pekerja.
Apex Adelchi yang membekalkan kulit siap diproses kepada rangkaian beli-belah Macy's di AS dan Jones Bootmaker di United Kingdom telah membina kilang yang mesra alam sekitar. - AFP
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |