{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Feminin

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Feminin


Wanita pengusaha santan

Posted: 06 Mar 2014 10:07 PM PST

PROSES menimbang berat santan sebelum pengedaran dilakukan.

Ramai yang mengetahui pelbagai hasil boleh dimanfaatkan daripada kelapa. Ini termasuklah buah, batang, umbut, daun, sabut, tempurung dan sebagainya. Melihatkan kepelbagaian daripada buah kelapa menyebabkan Hazah Abu Zarin berani mempertaruhkan perniagaannya dalam bidang santan kelapa.

Siapa menyangka, pengusaha santan yang berusia 55 tahun dan berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini, merupakan penyumbang terbesar bagi edaran santan di semua pelanggan tetapnya di restoran, kedai, pasar raya, kantin sekolah, gerai serta pengguna-pengguna sekitar Subang Jaya, Selangor.

Bukan itu sahaja, berbekalkan tekad dan semangat, Hazah, yang mengusahakan perniagaan santan sejak empat tahun lalu, kini melihat hasil yang memberangsangkan apatah lagi dengan pelbagai produk keluaran kilangnya yang berasaskan santan dan kelapa.

Pada mulanya, ibu kepada empat orang anak ini hanya menjual santan di persekitaran kejiranan di Subang Jaya.

Mendapati permintaan yang amat tinggi terhadap santan keluaran syarikatnya, Jayzaz Enterprise yang terletak di 25, Jalan USJ 1/6B, Taman Subang Mewah, dia memperbesarkan perniagaannya termasuk berpindah ke lokasi yang ada sekarang lengkap dengan mesin dan peralatan yang diperlukan untuk memproses santan.

Buat masa ini dia dibantu lapan pekerja termasuk menantunya, Shafri Abdul Karim, 29.

Dalam masa enam bulan ketika mula-mula berniaga, saya hanya mengedar santan kepada pengguna-pengguna di Subang Jaya. Pada waktu itu saya belum ada kilang. Bekerja pun di bawah khemah sahaja. Tidak selesa dan panas. Pekerja tidak ramai, saya dibantu anak-anak.

Seterusnya saya mempelbagaikan perniagaan berasaskan santan dan kelapa termasuk menjual kerisik, air kelapa, buah kelapa muda serta isinya, kelapa tua, minyak kelapa, minyak kelapa dara, dodol, wajid, jeli kelapa, kelapa parut, kelapa goreng, tempurung, sabut kelapa, juga cili giling dan bawang goreng," jelasnya yang turut mengusahakan perkhidmatan pembersihan dari rumah ke rumah.

Hazah memberitahu, dalam seminggu dia memerlukan lebih 10,000 biji kelapa yang akan dihantar oleh pembekalnya dari Seremban, dua hari sekali. Kelapa yang ada akan dikupas, dibersihkan sabutnya, kemudian diproses.

Katanya, pekerja-pekerjanya akan bekerja bergilir-gilir secara dua syif untuk 24 jam kerana selepas 10 malam santan akan mula diproses, diedarkan kepada restoran-restoran pada pukul empat pagi dan tamat pada pukul 6 pagi dengan kira-kira 400 kilogram santan diedarkan setiap hari.

Pada siang hari pula kilangnya akan menyediakan cili giling, dodol, jeli kelapa, kerisik, kelapa parut dan menyediakan pesanan yang ditempah pelanggan serta pengguna yang datang ke kilang berkenaan.

Hazah memberitahu, dia menyediakan tiga kategori santan untuk kegunaan pengguna, termasuklah santan asli (tiada campuran air), 80 peratus santan bersama campuran air 20 peratus atau 50 peratus santan bersama campuran 50 peratus air.

Pilihan ini dibuat bagi memudahkan restoran-restoran yang mahukan santan dalam kategori yang mana dengan harga yang berlainan," jelasnya yang memulakan perniagaan bermodalkan sendiri sebanyak RM80,000.

Dalam pada itu dia memberitahu, santan keluaran kilangnya akan mendapat permintaan yang berlipat ganda ketika musim-musim perayaan, bulan Ramadan, musim kenduri kendara dan sebagainya sehingga tidak menang tangan.

Bekas jururawat

Apabila ditanya bagaimana berminat dengan perniagaan seperti ini dia memberitahu, pada asalnya dia yang merupakan bekas jururawat terlatih di Pusat Perubatan Universiti Malaya ini mengalami kesukaran untuk mendapatkan santan di kawasannya dan kemudian timbul idea untuk membuka perniagaan santan.

Tambahan dia juga mahu mengedarkan santan keluaran orang Islam untuk digunakan oleh pengguna-pengguna Islam yang lain.

Banyak cabarannya jadi usahawan santan ini, selain berhadapan dengan kerja-kerja kasar, kita juga menghadapi kekurangan kelapa dalam pasaran selain persaingan daripada peniaga lain.

Masa tidur saya juga tidak menentu kerana kerja-kerja proses santan dan edaran perlu dilakukan di waktu malam sehingga ke pagi dan tiada masa bercuti lama kerana tempahan pelanggan sentiasa ada," katanya yang bakal membuka cawangan baharu pada hujung tahun ini di Damansara dan Seri Kembangan, Selangor.

Dalam pada itu Hazah, isteri kepada Jaafar Abdullah, 57, memberitahu, sebagai pengusaha santan kebersihan produk itu perlu diutamakan memandangkan santan berkait rapat dengan proses penyediaan lauk-pauk.

Sekiranya santan kita kotor dan tercemar pasti proses penyediaan lauk-pauk akan memudaratkan orang ramai yang memakannya," jelasnya yang boleh dihubungi di talian 010-257 3784. - ROSMAH DAIN

Usahawan kuih gigih

Posted: 06 Mar 2014 10:07 PM PST

Oleh Rosmah Dain
Gambar Rushdi Salleh

NATERAH Tamby Che bersama replika cek Skim Bantuan Geran Perniagaan Orang Kurang Upaya.

Naterah Tamby Che, 63, memang berminat dengan bidang masakan. Dia mengambil keputusan untuk bersara awal daripada bidang perbankan yang disertainya semata-mata untuk bersama anak-anak yang semakin membesar.

Daripada duduk sahaja di rumah, Naterah mula belajar memasak kuih-kuih Melayu, selepas itu dihantar ke surau untuk jemaah yang hadir.

Menggembirakan dirinya apabila kuih-muihnya mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada jiran-jiran.

Seterusnya, dia mendapat gerai jualan di pasar Ramadan pada 2001. Sambutan kuih-kuihnya terus hangat sehinggakan restoran-restoran dan hotel-hotel ternama menempah kuih-muih hasil tangan Naterah.

Malang menimpa, pada 2008 apabila Naterah diuji dengan serangan angin ahmar menyebabkan anggota sebelah kirinya tidak boleh digerakkan.

Agak lama dia terlantar sebelum berusaha memulihkan diri dan akhirnya mampu berjalan semula biarpun bertatih.

Seminggu juga saya terlantar di hospital. Kemudian saya balik dan seterusnya belajar berjalan menerusi sesi fisioterapi dan terapi-terapi yang dilakukan di Nasam (Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia), hospital dan berurut.

Alhamdulillah, biarpun agak lemah tapi kaki saya ini bolehlah berjalan semula biarpun tidak sempurna dan sakit setiap kali melangkah. Saya juga perlu berjalan dengan berhati-hati kerana saya mudah terjatuh," ujarnya yang mempunyai lima orang anak dan lima orang cucu ini.

Nekad, biarpun dengan keadaan dirinya yang kurang sempurna Naterah mengambil keputusan untuk berniaga kuih-muih Melayu, iaitu pekerjaan yang dia amat mahir melakukannya.

Bermula dari situ, dia cuba membuktikan anggapan bahawa apabila seseorang itu terlantar akibat angin ahmar, insan itu sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi adalah tidak benar.

Menggunakan hanya sebelah tangan dan dibantu oleh suami, Naterah memulakan perusahan menjual kuih-muih Melayu tradisional, makanan-makanan tradisional, kuih sejuk beku dan sebagainya termasuk mengusahakan katering.

Antaranya termasuklah 59 jenis kuih-muih Melayu seperti apam tepung beras, buah Melaka, agar-agar merah, cara berlauk, kuih bakar, kuih lapis, kole kacang, kuih lopes, bingka ubi dan sebagainya, juga lebih 20 jenis biskut-biskut raya dan aneka nasi, pulut serta mi.

Perniagaan kuih-muih yang dilakukan di rumahnya di Subang Jaya, Selangor itu ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai yang menggemari semua jenis kuih-muihnya dengan tempahan yang tidak menang tangan setiap minggu.

Saya berusaha sendiri. Kalau ada tempahan saya akan bangun seawal empat pagi untuk menyediakan kelengkapan kuih-muih yang ditempah. Mujurlah tangan kanan saya masih berfungsi.

Menggunakan tangan kanan saya akan menguli dan menyiapkan kuih-kuih berkenaan sehingga siap. Sekiranya tempahan banyak saya akan mengupah pembantu," jelasnya.

Naterah juga boleh menyediakan makanan sejuk beku lebih daripada 500 jenis kuih seminggu.

Baru-baru ini atas dasar inisiatif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi Jabatan Tenaga Kerja Subang Jaya, telah memberi Naterah set kelengkapan membuat kuih termasuk mesin kelim karipap (dari Sirim), mesin penggaul tepung, dapur pembakar kuih, mesin pengopek ubi kentang dan sebagainya yang berjumlah lebih RM35,000 di bawah Skim Bantuan Geran Perniagaan Orang Kurang Upaya.

Seterusnya Naterah bercita-cita untuk memasarkan kuih-muih keluarannya ke luar negara termasuk Brunei dan Singapura.

Untuk itu dia sedang memikirkan apakah kaedah dan langkah yang sesuai termasuk promosi dan mengemas kini cara pembungkusan agar nampak lebih maju.

Selain itu dia juga turut menerima tempahan sate dan bakal membuka perniagaan sate sekiranya banyak tempahan kelak dan bagi kuih-muih, dia mampu membuat kuih sebanyak 30 loyang (berukuran 10cmx10cm) sekali mengikut tempahan.

Tempahan kuih-muih ini ikut musim, sekiranya cuti sekolah dan hari raya serta bulan Ramadan saya dapat permintaan yang amat banyak.

Saya juga mempelawa sekiranya sesiapa yang berminat untuk belajar masakan kuih-muih tradisonal untuk menghubungi saya.

Saya sebenarnya amat bersyukur dengan kemahiran yang dianugerahkan Tuhan yang saya dapat gunakan untuk diri saya sendiri. Namun apa yang penting, dengan sentiasa sibuk seperti ini saya dapat melupakan kesakitan saya.

Saya mahu buktikan tidak sempurna seperti saya biarpun pada asalnya saya sihat dahulu tidak mematahkan semangat saya untuk berusaha," katanya yang boleh dihubungi di talian 012-334 0122.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat