{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Keluarga

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Keluarga


Terpikat tengok Shamsuri imamkan solat

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

Shamsuri Shafie bersama isteri dan dua orang anak lelakinya.

KEIKHLASAN Datuk Shamsuri Shafie mengimamkan solat Maghrib bagi memenuhi permintaan sebuah keluarga biarpun baru berusia 16 tahun pada ketika itu berjaya mencairkan hati seorang gadis yang kini menjadi permaisuri hatinya.

Datin Rosnaida Ismail yang ketika itu berusia 14 tahun tertawan dengan keluhuran serta keikhlasan yang terbit daripada sanubari suaminya sekali gus mengukuhkan lagi ikatan perkenalan mereka ketika itu.

Bermula dari situ, perkenalan mereka yang mendapat sokongan penuh daripada kedua-dua ibu bapa serta ahli keluarga terus berpanjangan ke jenjang pelamin selepas mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Shamsuri, 30, yang merupakan pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibi memberitahu, perkenalan mereka mula berputik ketika dia berada di tingkatan tiga dan Rosnaida pula di tingkatan satu.

Ketika itu, saya bersekolah di Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Shamsul Maarif Lelaki di Labok, Machang, Kelantan manakala isteri di SMUA Shamsul Maarif Perempuan yang terletak di Pulai Chondong.

Jarak sekolah kami agak jauh dan perkenalan saya dengan isteri bermula ketika kami sama-sama menyertai kelas tuisyen di bandar Machang. Ketika itu, saya pernah meminta nombor telefon daripadanya, namun dia enggan memberikannya.

Saya terus memberanikan diri dan akhirnya dia memberikan nombor telefon tetapi memberitahu jika ikhlas mahu berkawan dengannya, saya perlu mendapatkan kebenaran daripada ibu bapanya," katanya ketika ditemui S2 di rumahnya di Kampung Ayer Merah, Bukit Bakar, Machang.

Tambahnya, selepas mendapat restu, kedua-dua ibu bapa isterinya itu telah mempelawa beliau untuk bertandang ke rumah yang terletak di Kampung Bilal Talib, Pulai Chondong, Machang.

Shamsuri berkata, ketika tiba di rumah keluarga Rosnaida, dia telah diminta oleh keluarga tersebut untuk mengimamkan solat Maghrib.

Saya sampai di rumahnya agak lewat iaitu menjelang waktu Maghrib. Ini kerana sebelum itu, saya terpaksa menghadiri kelas tambahan.

Alhamdulillah, saya berjaya memenuhi permintaan keluarganya walaupun agak gementar ketika itu.

Hanya selepas itu, barulah dia memberikan respons dan kami mula berkawan serta saling mengenali hati budi antara satu sama lain," ujarnya.

Tambahnya, mereka hanya berhubung melalui telefon dan tiada istilah dating sebagaimana lazim yang dilakukan oleh pasangan anak muda lain kerana masing-masing tahu batas-batas agama, selain tuntutan sebagai pelajar dan anak yang menjadi harapan keluarga.

Menceritakan lebih lanjut, Shamsuri memberitahu selepas mengenal hati budi masing-masing, beliau mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan biarpun ketika itu isterinya masih belum menamatkan pelajaran di peringkat sekolah menengah.

Katanya, ketika bertunang, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Bahasa Arab di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan setahun kemudian mereka mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang.

Selepas mendirikan rumah tangga, pasangan itu sama-sama melanjutkan pengajian di KUIS dalam bidang berlainan.

Alhamdulillah hasil perkongsian hidup sejak tahun 2006, kami telah dikurniakan empat cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Aqif Danish (6), Muhammad Aqil Daniel (4), Muhammad Aisy Darwish (3) dan Muhammad Arryan Danian (1).

Selain itu, kehadiran dua orang anak angkat iaitu Fatin Nabilla Abdullah (9) dan Nor Auni Shafia (2) menjadi bukti pengikat kasih antara kami," jelasnya.

Sementara itu, Shamsuri memberitahu beliau terpikat dengan kelembutan serta keperibadian yang ditonjolkan oleh isterinya sepanjang mereka berkenalan dan membuatkan hatinya terbuka untuk mengambilnya sebagai teman hidup.

Katanya, sikap saling memahami yang ada pada Rosnaida turut menjadi salah satu daya penarik.

Pada saya, keserasian dan hati budi antara bakal pasangan amat diperlukan bagi memastikan ikatan rumah tangga yang dibina terus kekal utuh, selain mengikut suruhan agama.

Isteri saya cukup memahami kerjaya saya sebagai pengamal perubatan Islam, malah dia memberikan sokongan penuh kepada saya. Ini menguatkan lagi semangat saya untuk terus menabur bakti kepada masyarakat," jelasnya.

Dalam pada itu, Shamsuri turut berkongsi tip dalam memastikan ikatan rumah tangga yang dibina terus kekal serta mendapat keredaan Allah iaitu sering mengadakan solat jemaah bersama anak-anak dan isteri.

Solat jemaah adalah salah satu kunci yang diamalkan oleh saya, selain membaca ayat 102 dan 103 dalam surah al-Baqarah," ujarnya.

Paling menarik sepanjang temubual ini berlangsung, Rosnaida hanya tersenyum mendengar kenangan manis yang dikongsikan oleh suaminya.

Ketika diminta mengulas mengenai detik awal pertemuannya, Rosnaida menjawab dengan ringkas:

Saya tertarik dengan suami kerana beliau seorang yang sangat romantik dan bertanggungjawab. Dua perkara ini serta sikapnya yang suka berjenaka menawan hati saya."

Katanya, biarpun kehidupan mereka berubah selepas Shamsuri membuka pusat rawatan sendiri, namun suaminya tidak pernah sesekali mengabaikan tanggungjawabnya terhadap keluarga.

Malah setiap kali keluar merawat pesakit di seluruh negara, beliau akan menghubungi saya dan bertanyakan soal anak-anak termasuklah pembelajaran mereka," ujarnya.

Jelasnya, setiap kali masa terluang, mereka sekeluarga akan menghabiskan masa beriadah bersama-sama seperti bersukan dan keluar bersiar-siar di taman dengan anak-anak.

Bacaan surah Yasin dan solat berjemaah menjadi rutin buat kami sekeluarga dan bagi memudahkannya, suami menyediakan sebuah bilik khas," katanya.

Mengulas mengenai kerjaya suaminya sebagai pengamal perubatan Islam, Rosnaida berkata dia sentiasa memberikan sokongan penuh kepada Shamsuri, selain ringan tulang membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

Katanya, walaupun terpaksa berkorban masa, namun dia tetap gembira dengan kerjaya suaminya.

Sebagai tanda sokongan, saya pernah mengikuti beliau menjelajah ke seluruh negeri untuk membantu merawat mereka yang memerlukan bantuan," ujarnya.

Menantu risau perangai pelik mentua

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

MASALAH dengan mentua bukan perkara baru dalam hidup pasangan suami isteri, cuma sekarang agak kurang didengar kerana kebanyakan pasangan tidak lagi tinggal sebumbung dengan mentua.

Namun masalah ini masih berterusan walaupun pasangan suami isteri tidak tinggal bersama mentua. Sama ada kita sedar atau tidak, masalah mentua mengganggu rumah tangga anak menantu tetap berlaku terutama anak lelaki yang menjadi kesayangan mak.

Kita ikuti cerita Zati (bukan nama sebenar) tentang pengalaman bersama mentuanya. Zati sudah empat tahun bergelar isteri kepada Amran (bukan nama sebenar), seorang pegawai di sebuah syarikat swasta.

Tidak tahu di mana silapnya kata Zati, di mata mentuanya dia sentiasa salah dan tidak pernah mendapat restu dan pujian mentua.

Ingin tahu apa yang berlaku, kita ikuti cerita Zati.

Saya berusia lewat 30-an, bernikah dengan Amran yang sudah mencecah 40-an atas dasar cinta dan kasih sayang semasa menuntut di universiti.

Suami saya anak ketiga dalam keluarganya seramai empat orang, tiga lelaki dan seorang perempuan. Sejak berkawan, saya dapat rasakan saya bukan menantu yang disukai oleh ibu Amran tetapi kerana sayang saya korbankan perasaan buruk dan syak wasangka saya kepadanya.

Pernikahan kami berjalan lancar, saya dirisik, dipinang dan disandingkan dalam suasana gilang-gemilang...syukur kepada Allah. Sepanjang tempoh itu, saya tidak nampak mentua saya tidak suka kepada saya.

Tapi bulan pertama perkahwinan kami, mentua mula buat hal. Saya mula nampak belangnya sebab setiap minggu dia arahkan suami saya balik kampung. Bayangkan dua jam perjalanan setiap minggu pergi dan balik.

Pada mulanya kami ikutkan permintaannya kerana fikir mungkin dia rindukan suami saya sebab kami baru bernikah. Sayangnya keadaan tidak berubah. Berlarutan sehingga setahun, dia tetap macam itu.

Mengarah dan mengatur hidup kami mengikut suka hatinya menjadi amalan mentua saya. Saya mula rimas dan menegur suami. Tapi anak dengan mak, mana boleh membantah. Sudahnya saya tidak larat lagi nak ikut balik kampung setiap minggu lantaran kerja yang banyak dan urusan anak-anak yang perlu diutamakan.

Sikap saya menyebabkan mentua naik angin, saya dicap sebagai menantu degil, sombong dan tidak taat kepada suami, pada hal saya juga mahukan ruang untuk diri saya dan keluarga. Bukan tidak mahu balik, tapi kalau setiap minggu, bagi saya sudah melampau.

Apabila saya balik, mentua langsung tidak pandang wajah saya, sepatah saya tanya, sepatah dijawabnya. Saya macam orang asing di dalam rumah kalau mereka berkumpul adik beradik. Saya sedih dengan layanan mak mentua kepada saya sedangkan hubungan saya dengan ipar-duai yang lain semua baik belaka.

Puas saya berdoa dan bertanya apakah kekurangan saya sehingga mentua benci sangat kepada saya. Sampai hari ini saya masih tidak mendapat jawapannya. Suami selalu minta saya bersabar kerana lambat laun maknya akan berubah katanya, tapi sampai bila?

Sekurang-kurangnya saya tahu apa silap dan kekurangan saya supaya saya dapat baiki dan perbetulkan kekurangan tersebut. Ini tidak..., buat saya macam tidak wujud. Kadangkala bila kami berkumpul beramai-ramai, saya duduk dalam bilik, takut nak keluar bimbang dimalukan di hadapan orang lain.

Tapi yang saya pelik apa sahaja buah tangan yang saya beli diterima oleh mentua. Malah kalau dia teringinkan apa-apa, dia akan beritahu suami saya keinginannya itu dan menyuruh saya yang belikan.

Mak dan keluarga saya juga minta saya bersabar, kata mereka perangai orang tua memang macam itu. Allah sayangkan saya sebab itu dia uji saya begitu, kata mak. Saya akur dengan kata-kata mak sebab mak sahaja tempat saya mengadu susah senang saya.

Saya menjadi buntu sebab saya telah berusaha memahami mak mentua saya tapi sampai hari ini saya masih tidak faham dengan perangai peliknya itu.

Sebelum ini, biras saya, isteri kepada abang suami saya pernah melalui perkara yang sama tetapi alhamdulillah dia sudah diterima oleh mentua saya setahun lalu setelah tujuh tahun memendam rasa.

Itu pun macam-macam kerenah yang biras saya hadapi seperti mana yang saya lalui sekarang. Kata jiran-jiran, mentua saya memang pelik perangainya. Sejak zaman muda, dia sombong, tidak suka berkawan dengan jiran-jiran tetapi semua cerita orang dia tahu.

Mentua saya katanya seorang yang suka cakap besar pada zaman mudanya, maklumlah, suaminya penjawat awam yang berpangkat tinggi, dia juga suka bermegah-megah dengan kehidupannya yang agak mewah di kampung itu.

Apa pun yang orang cerita tentang mentua saya, bagi saya dia tetap perlu dihormati. Seperti kata biras saya, kena sabar dan banyak berdoa, insya-Allah sampai masa dia akan berubah. Saya setuju tetapi menunggu sampai saat itu yang memeningkan kepala saya.

Saya tahu memang sukar menjaga hati orang tua. Sama ada dia suka kepada kita atau tidak, saya kena tahan dan sabar. Kalau dia tidak suka kepada saya tentu bila saya balik dia halau, atau sekurang-kurangnya dia akan beritahu suami saya supaya jangan bawa saya balik ke rumahnya.

Ini tidak, bila suami balik seorang dia tanya saya kenapa tak balik. Bila saya balik dia buat sombong dan tak bertegur sapa dengan saya. Apa saya masak dia makan dan kadangkala minta suami belikan apa yang dia nak makan dan suruh saya masak.

Pelikkan? Tapi itulah perangai mentua saya. Saya lagi pelik dengan kerenah dia tetapi saya akan terus sabar dan membaiki diri mana yang masih ada kekurangan dan kelemahan.

Sampai kini saya masih bertahan, tapi tidak pasti sampai bila. Saya juga mendoakan agar satu hari nanti mentua saya akan berubah dan menerima saya seadanya.

Saya juga rindukan kasih sayang mentua, gelak ketawa dan masa terluang untuk berborak dengannya. Apakah saat itu akan saya temui?

Semoga Allah perkenan doa saya supaya saya boleh memberi perhatian kepada mentua dengan rasa lebih bertanggungjawab dan penuh kasih sayang. Mudah-mudahan ada keajaiban yang berlaku dalam hubungan saya dan mentua. Insya-Allah. Zati menamatkan ceritanya.

Sudah dapat menantu yang baik hati begini pula jadinya, itulah lumrah hidup berumah tangga. Pertelingkahan mentua dan menantu menjadi lumrah tetapi pada masa yang sama masalah juga perlu diambil kira.

Pun begitu, tidak semua orang menghadapi masalah seperti mana yang Zati hadapi. Hanya segelintir sahaja. Saya pasti ada penyelesaian buat Zati dengan mentuanya dalam masa terdekat seperti mana yang berlaku kepada birasnya.

Zati harus berbangga kerana suami dan ibu kandungnya sentiasa ada memberi sokongan. Biar apa orang nak kata dia tetap mentua yang perlu disayangi dan dihormati.

Mengakhiri catatan minggu ini, sepatah pesanan untuk anda semua, kebahagiaan adalah seperti mawar yang ditanam, ada masa tidak berbunga tetapi ia pasti akan terus tumbuh segar dan bertambah durinya. Begitu juga dalam perhubungan, sentiasa ada ujiannya. Sabar, tawakal dan berdoa, insya-Allah ada sinarnya nanti.

Salam

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat