Utusan Online - Kesihatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kesihatan |
Posted: 19 Mar 2014 11:17 PM PDT USAH biarkan anak anda berhadapan dengan masalah rabun yang berlarutan. - Gambar hiasan AINA pada tahun ini sudah mencecah usia tujuh tahun. Dia juga telah memulakan sesi persekolahan sebagai seorang pelajar baharu di sekolahnya. Ketika berada di dalam kelas, apabila guru sedang mengajar, dia sering berhadapan dengan masalah untuk memahami pelajaran tersebut dengan cepat. Ini berlaku kerana penglihatannya kurang jelas dan kabur apabila melihat huruf dan nombor yang ditulis di papan putih. Beberapa kali guru menegurnya kerana Aina tidak memberi perhatian ketika guru sedang mengajar kerana minat dan mood untuk belajar semakin hilang lantaran masalah yang sedang dihadapinya. Ternyata Aina seorang pelajar yang bijak kerana dia tidak berdiam diri dengan masalah yang sedang dihadapi tetapi terus mengadu kepada ibunya. Apabila mengetahui masalah yang dihadapi Aina, ibunya segera membawa Aina untuk berjumpa dengan pakar optometris. Selepas menjalani beberapa prosedur, Aina telah disahkan mengalami masalah rabun jauh. Bagi membantu Aina menjalankan rutin hariannya dengan mudah, dia telah disyorkan oleh pakar mata untuk memakai kaca mata. Masalah rabun bukannya kes terpencil yang dialami oleh kanak-kanak sebaya Aina kerana kajian telah menunjukkan kanak-kanak mengalami masalah rabun jauh adalah paling tinggi di Asia. Pakar mata ParkCity Medical Centre Sdn. Bhd., Rosesela Padmanathan berkata, masalah rabun terjadi apabila mata tidak dapat membiaskan cahaya dengan betul. Rabun dibahagikan kepada tiga kategori iaitu rabun jauh, rabun dekat dan rabun silau. Kategori rabun jauh adalah mereka yang mempunyai masalah untuk melihat objek yang berada dari jarak jauh. Rabun dekat pula apabila individu itu tidak dapat melihat objek dari jarak dekat dan rabun silau menyebabkan pandangan terhadap objek dari jarak jauh dan dekat tidak jelas. Titik fokus perlu jatuh ke atas retina mata untuk seseorang individu mendapat imej jelas. Bagi rabun jauh, titik fokus imej akan jatuh pada bahagian hadapan retina, manakala rabun dekat pula titik fokus berada pada bahagian belakang retina dan rabun silau menyebabkan sebahagian cahaya akan jatuh ke atas retina dan sebahagiannya di hadapan atau pun belakang retina," kata Rosesela. Tambahnya, purata kanak-kanak Asia yang berumur tiga tahun memakai cermin mata semakin meningkat setiap tahun. Antara faktor yang mendorong peningkatan masalah rabun disebabkan oleh keturunan, persekitaran tidak baik, pemakanan dan individu yang mempunyai penyakit mata. Jika ibu atau bapa mempunyai masalah rabun, potensi anak mereka untuk mendapat masalah rabun juga meningkat. Namun jika kedua-duanya tidak mempunyai masalah rabun tetapi anak mereka mendapat rabun itu mungkin disebabkan beberapa faktor lain yang berkait rapat seperti persekitaran yang melibatkan komuniti tinggal di kawasan bandar lebih terdedah berbanding kawasan pedalaman. Pengambilan vitamin A juga penting kepada badan untuk membantu kelancaran proses biokimia pada mata. Petua-petua seperti makan lobak merah untuk membantu mempertingkatkan kuasa mata sebenarnya tidak tepat kerana fungsinya lebih kepada membantu kesihatan mata sahaja," katanya. Sementara itu, mereka yang mengalami masalah mata atau ketumbuhan pada otak, bayi yang lahir pramatang, tabiat membaca dalam gelap dan membaca terlalu lama dalam sehari turut menyumbang kepada masalah rabun. Tambah Rosesela, ibu bapa perlu bertindak seawal yang mungkin, sekiranya mereka mengesyaki anak mereka mengalami masalah mata. Kebarangkalian untuk mendapat masalah penglihatan boleh berlaku pada semua peringkat usia. Apabila dikesan dari awal, kebanyakan masalah mata yang biasanya dihadapi kanak-kanak dapat diperbetulkan dan rawatan yang sewajarnya dapat dilakukan. Sebaik-baiknya ibu bapa perlu membawa anak membuat pemeriksaan mata setahun sekali. Pemeriksaan mata secara tetap memberi banyak manfaat. Tidak hanya sekadar memeriksa sama ada memerlukan pemakaian cermin mata atau tidak, tetapi juga mengenal pasti masalah mata yang serius sekali gus dapat melakukan rawatan pada peringkat awal," ujarnya. - Siti Aishah Yusoff |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |