{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Kesihatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Kesihatan


Sakit sendi rahang

Posted: 24 Mar 2014 10:49 PM PDT

Bayangkan keadaan di mana ketika anda baru bangun dari tidur, tiba-tiba terasa sakit di hadapan kedua-dua telinga atau lebih tepat di pangkal rahang. Sakit yang dialami seperti dicucuk-cucuk dan amat mengilukan, disertai dengan denyutan seperti sakit gigi yang berlarutan sehingga petang dan adakala berhari-hari lamanya.

Semestinya situasi itu menyebabkan anda mengalami gangguan emosi dengan rutin harian turut terbatas kerana sakit tersebut membuatkan rasa tidak selesa dan resah.

Jika anda pernah mengalami atau sedang mengalami situasi ini, tindakan sewajarnya perlu dilakukan segera.

Segera berjumpa doktor kerana berkemungkinan anda sedang menanggung kesakitan akibat sakit sendi rahang.

Menurut Pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial dari Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr. Roslan Abdul Rahman, sakit sendi rahang bukan berada dalam kategori penyakit berbahaya, tetapi ia merupakan antara penyakit yang kerap ditemui dalam kalangan pesakit yang datang mendapatkan rawatan di hospital.

Penyakit ini tidak memilih mangsa kerana ia boleh menyerang semua golongan peringkat umur daripada usia seawal 12 tahun sehingga mencecah lewat 70-an.

Individu yang diserang sakit sendi rahang lazimnya tidak mengetahui atau tidak sedar bahawa mereka menghidap penyakit tersebut sehingga kesakitan yang dialami tidak dapat dikawal.

Apabila pesakit datang untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami kesakitan yang teramat sangat pada bahagian hadapan telinga, biasanya mereka akan terkejut jika diberitahu ia langsung tiada kaitan dengan sakit gigi sebaliknya mereka menghidap sakit sendi rahang," jelasnya.

Menurut Dr. Roslan lagi, disebabkan sakit tersebut datang secara mengejut, individu yang sedang menghadapi situasi itu akan menjadi keliru berikutan pelbagai rasa rasa sakit yang mereka sendiri sukar untuk menjelaskannya.

Katanya, penyakit sakit sendi rahang tidak mempunyai punca yang spesifik apabila menyerang mangsanya, termasuk pada mereka yang tidak mempunyai sejarah pernah terlibat dalam kemalangan.

"Antara faktor kemungkinannya ialah rahang telah berubah kedudukan menyebabkan gigi berada dalam keadaan tidak seimbang.

"Akibatnya pesakit berkemungkinan mempunyai masalah gigitan tidak normal tetapi tidak pernah menyedarinya. Keadaan gigi tidak seimbang ini menyebabkan daya kunyahan antara rahang kanan dan kiri turut terjejas," katanya.

Menurut Dr. Roslan lagi, antara petanda awal yang boleh dikenalpasti ialah wujud rasa sakit yang tiba-tiba pada bahagian hadapan kedua-dua belah telinga.

Sakit tersebut juga boleh menyerupai seperti sakit gigi dan denyutan kuat pada kepala seperti sakit kerana migrain.

Selain itu, faktor tekanan juga berhubung kait dengan kesakitan yang dialami. Walaupun tiada bukti kukuh hubung kait tekanan dengan sakit sendi rahang, tetapi berdasarkan rawatan yang dilakukan kepada sebahagian pesakit melalui aduan dan masalah yang dihadapi, tidak dinafikan individu yang mempunyai tekanan tidak terkawal turut mempunyai risikonya," katanya.

Dr. Roslan menambah, apabila seseorang yang sedang berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang penyakit, secara tiba-tiba diserang penyakit sakit sendi rahang, ia akan mengakibatkan emosi mereka terganggu dan aktiviti harian turut terjejas.

Kesan penyakit ini terutama jika berada pada tahap kronik menyebabkan pesakit mempunyai kesukaran untuk membuka mulut terutamanya untuk tujuan komunikasi, makan dan minum.

Kebanyakan pesakit yang mengalami masalah ini tidak tahu mereka sedang menghidap sakit sendi rahang. Sebahagiannya yang menganggap sakit itu biasa dan boleh hilang menyebabkan mereka membiarkannya sehingga beberapa hari sebelum berjumpa doktor," katanya.

Prosedur rawatan

Katanya, terdapat beberapa prosedur akan dilakukan kepada pesakit bagi mengenal pasti penyakit sendi rahang sebelum melakukan rawatan selanjutnya.

Selepas pakar mendiagnosis individu tersebut mendapat sakit sendi rahang, beberapa langkah pemeriksaan penting akan dilakukan dengan terperinci pada bahagian yang sedang dialami pesakit.

Sendi pada bahagian rahang mempunyai struktur tisu lembut yang bertujuan melindungi permukaan rahang tersebut.

"Penyakit sakit sendi rahang yang terjadi melibatkan otot dan tisu lembut seperti ligamen yang membentuk dan mengelilingi rahang itu tercedera. Pemeriksaan lanjut seperti ujian X-ray dan MRI diperlukan bertujuan melihat kedudukan sendi pada bahagian rahang dengan jelas dan mudah," ujarnya.

Beliau berkata, bagi mengurangkan rasa sakit yang dialami, pesakit akan diberikan beberapa rawatan dan ubatan dalam jangka masa tertentu.

Pesakit akan diberikan peralatan khusus untuk dipakai pesakit sewaktu mereka tidur bagi mengelakkan mereka menggigit atau mengisar gigi ketika tidur. Mereka juga dibekalkan dengan ubat penahan sakit seperti analgesik bergantung kepada tahap kesakitan yang dialami.

Selain itu mereka juga dinasihati mengelakkan daripada memakan makanan keras dan tidak membuka mulut secara luas sama ada ketika ketawa mahupun bercakap dan makan.

"Langkah berkesan juga ialah dengan melakukan senaman rahang bertujuan membetulkan kembali tisu lembut dan kedudukan sendi rahang yang tercedera," katanya. - Siti Aishah Yusoff

Rahsia sihat Dr. Siti Hasmah

Posted: 24 Mar 2014 10:49 PM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar ZAINI HUSIN

Dr. Siti Hasmah berkongsi tip kesihatan bersama Dr. Mohd. NaharAzmi Mohamad (kiri) dan Mary Easaw (tengah) pada Forum TChat anjuran Persekutuan Penyakit Tidak Berjangkit Malaysia, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Diet saya amat ringkas. Saya makan sedikit. Kalau makan di luar seperti di hotel, saya akan minta pinggan kecil kerana saya tidak mahu makan banyak. Kuih yang paling saya suka ialah popia dan jika dapat satu pun saya akan potong dua dan bagi satu pada suami.

Dua pesanan ibu mertua yang saya ingat sehingga ke hari ini ialah apabila sedang seronok makan, berhenti dan jangan makan lagi. Kedua ialah apabila kita sedang disukai dan berada di puncak, undurkan diri.

Tip sihat dan pesanan ringkas tetapi punya maksud mendalam itu dikongsi oleh Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali pada majlis pelancaran siri pertama Forum TChat anjuran Persekutuan Penyakit Tidak Berjangkit Malaysia (NCD Alliance Malaysia) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada usia 88 tahun dan penglihatan yang kurang jelas, beliau masih mampu menggagahkan diri menghadiri forum tersebut bagi berkongsi pengalaman pahit manisnya.

Isteri Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, itu turut berkongsi pengalaman hidupnya sejak muda sebagai isteri, ibu dan bekas wanita pertama.

Ibu kepada tujuh orang anak ini bersyukur kerana diberikan kekuatan fizikal dan mental sehingga ke hari ini.

Baginya, setiap hari merupakan bonus kepada beliau kerana dapat melalui hari-hari yang menggembirakan di samping suami tersayang, anak-anak dan cucu.

Mengenang kembali zaman remaja, kata Dr. Siti Hasmah, semasa zaman Jepun, beliau baru berusia 16 tahun.

Semua mengetahui waktu itu beras dicatu dan beliau sekeluarga hanya makan nasi yang dimasak bersama ubi kayu.

Keluarga beliau turut mempunyai kebun yang ditanam ubi, timun, cili dan sayur-sayuran.

Selepas British mengambil alih, kehidupan lebih baik sedikit tetapi keluarga saya masih mengamalkan makan sedikit.

Coklat pertama yang saya dapat adalah yang diberi oleh seorang askar British.

Makanan seharian adalah nasi dan ikan. Jarang sekali dapat makan ayam dan daging, tetapi kami banyak makan sayur. Sekali-kali apabila pergi kenduri, dapatlah kami makan daging dan ayam itu pun tidak banyak.

Selepas tamat perang, saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Singapura. Berbekalkan elaun RM15 sebulan, saya hanya makan roti yang disapu Marmite untuk sarapan, makan tengah hari dan malam, cerita beliau.

Selepas tamat pengajian dan bekerja, tambah Dr. Siti Hasmah, badannya mula berisi dan pernah ditegur oleh abang.

Namun ujar beliau, bagus juga kalau ada yang menegur kerana kita akan mula menjaga berat badan.

Tun Mahathir sendiri selalu menegur kalau beliau bertambah berat badan dan jika beliau kurus, Tun akan memuji beliau nampak lebih cantik.

Bagaimanapun, kata beliau, waktu yang paling sukar ialah apabila mengikut suaminya berkempen.

Ini kerana, apabila berkunjung dari rumah ke rumah, beliau akan dihidangkan dengan teh susu atau milo dan terpaksa ditolak dengan lembut kerana beliau memang tidak minum susu pekat yang mengandungi terlalu banyak gula.

Dalam kesibukan, Dr. Siti Hasmah tetap meluangkan masa untuk bersenam dan senaman pertama yang dilakukan adalah bersenam bersama Jane Fonda yang diikuti melalui video.

Beliau juga melakukan yoga yang dilakukan bersama-sama anak dan pernah mengikuti kelas tai-chi.

Dalam pada itu forum TChat anjuran Persekutuan Penyakit Tidak Berjangkit Malaysia, bertujuan mendidik dan mendedahkan rakyat terhadap kesedaran mengubah cara hidup bagi mencegah penyakit tidak berjangkit.

Forum tersebut merupakan siri pertama bagi 10 Forum Tchat yang dirancang sepanjang tahun ini.

Forum tersebut dilihat sebagai pentas di mana pakar dan orang ramai berkongsi pandangan, idea serta pengalaman terhadap amalan gaya hidup sihat.

Forum juga bertujuan untuk menyampaikan maklumat serta melobi para penggubal polisi. Sesi TChat akan dirumus inti patinya dengan pesanan penting dan cara yang mudah untuk diamalkan bagi kehidupan yang lebih sihat.

Tiga orang pakar dalam bidang masing-masing telah berkongsi pandangan mereka dalam forum tersebut.

Selain Dr. Siti Hasmah sendiri sebagai tetamu jemputan, turut berkongsi maklumat Ketua Pakar Pemakanan, Institut Jantung Negara, Mary Easaw dan Pensyarah Kanan dan Sukan, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Mohd Nahar Azmi Mohamed, serta Presiden NCD Alliance Malaysia, Ranjit Kaur sebagai pengerusi majlis.

Sementara itu, penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Diseases (NCD) merupakan penyebab utama kematian, iaitu 60 peratus (35 juta) daripada keseluruhan kematian peringkat global.

Berdasarkan Profil Negara bagi NCD 2011 yang diterbitkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit tidak berjangkit bertanggungjawab ke atas 67 peratus kematian di kalangan penduduk Malaysia.

Statistik ini sudah pasti mengejutkan memandangkan 86 peratus kematian akibat penyakit tidak berjangkit ini boleh dicegah.

Penyakit ini pada amnya adalah berkisar daripada empat faktor risiko yang boleh diubah, iaitu penggunaan tembakau (merokok), kurang aktif fizikal, pemakanan yang tidak sihat dan berlebihan mengambil minuman keras.

Selain itu, perlu juga disedari bahawa 4.4 juta penduduk Malaysia dianggarkan menghadapi masalah berat badan berlebihan (obesiti), yang sudah tentunya meningkatkan risiko penyakit.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat