Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Pembangkang diselar main isu keputusan mahkamah Posted: 12 Mar 2014 12:13 PM PDT HULU LANGAT 12 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar pakatan pembangkang yang memainkan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang. Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, pembangkang juga tidak prihatin apabila mempermainkan kejadian yang menimpa pesawat MH370. Menurutnya, maklumat yang diperolehnya mendapati keputusan kes mahkamah melibatkan Anwar merupakan antara isu yang ditimbulkan pembangkang dalam kempen mereka pada PRK Kajang. "Tetapi saya yakin pengundi Kajang bijaksana dan tahu bahawa negara kita ada sistem kehakiman. "Ini bukan soal antara kerajaan dengan Anwar. Ini antara kes Anwar dengan Saiful (bekas pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan) dan menjalani proses perbicaraan," katanya kepada pemberita selepas melawat bilik gerakan pusat daerah mengundi (PDM) Taman Mesra, Kajang di sini hari ini. Terdahulu, beliau yang turut ditemani Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai melawat dan mendengar taklimat tentang gerak kerja jentera BN di bilik gerakan PDM Sungai Chua, PDM Kajang Baru dan PDM Sungai Kantan. Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, terdapat tuduhan mengatakan kononnya keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Anwar berhubung kes liwat berkenaan dibuat hampir dengan tarikh PRK Kajang adalah perbuatan BN. "Ini adalah satu perkara yang cukup tidak bertanggungjawab kerana kes Anwar telah tertangguh berpuluh kali. "Pastinya mahkamah mempunyai pertimbangan sendiri dan hakim membuat keputusan berasaskan pertimbangan perundangan, fakta dan bukti yang ada. Pembangkang seolah-olah tiada modal," katanya. Tambahan pula, kata beliau, banyak orang sudah mula mempersoalkan mengapa Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizan Wan Ismail yang bertanding bagi menggantikan Anwar. Katanya, jika Anwar tidak boleh bertanding mengapakah beliau mengamalkan sikap nepotisme dengan meletakkan isterinya itu sebagai calon. "PKR pernah menuduh BN mengamalkan nepotisme, tetapi mereka sendiri mengamalkan nepotisme, walaupun ini hak mereka tetapi mengapakah tidak memilih calon lain," katanya. Sementara itu, Muhyiddin berpuas hati dengan gerak kerja jentera BN yang beroperasi dalam keadaan baik dan bersemangat tinggi. Katanya, sokongan terhadap calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun juga memberangsangkan, namun meminta jentera terus melipatgandakan kerja bagi menarik seramai mungkin pengundi. |
'Langkah Kajang' gagal - Muhyiddin Posted: 12 Mar 2014 12:13 PM PDT Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH HULU LANGAT 12 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan 'Langkah Kajang' diilhamkan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang kononnya mahu menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sebagai pentas strategik menawan Putrajaya telah gagal. Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, ini kerana Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bertanding dalam PRK tersebut selepas disabitkan kesalahan dengan kesnya di mahkamah. "Apa dia langkahnya? Langkah paling besar dalam gerakan Kajang ialah untuk membolehkan Anwar bertanding dan menjadi Menteri Besar Selangor. "Malangnya cita-cita sudah berkecai. Tinggal angin sahaja masuk, udara tiada apa-apa," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat daerah mengundi Taman Mesra, Kajang di sini hari ini. Menurut Muhyiddin, 'Langkah Kajang' yang asal ialah PKR meminta wakil rakyatnya di Kajang meletak jawatan bagi membolehkan Anwar bertanding dalam pilihan raya di kawasan berkenaan. Keadaan itu, katanya, menyebabkan berlakunya rampasan kuasa Kajang (Kajang Coup) dan beliau mempersoalkan apakah pula 'Langkah Kajang' yang kedua ingin dilaksanakan PKR. "Apakah bermakna Rafizi hendak mempermainkan sistem pilihan raya dan oleh kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi, nanti suruh letak jawatan untuk orang lain bertanding di situ. "Saya fikir rakyat tidak akan membiarkan itu berlaku. Kita perlu hukum parti yang mempermainkan sistem demokrasi sebegitu," katanya. Tambah beliau, rakyat tidak mahu selamanya berdepan PRK demi PRK dan tujuan pilihan raya diadakan adalah untuk melantik wakil yang akan berjuang membela nasib rakyat. Namun, kata beliau, apabila setiap kali PRK diadakan hanya kerana nafsu rakus politik pakatan pembangkang, rakyat harus sedar. Beliau berkata, masa sekarang adalah untuk bekerja selepas selesai pilihan raya umum. "Sebab itu, saya rasa cukup malang kalau orang seperti Rafizi yang kononnya sebagai strategis pakatan pembangkang hendak membawa mesej ini menerusi PRK demi PRK. "Sampai bila hendak diadakan PRK kecuali ada sebab tidak dapat dielakkan," katanya. Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, BN akan melihat kesesuaian untuk menawarkan manifesto khas bagi PRK DUN Kajang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |