{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Allah Maha Tahu segalanya - Sidek

Posted: 19 Mar 2014 12:10 PM PDT

PROFESOR Datuk Dr. Sidek Baba adalah antara orang yang begitu rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya satu ketika dulu. Bekas Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ini ketika itu begitu mengkagumi Anwar. Beliau juga begitu yakin Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bakal menjadi pemimpin utama negara. Namun akhirnya, seperti rakan-rakan rapat Anwar yang lain, beliau turut meninggalkannya. Dalam wawancara bersama Utusan Malaysia baru-baru ini, Sidek menceritakan kenapa beliau meninggalkan Anwar setelah menjadi penyokong tegar Anwar dan pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dulu.

Datuk dikatakan mempunyai hubungan dengan Anwar lebih 30 tahun. Apa menyebabkan memutuskan hubungan dengannya?

SIDEK: Saya menyertai ABIM sejak awal 70an. Saya mengagumi Anwar sekian lama kerana bakat kepimpinannya, kehebatan pidatonya dan merasakan beliau akan menjadi pemimpin utama negara suatu hari nanti. Sewaktu reformasi terjadi, saya ditahan di bawah ISA kerana saya ialah salah seorang penyokongnya.

Sejak 1998 sehingga 2011, dukungan dan simpati saya terhadap Anwar masih kuat. Apabila berlaku kes liwat yang kedua membabitkan Anwar saya mula bertanya siapa sebenarnya Anwar. Saya mula membuat kajian bertemu dengan orang yang pernah bekerja dan rapat dengan Anwar dan mengambil keputusan meninggalkannya.

Saya bertemu 30 orang yang rapat dengan beliau iaitu Penasihat Agama Anwar, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, sahabat baik Anwar, Hamid Rashid, Bekas Ketua Pemuda Keadilan, Ezam Mohd. Nor yang kebetulan pelajar saya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Zulkifli Nordin, peguam Anwar selama 12 tahun, Muhammad Rahimi Osman, pembantu khas di pejabat Anwar, Datuk Hamzah Zainuddin sekarang ini Timbalan Menteri Luar dan akhir sekali Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri.

Banyak maklumat yang saya terima dan saya teliti supaya keputusan yang saya ambil didukung oleh data dan fakta yang memudahkan saya mengambil pendirian kemudiannya.

Sebagai orang akademik dan ahli dakwah kebenaran maklumat adalah penting dan pedoman syarak adalah mustahak.

Akhirnya saya melakukan istikharah untuk mendapat pertunjuk Allah SWT. Ada tiga sebab yang menjadikan saya hilang keyakinan kepada Anwar.

Pertama, pendirian pluralisme agama yang dipegang oleh Anwar, keduanya, hubungan Anwar dengan pihak luar yang kontroversial dan ketiga masalah integriti yang dimiliki oleh Anwar.

Selepas Datuk mengambil keputusan dan pendirian banyak cabaran yang Datuk hadapi. Dapat Datuk kongsi sedikit?

SIDEK: Saya sudah menjangka apa yang berlaku akibat pendirian yang saya ambil. Cyber Trooper digerakkan untuk merosakkan imej dan integriti saya.

Ada blogger yang menuduh saya diupah RM15,000 sebulan untuk menjatuhkan Anwar dan minit mesyuarat palsu dikemukakan sebagai bukti suatu konspirasi yang sedang berjalan dan saya diberikan tanah yang mahal di Selangor dan menjualkannya balik kepada seorang tauke Cina.

Tuduhan-tuduhan itu adalah palsu dan ia adalah suatu fitnah untuk merosakkan imej dan kredibiliti saya. Hairannya ramai kawan-kawan saya percaya tanpa mahu bertanya dengan saya.

Dikatakan saya membenci Anwar kerana tidak dapat jawatan Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) dan Pusat Pengajian Sepanjang Hayat (KUISCell) sedangkan saya tidak pernah memohon dan tidak bercita-cita untuk menjadi Rektor di tempat berkaitan.

Isteri saya juga diserang dan dimaki hamun dengan pelbagai tuduhan. Inilah cara mereka menimbulkan fitnah. Alhamdulillah hati saya tetap cekal untuk berdiri atas kebenaran.

Pada penelitian Datuk apakah Anwar merupakan aset kepada negara pada masa depan?

SIDEK: Pada hemat saya Anwar sedang berada di hujung perjuangan politiknya. Dasar perjuangannya dalam politik orang Melayu dan politik Malaysia sudah semakin kacau.

Dengan hukuman lima tahun lagi penjara Anwar sudah tidak boleh mara ke hadapan malah pada jangkaan saya hayat politik Anwar sudah hampir ke hujung. Pakatan Pembangkang bakal menghadapi pergolakan yang lebih parah kerana ideologi perjuangan mereka tidak sama.

Pas ada cita-cita politiknya sendiri dan DAP pun sama. Kedua-dua parti mempunyai percanggahan yang sangat nyata.

Pemilihan kepimpinan baharu PKR Mei ini bakal menyaksikan terserlahnya krisis kepimpinan yang sudah berlarut lama dan tidak mampu dileraikan oleh Anwar sendiri.

Sebagai seorang ahli akademik dan pendakwah apakah nasihat Datuk terhadap Anwar sebagai sahabat lama?

SIDEK: Sebagai orang akademik saya menilai sesuatu berasaskan fakta dan data bukan dengan persepsi atau rasa taksub yang melulu.

Saya mengamalkan sikap terbuka dan melakukan penyaringan terhadap fakta dan data supaya saya dapat membuat keputusan yang betul.

Islam mengajar kita supaya berlapang dada dengan perbezaan. Bukan dengan menaburkan fitnah, menanam sifat benci dan dendam dengan mengada-adakan yang tidak ada kerana ia dibenci oleh Allah.

Sebagai seorang pendakwah nasihat saya ialah kembalilah kita kepada diri sendiri sekiranya kesalahan berlaku dan keterlanjuran terjadi. Meski khalayak tidak tahu apa yang kita lakukan tetapi Allah Maha Mengetahui segala-galanya.

Beban dosa yang kita lakukan tidak saja diadili oleh mahkamah dunia tetapi bakal ditentukan di waumilimahshar nanti. Dunia ini adalah terlalu singkat buat kita hidup. Tetapi yaumil akhirah adalah panjang dan ia kekal.

Di dunia kita boleh bersilat lidah tetapi di depan Allah nanti anggota badan akan menjadi saksi. Anggota badan tidak akan berbohong dan jawapannya adalah terang dan nyata.

Mereka yang yakin akan kuasa Allah, azab Allah adalah terlalu pedih buat kita. Allah itu Maha Pengampun dan Penyayang untuk kita.

Keadilan Anwar atau Saiful?

Posted: 19 Mar 2014 12:10 PM PDT

Oleh Zulkifli Jalil

MESKIPUN negara masih diulit keresahan ke mana menghilangnya pesawat Malaysia Airlines MH370, kehidupan mesti diteruskan.

Sebahagian kaum keluarga yang masih menunggu berita dan mencongak nasib penumpang pesawat itu di Hotel Sama Sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Hotel Everly, Putrajaya pun sudah memohon untuk kembali ke negara asal. Mereka akan mengikuti dari dekat perkembangan insiden itu daripada kedutaan masing-masing.

Di Kajang, kehidupan juga berjalan macam biasa. Walaupun dikatakan kempen pilihan raya kecil di situ agak kurang hangatnya selepas Anwar Ibrahim disabitkan hukuman kes liwatnya dan kian tidak ada bahangnya akibat insiden MH370 ini, dengan ditambah lagi calon pakatan pembangkang hanya kitar semula dan daripada kaum keluarga sendiri - kempen yang berbaki empat hari lagi menjelang pengundian Ahad ini, 23 Mac mesti juga diharungi.

Daripada rekod yang diperoleh penulis, pengundi Melayu di Kajang mewakili 19,000 orang daripada keseluruhan 40,000 pemilih berdaftarnya. Daripada jumlah itu juga, difahamkan kira-kira 3,000 hingga 4,000 adalah penyokong Barisan Nasional (BN), 3,000 lagi penyokong totok Pas manakala 12,000 lagi pengundi atas pagar.

Berdasarkan penelitian dalam sebulan dua ini, pengundi Cina nampaknya tidak berganjak daripada pakatan yang meletakkan isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calonnya. Calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun pula dikatakan lebih memfokus kepada pengundi Cina.

Walaupun saingan di Kajang agak sukar bagi BN, keadaan boleh bertukar sengit dalam tiga empat hari lagi bergantung kepada kerja keras jentera pilihan raya parti masing-masing. Bagi BN, jika memperoleh sekurang-kurangnya 10 peratus sokongan Cina manakala 40 peratus daripada pengundi Melayu, peluangnya cukup terbuka.

Realitinya, tidak ada isu tulen di Kajang yang boleh dimainkan oleh pakatan pembangkang di situ. Hendak dispinkan isu kebersihan dan masalah sampah-sarap seperti mana dalam slogan Langkah Kajang , seluruh rakyat Selangor khususnya pengundinya maklum, itu adalah kerja dan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan kerajaan (PBT). PBTnya di bawah kerajaan PKR Selangor.

Sudahlah tidak menjenguk menyelesaikan masalah rumah tangga sendiri sejak sekian lama, tiba-tiba apabila ada kekosongan kerusi yang dicetuskan daripada angkara sendiri, melaungkan pula mahu menyelesaikan isu-isu dalam rumah sendiri. Tidakkah pelik bunyinya.

Dan barangkali juga kerana ketandusan isu yang hendak dicekau tak tahu di mana, Wan Azizah menukar pula taktik kempennya dengan melaungkan slogan keadilan untuk Anwar. Sepanduk dipasang di merata-rata tempat di Kajang. Kalau begitu nadanya, bagaimana pula keadilan untuk Saiful Bukhari Azlan?

Kita memang tidak terkejut dengan sentimen yang dimainkan ini kerana ia bukan baharu. Itulah strategi pembangkang, yang sangat difahami majoriti rakyat negara ini. Keadilan hanya untuk pembangkang. Jika apa sahaja yang tidak memihak kepada mereka, maka ia akan dituduh sebagai konspirasi, kezaliman dan kejahatan. Demikianlah juga dalam kes Anwar dan Saiful. Daripada awal lagi, pembangkang mengambil strategi pre-emtif seolah-olah Anwar tidak bersalah sedangkan keputusan mahkamah telah diputuskan. Sekali lagi, isu yang dimainkan ialah keadilan untuk Anwar. Bagaimana pula keadilan untuk rakyat dan insan kecil seperti Saiful?

Kita faham sejak beberapa bulan lalu, Anwar seolah-olah mahu melengah-lengahkan perbicaraan kes liwatnya sehinggakan kes itu tertangguh kepada isu-isu yang berlegar kepada soal semakan permohonan dan bantahan. Dari situ sahaja gelagatnya, telah menafikan keadilan untuk pengadu kes ini iaitu Saiful.

Bukan tidak ada pihak yang mencabar Anwar supaya mempertahan dan membersihkan diri daripada tuduhan berkenaan, baik dengan berani melakukan sumpah laknat atau muhabalah sebagaimana yang dilakukan oleh Saiful, tetapi Anwar berdolak-dalik. Itu adalah kesempatan terbaiknya, tetapi dia enggan. Dan apabila mahkamah membuat keputusan, terima sahajalah sisi undang-undang itu.

Kalau keadilan untuk Anwar dilaungkan semasa kempen Kajang ini, Saiful, insan kerdil ini juga perlu dipertimbangkan liku-liku keperitan hidup yang dilaluinya. Bukan sedikit ranjau yang ditempuhnya untuk memperjuangkan hak sebagai manusia. Ujian yang dilaluinya amat berat. Malah, ada laman blog pembangkang yang mendakwa dia tenat akibat sumpah laknat yang dilafazkannya di dalam masjid beberapa tahun lalu.

Fitnah sebegini pernah dihadapi oleh beberapa tokoh seperti bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor dan juga Ketua Polis Negara sekarang, Tan Sri Musa Hassan. Adalah menyedihkan fitnah ini menimpa mereka yang cuma menjalankan tugas, tanggungjawab dan mahu menegakkan kebenaran. Golongan pencipta dan penyebar fitnah ini lupa bahawa akhirnya Allah yang menentukan segala-galanya.

Kita juga masih teringat bagaimana suatu ketika ramai termasuk ulama pembangkang melakukan sembahyang hajat selepas Anwar dipecat daripada kerajaan dan dipenjarakan kerana kesalahan liwat. Malah ada pemimpin pembangkang yang mengaitkan solat hajat itu untuk tujuan pembalasan terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang diramalkan akan menerima akibatnya dalam masa terdekat. Dengan izin Allah, Tun Mahathir bukan sahaja melalui hidup yang lebih tenang, sejahtera malah terus disegani termasuk di peringkat antarabangsa. Apa maknanya? Kita tidak mahu dan tidak layak untuk menafsir panjang. Tetapi seperti kata Saiful dalam laman blognya beberapa tahun lalu - yang hak pasti berdiri dan yang batil pasti jatuh.

Kempen pilihan raya kecil DUN Kajang berbaki empat hari sahaja. Walaupun yang terbaharu kita dengar bekas Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohd. Shariff Omar menyertai PKR, itu bukan satu kejutan. Itu pilihannya dan sudah dijangkakan. Semua ahli UMNO di bahagian Tasek Gelugor, Pulau Pinang telah lama tahu kelibat Mohd. Shariff sejak dalam UMNO lagi lebih mirip ke PKR. Ini semua kerana kecewa dan kalah dalam perebutan Ketua UMNO bahagian yang disandangnya sejak 1982 hingga 2009.

Dan akibat tidak tertanggung lagi kekecewaannya tidak terpilih sebagai calon BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tahun lalu, dia membuat keputusan sedemikian rupa.

Kalau dulu setiap kali dalam ucapan persidangan UMNO bahagian Tasek Gelugor , "UMNOlah YANG MEMBELA NASIB ORANG MELAYU" tetapi selepas tidak ada sebarang jawatan, macam-macam tohmahan yang tidak sanggup penulis catatkan dalam ruangan ini, dilemparkan Mohd. Shariff terhadap UMNO.

Di atas kertas, Kajang tetap sukar ditembusi BN. Tetapi dengan kudrat yang lebih dari biasa - luar biasa - untuk memastikan pencalonan Chew Mei Fun meninggalkan impak yang bukan sedikit, sesuatu di luar jangkaan diharapkan boleh dilihat Ahad ini.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat