Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Hutang isi rumah masih terkawal Posted: 23 Mar 2014 11:26 AM PDT Oleh Fadzil Zainol BILL Clinton yang melawat negara ini selepas tidak lagi menjadi Presiden Amerika Syarikat beberapa tahun lalu, menyatakan Malaysia mengalami perkembangan ekonomi yang pesat dengan hanya menilai bilangan pemilikan kenderaan yang begitu banyak memenuhi jalan raya. Secara logiknya, kadar pemilikan kenderaan yang tinggi itu mampu menggambarkan kuasa beli rakyat negara ini yang baik, walaupun rata-ratanya membelinya secara hutang dan bukannnya bayaran tunai penuh. Mahu tidak mahu, kenderaan merupakan satu keperluan bagi melengkapkan rutin harian termasuk kegunaannya untuk ke tempat kerja. Kaitannya pada Rabu lalu, Laporan Tahunan 2013 Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan tahap hutang isi rumah negara ini yang kini berada pada paras tertingginya, iaitu 86.8 peratus daripada nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang turut disumbangkan oleh hutang pinjaman kenderaan. Seperti dijangka berbanding maklumat-maklumat ekonomi yang lain, aspek hutang isi rumah ini lebih mendapat liputan yang meluas memandangkan nilai politiknya lebih besar terutama dengan niat untuk menghuraikan ketidakcekapan penggubal dasar ekonomi negara. Kini telah adapun pihak yang mengulas tentang masalah ini, termasuk laporan-laporan akhbar yang melabelkan Malaysia sebagai negara yang hutang isi rumahnya tertinggi di Asia beserta ekonominya yang rapuh. Tetapi, sebenarnya masih banyak perkara yang perlu ditambah tolak sebelum membuat kesimpulan bahawa hutang isi rumah merupakan krisis ekonomi domestik yang membimbangkan. Hutang isi rumah merupakan nilai terkumpul pinjaman yang dilakukan oleh setiap isi rumah domestik merangkumi pinjaman pembelian perumahan, kenderaan, pinjaman peribadi, pembelian saham dan kad kredit. Sehingga 2013, jumlah keseluruhan pinjaman itu ialah RM854.3 bilion atau 86.8 peratus daripada nilai KDNK negara. BNM menegaskan paras itu tidaklah bererti masalah hutang itu terlampau kritikal, sehingga mampu menggugat kestabilan ekonomi negara. Keyakinan itu diberikan atas beberapa faktor, antaranya 61 peratus daripada jumlah hutang itu digunakan oleh isu rumah untuk membiayai pembelian hartanah yang mana merupakan aset yang menyimpan nilai dan pembelian kenderaan yang merupakan satu keperluan. Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr. Sukhdave Singh yang turut mengulas laporan itu di dalam satu forum berkata, hutang isi rumah bukan mudah untuk dielakkan memandangkan demografi penduduk negara ini yang mana golongan muda bekerja yang meningkat serta situasi negara yang sedang mengalami proses urbanisasi yang pesat. Golongan itu dilihat mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk melakukan pinjaman khususnya untuk membeli rumah dan kereta setelah memasuki alam pekerjaan dan mempunyai sumber pendapatan. Bagaimanapun katanya, BNM tetap menyedari keperluan bagi mengawal paras hutang isi rumah. Malah, sejak dua tahun yang lalu beberapa pusingan peraturan baharu bagi mengawal pemberian pinjaman termasuk mengehadkan tempoh pinjaman peribadi dan pembelian rumah, caj pemilikan kad kredit serta kriteria pinjaman berdasarkan gaji bersih diperkenalkan. Pencegahan awal hutang isi rumah ini akan terus dilakukan sepanjang masa. Pengenalan beberapa peraturan baharu ini sebenarnya merupakan kaedah bagi memastikan peminjam betul-betul mempunyai keupayaan bagi membayar hutang. Jika tidak melaksanakannya (peraturan baharu), kalau berlakunya sebarang krisis pada masa hadapan, kita mungkin terpaksa memperkenalkan peraturan yang lebih drastik. Ini akhirnya lebih menyusahkan rakyat," katanya. Jelasnya, segala peraturan itu akhirnya akan melahirkan peminjam yang benar-benar berkualiti. Berdasarkan laporan oleh BNM itu, hampir 50 peratus golongan peminjam adalah daripada kategori isi rumah yang berpendapatan melebihi RM5,000 sebulan. Malah berdasarkan penilaian oleh bank pusat itu, kadar pertumbuhan hutang hutang isi rumah itu bagi 2013 berjaya dikurangkan kepada 11.7 peratus, berbanding lebih 13 peratus setiap tahun dari 2010 hingga 2012. Menyedari hakikat bahawa hutang banyak disumbangkan oleh pinjaman perumahan disebabkan harga rumah yang mahal, kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengekang peningkatan harga rumah secara mendadak termasuk harga minimum RM1 juta untuk warganegara asing dan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) bagi mengawal permainan spekulator hartanah. Kerajaan juga giat memperbanyakkan pembinaan rumah harga mampu milik termasuk menekankan kepada pemaju perumahan swasta berhubung keperluan rumah jenis ini. Pembinaan rumah mampu milik merupakan langkah jangka panjang bagi mengawal hutang isi rumah ini, tetapi dalam jangka masa pendek ia akan tetap meningkatkan bilangan penghutang kerana mereka kini sudah mampu membeli rumah segmen itu, melainkan mereka berupaya membayarnya secara tunai penuh. Kawalan hutang ke atas isi rumah ini merupakan satu kepentingan bagi memastikan ekonomi Malaysia kukuh. Jika berlakunya krisis ekonomi, ia akan turut memberi kesan kepada pendapatan isi rumah, inilah sebabnya hutang ini perlu dikawal," kata Sukhdave lagi. Perkara lain yang perlu diambil kira ialah aset kewangan isu rumah yang setakat ini berjumlah RM1.9 trilion (193.5 peratus daripada nilai KDNK) sehingga 2013, iaitu 2.2 kali lebih tinggi berbanding hutang. Malah menurut BNM sendiri, kadar hutang tidak berbayar juga berada pada peratusan yang rendah iaitu kira-kira dua peratus. Penganalisis ekonomi RHB Research Institute Sdn. Bhd., David Chong berkata, berdasarkan keyakinan BNM itu, pihaknya tidak menjangka akan berlakunya sebarang lagi pengenalan peraturan baharu bagi mengawal kadar pemberian pinjaman kepada isi rumah khususnya pinjaman perumahan. Bagaimanapun, kesan daripada pengenalan peraturan ini akan menyebabkan sektor perbankan mengalami pertumbuhan pemberian pinjaman yang lebih sederhana bagi tahun ini," katanya kepada Utusan Malaysia. Agak tidak adil untuk melabelkan Malaysia sedang mengalami krisis hutang yang teruk dalam kalangan rakan Asia dengan hanya berlandaskan paras hutang isi rumah itu. Jika melayari laman-laman web hartanah antarabangsa, harga pemilikan rumah di Malaysia masih diletakkan di dalam kategori murah. Ini mungkin menjadi antara sebab yang menyumbang kepada kadar hutang isi rumah Malaysia yang tinggi berbanding negara lain, yang harga rumahnya lebih mahal sehingga menutup terus peluang rakyat mereka memiliki rumah yang selesa. Ini belum lagi mengambil kira harga petrol tempatan yang murah, sehingga membuatkan kebanyakan rakyat Malaysia tidak risau mengenai kos bahan api semasa mahu berhutang untuk membeli kereta. Sejauhmanakah hutang isi rumah ini dilihat sebagai satu masalah yang kritikal, adalah bergantung kepada cara bagaimana isu itu dihuraikan atau pengetahuan ekonomi sesiapa yang membangkitkannya. |
Bersedia hadapi cuaca luar biasa Posted: 23 Mar 2014 11:17 AM PDT TERDAPAT dua kejadian luar biasa yang berlaku di negara ini iaitu banjir besar yang melanda Pahang pada Disember lalu dan cuaca panas kering yang terjadi secara serentak di seluruh Semenanjung mulai hujung Januari sehingga pertengahan Mac lalu. Kedua-dua fenomena tersebut tidak dijangka kerana ia berpunca daripada faktor luar kawalan yang tiada dalam rekod sejarah cuaca negara. Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, IZHAM JAAFAR di Petaling Jaya baru-baru ini; Pengarah Khidmat Korporat dan Komersial Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), DR. MOHD. HISHAM MOHD. ANIP yang berkelulusan doktor falsafah dalam sains atmosfera menegaskan perlunya persediaan rapi dibuat bagi menghadapi perubahan iklim dan cuaca melampau. Kenapa sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2014 semalam memilih tema Cuaca dan Iklim: Penglibatan Belia? MOHD. HISHAM: Ini kerana golongan belia yang akan menerima kesan secara langsung daripada perubahan iklim dan cuaca melampau yang dijangka bakal memberi impak lebih besar dalam dekad-dekad akan datang. Seperti yang disebut Setiausaha Agung Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), Michel Jarraud dalam perutusannya tahun ini, perubahan berkenaan melibatkan suhu atmosfera dan lautan yang terus naik, litupan ais dan glasier di seluruh dunia yang semakin merosot serta paras laut meningkat. Antara punca fenomena ini berlaku kerana faktor perlakuan manusia sendiri. Kebergantungan kita kepada bahan api fosil akan menyebabkan bumi menjadi lebih panas dan pada penghujung abad ini suhu boleh mencecah sehingga 4 darjah Celsius lebih tinggi daripada zaman praindustri. Para belia di seluruh dunia boleh memainkan peranan yang sangat besar untuk mengubah perlakuan manusia ini dan juga membuat persediaan yang mencukupi bagi menghadapi fenomena berkenaan. Kita juga berharap mereka dapat melakukan inovasi dan menyumbang idea-idea baharu yang berpandangan jauh bagi menyelesaikan masalah ini. Adakah fenomena cuaca melampau telah berlaku di Malaysia? Ya. Contohnya banjir besar yang melanda Pahang pada Disember lalu yang kita tidak jangkakan akan menjadi seteruk itu. Kita memang ramal akan hujan, tetapi tidak menjangka hujan itu akan menyebabkan banjir besar. Satu lagi fenomena, cuaca panas dan kering yang berlaku di seluruh Semenanjung bermula hujung Januari sehingga pertengahan Mac lalu. Sepanjang bulan tersebut memang selalunya kita mengalami cuaca panas dan kering, cuma yang pelik dan agak luar biasa tahun ini adalah kita langsung tidak terima hujan. Ada stesen kita yang melaporkan tidak menerima hujan selama 60 hari berturut-turut. Sepatutnya ada hujan, walaupun tak banyak. Rekod-rekod dahulu ada menunjukkan kita pernah mengalami cuaca kering tetapi meliputi kawasan tertentu sahaja terutama di utara Semenanjung, tetapi kali ini ia meliputi hampir keseluruhan Semenanjung. Apakah punca cuaca panas dan kering berkenaan? Sebabnya kerana berlaku keadaan cuaca yang lebih aktif di sebelah barat Lautan Pasifik dan di Lautan Hindi yang telah menarik kelembapan di negara kita ke sana. Apabila sesuatu tempat mempunyai cuaca yang aktif bermakna akan ada tempat yang mengalami cuaca tidak aktif atau kering. Berikutan Malaysia berada di tengah-tengah antara kedua-dua kawasan aktif ini, maka kita yang mengalami cuaca kering. Selain negara kita, Singapura pun terlibat apabila tidak hujan selama dua bulan, begitu juga Thailand, Indonesia khususnya di Sumatera dan Vietnam. Biasanya perkara seperti ini berlaku ketika fenomena El-Nino yang kali terakhir terjadi pada 2009. Tetapi agensi penyelidikan antarabangsa dan JMM sendiri telah mengesahkan awal tahun ini adalah normal dan tidak berlaku fenomena berkenaan. Akibat berlaku cuaca panas dan kering yang melampau, ia telah menyebabkan belukar dan hutan terbakar sehingga mencetuskan satu lagi situasi pelik yang sepatutnya tidak berlaku apabila kita mengalami jerebu teruk pada musim monsun timur laut pada 13 dan 14 Mac lalu. Kebiasaannya kita terima jerebu tebal antara Jun dan Ogos apabila angin barat daya membawa asap dari Indonesia masuk ke negara kita. Kenapa tidak dibuat pembenihan awan bagi mengelak belukar dan hutan terbakar? Berdasarkan pelan tindakan operasi (PTO) sedia ada, pembenihan awan hanya boleh dibuat di sesuatu kawasan jika berlaku jerebu teruk iaitu apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah lebih 100 atau tidak sihat sekurang-kurang selama 72 jam secara berterusan. Pembenihan awan juga hanya boleh dibuat jika cuaca kering berkenaan telah dikategorikan sebagai bencana kemarau. Untuk mencapai status ini ia mesti meliputi tiga perkara yang berlaku serentak iaitu kemarau meteorologi, kemarau hidrologi dan kemarau pertanian. Apa yang berlaku baru-baru ini tidak mencapai lagi ketiga-tiga kriteria ini. Satu lagi sebab pembenihan awan dibuat adalah apabila air di empangan berada pada paras kritikal sehingga menyebabkan catuan air terpaksa dilakukan. Mengenai cadangan supaya diadakan pembenihan awan untuk mengelak belukar dan hutan mudah terbakar, terpulanglah kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menambah baik PTO sedia ada dan pihak JMM mungkin boleh mengemukakan cadangan. Cuma kita kena ingat bila cuaca panas dan kering, biasanya tidak akan ada awan yang sesuai bagi membolehkan pembenihan dibuat. Adakah cuaca panas dan kering akan berulang? Walaupun seluruh Semenanjung telah mengalami hujan lebat sejak 15 Mac lalu tetapi terdapat tanda-tanda El-Nino yang dikaitkan dengan cuaca panas dan kering akan berlaku bermula pada Ogos dengan kemuncaknya pada hujung tahun dan akan berterusan sehingga tahun depan. Ia biasanya berlaku dalam julat antara dua ke tujuh tahun sekali dan apabila berlaku ia akan berlarutan dalam tempoh antara enam hingga 18 bulan. Setakat ini ia belum dapat disahkan kerana selagi mana fenomena ini belum berlaku, kita tidak dapat mengesannya. Terdapat alat di tengah Lautan Pasifik berdekatan pantai Peru yang akan memantau perkara ini. Kalau suhu laut di situ lebih panas daripada biasa iaitu melebih 0.5 darjah Celsius untuk tiga bulan berturut-turut, itu bermakna akan berlaku El-Nino. Bila El-Nino berlaku, biasanya kita akan mengalami jerebu yang teruk seperti terjadi pada 1997 dan 2006 akibat asap dari Indonesia. Ada pihak mengaitkan fenomena ini dengan pemanasan global? Kalau nak kait dengan pemanasan global, kita tidak boleh melihat satu atau dua kejadian sahaja. Ada pihak yang menyatakan punca Amerika Syarikat (AS) dilanda cuaca sangat sejuk baru-baru ini juga kerana pemanasan global, tetapi sehingga kini saintis belum dapat membuktikannya. Bagi saya apa yang berlaku ini kita panggil keragaman cuaca. Maknanya setiap tahun, cuaca itu bukan sama sahaja. Ada kadang-kadang ia ekstrem negatif dan kadang-kadang ekstrem positif. Bila orang tanya adakah ini kesan daripada pemanasan global, kita tak boleh nak bagi jawapan kerana lebih banyak penyelidikan perlu dibuat bagi mengesahkannya. Kalau mengenai peningkatan suhu kita akui ia berlaku. Rekod semua stesen kita menunjukkan ada peningkatan, tapi tak banyak sangat. Ia antara 0.2 ke 0.4 darjah Celsius setiap 100 tahun. Ini selaras dengan peningkatan purata suhu bumi peringkat global iaitu 0.8 darjah Celsius setiap 100 tahun. Kita memang akui berlakunya pemanasan global dan walaupun terjadi peningkatan yang sedikit, ia tetap akan memberi impak kepada tumbuhan dan hidupan lain. Ia akan mencairkan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan. Bila suhu meningkat, air laut akan mengembang dan parasnya akan meningkat dan menenggelamkan daratan yang rendah. Apakah penambahbaikan yang boleh dibuat JMM bagi menghadapi cuaca melampau? Antaranya adalah dengan meningkatkan keupayaan pasukan penyelidik kita untuk membuat ramalan cuaca secara lebih tepat dan cepat. Mereka mesti mempunyai keupayaan untuk mentafsir data-data yang diperoleh secara tepat bagi membolehkan semua pihak dapat membuat persediaan untuk menghadapi perubahan cuaca berkenaan. Kakitangan kita akan dihantar untuk menjalani kursus secara teori dan praktikal bagi membolehkan ilmu pengetahuan mereka ditingkatkan sejajar dengan perkembangan terkini. Antaranya kita akan menghantar mereka ke Jepun yang semua sedia maklum adalah negara yang mempunyai kemahiran pengurusan bencana yang paling bagus. Kerjasama latihan sedia ada dengan Hong Kong dan Australia yang kini dalam skala kecil juga akan diperluaskan. Dari segi peralatan pula, kita tidaklah ketinggalan berbanding dengan negara-negara maju kerana kita membeli peralatan sama seperti yang dipakai mereka. Kita juga akan pertingkatkan sistem amaran supaya setiap ramalan yang dikeluarkan dapat diterima lebih pantas dan difahami dengan mudah oleh semua pihak. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |