Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Pelajar MRSM dekati Orang Asli
- Kenangan manis, pengalaman berharga kepada peserta
- 13 kampung Orang Asli digazet
Pelajar MRSM dekati Orang Asli Posted: 12 Mar 2014 12:13 PM PDT Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN Guru MRSM Serting beramah mesra dengan anak-anak Orang Asli Sungai Mas, Kuantan ketika program khidmat masyarakat amal kemanusiaan berkenaan. JEMPOL 12 Mac - Sebanyak 133 peserta dari daerah ini telah menyertai program khidmat masyarakat amal kemanusiaan di beberapa kawasan dekat Kuantan, Pahang, baru-baru ini. Program yang dianjurkan oleh Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Serting IGCSE (International General Certificate of Secondary Education) itu disertai oleh para pelajar MRSM, guru, peserta konvoi dari kelab Combat 4x4 serta ahli dari Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA). Timbalan Pengetua MRSM Serting, Dr. Mohd. Sabri Mamat berkata, program itu merupakan usaha pihak MRSM untuk mewujudkan pelajar yang prihatin terhadap dunia luar. Pelajar yang berjaya bukan sahaja mampu mendapat keputusan cemerlang dalam akademik tetapi mereka juga perlu memiliki nilai-nilai murni yang tinggi. Untuk berjaya dalam hidup, kita juga memerlukan hubungan erat dengan dunia luar. Pelajar seharusnya memiliki pakej lengkap iaitu berjaya dalam akademik, sukan dan boleh membantu pihak yang memerlukan bantuan," katanya. Menurut beliau, pihaknya amat gembira apabila program itu mendapat kerjasama daripada kelab Combat 4x4. Kita telah singgah di Maahad Tahfiz Muhammadiah Bukit Rangin dekat Kuantan yang terbakar baru-baru ini untuk menghulurkan sumbangan. Konvoi ini seterusnya berhenti di kampung Orang Asli Sungai Mas dan menjalankan pelbagai aktiviti di perkampungan tersebut. Antaranya adalah pendidikan bersama kanak-kanak Orang Asli, sukaneka serta kembara alam. Dalam program ini peserta juga berpeluang mempelajari kemahiran asas kehidupan Orang Asli, ilmu radio amatur serta ilmu kehutanan. Malah kami sangat beruntung apabila Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Pahang, Isa Abdul Hamid datang merasmikan majlis penutupan program ini," katanya. Sementara itu Isa berkata, pihaknya amat gembira apabila pihak MRSM sanggup datang ke perkampungan Orang Asli berkenaan dan berkongsi pelbagai ilmu dengan anak-anak di situ. Saya melihat program ini sangat baik dan mampu membuka minda anak-anak Orang Asli untuk mengikuti jejak langkah pelajar MRSM. Perkongsian pengalaman ini membolehkan anak-anak ini tahu keistimewaan belajar dan tinggal di asrama. Hasil daripada program ini saya bercadang untuk membuat program pertukaran pelajar. Kita akan memilih pelajar cemerlang dari Sekolah Kebangsaan Sungai Mas dan menghantar mereka ke MRSM Serting untuk melihat cara kehidupan di sana," katanya. Tambahnya, pendedahan kehidupan asrama perlu dijalankan kerana ada anak-anak berkenaan yang takut tinggal di asrama kerana merasakan kehidupan di situ terlalu ketat dan membosankan. Mereka perlu didedahkan bahawa asrama adalah tempat untuk menjadikan seseorang yang berdisiplin. Kehidupan di sana juga amat menyeronokkan kerana terdapat pelbagai aktiviti dan kemudahan yang disediakan. Anak Orang Asli amat bertuah apabila kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka seperti bantuan mengambil dan menghantar pelajar dari rumah ke sekolah. Jadi ibu bapa tidak menghadapi sebarang masalah untuk mencari pengangkutan untuk anak yang tinggal di asrama," ujarnya. Menurut Isa, pada tahun lalu, sebanyak RM4 juta telah diperuntukkan untuk belanja urusan pengangkutan anak-anak Orang Asli ke asrama bagi negeri Pahang. Jumlah tersebut meningkat kepada RM4.5 juta tahun ini apabila jumlah pelajar Orang Asli masuk ke asrama terus meningkat. Sebanyak 14 pelajar Orang Asli telah masuk ke asrama selepas mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun lalu berbanding hanya tujuh pelajar pada tahun 2012. Kita jangkakan jumlah pelajar ke asrama akan terus meningkat terutama apabila program pertukaran pelajar diadakan," katanya. |
Kenangan manis, pengalaman berharga kepada peserta Posted: 12 Mar 2014 12:13 PM PDT JEMPOL 12 Mac - Kedatangan peserta program khidmat masyarakat amal kemanusiaan ke perkampungan Orang Asli Sungai Mas, Kuantan dekat Pahang baru-baru ini meninggalkan pelbagai kenangan manis kepada anak-anak masyarakat berkenaan. Jika dahulu masyarakat Orang Asli sering dilabel sebagai insan pemalu yang sukar didekati, namun lain pula ceritanya di kampung tersebut apabila kanak-kanak tersebut amat mesra dan terus menegur peserta apabila konvoi tersebut tiba di perkampungan berkenaan. Anak Orang Asli, Maimunah Johan, 11, berkata, dia amat terkejut apabila melihat beberapa kenderaan pacuan empat roda masuk ke kawasan perkampungannya. Seronok apabila melihat ramai orang datang dan tinggal di sini. Saya dan rakan tidak malu untuk menegur mereka dan kami amat gembira apabila peserta mahu berkawan dengan kami. Abang dan kakak yang datang ke sini sangat baik dan mudah mesra," katanya. Ujarnya, dia pasti tidak dapat melupakan pengalaman tersebut dan berharap agar peserta konvoi datang ke perkampungannya lagi. Saya berasa seronok kerana kami dapat makan dan bermain bersama-sama. Banyak gambar saya dirakam oleh mereka dan berharap satu masa nanti saya dapat belajar di sekolah dekat bandar seperti mereka. Kakak dan abang beritahu saya perlu belajar bersungguh-sungguh sekiranya mahu jadi seperti mereka," ujar pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Mas dekat Kuantan itu. Rakannya, Ani Ahmad, 8, berkata, dia amat gembira apabila boleh mandi sungai bersama peserta walaupun aktiviti tersebut tidak ada dalam jadual. Mereka tidak menghalang kami untuk menyertai mereka, malah sanggup melayan ragam kami. Biasanya selepas waktu persekolahan, saya dan rakan akan bermain bersama dan menghabiskan masa untuk bersembang. Seronok apabila ada orang datang ke sini dan mahu bermain bersama kami. Walaupun kami baru mengenali mereka, namun mereka sangat peramah dan mudah menerima kami," katanya. Sementara itu, Ketua Badan Perwakilan Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Serting, Aidil Idzham Riza, 17, berkata, pengalaman menyertai program tersebut dapat mematangkan dirinya, sekali gus lebih menghargai peluang yang diberikan kepadanya. Saya bersyukur dilahirkan di kawasan yang maju dan dapat bersekolah di sebuah sekolah yang bagus. Melalui program ini saya sedar bahawa kita perlu bersyukur dalam kehidupan yang diberikan dan belajar untuk berusaha mengubah hidup kepada sesuatu yang lebih baik. Ini merupakan tahun akhir saya di MRSM dan saya berharap dapat mengikuti pelbagai program khidmat masyarakat sebelum tamat alam persekolahan. Sebagai pelajar, saya memang tidak mempunyai wang yang banyak untuk membantu golongan memerlukan bantuan tetapi yakin kedatangan kami menceriakan mereka," katanya. A. Nishanthi, 14, berkata, ini merupakan program khidmat masyarakat yang pertama kali disertai olehnya. Pastinya saya tidak dapat melupakan pengalaman belajar cara kehidupan masyarakat di sini. Kami diajar cara membuat jerat, anyaman dan pantang larang mereka. Masyarakat di sini hidup dalam keadaan bersatu padu dan sering bergantung di antara satu sama lain. Nilai ini patut disemai dalam diri pelajar kerana tanpa hubungan yang erat di antara satu sama lain agak sukar untuk kita menjayakan sesuatu perkara," katanya. Rakannya, Muhammad Amir Afiq Zakaria, 17, berkata, dia amat sedih apabila melihat keadaan Maahad Tahfiz Muhammadiah Bukit Rangin. Besar dugaan yang dihadapi oleh mereka, malah kebanyakan pelajar di sana adalah anak yatim. Saya sangat simpati dengan keadaan mereka yang sering diduga dengan pelbagai cabaran. Pada Disember lalu, mereka berdepan dengan masalah banjir dan kini pusat tahfiz ini terbakar. Walaupun menghadapi pelbagai masalah, saya lihat mereka sangat tabah dan tidak menunjukkan rasa sedih. Saya berharap pusat tahfiz ini dapat dibina semula dan mereka boleh menjalani kehidupan seperti dulu," katanya. |
Posted: 12 Mar 2014 12:13 PM PDT Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR SEREMBAN 12 Mac - Kerajaan negeri memutuskan untuk menggazetkan 13 lagi perkampungan masyarakat Orang Asli di negeri ini yang berstatus hutan simpan kekal untuk dijadikan milik kaum berkenaan. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, inisiatif yang dijalankan di bawah Dasar Jaringan Keselamatan Sosial (DKJS) itu bertujuan membela nasib serta menjamin kesejahteraan masyarakat minoriti itu di negeri ini. Sebanyak 13 perkampungan yang bakal digazetkan itu dijalankan di bawah fasa ketiga DKJS yang mana menjadi jumlah keseluruhan sebanyak 68 perkampungan masyarakat Orang Asli diwartakan di seluruh Negeri Sembilan. Fasa ketiga ini sedang dalam proses penukaran status dan bakal meliputi tanah seluas 251.81 hektar bagi 13 perkampungan ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini. Menurut Mohamad, inisiatif menggazetkan perkampungan itu bertujuan melindungi hak masyarakat berkenaan yang kini melibatkan hampir 10,329 penduduk. Kita mahu melindungi penempatan mereka sekali usaha menggazetkan tiada pihak boleh mempersoalkan hak mereka ini," ujarnya. Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri juga akan membangunkan kawasan ekonomi bagi masyarakat berkenaan. Kita akan membantu mereka untuk mengusahakan tanaman getah dan dalam usaha ini, kita akan memberi mereka satu saham bagi setiap isi rumah. Setiap saham melibatkan tanah seluas dua hektar, maka usaha ini akan membolehkan setiap isi rumah menerima pendapatan tetap," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |