Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Bantu pelajar kuasai bahasa Inggeris
- 80 peratus pesakit tidak solat
- Jalan berlubang jejaskan rutin harian penduduk Kampung Guchil Empat
Bantu pelajar kuasai bahasa Inggeris Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA Sebahagian daripada pelajar membuat persembahan semasa majlis Penutup Program Lets Talk And Lets Go Global memperkasakan komunikasi bahasa Inggeris di Universiti Malaysia Terengganu , Kuala Terengganu, baru-baru ini. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM KUALA TERENGGANU 13 Mac - Program Perdana Lets Talk and Lets Go Global - Memperkasakan Komunikasi Bahasa Inggeris yang berlangsung selama enam bulan anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baru-baru ini banyak membantu para pelajar menguasai bahasa tersebut. Sepanjang program itu, enam orang pensyarah Fakulti Pembangunan Sosial UTM membimbing 260 orang pelajar menengah dari 13 buah sekolah di daerah ini, menggunakan pelbagai medium pengajaran dan pembelajaran dalam berkomunikasi dengan kaedah yang santai dan menarik. Program di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) institusi itu mengajak mereka untuk mendekati dan mesra dengan bahasa Inggeris yang boleh membantu menambahkan keyakinan diri dalam pencapaian akademik, penguasaan ilmu dan urusan kerjaya kelak. Program ini juga memberi pendedahan kepada pelajar untuk menguasai kemahiran berbahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan merupakan satu sumbangan ke arah membantu menjayakan program transformasi ilmu antara universiti dan sekolah. Majlis penutup program tersebut dilakukan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh turut menjadi percubaan pertama UMT untuk menggunakan media sosial serta temu ramah di Terengganu.fm sebagai modus pengajaran sepanjang pelaksanaannya. Yang turut hadir, Naib Canselor UMT, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengarah Penerbit UMT, Prof. Madya Dr. Noraien Mansor. Idris mengucapkan tahniah kepada UMT kerana berjaya menganjurkan satu program yang mampu mempertingkatkan pengunaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan berharap masing-masing dapat terus mempraktikkan amalan penggunaannya kelak. Katanya, kementerian mempunyai perancangan untuk turut menerapkan mata pelajaran Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil di semua sekolah kebangsaan di negara ini pada masa depan bagi memperluaskan penguasaan pelajar dalam bahasa ketiga. Bagaimanapun katanya, pelaksanaan itu perlu melihat pelbagai aspek kerana ketika ini, kementerian lebih menumpukan penekanan terhadap bahasa Inggeris dan kemahiran berfikir aras tinggi. Dalam majlis itu juga Idris melancarkan buku Lets Talk an Lets To Global yang ditulis oleh Prof. Madya Noraein Mansor. Majlis dimeriahkan dengan penyampaian hadiah Pertandingan Drama Bahasa Inggeris dan persembahan semula drama serta pengumuman pelajar dan sekolah terbaik. Pertandingan drama dimenangi SMK Tengku Mizan manakala pelajar paling aktif ialah Mohd. Shafiq Azmi dan Fatin Hanissa Muhammad Johary. Dalam pada itu, Noraien memberitahu, hasil pemerhatian pihaknya, program enam bulan itu memberi impak positif kepada para pelajar yang terlibat apabila mereka tidak lagi dibelenggu oleh perasaan malu dan rendah diri untuk bertutur dalam bahasa Inggeris. Sebaik sahaja selesai program tersebut, kami bersama pegawai khas dari kementerian telah pergi ke sekolah tersebut untuk mengadakan sesi temu bual serta berkongsi pandangan bersama guru bahasa Inggeris di sekolah berkenaan. Rata-rata guru yang ditemui mengakui keberkesanan program itu dan hasil perbandingan yang dilakukan dengan pelajar yang tidak mengikuti program tersebut didapati terdapat perbezaan ketara khususnya dari segi penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan mereka," katanya. Noraien berkata, sehubungan itu, program tersebut dijangka dikembangkan ke sekolah-sekolah seperti matlamat asalnya. Ketika ini, kami bekerjasama dengan pihak Yayasan Terengganu (YT) untuk mengembangkan program ini dan mereka juga telah meminta supaya kami menjadi penasihat untuk program Trenglish (program yang memberi fokus penguasaan bahasa Inggeris kepada pelajar tingkatan dua hingga empat). Beberapa pegawai yang berkenaan juga telah menghadiri kursus selama tiga hari untuk tujuan itu," ujarnya. |
80 peratus pesakit tidak solat Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT Oleh ROSALINDA MD.SAID KUALA TERENGGANU 13 Mac - Kira-kira 80 peratus pesakit beragama Islam tidak menunaikan solat semasa menerima rawatan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini. Pengerusi Persatuan Pembelajaran Perubatan Pasca Siswazah (PGMES) HSNZ Dr. Nujaimin Udin berkata, penemuan itu diperoleh berdasarkan kajian awal yang dijalankan pihaknya bermula awal tahun ini. Jelasnya, antara puncanya ialah disebabkan mereka tidak tahu melakukannya ketika dalam keadaan uzur dan terlantar, merasakan susah serta tidak tahu bahawa mereka masih perlu menunaikan ibadat, selain malas untuk melakukannya. Katanya, para pesakit yang menjadi responden dalam kajian itu termasuk mereka yang lumpuh dan tidak boleh bangun serta tangan atau kaki berbalut, sekali gus merasakan dengan keadaan diri sebegitu menyulitkan mereka untuk menunaikan solat. Peka dengan keadaan itu, persatuan mengambil inisiatif untuk membantu dan salah satunya adalah dengan memberi kefahaman kepada pengamal perubatan bagi disalurkan kepada para pesakit tentang solat dalam keadaan-keadaan tertentu. Dengan bersolat juga akan memberikan lebih ketenangan kepada pesakit," katanya ketika ditemui selepas Seminar Mukmin Profesional dan Mesyuarat Agung Tahunan PGMES di sini hari ini. Perasmian seminar disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Muhammad Pehimi Yusof. Nujaimin yang merupakan Ketua Unit dan Pakar Neurosurgeri di HSNZ berkata, pihaknya optimis untuk meneruskan usaha dakwah tersebut dan merancang untuk mengadakan bengkel solat di hospital dalam masa terdekat. Katanya, langkah itu selaras saranan Kementerian Kesihatan agar program seumpama itu yang tergolong dalam Program Mesra Ibadah dilaksanakan di seluruh pusat perubatan di negara ini. Menurut Nujaimin, PGMES memiliki lebih 400 ahli yang terdiri daripada kakitangan HSNZ dan seluruh jabatan kesihatan negeri. |
Jalan berlubang jejaskan rutin harian penduduk Kampung Guchil Empat Posted: 13 Mar 2014 11:42 AM PDT Azimah Ismail menunjukkan keadaan longkang di tepi jalan yang tersumbat dan sering menyebabkan air melimpah ke atas jalan sekiranya hujan lebat di Kampung Guchil Empat, Kuala Krai, Kelantan. - UTUSAN/Rosmizan Resdi KUALA KRAI 13 Mac - Keadaan jalan yang berlubang di Kampung Guchil Empat di sini terus mengganggu rutin harian kira-kira 500 penduduk di kampung berkenaan sejak lima bulan lalu. Lebih memburukkan lagi keadaan, longkang di kawasan tersebut juga tersumbat setiap kali hujan lebat sehingga air melimpah ke atas jalan. Masalah itu dikatakan bukan sahaja menjejaskan penduduk setempat malah ia turut mendatangkan kesan kepada pengguna jalan raya yang lain kerana ia adalah laluan utama. Seorang penduduk, Abdul Aziz Zakaria, 45, berkata, keadaan jalan itu mendedahkan pengguna kepada bahaya sehingga berlaku beberapa kemalangan di kawasan tersebut. Keadaan jalan yang berlubang ini amat memberi kesan kepada pengguna memandangkan ini adalah laluan utama yang melibatkan beberapa buah kampung termasuk Kampung Guchil Lima dan Kampung Guchil Enam Untuk mengelak kejadian tidak diingini terus berulang, kami terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan meletakkan batu bata serta papan tanda di kawasan yang berlubang itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Seorang lagi penduduk, Azimah Ismail, 53, berkata, pengguna berhadapan dengan risiko yang besar pada waktu malam kerana laluan tersebut tidak mempunyai lampu jalan. Pada waktu malam, kawasan ini terlalu gelap kerana tiada lampu dan sekali gus meletakkan pengguna dalam keadaan bahaya. Kami amat berharap pihak berkenaan segera melakukan kerja baik pulih demi keselamatan dan keselesaan penduduk," katanya. Sementara itu, seorang penduduk, Mazni Mat Zain, 42, berkata, selain itu, masalah saliran longkang yang tersumbat juga perlu dibaiki dengan segera. Saluran longkang di sini agak sempit menyebabkan ia mudah tersumbat terutamanya pada musim hujan di mana air akan melimpah ke atas jalan yang membahayakan penduduk," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |