Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Realisasikan hajat 50 tahun lalu
- 205 pasar malam dikompaun
- Kunjungan pelancong ke Terengganu tidak terjejas - Mohd. Jidin
Realisasikan hajat 50 tahun lalu Posted: 17 Mar 2014 11:21 AM PDT Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB WAN Hashim Wan Mahmood melambaikan tangan sebaik tiba di Rantau Panjang. KOTA BHARU 17 Mac - Kira-kira 50 tahun lalu, seorang remaja anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang yang ketika itu berumur lima belas tahun pernah mengayuh basikal yang dihadiahkan datuknya dengan hasrat mahu mencipta rekod menjelajah seluruh Semenanjung. Namun, misi itu tidak tercapai apabila dia hanya dapat meneruskan kayuhan dari sini sehingga ke Kuala Lumpur ekoran seorang rakannya yang ketika itu turut bersama-sama ingin merealisasikan impian tersebut tidak berupaya meneruskan kayuhan. Hari ini selepas lebih lima dekad, remaja terbabit mampu tersenyum puas dan berbangga apabila misi yang tertanguh sejak sekian lama itu akhirnya berjaya direalisasikan. Dia adalah Wan Hashim Wan Mahmood, 68, pengayuh solo yang berjaya mencipta rekod peribadi selepas mengayuh sejauh 2,200 kilometer selama 28 hari mengelilingi Semenanjung Malaysia. Wan Hashim, datuk kepada 18 cucu itu memulakan kayuhan dari rumahnya di Jalan Telipot, Kota Bharu pada 26 Januari lalu dengan dilepaskan sendiri oleh ibunya, Cik Hasmah Ahmad, 83 sambil disaksikan isteri tercinta, Faridah Daud, 62, dan anak-anak yang lain. Walaupun tanpa sebarang harapan dan tajaan diberikan kepada warga emas bersemangat kental itu, Wan Hashim tetap berjaya mengayuh basikal merentasi laluan Terengganu, Pahang, Johor, Singapura, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya. Wan Hashim secara berseorangan menempuh pelbagai cabaran dan halangan seterusnya menjelajah Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Padang Besar, Perlis sebelum menaiki kereta api ke Golok, serta meneruskan kayuhan kembali ke Kelantan pada 22 Februari lalu. Wan Hashim berkata, ketika berusia 15 tahun, dia telah berhajat untuk melaksanakan misi mengelilingi Semenanjung Malaysia bagi mengisi masa lapang sementara menunggu keputusan peperiksaan LCE yang kini dipanggil Penilaian Menengah Rendah (PMR). "Saya dan seorang kawan telah memulakan kayuhan dan kami telah melalui Terengganu, Johor dan tiba dua minggu selepas itu di Kuala Lumpur sebelum rakan saya mengajak saya kembali pulang ke Kota Bharu kerana sudah tidak terdaya meneruskan misi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini. Tambahnya, selepas itu, dia tidak lagi berkesempatan menyentuh basikal lalu impian itu terkubur sehingga ia dihidupkan' kembali tahun lalu apabila dia menziarahi salah seorang anaknya, Wan Nur Elinie, 31, yang menetap di Perth, Australia. "Saya tinggal di rumah anak saya di Perth selama enam bulan, di sana setiap hari saya terlihat orang berbasikal ke mana-mana termasuk dibawa masuk ke dalam kereta api. Semasa di sana, tiba-tiba berbasikal menjadi aktiviti utama saya. "Aktiviti berbasikal semasa berada di Perth itu menyebabkan saya kembali teringat kepada misi saya yang tidak tercapai itu. "Ketika itu saya kembali bersemangat dan menyimpan azam akan melakukan misi itu semula walaupun pada umur yang hampir mencecah 70 tahun," katanya. Katanya, dia terus menyatakan hasrat tersebut kepada keluarganya, walaupun pada mulanya mereka menghalang namun selepas itu kembali menyokong impiannya itu selain tidak pernah berhenti memberi semangat dan dorongan sehingga akhirnya dia berjaya pada hari ini. Sementara itu, menceritakan kembali pengalaman sepanjang 28 hari kayuhan, Wan Hashim berkata, dalam tempoh tersebut dia terpaksa menempuh pelbagai halangan dan rintangan. Katanya, sepanjang perjalanan, dia terpaksa melalui pelbagai laluan seperti jalan-jalan di bandar, lebuh raya dan jalan berbukit yang kiri dan kanannya adalah hutan rimba. Antara pengalaman yang mencemaskan itu katanya, ketika melalui kawasan berhutan antara Pahang dan Johor dia telah diserang haiwan liar dari belantara iaitu ular dan anjing hutan. "Saya tidak pasti ular apa tetapi haiwan itu tiba-tiba melintas jalan. Saya terperanjat, lalu saya melepaskan pedal basikal dan mengangkat kedua-dua kaki saya ke udara sambil melaung kalimah Allah. "Ada juga peristiwa cemas lain apabila enam ekor anjing hutan hitam menyalak lalu mengejar saya. Haiwan itu datang dari kawasan berbukit dan saya bernasib baik ia tidak terus kejar saya," ujarnya. Dalam pada itu, dalam perjalanannya, Wan Hashim juga sempat bertemu dengan beberapa orang tokoh negara antaranya adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Katanya, dalam pertemuan tersebut, Tun Dr. Mahathir membingkis catatan untuknya selain terus memberikan kata-kata semangat. Selain Tun Dr. Mahathir, beliau juga sempat bertemu Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang meraikannya dan menganugerahkannya sehelai jersi. "Antara kenangan lain yang paling saya terharu ialah apabila saya tiba di kawasan sebuah sekolah rendah, saya tidak ingat di mana, seorang bapa yang menghantar anaknya ke sekolah telah menahan saya untuk bergambar. "Kemudian ada kira-kira 10 murid sekolah mengeluarkan buku mereka dan meminta autograf saya. Setiap lokasi yang saya singgah, saya juga dilayan dengan baik oleh penduduk setempat yang tidak putus-putus memberikan semangat," katanya. Katanya, dia bersyukur sepanjang perjalanan, Allah mempermudahkannya dalam mengharungi apa jua cabaran mendatang. "Sebelum memulakan perjalanan, ramai yang meragui keupayaan saya. Saya juga tiada perancangan di mana saya akan menginap. "Alhamdulillah, Allah permudahkan saya. Dua hari pertama memang betul-betul menduga seolah-olah menghalang saya untuk meneruskan misi tetapi saya terus berdoa dan kuatkan diri. "Apa yang mengejutkan ialah hanya hari pertama saya tidur bermalam di sebuah surau, kemudian untuk hari seterusnya ada sahaja orang yang mahu menawarkan saya tempat menginap," katanya. |
Posted: 17 Mar 2014 11:21 AM PDT Oleh Radhuan Hussain KUALA TERENGGANU 17 Mac - Susulan kes keracunan makanan yang mengakibatkan satu kematian dan 157 pesakit terpaksa dirawat dalam kejadian 1 Mac lalu, sebanyak 205 premis di pasar malam sekitar daerah ini telah dikenakan kompaun. Melalui tindakan tegas yang mulai diambil hasil pemantauan lebih menyeluruh, kompaun yang dikenakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu membabitkan nilai berjumlah RM49,750. Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Anwa Sulaiman ketika mengesahkan perkara itu berkata, jumlah premis yang dikompaun itu merupakan antara 463 premis yang diperiksa dalam siri operasi di sekitar daerah ini bermula 5 Mac hingga 11 Mac lalu. Beliau memberitahu, daripada 205 premis terbabit, sebanyak 154 premis bersabit kesalahan tiada lesen diikuti tiada kad kesihatan atau suntikan anti-tifoid (47 premis) manakala kesalahan tidak memakai apron (empat premis). "Dalam kes keracunan makanan tempoh hari, jumlah keseluruhan pesakit yang dirawat di HSNZ (Hospital Sultanah Nur Zahirah) adalah 157 orang daripada jumlah ini, 114 pesakit dirawat dimasukkan ke wad manakala 43 orang lagi sebagai pesakit luar. "Pada 10 Mac lalu merupakan tarikh terakhir pesakit yang dibenarkan pulang, perkembangan ini menunjukkan kita telah berjaya selesaikan kes ini," katanya. Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Menzahirkan Doa dan Harapan Buat MH370 di HSNZ di sini kelmarin. Yang turut hadir, Timbalannya, Dr. Mohamad Omar. Dalam kejadian keracunan makanan tempoh hari, seorang kanak-kanak berusia lima tahun, Muhammad Iqbal Rafie Mohd. Ilme meninggal dunia setelah muntah dan cirit-birit, dipercayai berpunca daripada makanan yang dibeli di pasar malam Padang Hiliran awal bulan ini. Sejumlah 157 lagi mangsa turut mengalami masalah serupa dan terpaksa dirawat, di mana 114 daripadanya dimasukkan ke wad di HSNZ dan 43 orang lagi dirawat sebagai pesakit luar. Mengenai kes denggi pula. Dr. Anwa berkata, sejak Januari lalu hingga semalam, Terengganu mencatatkan 189 kes dengan peningkatan ketara sebanyak 370 peratus berbanding hanya 40 kes dalam tempoh serupa tahun lalu. Menurutnya, hampir kesemua daerah mencatatkan peningkatan kes, di mana Kuala Terengganu merupakan daerah tertinggi dengan catatan 144 kes berbanding cuma lima kes dalam tempoh yang sama tahun lalu. "Diikuti Besut dengan 15 kes dan 16 kes di Dungun, Pada masa ini, dua lokasi diisytiharkan sebagai kawasan wabak denggi iaitu di Kampung Tok Adis dan sekitar Flat Hiliran," katanya. |
Kunjungan pelancong ke Terengganu tidak terjejas - Mohd. Jidin Posted: 17 Mar 2014 11:21 AM PDT Mohd. Jidin Shafee (kanan) dan Mohd. Yusuf Abdullah (kiri) melawat ruang pameran selepas perasmian Pameran Demi Masa di Kompleks Lembaga Muzium negeri di Kuala Terengganu, semalam. - Utusan/AZLAN BHARUM KUALA TERENGGANU 17 Mac - Kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal sejak 8 Mac lalu tidak menjejaskan kunjungan pelancong ke negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, malah jadual penerbangan yang membawa pelancong ke negeri ini juga berjalan seperti biasa dan tempahan juga tidak dibatalkan. Beliau memberitahu, perkembangan positif itu menyakinkannya bahawa sasaran kebanjiran lima juta pelancong ke negeri ini pada tahun ini dapat dicapai. "Ada kalangan pelancong asing yang ditemui mendakwa tak tahu mengenai kejadian itu malah ada yang memberitahu, ia tidak membantut hasrat mereka untuk melancong," katanya. Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Pameran Demi Masa di Kompleks Lembaga Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini. Yang turut hadir ialah Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Mohd. Yusuf Abdullah. Pameran itu mengenengahkan perubahan dan penyesuaian kehidupan manusia dan alam seiring dengan perjalanan masa. Sementara itu, Mohd. Yusof memberitahu, pameran Demi Masa yang berlangsung sehingga 15 Jun ini antara lain bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan memanfaatkan masa untuk berjaya. Menurutnya, ia juga memberi peluang kepada para pelajar untuk mempunyai sikap mementingkan masa dengan cara mempelajarinya daripada kejayaan orang terdahulu yang bijak menguruskan masa. "Kita yakin, menerusi program seumpama ini, kita percaya dapat tarik lebih ramai pengunjung terutama pada musim cuti sekolah tidak lama lagi," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |