Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
Jual murah tetapi rezeki bertambah Posted: 06 Mar 2014 10:39 AM PST Oleh radhuan hussain Pekerja menyusun kuih-muih dan barangan makanan sarapan pagi di warung milik Sinah Sulaiman di Kampung Losong Dato Hj. Amar, Kuala Terengganu, baru-baru ini. KUALA TERENGGANU 6 Mac - Di warung, gerai atau restoran mana lagi boleh ditemui kuih-muih yang dijual dengan harga serendah 20 sen atau 30 sen sebiji sebagaimana harga semasa berpuluh tahun yang lalu? Memang sukar untuk mencari peniaga yang menjual makanan dan minuman pada harga amat berpatutan, setimpal pula dengan apa yang disajikan. Ramai mengeluh dengan harga yang dikenakan dengan alasan kenaikan kos barangan sedangkan rasanya pula tidak seenak mana, selain layanan serta khidmat pelanggan yang kadang-kala cukup memualkan. Warung milik Sinah Sulaiman (gambar), 61, yang terletak di Kampung Losong Dato Hj. Amar di sini ternyata berbeza dan itulah yang menyebabkan tidak putus-putus dikunjungi pelanggan, tidak kira jauh atau dekat. Di warung itu yang terletak di pinggir jalan menghala ke Muzium Negeri di sini, beraneka juadah seperti kuih-muih, nasi lemak dan nasi minyak bungkus, roti canai sehinggalah ke air minuman, harga yang dikenakan memuaskan hati pelanggan. Rahsianya sudah tentu makanan yang dijual di situ rata-ratanya murah, antaranya sebungkus nasi lemak atau nasi minyak hanya dijual 60 sen hingga RM1.30 sen manakala minuman sekitar 30 sen hingga RM1.20 sen secawan sementara kuih-muih dijual sekitar 20 sen atau 30 sen sebiji. Dengan berbelanja sekadar RM2, perut sudah cukup teralas bagi pelanggan semasa bersarapan. Sinah, anak jati Kampung Losong ketika ditemui berkata, dia mula berniaga di situ sejak lebih 40 tahun lalu bersama-sama suaminya dan setelah kematian suaminya itu, dia meneruskan perniagaan itu sambil dibantu lima anak dan empat pekerja. "Saya tak kisah jual harga semurah ini, saya dan anak-anak tetap bersyukur kerana masih dapat untung dan menjadi sumber pendapatan kami sekeluarga. "Niat kami nak tolong orang kampung (pembeli), mereka bukannya orang senang, ada yang jadi nelayan dan sebagainya, sebab itulah saya jual dengan harga murah dan rezeki pun bertambah," katanya yang memulakan perniagaan sesudah subuh sehingga maghrib. Bertepatan dengan konsep jualan murah itu, warung Sinah menjadi sebahagian daripada 4,367 outlet yang menyertai program Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) di seluruh negara sejak mula diperkenalkan pada tahun 2011. Sebanyak 387 premis seumpama itu wujud di Terengganu ketika ini. Sebagai pengiktirafan kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Timbalan Menteri di kementerian berkenaan, Datuk Seri Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah berkunjung ke warungnya baru-baru ini. Ahmad Bashah yang turut disertai para pegawai dan kakitangan PPDNKK Terengganu serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sempat meluangkan masa di gerai Sinah dan bertemu dengan pelanggan sebelum meneruskan misi lawatannya ke premis lain di negeri ini. Dalam kunjungan itu, beliau kagum dan berpuas hati dengan sambutan orang ramai yang tidak putus-putus mengunjungi warung berkenaan semata-mata untuk menikmati keenakan juadah di situ yang dijual pada harga sangat berpatutan. Menurutnya, menerusi pengenalan program MR1M itu, sekurang-kurangnya mampu memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa masih wujud kedai makan dengan harga murah dan tidak membebankan pembeli. Namun kata beliau, terpulang kepada para pengguna untuk memilih dan menilai sendiri harga jualan yang dikenakan para peniaga termasuk Sinah. "Kita harap pengguna bijak membuat pilihan dan kerajaan sedia memberi sokongan kepada mereka yang mengusahakan gerai-gerai makan atau restoran sambil mengenakan harga munasabah dan berpatutan," ujarnya. Beliau mengakui setakat ini berpuas hati dengan sambutan peniaga serta orang ramai terhadap program MR1M ketika mana kebanyakan rakyat masih mengeluh dengan isu kenaikan harga pelbagai barangan ketika ini. "MR1M merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat mendapatkan makanan berkualiti dengan harga berpatutan dalam usaha mengurangkan bebanan kos sara hidup. "Program ini (MR1M) menawarkan pakej sarapan pagi dan tengah hari pada harga maksimum RM2 dan RM4 (Semenanjung) dan maksimum RM2.50 sen dan RM5 di Sabah dan Sarawak," jelasnya. Selain berkunjung ke gerai Sinah, Ahmad Bashah serta anggota rombongan turut melawat lima lagi premis perniagaan di Terengganu termasuk premis Transformasi Kedai Runcit (Tukar), kedai Coop 1Malaysia (Coop1M), tidak terkecuali Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M). |
Pengguna zahirkan rasa puas hati Posted: 06 Mar 2014 10:39 AM PST KUALA TERENGGANU 6 Mac - "Makanan dan minuman yang dijual di warung kak Sinah ini bukan saja murah tapi sedap dan berkualiti, sebab itulah setiap hari saya datang ke sini," luah Ahmad Sukri Mohamad. Ahmad Sukri, 41, seterusnya menyifatkan gerai makan milik Sinah Sulaiman, 61, itu merupakan premis yang menjual makanan dan minuman paling murah di sekitar bandar raya ini sehingga dikunjungi semula lapisan. Dia turut berharap supaya para peniaga lain dapat mencontohi inisiatif gerai berkenaan yang prihatin dengan bebanan yang ditanggung pengguna ekoran kenaikan harga barang ketika ini. "Setiap hari saya pasti datang ke gerai ini, ia bukan saja makanan dan minuman dijual pada harga murah dan berpatutan, malah sedap dan bagi saya, inilah satu-satunya kedai paling murah di sini," katanya ketika ditemui di gerai itu baru-baru ini. Begitu juga dengan reaksi pelanggan lain, Noritawati Hamzah, 44, yang tidak melepaskan peluang mengunjungi warung milik Sinah itu sejak dahulu lagi, biarpun sibuk dengan urusan perniagaannya. Peniaga emas itu tidak menafikan, harga berpatutan yang dikenakan di gerai itu menjadi tarikan utama para pengunjung termasuk para pelajar untuk dijadikan bekal ke sekolah. "Sejak dulu lagi saya pasti datang ke sini terutama setiap Jumaat, sepatutnya peniaga lain ikut jejak langkah kedai ini dan jangan jual harga terlampau mahal. "Apa salahnya jual harga murah, untung tetap untung juga dan janganlah sampai bebankan pengguna kerana nak untung berlebihan sehingga orang pun takut nak datang," katanya yang tinggal di Kampung Batu Enam dekat sini. Pendapatnya disokong rakannya, Mahani Mohamed, 50, dari Gong Badak dekat sini yang sanggup meluangkan masa mengunjungi warung Sinah yang turut menyertai program Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) biarpun tinggal jauh dari kedai itu. Mahani yang juga seorang peniaga emas berkata, selain harga murah dan enak dimakan, layanan mesra pemilik warung berkenaan serta pekerjanya begitu menambat hati pelanggan. "Adalah sukar untuk kita cari kedai makan yang bukan saja jual makanan atau minuman pada harga murah tapi juga layanannya yang mesra pelanggan, bagi saya tak rugi pun kalau kita jual murah," ujarnya. |
Posted: 06 Mar 2014 10:39 AM PST Oleh ROSALINDA MD. SAID Sebahagian penerima ceria bersama replika kunci rumah yang disampaikan oleh Ahmad Said di Taman Batin Perdana, Seberang Takir, Kuala Terengganu, semalam. KUALA TERENGGANU 6 Mac - Aku Janji Barisan Nasional (BN) Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 untuk membina 10,000 lagi unit rumah sepanjang tempoh lima tahun telah mula digerakkan tahun ini. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sehingga kini kerajaan negeri meluluskan pembinaan 800 unit rumah mampu milik dengan sejumlah 500 unit di Seri Bandi, Kemaman dan 300 lagi di Pengkalan Nyireh, Besut. "Surat kelulusan kepada pihak kontraktor telah dikeluarkan untuk dilaksanakan mengikut jadual yang telah dipersetujui," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Taman Batin Perdana di Seberang Takir, di sini hari ini. Yang hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Datuk Osman Muda. Sebanyak 92 keluarga menerima surat tawaran rumah berkenaan yang disampaikan Ahmad. Rumah tersebut dijual pada harga serendah RM77,000 setelah diberi subsidi sebanyak 45 peratus iaitu kira-kira RM63,000 oleh kerajaan negeri. Tambah Ahmad, aku janji itu dibuat berdasarkan kemampuan kerajaan negeri untuk menyediakan 10,000 unit rumah bagi rakyat dalam tempoh lima tahun pada 2008 hingga 2013. "Sehingga kini, hampir 9,000 unit telah siap dan selebihnya dalam pembinaan dan hampir siap sedikit masa lagi. Siap 10,000 unit yang kita janjikan penggal lalu, 10,000 unit lagi kita akan bina. Ahmad berkata, sejak mula memegang tampuk pemerintahan negeri, tumpuan diberikan bagi memenuhi keperluan asas untuk kesejahteraan rakyat di seluruh negeri termasuk di pulau-pulau dan penyerahan rumah-rumah kepada yang layak akan terus dilakukan secara berperingkat. RPMM Taman Batin Perdana dibangunkan dengan kos RM101.8 juta, menampung 722 unit kediaman di 19 blok bangunan empat tingkat, dilengkapi taman permainan kanak-kanak, surau, dewan dan tadika. Ahmad mengingatkan penghuni baharu rumah pangsa itu agar tidak menyewa atau menjual rumah berkenaan kerana inisiatif yang dilakukan kerajaan negeri adalah semata-mata untuk membantu golongan berpendapatan rendah di bawah RM3,000 agar menikmati kehidupan lebih selesa bersama keluarga. Sementara itu, seorang ibu tunggal, Kamaizura Abdul Aziz @ Nordin, 40, berkata, dia tidak menyangka terpilih menjadi penghuni rumah pangsa itu, sekali gus berterima kasih yang disifatkan sebagai suatu hadiah yang cukup bermakna dalam hidupnya. "Pendapatan sebagai guru tadika tidak seberapa dan sekiranya tiada peluang, ini pastinya saya akan terus menetap di rumah kedua ibu bapa di Tok Jembal yang cuma mempunyai dua bilik, katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |