{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Utara


Pesta Angin Timur Perlis meriah

Posted: 05 Mar 2014 11:24 AM PST

Oleh SHOLINA OSMAN
utusanperlis@utusan.com.my

Pertandingan tangkap itik memeriahkan suasana Pesta Angin Timur di Kampung Permatang Keriang, Sanglang, baru-baru ini.

Kangar 5 Mac - Kampung Permatang Keriang, Sanglang yang terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Kangar amat bertuah kerana dipilih sebagai lokasi pesta yang diadakan setiap dua tahun sekali itu.

Kampung tersebut yang selama ini sunyi tiba-tiba menjadi riuh rendah apabila selama dua hari iaitu pada Sabtu dan Ahad lalu, Pesta Angin Timur 2014 berkampung di situ.

Pesta itu yang berkonsepkan kehidupan petani selepas musim menuai pada zaman dahulu cuba dihidupkan kembali untuk dirasai oleh penduduk negeri ini khususnya untuk dinikmati oleh generasi muda.

Sesungguhnya peranan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis dengan kerjasama kerajaan Perlis dan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Perlis untuk merealisasikan pesta itu, wajar diberikan penghargaan.

Kalau pada zaman dahulu kala, kerbau begitu sinonim dengan kerja-kerja membajak sawah tetapi tugas itu kemudiannya diambilalih oleh jentera moden yang bernama Kubota.

Jentera bajak Kubota yang sangat popular dalam kalangan petani yang diberikan gelaran kerbau besi juga cuba ditonjolkan sebagai satu daya tarikan baharu kepada pengunjung pesta apabila diadakan pertandingan Kerbau Besi Berhias.

Pertandingan Lumba Kerbau Besi juga diadakan bagi memeriahkan lagi pesta tersebut.

Berikutan itu, Menteri Besar, Azlan Man dalam ucapan perasmiannya pada majlis tersebut telah mencadangkan supaya lumba kerbau besi dijadikan sebagai identiti Perlis.

Anjurkan acara ini secara besar-besaran dengan melibatkan penyertaan yang lebih ramai, katanya.

Pada pesta itu orang ramai berpeluang menyaksikan bagaimana cara untuk mengemping padi bermula dari menggoreng padi sehinggalah menumbuknya serta menjadi emping yang terkenal sebagai kudap-kudapan golongan petani.

Juga diadakan pertandingan mengagau atau menangkap ikan, aktiviti yang biasanya dilakukan oleh petani di dalam sawah sekalipun badan dipenuhi dengan selut untuk menangkap pelbagai ikan air tawar seperti puyu, haruan dan sepat.

Selain permainan yang cukup popular dalam kalangan masyarakat petani iaitu bermain batu tujuh, congkak, dam aji dan wau termasuk acara penting dalam pesta itu demonstrasi membuat wau dan pertandingan wau.

Pertandingan seni suara burung Merbah Jambul juga diadakan memandangkan aktiviti ini juga amat popular di kawasan utara tanah air.

Pertandingan tersebut menarik ramai kunjungan dalam kalangan peminat seni suara burung termasuk yang datang dari Thailand.

Juga diadakan pertandingan Badang Bendang iaitu menguji kekuatan mengangkat paling kurang sekampit beras seberat 10 kilogram dengan pemenang diberikan hadiah beras yang mampu dipikulnya itu sehingga mengalahkan peserta lain.

Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga boleh melihat persembahan kebudayaan dari luar iaitu Ghazal Parti dari Pulau Pinang dan Wayang Kulit Seri Asun dari Kedah selain Hadrah dan Awang Batil dari Perlis.

Pesta itu juga dilengkapi dengan pelbagai maklumat yang boleh diperoleh pengunjung menerusi pameran yang diadakan oleh beberapa jabatan berkaitan pertanian dan perikanan.

Pengunjung juga berpeluang membawa pulang buah tangan apabila terdapat pelbagai gerai yang menjual produk kraftangan, produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS), produk tenusu, jualan anak benih, pokok dan sebagainya.

Berikutan sambutan hangat itu, maka jangkaan lebih 10,000 pengunjung ke Pesta Angin Timur 2014 pastinya menjadi kenyataan sebelum diadakan dalam tempoh dua tahun lagi.

Pesta pertama kali tarik lebih 20,000 pengunjung

Posted: 05 Mar 2014 11:24 AM PST

KANGAR 5 Mac - Pesta Angin Timur Perlis 2014 yang diadakan di Kampung Permatang Keriang, Sanglang dekat sini pada Sabtu dan Ahad lalu mendapat sambutan luar biasa apabila dikunjungi lebih 20,000 orang termasuk dari Kedah dan Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri, Abdul Jamil Saad berkata, kali pertama diadakan pada 2011 dengan dikunjungi kira-kira 5,000 orang.

Kali ini kita cuma menjangka jumlah pengunjung hanya 10,000 orang tetapi sesuatu yang membanggakan apabila jumlah yang datang melebihi daripada yang disasarkan, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pesta Angin Timur Perlis 2014 dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Perlis dengan kerjasama kerajaan negeri dan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Perlis.

Pesta itu merupakan program yang mengembalikan semula suasana kehidupan petani di zaman dahulu dengan mengadakan semula aktiviti masa lapang petani seperti mengagau ikan, bermain wau termasuk perlumbaan kerbau besi atau kerbau besi berhias iaitu jentera pembajak jenis Kubota.

Abdul Jamil berkata, kemungkinan antara tarikan kepada pengunjung kali ini kerana adanya pertandingan kerbau besi berhias dan perlumbaan kerbau besi.

Pengunjung ingin melihat bagaimana perlumbaan kerbau besi yang memang pertama kali diperkenalkan di dalam acara yang diadakan pada pesta kali ini, katanya.

Beliau berkata, ini kerana sebelum ini kerbau besi hanya digunakan oleh petani untuk membajak sawah.

Boleh dikatakan setiap petani di Perlis mempunyai jentera pembajak ini untuk kemudahan membajak sawah, katanya.

Beliau berkata, pertandingan kerbau besi dijangka diperluaskan lagi di setiap daerah di Perlis bermula tahun ini.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain untuk mempopularkannya semula.

Abdul Jamil berharap pertandingan jentera pembajak akan menjadi daya tarikan baharu pelancong ke negeri ini.

Tiga sekolah Orang Asli dibantu

Posted: 05 Mar 2014 11:24 AM PST

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Mazlan Mohammad dan Abdullah Mohd. Yusof (tengah) menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Aeon Malaysia kepada Hamidah Majid di Tapah, Perak, semalam. - UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin

TAPAH 5 Mac - Yayasan Aeon Malaysia menyumbang sebanyak RM180,000 menerusi projek Basic Education Support (Best) untuk kerja-kerja menaik taraf kemudahan di tiga buah sekolah yang rata-rata pelajarnya terdiri daripada masyarakat Orang Asli.

Pengerusinya, Datuk Abdullah Mohd. Yusof berkata, proses naik taraf yang bermula November tahun lalu itu melibatkan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Tujuh, SK Batu 14 (RM50,000) dan SK Pos Dipang di Kampar (RM30,000).

Projek Best yang bertujuan memberi bantuan asas pendidikan, telah masuk tahun kedua pada kali ini. Tahun lalu, Yayasan Aeon Malaysia telah membantu tiga buah sekolah di kawasan pedalaman Sarawak iaitu di Bau dengan sumbangan sebanyak RM430,000.

Diharapkan, bantuan yang disalurkan ini dapat menyediakan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif kepada murid-murid yang bakal menjadi generasi pelapis negara pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan projek Best berkenaan di SK Batu Tujuh di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan, Datuk Mazlan Mohammad dan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden 1, Yayasan Aeon Malaysia, Nur Qamarina Chew Abdullah dan Guru Besar SK Batu Tujuh, Hamidah Majid.

Antara kemudahan yang dinaik taraf di SK Batu Tujuh termasuklah gelanggang tenis, laluan koridor berbumbung, pemasangan dua pendingin hawa, pembelian buku serta pembinaan kabin sebagai tambahan kepada 15 bilik darjah sedia ada kerana tidak mampu menampung 496 pelajar secara selesa.

Kemudahan yang turut dibaik pulih di SK Batu 14 dan SK Pos Dipang pula antara lain melibatkan penyediaan sebuah tandas, tapak perhimpunan, pusat sumber dan makmal komputer serta kemudahan pentas untuk aktiviti kokurikulum.

Sementara itu, Mazlan berkata, pihak kementerian mengalu-alukan kesudian mana-mana pihak tidak kira sama ada agensi kerajaan mahupun syarikat swasta, untuk menyumbang bagi menjayakan transformasi pendidikan Orang Asli. di negara ini.

Bantuan seperti inilah yang seharusnya menjadi pembakar semangat kepada guru-guru yang bertugas di kawasan pedalaman untuk terus melaksanakan tanggungjawab demi mendidik anak bangsa," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat