Kosmo Online - Horizon
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Horizon |
- Pupuk peserta hargai khazanah alam
- 'Jatuh cinta' dengan bandar epal, Almaty
- Pesta mandi lumpur di Korea Selatan
Pupuk peserta hargai khazanah alam Posted: Pupuk peserta hargai khazanah alamOleh KU MOHD. RIZDUAN KU ABDUL RAHMAN SERAMAI 504 peserta menempuh aktiviti sukan larian lasak Teva Kenaboi Adventure Race 2014 yang berlangsung di Kampung Chennah, Jelebu, Negeri Sembilan baru-baru ini. Perlumbaan berkenaan melibatkan beberapa kawasan di Mukim Kenaboi yang meliputi lokasi sekitar Kampung Chennah, Kampung Esok, Sungai Kenaboi, Gua Batu Pala dan sebahagian Hutan Rizab Kenaboi. Setiap pasukan yang terdiri daripada dua peserta campuran lelaki dan wanita bukan sahaja dikehendaki berlari melalui trek yang telah disediakan, malah mereka perlu menyelesaikan beberapa tugasan di setiap titik temu. Antara tugasan itu termasuklah memintal tali, melambung getah ke arah lidi, melastik tin, membawa pasir sungai seberat 20 kilogram dan boling kelapa serta meneroka Gua Batu Pala atau turut dikenali sebagai Gua Periok sepanjang 500 meter. Rata-rata peserta mengakui cabaran meneroka gua begitu menguji mental dan fizikal mereka kerana keadaan dalam gua yang amat sempit dan gelap. Acara larian lasak yang bermula di padang Sekolah Kebangsaan Datuk Undang Abdullah di Kampung Chennah dilepaskan oleh Pengerusi Bertindak Jawatankuasa Pelancongan Negeri Sembilan, Tun Hairudin Abu Bakar pada pukul 8.30 pagi. Para peserta pantas mengatur langkah semasa perlepasan di Sekolah Kebangsaan Datuk Undang Abdullah, Jelebu. Kategori Para peserta bagi kategori terbuka perlu menamatkan larian sejauh 22 kilometer (km) manakala kategori institusi pengajian tinggi (IPT) dikehendaki mengakhiri larian sejauh 16km. Pada tahun ini, cabaran dihangatkan dengan pengenalan kategori IPT yang mendapat penyertaan sekitar Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka. Bagi kategori terbuka, para peserta dikehendaki menyelesaikan enam disiplin manakala lima disiplin pula perlu dilakukan peserta kategori IPT. Kategori terbuka dimenangi pasukan S.K.A Runner dari Kuala Lumpur, yang disertai Muhd. Asdi Weding, 31, dan Nur Amelia Musa, 28, dengan cacatan masa larian 2 jam dan 19 minit. Muhd. Asdi dan Nur Amelia yang masing-masing merupakan anggota tentera dan polis membuat persediaan selama dua minggu sebelum menyertai cabaran itu. "Ini adalah penyertaan sulung kami pada acara larian lasak Teva Kenaboi Adventure Race dan ternyata usaha kami berbaloi," kata Muhd. Asdi yang turut mengakui semua aktiviti cukup mencabar terutama disiplin melastik tin. Pasukan UPSI Mix dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak, yang disertai Samsu Rudi dan Shu Seo Cheng yang berusia 20-an pula dinobatkan juara bagi kategori IPT dengan cacatan masa 2 jam dan 39 minit.
Kedua-dua pasukan tersebut masing-masing meraih hadiah wang tunai RM2,000 dan RM1,000 berserta piala pusingan, piala iringan, medal dan sijil. Acara sukan pelancongan lasak ini dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan negeri, Pejabat Daerah Jelebu dan disokong oleh Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Sembilan. Platform Penganjuran Teva Kenaboi Adventure Race 2014 ini bukan sahaja menjadi platform terbaik mempromosikan Jelebu sebagai kawasan ekopelancongan tetapi, ia juga mampu mendidik peserta peka terhadap isu alam sekitar. Seorang peserta yang berasal dari England, Dave Spence, 53, mencuri tumpuan ketika menamatkan cabaran apabila dia memungut secebis plastik yang ditinggalkan oleh salah seorang peserta ketika acara berlangsung. Dia yang sudah 12 tahun menetap di Kuala Lumpur mengutip dan memulangkan sampah yang dibuang oleh peserta berkenaan ketika tiba di garisan penamat. "Perkara sebegini (membuang sampah) tidak sepatutnya berlaku. Malaysia memiliki kawasan hutan yang cantik dan ia perlu dihargai. "Memulangkan sampah yang dibuang secara sengaja adalah cara terbaik untuk mendidik orang ramai supaya mereka lebih bertanggungjawab," katanya yang juga seorang aktivis alam sekitar. Spence yang berpasangan dengan seorang warga tempatan, Ester Sim, 28, dalam cabaran berkenaan menyertai Teva Kenaboi Adventure Race buat kali kedua kerana terpesona dengan keindahan hutan semula jadi di negara ini. JARAK antara lidi dan peserta menjadi cabaran utama dalam melunaskan misi melambung getah ke lidi. Sementara itu, peserta dari Nigeria, Richard Ahbeya, 28, yang dua tahun berturut-turut menyertai sukan lasak itu mengakui kesukaran pertandingan tersebut. Peserta tinggi lampai yang merupakan penuntut Kolej SEGi di Kota Damansara, Selangor itu memberitahu, semua disiplin dalam acara tersebut begitu mencabar terutama ketika meneroka gua yang gelap dan sempit. Membatalkan Dalam pada itu, syarikat pengurusan acara, Kenaboi Adventure Enterprise yang mengendalikan acara tersebut berkata, cabaran kali ini turut menerima penyertaan antarabangsa seperti dari Kenya, Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei. Menurut Pengarah acara berkenaan, Khairil Anuar Zainal Azman, acara tersebut disertai peserta paling muda berusia 14 tahun dan paling tua berumur 57 tahun. "Pada tahun ini kita terpaksa membatalkan satu disiplin wajib iaitu `water tubing' sepanjang 3km di Jeram Lesong atas nasihat pihak bomba dan penyelamat ekoran paras air naik selepas hujan beberapa jam sebelum acara bermula. "Bagaimanapun, disiplin itu kita gantikan dengan tugasan membawa pasir sungai dan boling kelapa," ujarnya. | |
'Jatuh cinta' dengan bandar epal, Almaty Posted: 'Jatuh cinta' dengan bandar epal, Almaty
DAHULUNYA pernah memegang gelaran ibu negara kepada Kazakhstan sehingga tahun 1997, Almaty yang terletak di selatan Kazakhstan merupakan lokasi gah pusat kewangan negara itu. Nama Almaty mempunyai sejarah tersendiri kerana lokasi itu dahulunya dipenuhi pokok epal liar sehingga gelaran Almaty sinonim dengan bandar terbesar di Kazakhstan itu. Menurut pemandu pelancong, Alexander Yezhor, 67, Almaty membawa maksud epal dalam bahasa Kazakh. Dia juga memberitahu negeri berkenaan turut disebut sebagai Alma-Ata. "Sebelum menerima nama Almaty, masyarakat tempatan menggelar negeri ini sebagai Alma-Ata. Alma-Ata merujuk kepada epal liar atau bapa epal yang tumbuh subur di kawasan ini. "Epal liar tersebut ialah Malius Sieversi yang kami percaya sebagai gen utama atau 'moyang' kepada epal yang terdapat di seluruh dunia," cerita Yezhor. Jelasnya lagi, selain nama yang unik dan pusat kewangan ekonomi Kazakhstan, Almaty sering menjadi tarikan pelancong berikutan seni bina yang unik serta moden. Panorama Yezhor menganggap Almaty adalah 'buah hati' kepada pelancong kerana selain kehebatan seni bina, ia turut menyediakan panorama semula jadi yang indah buat pengunjung. Terletak di kaki gunung banjaran Tien Shan, Almaty boleh diangkat sebagai sebuah bandar yang teratur dari segi alam semula jadi, infrastruktur dan kemudahan. SOSEJ daging kuda merupakan sumber protein utama di Almaty. Jalan raya di bandar ini dibina begitu teratur dengan barisan pelbagai jenis pohon menghiasi sepanjang perjalanan. Tidak kurang juga pelbagai jenis pokok bunga mencantikkan lagi pemandangan bandar itu. Keindahan bandar diserikan lagi dengan pancuran air, taman-taman yang menarik di samping pemandangan gunung-ganang yang gah mencuri perhatian siapa sahaja yang melihatnya. Sebahagian besar penduduk Kazakhstan tinggal di bandar ini. Selain pusat kewangan Kazakhstan, Almaty adalah pusat komersial dan tarikan pelancong. Walaupun tidak menjadi ibu negara Kazakhstan atas permintaan Presiden Nursultan Nazarbayev, Almaty terus menjadi pusat kewangan negara dan Asia Tengah. Sehingga kini, Astana menjadi ibu negeri kepada Kazakhstan dan kedua-dua bandar itu pesat membangun. Menurut Pengarah Jualan Seluruh Dunia, Air Astana, Richard Ledger, wajah kemodenan Almaty disulami panorama semula jadi menjadi faktor utama ia harus dilawati pelancong. "Walaupun ramai pelancong di luar sana mengenali Almaty sebagai sebuah bandar yang pesat, kami tetap mempunyai tasik yang cantik, banjaran gunung-ganang yang indah dan lembah yang menarik. "Sebagai sebuah bandar yang dikelilingi kawasan pergunungan, Almaty lokasi yang sangat tepat buat pencinta aktiviti meluncur ais dan menunggang kuda. "Ramai rakyat Malaysia datang ke sini kerana pelbagai aktiviti berbentuk riadah yang boleh mereka lakukan bersama rakan-taulan dan keluarga tercinta," katanya. KUMYS atau susu masam daripada kuda betina antara hidangan unik di Almaty. Daging kuda Tidak lengkap rasanya sebuah percutian tanpa hidangan makanan yang menarik. Sudah bosan dengan sumber protein daripada lembu, di Kazakhstan menyediakan daging kuda untuk santapan pelancong. Hidangan yang menjadi kegemaran masyarakat tempatan dan pilihan pelancong ialah sosej daging kuda dan minuman susu masam kuda betina atau dipanggil Kumys. Jika mahu beralih selera, makanan ala Eropah turut terdapat di negara itu. Antara restoran pilihan pelancong ialah Augustin dan Del Papa iaitu sebuah restotan dengan cita rasa Itali. Memandangkan 70 peratus penduduk Kazakhstan beragama Islam, maka makanan halal bukanlah satu isu utama. Menurut penduduk tempatan Muslim, Samat Kassymbayev, 24, jangan khuatir mengenai status makanan halal di Kazakhstan kerana 60 peratus produk yang dijual di pasar raya dan restoran adalah halal. "Walaupun kami di sini mempunyai pelbagai etnik tetapi majoriti di sini menganut agama Islam. Mencari makanan halal bukanlah perkara yang mustahil. "Setiap restoran dan pasar raya menjual produk yang halal. Jika anda masih was-was jangan malu untuk bertanya kerana kami sangat peramah dan berbesar hati untuk membantu," jelasnya. - Bernama | |
Pesta mandi lumpur di Korea Selatan Posted: Pesta mandi lumpur di Korea SelatanDI Festival Lumpur Boryeong pengunjung bebas bermain lumpur tanpa perasaan jijik dan kotor. KEUNIKAN Festival Lumpur Boryeong di Korea Selatan menyebabkan acara itu cukup dinanti-nantikan pengunjung saban tahun. Mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk bergelumang dalam 'lautan' lumpur. Maka, tidak hairanlah festival yang dianjurkan selama dua minggu pada bulan Julai itu mencatat kehadiran kira-kira 3 juta pengunjung dari serata dunia. Kemuncak festival tersebut adalah pada minggu kedua apabila kawasan pantai Daecheon yang terletak kira-kira 200 kilometer di selatan Seoul dibanjiri pengunjung. Festival yang pertama kali dianjurkan pada tahun 1998 itu bertujuan memperkenalkan produk kosmetik di daerah Boryeong kepada masyarakat tempatan. Daerah tersebut terkenal sebagai pengeluar produk kecantikan dan penjagaan diri berasaskan lumpurkerana lumpur di situ mempunyai khasiat yang baik untuk kulit. Secara tidak langsung, ia memberi kesempatan kepada masyarakat setempat untuk mempromosikan produk yang dihasilkan di daerah itu. Sebuah universiti tempatan yang menjalankan kajian ke atas lumpur itu mendapati, ia berkhasiat dan disahkan mempunyai nutrien yang baik untuk kulit. Sehubungan itu, kerajaan Korea Selatan menjadikan festival tersebut sebagai acara tahunan. Selain itu, kerajaan negara itu mahu berkongsi dengan seluruh dunia mengenai keunikan festival dan khasiat lumpur di Boryeong. GELONGSOR lumpur merupakan permainan baharu yang diperkenalkan oleh penganjur. Sepanjang mandi lumpur di Boryeong, pengunjung tidak perlu khuatir kulit kusam akibat terlalu lama terdedah di bawah matahari atau terlalu kering akibat kedinginan pantai Daechon. Sebaliknya, pengunjung hanya perlu menyaluti lumpur tersebut di seluruh badan, wajah dan rambut bagi menyerap setiap khasiat yang terkandung dalam lumpur berkenaan. Kontroversi Di sebalik pelbagai khasiat yang terbukti memberi kesan positif kepada pengunjung, festival itu pernah menimbulkan kontroversi pada tahun 2009. Ia berikutan sekumpulan pelajar sekolah tadika mengalami ruam yang teruk pada kulit dipercayai berpunca daripada lumpur festival tersebut. Namun, ia sedikitpun tidak menggugat penganjuran festival untuk tahun seterusnya. Malah, majoriti pelancong sanggup mengembara ke daerah itu termasuk dari Amerika Syarikat. Sebelum ini, pengunjung hanya berpeluang bergelumang dalam lumpur, tetapi tahun demi tahun pelbagai pembaharuan dilakukan. Kawasan sepanjang dua kilometer di pantai itu berubah wajah umpama taman tema dengan kolam lumpur, gelongsor dan pelbagai permainan santai. Turut diadakan pertandingan meluncur dalam lumpur. Pihak penganjur menyediakan lumpur yang dicampur dengan pewarna untuk memeriahkan lagi pesta lumpur tersebut. Pada sebelah malam pula, terdapat pertunjukan bunga api yang menghiasi langit di sekitar pantai Daecheon. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Horizon To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |