Kosmo Online - Horizon
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Horizon |
Permainan menarik dalam koc eksklusif Posted: Permainan menarik dalam koc eksklusifOleh AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA "CEPATLAH cikgu... mana kereta api, cikgu kata nak bawa kami naik kereta api," rengek manja Muhd. Zul Ikhwan Ahmad, 10, ketika menunggu ketibaan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) perjalanan dari Kuala Lumpur ke Sungai Gadut, Negeri Sembilan di KL Sentral, Kuala Lumpur. Bukan sahaja Muhd. Zul Ikhwan yang berulang kali menanyakan soalan yang sama, malah kira-kira 60 lagi peserta berusia antara 10 hingga 12 tahun tidak henti-henti mengajukan soalan serupa terhadap guru pengiring masing-masing. Untuk mengalihkan seketika perhatian mereka terhadap keterujaan menaiki komuter, terpaksa guru-guru memberitahu kononnya komuter sudah dekat dan meminta kepada pelajar supaya sabar menunggu. Tepat pukul 9 pagi, komuter tiba di Stesen KL Sentral dan sorakan pelajar bergema. Lantas guru-guru pengiring mengawal keadaan supaya para pelajar bertenang dan tidak berebut ketika memasuki ruang koc komuter. Bakal menempuh perjalanan selama kira-kira dua jam dari Kuala Lumpur ke Sungai Gadut, ia pasti membuatkan kesemua pelajar tertidur kebosanan sepanjang perjalanan. Koc eksklusif Ternyata tanggapan itu meleset kerana penganjur Ronda-Ronda KTM Komuter menyediakan pelbagai permainan menarik selain koc eksklusif khas supaya semua peserta bebas melakukan aktiviti dengan selesa. Antara aktiviti yang dilakukan ialah teka silang kata, bola beracun dan senaman ringan sambil menikmati keindahan panorama di sepanjang perjalanan ke Negeri Sembilan. Tempoh dua jam perjalanan langsung tidak dirasai dan terasa singkat kerana aktiviti padat seliaan penganjur yang turut melibatkan guru pengiring dalam aktiviti berkenaan. PARA pelajar bersiaran secara langsung bersama DJ Sabrina di konti Radio Negeri FM. Muhd. Zul Ikhwan berkata, walaupun menetap di Kuala Lumpur, dia tidak pernah menaiki komuter apatah lagi bebas berlari dalam gerabak. "Ini adalah kali pertama saya menaiki komuter kerana sebelum ini sekadar melihat komuter lalu-lalang di landasan di sekitar ibu kota. "Saya sering menganggap komuter adalah tempat yang tidak selesa kerana sering dipenuhi penumpang selain ruang yang sempit. "Bagaimanapun tanggapan itu berjaya dikikis melalui program Ronda-Ronda KTM Komuter," katanya yang meminta supaya segera menamatkan sesi temu ramah kerana mahu meneruskan permainan. Keriangan Keriangan jelas terukir di wajah kanak-kanak dari dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Pantai dan Sekolah Kebangsaan Bangsar di Kuala Lumpur, disulami hilai tawa guru-guru, penganjur dan kanak-kanak sepanjang aktviti berlangsung dalam komuter berkenaan. Terdapat dalam kalangan peserta yang bergolek, terbaring dan meniarap sesuka hati di sepanjang gerabak itu. Saat permainan bola beracun berlangsung, suasana dalam gerabak semakin gamat. Apatah lagi guru juga terpaksa bersama para pelajar terbabit dalam permainan yang menuntut pemegang terakhir bola tersebut didenda. Oleh kerana terlalu asyik bermain, tanpa disedari komuter telah melepasi 15 hentian dan peserta akhirnya menjejakkan kaki di Sungai Gadut. Peserta dibawa berkunjung ke dua lokasi iaitu Stesen Radio Negeri FM di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad dan Resort Wet World Air Panas Pedas. Tiba sahaja di ruang legar bangunan Radio Negeri FM, para peserta disambut mesra barisan penyampai radio (DJ) untuk menjamu selera seterusnya dibawa melawat bangunan baharu Radio Negeri FM itu. MASKOT komuter KTM, Komi menghiburkan peserta. Bagaimanapun, saat yang dinanti-nantikan para pelajar ialah melihat sendiri suasana dan keadaan dalam konti radio yang menjadi lokasi penyampai radio bersiaran secara langsung atau rakaman. Lebih mengujakan, semua pelajar diberi kesempatan untuk terbabit sama bersiaran secara langsung bersama DJ Sabrina Ariffin, 36, menerusi slot Seleksi bersiaran pada pukul 12 tengah hari hingga 3 petang setiap hari. Rata-rata pelajar mengagumi ketangkasan DJ Sabrina tatkala berceloteh dan mengawal setiap sistem komputer dalam konti sambil mulutnya petah melayan pemanggil pada petang itu. DJ Sabrina pula mesra melayan gelagat kanak-kanak, tanpa rasa jemu menjawab setiap pertanyaan pelajar berkaitan dunia penyiaran. Bagi Mohd. Nabil Fitri Ahmad Kamal, 12, peluang melawat konti radio Negeri FM menjadi kenangan paling manis yang tidak boleh dilupakan. Mempunyai impian untuk bergelar penyampai radio pada suatu hari nanti, Mohd. Nabil sedaya upaya mengorek ilmu ketika bersua muka dengan DJ Sabrina. Impian "Menjadi penyampai radio antara impian kerjaya saya kerana boleh menjadi peneman dan penghibur di mana sahaja pendengar berada. "Contohnya, ketika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas radio merupakan peneman terbaik setiap pemandu,"jelasnya panjang lebar. Katanya lagi, ketika melihat DJ Sabrina mengawal setiap bebutang dalam konti radio dan skrin, dia semakin mencintai kerjaya itu. "Dalam masa yang sama, DJ Sabrina memilih lagu, kemudian berbual dengan pemanggil, melayan karenah kami sambil kedua-dua tangannya tangkas mengawal bebutang dalam konti. Perkara yang saya rasa magis ialah keupayaan DJ Sabrina berceloteh dengan sedikit pun tidak tersasul," katanya. ANTARA gelagat lucu peserta berusia antara 10 hingga 12 tahun ketika menyelesaikan misi dalam komuter. Lokasi terakhir sebelum peserta pulang ke Kuala Lumpur ialah Resort Wet World Air Panas Pedas. Belum pun sempat tiket diagihkan, para peserta sudah mula berpusu ke ruang pintu masuk ke taman tema air itu. Mula dibuka kepada pengunjung sejak Februari 1999 ia merupakan tarikan pelancongan berorientasikan taman tema air terawal di Negeri Sembilan. Harga tiket yang ditawarkan berpatutan bermula RM8 hingga RM12 mengikut ketinggian bermula 85 cm dan ke atas. Tepat pukul 5 petang, peserta diarah untuk menyalin pakaian kerana mahu kembali ke Kuala Lumpur. Seharian bersama KTM dan menaiki komuter dari KL Sentral ke Sungai Gadut pasti meninggalkan kenangan indah buat 60 peserta program Mega Fam Trip. | ||
Posted: Bangkok Shutdown bukan penghalangBERGAMBAR kenangan di stesen Bangsue sebelum meneruskan jelajah di Bangkok. WALAUPUN tahu mengenai peristiwa penggulingan kerajaan sebelum pilihan raya di Thailand yang dikenali sebagai Bangkok Shutdown pada penghujung Januari lalu, saya dan seorang rakan, Siti Hawa Abu Bakar tetap memilih negara itu sebagai destinasi percutian. Destinasi kami ialah Bangkok dan Ayutthaya. Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Samut Prakan, kami bergegas ke kediaman kenalan di negara itu, Anwar Lohitkupt di pangsapuri Elephant Tower atau dikenali sebagai 'Tuk Chang' Tower. Pada keesokan harinya, kami menuju ke destinasi pertama iaitu Pasar Hujung Minggu Chatuchak atau dikenali sebagai Pasar Jatujak. Pelancong boleh menaiki pengangkutan awam seperti tren MRT Line dan BTS Line ke situ. Pasar minggu terbesar di dunia itu hanya dibuka pada hari Sabtu dan Ahad. Ia berkeluasan hampir 10 hektar dan terbahagi kepada 27 bahagian dengan lebih 15,000 gerai jualan barangan dari seluruh Thailand. Antaranya ukiran kayu antik, kraf tangan berasaskan tanah liat, makanan, cenderamata tempatan dari setiap bahagian Thailand, perabut kayu, variasi bunga dan barangan seramik. Harganya pula boleh ditawar. Kami juga berkesempatan ke kawasan yang menjual pelbagai hidangan makanan halal. Kami memilih sosej ayam, bebola ikan, nasi beriani dan pulut mangga. Ketika berkunjung ke Siam Center yang terletak di tengah-tengah kota Bangkok, kami berpeluang melihat suasana protes jalanan. Keadaan seperti sebuah festival boleh digambarkan ketika mereka mengalunkan muzik Thai dan kelihatan juga peniaga menjual kemeja T serta aksesori bertemakan Bangkok Shutdown. Sewaktu menyusuri jalanan yang dipenuhi khemah rakyat Bangkok yang terlibat dalam protes itu, mereka langsung tidak mengganggu kami. Pihak keselamatan Thailand turut membina penghadang khas untuk memudahkan laluan pejalan kaki. Pada hari kedua, kami ke Ayutthaya yang terletak di bahagian utara Bangkok dengan menaiki tren klasik di stesen kereta api Bang Sue Jn. Tambang tren hanya $20 Bhat (RM2) untuk perjalanan memakan masa 40 minit. Sepanjang perjalanan, kami dapat menyaksikan pemandangan kehijauan tanaman pertanian dan penduduk sekitarnya. Penduduk di negara itu masih menggunakan kereta api sebagai penghubung dari luar bandar ke satu bandar yang lain.
Warisan Apabila sampai di stesen kereta api Ayutthaya, kami mengambil tuk tuk dipandu oleh Aton berharga RM51 (dua orang penumpang). Kami dibawa ke Taman Sejarah Ayutthaya yang telah diisytiharkan sebagai tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1991. Di Wat Mahathat, pengunjung berpeluang mengambil gambar patung 'The Head of the Sandstone Buddha Image'. Filem muay thai lakonan Tony Ja iaitu 'Ong Bak' juga pernah mengadakan penggambaran di sini. Pembinaan Wat Mahathat ini bermula semasa pemerintahan Raja Borommarachathirat I pada 1374 AD tetapi siap semasa pemerintahan Raja Ramesuan (1388-1395 Masihi). Turut dilawati ialah Wat Yai Chaya Mongkol, Wat Phrasisanpeth, Phra Mongkhon Bopit serta Wat Lokayasutha yang terletak di dalam kawasan sama. Pada hari ketiga, kami menggunakan khidmat seorang pemandu pelancong, Ahmad Ibnu Ameen untuk ke Pasar Terapung, Damnoen Saduak, Bangkok bagi merasai pengalaman melihat cara jual beli di atas sampan. Menurut sejarah, Damnoen Saduak merupakan nama bagi terusan yang digali pada zaman pemerintahan Raja Rama IV oleh seorang tentera rakyat Rajburi iaitu Samutsakorn. Perjalanan ke Damnoen Saduak dari kediaman Anwar memakan masa hampir satu jam 37 minit. Kami menaiki bot sampan bermotor di pasar itu. Keadaan di situ seperti kebanyakan pasar biasa cuma urus niaga dijalankan di atas bot. Ahmad turut memesan kepada kami untuk tidak membeli cenderamata dan barangan di situ kerana harganya agak mahal. PATUNG Buddha sedang tidur di Ayutthaya yang diwartakan sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO. Pasar Kereta Api Maeklong menjadi destinasi seterusnya selepas Pasar Terapung. Ia merupakan satu lagi pasar unik yang terdapat di Thailand. Perjalanan ke sana cuma 37 minit. Ahmad memberitahu kepada kami, kereta api di landasan itu bergerak sejauh 67 kilometer merentasi Wongwian Yai, Bangkok dan Samut Songkhran. Landasan Pasar ini digelar Talad Rom Hoop dalam bahasa Thai yang bermaksud Pasar Payung Tarik. Setiap kali kereta api tersebut menghampiri kawasan pasar tersebut, payung pada kedai dan pasar akan ditarik untuk mengelak dilanggar kereta api. Payung akan diturunkan setelah kereta api melepasi kawasan landasan yang menempat pasar tersebut. Kami kemudiannya kembali ke Bangkok untuk ke muzium Madame Tussads yang terletak di Siam Discovery. Muzium itu menempatkan ratusan patung lilin personaliti ternama dunia. Harga tiket masuk untuk dewasa ialah RM81 dan kanak-kanak RM61. Pelancong juga digalakkan membeli tiket dalam talian untuk mendapat potongan sebanyak 20 peratus berbanding di kaunter. Jangan terkejut melihat mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut berada di sini. Saya dan rakan sempat singgah ke Masjid Jami-Ul-Khoy-Riyad di Bangkok. Menurut Ahmad, masjid ini dibina pada tahun 1054 Hijrah. Tanah perkuburan Islam yang ditempatkan di bahagian kiri dan kanan laluan masuk masjid ternyata menarik perhatian kami. Destinasi terakhir kami ialah Asiatique The Riverfront yang terletak di tepi Sungai Chao Phraya. Kami menaiki bot dan menikmati pemandangan kawasan sungai itu. Sejarah Asiatique bermula pada tahun 1900-an semasa pemerintahan Raja Chulalongkorn. Ketika itu negara-negara Asia berada di bawah ancaman serangan kuasa Eropah. Kemudian, Raja Chulalongkorn telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan hubungan dengan Denmark.
Cenderamata Dalam proses ini, Kerajaan Siam membina sebuah jeti, East Asiatic Company iaitu sebuah syarikat pengeksport kayu jati dimiliki oleh Nille Andersen, seorang rakyat Denmark. Pembinaan jeti itu adalah detik permulaan perdagangan antarabangsa antara Kerajaan Siam dan negara-negara Eropah serta kunci kepada Siam mengekalkan kedaulatan dan kemerdekaan. Anda juga boleh membeli cenderamata di kawasan arked dengan hanya berjalan di laluan pejalan kaki di sekitar kawasan itu. Pada waktu malam pula, dekorasi lampu berwarna-warni menghiasi segenap kawasannya. Keesokan harinya, kami pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta api dari Bangkok ke Butterworth, Pulau Pinang di Stesen Keretapi Bangkok Hua Lamphong. Ini merupakan pengalaman pertama kami menaiki kereta api yang mengambil masa yang panjang. Tiket kereta api berharga RM135 seorang dengan kemudahan tempat duduk dan katil. Penumpang turut dihidangkan makan malam dan sarapan pagi halal yang disediakan dalam kereta api. Dari Butterworth, kami menaiki tren Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) Senandung Langkawi ke Kuala Lumpur dengan harga tiket RM90. | ||
Posted: Bot kuasa bateri di PutrajayaOleh MOHD. TURMADZI MADUN PENGUNJUNG boleh bersantai menikmati pemandangan Putrajaya sambil memandu sendiri bot Aquaretro ini. MERASAI pengalaman memandu bot sendiri pasti mengujakan setiap individu yang tidak pernah berbuat demikian. Justeru, sebaik kaki melangkah masuk ke dalam sebuah bot berwarna merah dengan ciri rekaan klasik, sepasang mata jelas tertumpu pada stereng dan butang suiz yang menunjukkan tanda off, on serta turn. Jika tidak biasa dengan kenderaan air itu, pasti kita akan berasa sukar untuk mengemudikan bot berkenaan ekoran tidak ada pengalaman berbuat demikian. Namun, segala sangkaan tadi nyata meleset apabila mendapati pengendalian bot Aquaretro yang didatangkan khas dari Beijing, China itu amat mudah sekali, cuma penumpang harus pandai memusing stereng untuk menentukan arah bot. Butang on untuk ke depan manakala turn jika hendak mengundur. Bot itu hanya boleh bergerak kurang daripada lima kilometer sejam atau 1.5 knot. Terletak di Cruise Tasik Putrajaya bersebelahan Masjid Putra, Presint 1, perkhidmatan bot persiaran yang sesuai untuk seisi keluarga itu perlu dirasai oleh setiap pengunjung kerana selain harganya berpatutan, ia juga terjamin dari segi keselamatan penumpang. Setiap pengunjung akan diberikan jaket keselamatan dan taklimat ringkas oleh petugas bot yang dikendalikan oleh AsiaTechbiz Sdn. Bhd. sebelum menyusuri tasik buatan manusia yang terbesar di Putrajaya selama 40 minit. Pengerusi AsiaTechbiz, Datuk Nordin Abdul Rahman berkata, selain untuk memeriahkan lagi kawasan Putrajaya, perkhidmatan tersebut diadakan bagi menarik tumpuan pelancong dengan mencuba sendiri mengendalikan bot di kawasan tasik. Kuasa bateri Katanya, perkhidmatan bot tersebut mula beroperasi pada 10 Februari lalu dengan rekaan bot dipatenkan di Miami, Florida dan dipasang di Beijing. "Setakat ini, kami mempunyai sejumlah 10 buah bot dan merancang untuk menambah sebanyak 20 buah lagi pada Julai nanti. Setiap bot bernilai RM39,000. "Bot tersebut bersifat mesra alam kerana ia menggunakan kuasa bateri untuk bergerak dan perlu dicas selama sembilan jam. Setiap bateri mampu bertahan selama enam jam jika perjalanan mengambil masa 40 minit untuk satu-satu masa," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. SETIAP bot boleh dinaiki oleh lima orang penumpang pada satu-satu masa sekali gus sesuai untuk aktiviti seisi keluarga. Tambahnya, walaupun baru dua bulan beroperasi di Putrajaya, sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutamanya pada hujung minggu dengan pihaknya mampu meraih RM2,500 sehari. Menurut Nordin, perniagaan yang dilakukan bukanlah hendak bersaing dengan mana-mana pihak tetapi sebagai menyahut kata-kata Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat agar kita sama-sama memajukan Putrajaya. "Sebab itu saya berusaha membawa bot-bot itu dari Beijing ke sini bertujuan untuk memberi orang ramai merasai keseronokannya. "Bot ini tidak akan tenggelam kerana ia dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan dan pengaliran air secara automatik jika terdapat kebocoran di dalam bot," katanya sambil memberitahu bot tersebut boleh dinaiki seramai lima orang pada satu-satu masa. Ujar Nordin, pihaknya juga bersedia untuk membantu mana-mana pihak yang berminat untuk membawa bot yang serupa di tempat lain agar perkhidmatan itu dapat berkembang. Sementara itu, seorang pengunjung, Dean Hidayat Rahmat, 40, berkata, dia terus membawa isteri, Isyatun Osman, 38, dan tiga anaknya untuk merasai pengalaman itu sebaik ternampak ada orang yang menaiki bot berkenaan. "Bot tersebut sangat senang untuk dikendalikan. Saya memberi peluang kepada anak saya untuk mencubanya dan ternyata ia sangat menyeronokkan," katanya yang merupakan seorang penyelia teknikal di sebuah kilang coklat. Teruja Bagi seorang pekerja restoran, Mohd. Zamzam Abdul Wahab, 38, berkata, pengalaman pertama kali menaiki dan mengendalikan bot tersebut memberi perasaan teruja buat dia sekeluarga. "Anak-anak saya paling teruja untuk menaiki bot tersebut sebaik ternampak ada orang lain yang mengendalikannya ketika kami berada di atas Jambatan Putra. Kami kemudian terus ke sini untuk merasai sendiri pengalaman itu," katanya. Seorang suri rumah, Noraishah mahadi, 45, berkata, harga tambang bot tersebut yang berpatutan antara penyebab utama dia teringin untuk menaiki bot berkenaan. "Saya akan mempromosikan bot ini kepada sanak saudara kerana ia sangat berbaloi untuk dicuba," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Horizon To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |