Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Penerokaan tanah haram berleluasa
- Tidak ada Tahun Melawat Pahang
- Program JIUP diadakan di seluruh daerah
Penerokaan tanah haram berleluasa Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT Kiri Adnan Yaakob, Leong Ngah Ngah KUANTAN 23 April - Kerajaan negeri sedang menentukan bentuk tindakan termasuk penguatkuasaan bagi membendung masalah penerokaan tanah haram yang kini semakin berleluasa. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri sememangnya menyedari masalah berkenaan yang bukan sahaja berlaku di Cameron Highlands malah di kawasan lain seperti Triang, Raub dan Bentong. Kita telah mengkaji beberapa tindakan bagi mengatasi masalah penerokaan tanah haram ini antaranya kita boleh mengeluarkan geran atau lesen pendudukan sementara (TOL) kepada para peneroka tanah. Jika mereka bersetuju, mereka boleh mengambil 10 peratus daripada hasil penerokaan dan 90 peratus lagi diserahkan kepada kerajaan," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. Beliau menjawab soalan Leong Ngah Ngah (DAP-Tanah Rata) yang ingin tahu langkah kerajaan bagi menghentikan aktiviti penerokaan tanah haram yang kini semakin serius terutama di Cameron Highlands. Mengenai penerokaan tanah haram di Cameron Highlands, Adnan berkata, masalah di kawasan itu memang sukar dibendung. Masalah ini berlaku disebabkan sikap peneroka tanah itu sendiri, kita luluskan TOL untuk mereka teroka di kawasan seluas 0.8 hektar misalnya, mereka akan meneroka berkali ganda iaitu lapan hektar," katanya. Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa melakukan kawalan bagi mengelak kejadian itu daripada berlaku secara berleluasa. Tetapi tidak terkawal, ini disebabkan oleh pegawai penguat kuasa kita tidak ramai tetapi peneroka tanah haram di negeri ini begitu banyak. Mereka (peneroka haram) ini bukan sahaja mempunyai modal yang besar malah turut mempunyai peralatan canggih untuk menjalankan kegiatan itu," katanya. |
Tidak ada Tahun Melawat Pahang Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT Mohd Sharkar KUANTAN 23 April - Kerajaan negeri tidak bercadang mengadakan Tahun Melawat Pahang dalam masa terdekat memandangkan perbelanjaan untuk mengadakan program seperti itu memerlukan peruntukan yang besar. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, bagaimanapun kerajaan negeri akan terus mengadakan promosi secara berterusan bagi menarik kedatangan pelancong. Kita akan menyertai pameran antarabangsa dan domestik yang diadakan sama ada secara bersendirian mahupun di bawah agensi kerajaan seperti Kementerian Pelancongan dan pejabat Tourism Malaysia yang berada di seluruh negara. Kaedah ini dilihat memberi impak selain penumpuan dibuat terhadap pembangunan produk baharu dan sedia ada sejajar dengan piawaian pelancongan antarabangsa," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail (BN-Pulau Tawar) yang ingin tahu bila kerajaan negeri akan mengadakan Tahun Melawat Pahang. Mohd. Sharkar berkata, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan tidak menggalakkan penganjuran tahun melawat mengikut negeri kerana dilihat mempunyai kesan kurang baik terhadap perancangan kerajaan dalam memastikan program itu mendapat sambutan. Bagi tujuan menyokong usaha tersebut katanya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri telah mengaturkan Program Merakyatkan Seni (PMS) melibatkan kawasan Parlimen mengikut keistimewaan budaya setempat. Sementara itu, beliau berkata, seramai 95,116 orang telah direkodkan melawat Taman Negara tahun lalu, turun 1.6 peratus berbanding 2012. Daripada jumlah ini, 57,814 adalah pelancong domestik manakala 33,530 adalah pelancong antarabangsa dan 3,772 daripada pasaran ASEAN. Pelancongan antarabangsa adalah dari Belanda, United Kingdom (UK), Perancis, Jerman, Itali, Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Singapura," katanya. |
Program JIUP diadakan di seluruh daerah Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT KUANTAN 23 April - Program Jelajah Informasi Usahawan Pahang (JIUP) yang dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob pada 12 Mac lalu di Yayasan Pahang di sini akan diadakan di seluruh daerah di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, sejak dilancarkan, seramai 2,000 pengunjung telah mengunjungi gerai pameran dan jualan yang disediakan. Program JIUP telah mendapat sambutan daripada orang ramai, khususnya usahawan. Jadi, kita akan menjelajah ke seluruh daerah di negeri ini termasuklah daerah Bentong pada 2 dan 3 Mei ini, Raub (5 dan 6 Mei), Pekan (26 hingga 28 Jun manakala daerah lain tarikhnya akan ditentukan kemudian," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. Beliau menjawab soalan Datuk Abd. Aziz Mat Kiram (BN-Batu Talam) yang ingin tahu tentang program jelajah yang dibuat kerajaan negeri untuk menyampaikan maklumat berhubung keusahawanan kepada rakyat, khususnya golongan belia. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, sehingga 1 Mac lalu jumlah pengisian anggota paramedik adalah 8,064 orang manakala pegawai perubatan (809). Daripada jumlah anggota paramedik itu, bilangan pengisian mengikut skim perkhidmatan utama adalah jururawat (3,527 orang), jururawat masyarakat (1,766), penolong pegawai perubatan (692) dan penolong pegawai farmasi (260). Namun, secara keseluruhannya jumlah itu hanya mampu menyediakan perkhidmatan dan operasi harian hospital dan klinik," katanya. Beliau berkata, bagi memantapkan lagi perkhidmatan hospital dan klinik kesihatan, Jabatan Kesihatan negeri sentiasa memohon jawatan baharu pada setiap tahun. Penempatan pegawai perubatan dan anggota di hospital dan klinik kesihatan berdasarkan beban kerja serta keperluan perkhidmatan baharu yang diwujudkan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |