Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
UMNO tidak campur operasi Utusan Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT Oleh NORAZLITA MOHD. SIES DARI KIRI: Americk Sidhu, Liew Teck Huat, Aziz Ishak KUALA LUMPUR 23 April - Tiada campur tangan UMNO dan kepimpinan parti itu dalam operasi editorial Utusan Malaysia serta penerbitan akhbar tersebut. Walaupun UMNO adalah pemegang saham utama syarikat Utusan Melayu (M) Bhd., (UMMB) namun operasi Utusan Malaysia ditentukan sendiri oleh Jabatan Editorialnya dengan pertimbangan kewartawanan yang dipandu oleh karakteristik akhbar tersebut. Itu antara keterangan Ketua Pengarang Kumpulan UMMB, Datuk Aziz Ishak di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ketika menjadi saksi dalam perbicaraan kes saman Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Negeri Sembilan, Ruslan Kassim dan enam yang lain atas dakwaan memfitnah dengan mengaitkannya sebagai perisik negara. Menurut Aziz, Utusan Malaysia adalah akhbar paling komited mendukung Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi itu selari dengan piagam dan pendekatan yang diambil oleh kerajaan sedia ada. Katanya, walaupun Utusan Malaysia lebih membawa aspirasi kerajaan dan UMNO tetapi tidak bermakna menyokongnya secara membuta tuli malahan akhbar tersebut dalam banyak laporan dan rencananya mengkritik, mendedahkan kepincangan serta kelemahan kerajaan Barisan Nasional (BN) meliputi isu-isu kepentingan umum dan hal ini boleh dibuat kajian oleh sesiapa pun. Meskipun membawa aspirasi kerajaan namun kami tetap menjaga kepentingan umum," ujar Aziz ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin. Menjawab soalan semasa pemeriksaan semula oleh peguam Liew Teck Huat yang mewakili UMMB, Aziz menyatakan, setiap media mempunyai karakteristik tersendiri, begitu juga dengan Utusan Malaysia yang lebih membawa aspirasi kerajaan mahupun UMNO dan perkara tersebut adalah hal biasa dalam dunia media termasuk di negara Barat. Di United Kingdom (UK) misalnya, menurut Aziz, ada akhbar yang menyokong Parti Buruh, ada juga akhbar yang memihak Parti Konservatif. Di Amerika Syarikat (AS) pula, terdapat media yang pro kepada Parti Demokrat dan ada yang membawa aspirasi parti Republikan, kata beliau. Beliau menambah, di Malaysia umpamanya, ada beberapa lagi akhbar arus perdana yang mengikut aspirasi parti politik tertentu begitu juga akhbar yang menjadi organ parti pembangkang misalnya Roketkini, Harakah dan Suara Keadilan yang dijual secara umum. Bahkan menurut Aziz, portal berita seperti Malaysiakini, bukan sahaja menyokong malahan menjadi suara kepada parti pembangkang terutamanya DAP. Terdahulu, Aziz disoal dalam pemeriksaan balas oleh peguam Americk Sidhu yang mewakili Guan Eng menyatakan, kenyataan Ruslan yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dan akhbar New Straits Times, tidak mempunyai sebarang niat jahat dan ia berkaitan kepentingan umum. Beliau menyifatkan, Ruslan adalah sumber berita yang boleh dipercayai dan dia biasa mengeluarkan kenyataan yang berbentuk soalan yang ditujukan kepada pelbagai pihak termasuk kerajaan. Beliau turut menafikan dakwaan Americk, kononnya Utusan Malaysia berniat jahat kerana tidak menghubungi Setiausaha Agung DAP itu terlebih dahulu bagi mendapat reaksi dan komen sebelum menyiarkan dakwaan Ruslan. Aziz menjelaskan, banyak pemimpin kerajaan yang dikritik oleh Utusan Malaysia dalam laporan yang disiarkan tanpa mendapatkan komen pihak yang terlibat terlebih dahulu. |
Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT PUTRAJAYA 23 April - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihukum penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan akan memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan esok. Peguam daripada firma guaman, Tetuan Karpal Singh & Co., Zaleha Al-Hayat memberitahu, pihak pembelaan akan menyegerakan pemfailan petisyen tersebut selepas pertimbangan bagi mendapatkan lanjutan masa selama dua minggu ditolak. Menurutnya, firma guaman itu menghantar surat kepada Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan semalam bagi memohon lanjutan masa ekoran kemalangan maut yang meragut nyawa peguam utama kes itu, Karpal Singh pada Khamis lalu. Pejabat Pendaftar dalam satu surat kepada firma guaman itu yang dihantar melalui faksimile petang ini menyatakan, pembelaan sepatutnya memfailkan notis usul memohon lanjutan masa, bukannya melalui penghantaran surat," ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Zaleha menyatakan, pihak pembelaan bagaimanapun tidak bercadang mengemukakan notis usul kerana esok merupakan tarikh akhir untuk memfailkan petisyen tersebut. Sehubungan itu, katanya, peguam Ramkarpal Singh sedang menyiapkan petisyen rayuan sebelum difailkan esok. Zaleha berkata, pihak pembelaan mempunyai masa 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan selepas firma itu menerima alasan penghakiman bertulis daripada mahkamah pada 14 April lalu. Menurut beliau lagi, peguam kanan, Datuk Sulaiman Abdullah, yang sebelum ini merupakan peguam utama mewakili Anwar dalam kes liwat itu, akan menyertai semula barisan peguam bela bagi menggantikan mendiang Karpal. Sementara itu, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mohd. Aizuddin Zolkeply dalam kenyataan akhbarnya hari ini menyatakan, permohonan pelanjutan masa untuk memfailkan petisyen rayuan hendaklah dibuat melalui notis usul kepada mahkamah dan bukannya melalui surat. Jelas beliau, setelah notis usul difailkan, permohonan tersebut akan didengar di hadapan hakim-hakim yang kemudian akan membuat keputusan sama ada dibenarkan atau sebaliknya. Semua prosedur ini jelas dinyatakan di dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995," menurut beliau lagi. Anwar merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari. Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi yang bersidang bersama Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh. Panel tersebut membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang diketuai oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |