Kosmo Online - Pesona
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pesona |
Posted: Jus detoks sayur dan buahOleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA RASULULLAH S.A.W bersabda: "Bahawasanya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat serta dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram." (Hadis Riwayat Abu Daud) Pada hari ini, dunia global telah menemukan pelbagai ramuan ubat dan mencipta teknologi baharu untuk membantu merawat masalah kesihatan yang dihidapi. Ubat-ubat dalam bentuk pil atau tablet menjadi antara keperluan asas setiap klinik dan hospital bagi merawat pelbagai jenis penyakit. Bagaimanapun, ada ubat-ubatan ini mempunyai kesan sampingan seperti mengantuk dan muntah, malah jika diambil untuk tempoh masa panjang ia mampu menyebabkan masalah kegagalan fungsi organ tubuh. Justeru, ingin membawa perubahan kaedah perubatan yang lebih selamat tanpa kesan sampingan, Pakar Terapi Jus atau dikenali sebagai cef diet, Na'ila Zakiyah M. Ariffin mendedahkan sejuta khasiat jus sayur-sayuran dan buah-buahan dalam Bengkel Berjus yang dianjurkan oleh Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Selangor. Bengkel tersebut berlangsung pada 18 April lalu bertempat di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor di Shah Alam. Kira-kira 120 peserta terdiri daripada ahli Perkep, anggota polis dan penjawat awam terlibat sama dalam bengkel tersebut. Menurut Na'ila, jus antara kaedah perubatan paling baik kerana ia berbentuk cecair dan organ dalaman tidak perlu bekerja keras untuk menyerap zat-zat diperlukan badan, berbanding tablet. "Selain itu, jus juga mengandungi khasiat yang padat, membantu mengurangkan berat badan dan membantu merawat penyakit-penyakit kronik seperti sakit jantung, hati, dan buah pinggang," jelasnya ketika ditemui di bengkel berkenaan. Jus disarankan kerana mengandungi enam keperluan utama badan iaitu karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan zat galian serta air.
Karbohidrat Ujarnya, kebanyakan rakyat Malaysia hanya mengambil karbohidrat ringkas seperti roti canai dan makanan segera. Tetapi, badan lebih memerlukan karbohidrat kompleks seperti kentang dan kacang. Begitu juga jenis makanan mengandungi protein. Protein daripada sayur-sayuran lebih baik berbanding haiwan seperti daging dan ikan. Mengisi slot selama tiga jam, Na'ila berkongsi beberapa resipi jus detoks yang membantu memperbaiki tahap kesihatan untuk hati, buah pinggang dan kulit. Antara bahan-bahan diperlukan untuk jus detoksifikasi hati ialah sebiji peria katak dan separuh lemon. Dua bahan ini digandingkan bersama tanpa menambah air atau gula ke dalam jus. Bagi detoksifikasi buah pinggang, antara bahan-bahan yang diperlukan ialah sebatang timun, tiga batang daun saderi dan separuh lemon yang diperah bersama dengan kulitnya. Detoks kulit pula memerlukan sebiji lada benggala, sebatang lobak merah dan sebiji epal. Namun, Na'ila memberitahu, jus-jus tersebut perlu diperah menggunakan mesin pemerah jus khas tanpa bilah pisau. Ia bagi mengekalkan khasiat sayur-sayuran dan buahan-buahan serta jus diperah dapat tahan lebih lama. Sambil membuat demonstrasi, sampel jus turut diedarkan kepada para peserta untuk memberi gambaran mengenai rasa sebenar minuman berkhasiat itu. Rata-rata reaksi wajah peserta menggambarkan rasa pahit, manakala jus campuran timun, daun saderi dan lemon boleh ditelan dengan hanya sekali hirupan. PESERTA tidak melepaskan peluang mencatat resipi-resipi khasiat yang dikongsikan dalam Bengkel Berjus. Melawas Na'ila turut memberitahu, timun baik untuk melawas pembuangan air kecil, sementara lemon mempunyai khasiat yang dapat membantu merawat penyakit batu karang. Salah seorang peserta, Inspektor Hidayah Rosdan, 28, berkata, dia tidak menyangka beberapa bahan yang sering digunakan untuk memasak boleh dijadikan minuman berkhasiat. "Apabila menyebut jus, apa yang terlintas adalah minuman daripada buah-buahan seperti epal, oren dan nanas. Bagaimanapun, di bengkel ini saya didedahkan dengan pembuatan jus daripada sayur-sayuran. "Saya juga cuba dapatkan ramuan terbaik untuk pengurangan dan mengawal kolesterol dan diberitahu jus kekacang seperti walnut yang kaya dengan omega tiga adalah pilihan terbaik," jelasnya yang memberitahu, selain jus, senaman juga diperlukan untuk menjamin tahap kesihatan diri. Selain berkesempatan meminum jus, peserta turut diberi peluang bertanyakan beberapa soalan dan kebanyakan mereka ingin mengetahui lebih lanjut mengenai jenis penyakit yang boleh dirawat menerusi minuman tersebut. Na'ila memberitahu, antara penyakit serius yang boleh dirawat dengan meminum jus ialah sakit jantung. Bahan seperti bawang putih dan kacang walnut membantu mencairkan darah, sekali gus melancarkan peredarannya ke seluruh tubuh. Namun, mereka yang sedang mengambil rawatan pil dinasihatkan tidak mengambil jus berkenaan. Mengulas lanjut, gabungan nanas dan halia baik bagi masalah gout dan minyak zaitun boleh merawat penyakit kulit. Sayur-sayuran dan buah-buahan berwarna oren bagus untuk mata dan memperbaiki masalah rabun. SAMPEL jus turut diedarkan kepada peserta sebagai pengenalan rasa sebenar minuman berkhasiat. Berkongsi Dalam pada itu, Pengerusi Perkep negeri Selangor, Datin Umminajah Salleh memberitahu, bengkel itu dianjurkan bagi berkongsi rahsia kesihatan dengan harga yang tidak pernah dibayangkan oleh sesiapa pun. "Saya yakin ramai terutama ahli Perkep beranggapan hanya bahan-bahan organik yang dijual pada harga mahal mempunyai khasiat tinggi. "Bagaimanapun, tanpa disedari mereka, bahan-bahan asas masakan seperti ubi kentang, halia dan madu juga kaya dengan khasiat sebenar dan mampu memperbaiki tahap kesihatan. Malah, harganya juga jauh lebih murah," jelasnya ketika ditemui di bengkel tersebut. Katanya, bengkel tersebut merupakan anjuran pertama kali melibatkan isu kesihatan. Tambahnya, pada Hari Polis Ke-207 baru-baru ini, ujian saringan kesihatan anggota polis Daerah Sungai Buloh telah dilakukan di Hospital Sungai Buloh. Keputusan pemeriksaan mendapati sebanyak 30 peratus anggota polis disahkan menghidap diabetes, hipertensi dan sakit jantung. Ekoran itu, beliau berharap sesi pembelajaran pembuatan jus di rumah tersebut secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan anggota polis Selangor yang dilihat membimbangkan. | |
Periodontal masalah gigi yang serius Posted: Periodontal masalah gigi yang seriusJANGAN memandang remeh masalah kesihatan gigi kerana ia boleh membawa kepada implikasi yang tidak dijangka seperti periodontal. Apabila menyebut masalah sakit gigi, pasti ramai yang mencuka kerana tidak mahu mengingati peristiwa sakit gigi, berjumpa dengan pakar pergigian atau menahan sakit mencabut gigi. Lazimnya, kesihatan mulut dan gigi ini adalah perkara yang kurang diberi perhatian tetapi hanya apabila sudah mengalaminya barulah perkara ini diambil berat. Pakar Pergigian, Dr. Soon Tat Tiew berkata, masalah gigi yang paling menggerunkan dan pada tahap yang serius dikenali sebagai periodontal. Beliau yang berpengalaman lebih 15 tahun merawat penyakit tersebut menjelaskan, ia adalah masalah yang boleh menyebabkan gigi mudah longgar dan tercabut. Katanya, periodontal ialah masalah jangkitan di sekitar gigi, struktur gigi, gusi, tulang dan gusi periodontal akibat pengumpulan bakteria pada plak. "Statistik yang mendedahkan kira-kira 90 peratus rakyat Malaysia berdepan dengan masalah gusi dengan lebih 30 peratus berada pada tahap serius. "Apabila plak bakteria ini terkumpul, ia menyebabkan gusi mengalami radang lalu bertukar merah dan teksturnya menjadi lembik," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Akibatnya, gusi terasa pedih kerana bengkak dan mudah berdarah semasa menggosok gigi, makan mahupun ketika menelan air liur. Keadaan ini adalah simptom periodontal selain masalah seperti gusi berbau busuk. Simptom paling serius berlaku apabila gusi mengecil sehingga akar-akar terdedah dan menyebabkan gigi menjadi sangat sensitif. Lebih mengejutkan, Tat Tiew juga mengaitkan masalah gusi dengan penyakit kronik seperti masalah jantung apabila bakteria dalam mulut terperangkap dalam badan dan masalah penyakit diabetes kepada ibu hamil dan bayi baru lahir. Jelas beliau lagi, semuanya berlaku kerana tidak menjaga kebersihan mulut. Akibatnya, bakteria memakan sisa makanan dan merembeskan toksik yang menyebabkan gusi lekang daripada gigi, seterusnya membentuk lekuk antara gigi dan gusi. Masalah periodontal sebenarnya terbahagi kepada tiga peringkat bermula dengan masalah gigivitis. Ia adalah peringkat yang boleh diperbetulkan dengan mengawal masalah jangkitan bakteria. Kata Tat Tiew, mengosok gigi, membersihkan mulut, flos, diet yang baik dan rawatan laser boleh membantu tahap awal masalah gigi seperti periodontal. Ia diikuti tahap awal peridontal dan tahap akhir yang berbahaya dan boleh memudaratkan kesihatan mulut. Tat Tiew memberitahu bagi mengelak dan menjaga kebersihan mulut, semua orang disaran agar membuat pemeriksaan gigi. "Namun 95 peratus pesakit hanya datang selepas mereka mengalami sakit, kebanyakan mereka pada tahap yang serius iaitu selepas gusi bertukar warna kepada merah gelap. "Akibatnya, mereka terpaksa melalui beberapa sesi rawatan untuk pembersihan setiap tiga bulan sekali," jelas beliau. | |
Tingkat jati diri pelajar sekolah Posted: Tingkat jati diri pelajar sekolahOleh KHADIJAH MOHAMAD NOR GELAGAT para peserta sewaktu memanaskan badan sebelum memulakan acara riadah di padang Kolej Canselor, UPM, Serdang, Selangor. SUASANA di Kolej Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor baru-baru ini meriah dengan kehadiran sekumpulan pelajar sekolah rendah yang bersemangat mengikuti sebuah program motivasi diri. Melibatkan penyertaan 83 pelajar tahun enam dari Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, Banting, Selangor, kem yang berlangsung pada 4 hingga 6 April lalu ini, bertujuan untuk menyediakan platform bagi setiap pelajar menemui potensi diri masing-masing. Apatah lagi, kesemua mereka bakal menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini yang akan menjadi penentu dalam menuju ke alam persekolahan remaja. Program motivasi itu dijalankan menggunakan konsep abang dan kakak angkat buat para peserta. Kem ini dikendalikan oleh 30 fasilitator dan 26 orang abang serta kakak angkat yang dipilih tinggal bersama para peserta. Selain itu, konsep yang diguna pakai pula melibatkan 60 peratus aktiviti fizikal, 20 peratus dalaman dan 20 peratus kerohanian. Pengalaman Bagi Mohd. Hilmi Ghazali, 12, peluang menyertai kem motivasi tersebut memberi satu pengalaman bermakna buat dirinya di samping perlu berfikiran positif sepanjang masa. "Seronok apabila melihat kerjasama dalam kumpulan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan. Selain itu, saya juga gembira berkenalan dengan abang dan kakak fasilitator yang pandai melayan kerenah kami," tutur Mohd. Hilmi sambil tersenyum. Perkara ini diakui rakannya, Nor Ariena Mohd. Yaakop, 12, yang menambah, penyertaan dalam kem itu secara tidak langsung membantu mereka mendisiplinkan diri dalam pelbagai aspek termasuk pengurusan masa. WAJAH tulus pelajar SK RTB Bukit Changgang yang bersemangat mengikuti kem motivasi bagi menggali potensi diri. Bercita-cita untuk menjadi doktor, Nor Ariena melahirkan harapan berikut: "Semoga saya berjaya memperoleh 5A dalam UPSR nanti." Apa yang pasti, melihat kepada wajah-wajah jernih setiap peserta yang hadir, jelas menunjukkan semangat mereka untuk mencapai kejayaan terutama dalam UPSR nanti. Malah, komitmen mereka dalam menjayakan setiap aktiviti juga harus dipuji lantaran sikap setiakawan dan keyakinan diri yang tinggi. Jati diri Sementara itu, Pengarah Program, Nur Syahira Suhaimi, 21, memberitahu, aktiviti yang disusun dilaksanakan dalam usaha memupuk semangat jati diri dalam jiwa setiap pelajar. Antaranya termasuklah sesi pengenal, mini Fear Factor, dan kembara UPM. "Untuk slot kerohanian pula, kami menekankan solat berjemaah diikuti sesi tazkirah yang disampaikan oleh fasilitator bertugas," ujar Nur Syahira ketika ditemui Kosmo!. Presiden Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Canselor, Amirul Azwa Azhar, 22, pula mengakui, penglibatan mereka dalam program tersebut merupakan bakti buat masyarakat. Ujarnya, melalui kem berkenaan, mereka juga berpeluang menurunkan sedikit ilmu yang ada untuk dikongsi bersama para pelajar yang dianggap sebagai adik sendiri. "Sekurang-kurangnya apabila kita bercerita mengenai kehidupan di sekitar kampus, mereka teruja untuk masuk ke universiti selepas tamat alam persekolahan kelak," ungkap Amirul Azwa yang turut bertindak sebagai fasilitator dalam program itu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pesona To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |