{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Memori ngeri menyayat hati

Posted:

Memori ngeri menyayat hati

Memori ngeri menyayat hati

Susunan SOPI SAMAILE
sopisamaile@kosmo.com.my

RIBUAN etnik Tutsi terpaksa berjalan kaki ke kem-kem pelarian di sempadan Republic of Congo bagi menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai.


PADA 7 April lalu, genap dua dekad kejadian menyayat hati yang paling diingati di seluruh dunia iaitu pembunuhan beramai-ramai rakyat Rwanda yang dirancang oleh kumpulan elit teras politik dikenali sebagai akazu.

Bagi memperingati kejadian berdarah yang mengorbankan 500,000 hingga sejuta rakyat Rwanda itu, terdapat gerakan di peringkat global mengingati dan mendidik masyarakat tentang apa yang berlaku.

Sebahagian rakyat Rwanda yang terselamat telah berkongsi pengalaman pahit mereka di Amerika Syarikat (AS) dengan harapan para pelajar akan mendengar sekali gus menjadikannya sebagai pengajaran tentang apa sebenarnya yang terjadi.

TONA


Di hadapan sebuah bilik yang penuh sesak di Universiti Southern California di Los Angeles, Yanick Tona mengimbas kenangan mengerikan dan penderitaan yang tidak pernah dialami kebanyakan orang.

Tona menjadikan pengalamannya itu untuk mendidik pelajar di seluruh dunia tentang apa yang berlaku di Rwanda dua dekad lalu dan apa yang menimpa diri dan keluarganya.

"Saya masih ingat kali pertama melihat kejadian pembunuhan itu. Kali pertama saya melihat seseorang itu dibunuh dan ia merupakan pengalaman pertama menyaksikan mayat.

"Saya terpaksa bersembunyi dalam semak, pada masa sama saya mendengar orang menjerit dengan anggota badan yang penuh kesan tetakan dan darah. Mayat pula bergelimpangan di jalan raya," katanya.

Tona berusia empat tahun ketika kejadian pembunuhan beramai-ramai selama 100 hari meletus pada tahun 1994.

Pada masa itu, sejuta orang telah dibunuh dengan purata tujuh orang setiap minit.

"Saya tidak ingat tarikh atau jam, tetapi saya ingat peristiwa tersebut.

"Namun, apabila saya membesar, saya mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenainya. Saya meminta ibu atau keluarga memberitahu saya tentang kejadian berkenaan," ujarnya.

Tona dan keluarganya tinggal di wilayah selatan Rwanda. Bapanya adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya, bermakna keluarga mereka dilabelkan sebagai Tutsi atau kelas atasan.


TENGKORAK dan tulang sebahagian mangsa pembunuhan beramai-ramai dikumpul di sebuah gereja sebagai satu memorial memperingati kejadian yang berlaku di Rwanda pada dua dekad lalu.


Kem pelarian

Semasa pembunuhan beramai-ramai, etnik Hutu iaitu mereka yang berada dalam kelas pertengahan dan rendah mula membunuh orang Tutsi tanpa mengira umur atau jantina.

Ketika bapa Tona pergi ke ibu negara Kigali untuk menyertai pasukan pemberontak Tutsi, seluruh keluarganya telah berpecah dan menuju ke kem-kem pelarian negara jiran iaitu Republic of Congo.

Tona pula mengikut ibunya dan mereka menghala ke kem pelarian dengan berjalan kaki.

"Kami berjalan lebih daripada tiga minggu. Saya berumur empat tahun sedangkan dalam hidup saya, saya tidak pernah berjalan lebih daripada 10 minit, namun dalam sekelip mata, segala-galanya berubah.

"Kita berjaya mengharungi kebuluran dan tanpa makan lebih daripada tiga minggu. Jika kita pergi membeli makanan di pasar, mereka akan membunuh kami. Sebelum ini, saya tidak pernah terlepas sarapan, makan tengah hari atau makan malam," katanya.

Tona benar-benar jujur dalam ceramahnya, berkongsi beberapa kenangan ngeri dan pengalaman sepanjang perjalanan tersebut.


SEORANG anggota tentera Zaire yang kini dikenali sebagai Republic of Congo memeriksa timbunan senjata yang dirampas daripada tentera kerajaan Rwanda pada 18 Julai 1994.


Terselamat

Malah, beberapa rakan keluarganya termasuk seorang pemuda yang yuran sekolahnya dibayar oleh keluarga Tona turut cuba membunuh mereka.

"Ke mana sahaja kita melarikan diri, sentiasa ada orang cuba untuk membunuh kami.

"Setiap sudut di jalan raya dan belukar akan ada seseorang datang untuk membunuh kami sedangkan saya berusia empat tahun, saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku," jelasnya.

Malang menimpa Tona apabila adiknya yang berusia setahun dan neneknya terbunuh dalam insiden pembunuhan beramai-ramai itu.

Seorang lagi mangsa, Edith Umugiraneza yang masih bergelut tentang fakta bahawa dirinya terselamat turut tidak dapat melupakan kenangan keluarganya termasuk ibu, adik dan saudara-mara yang lain terkorban dalam kejadian berkenaan.

"Terselamat pada saya merupakan satu masalah. Ini kerana saya sepatutnya dipersalahkan, kenapa saya selamat, mengapa saya tidak pergi bersama mereka yang lain.

"Sekarang, saya sering mempersoalkan mengapa dan mengapa sepanjang masa apabila terkenang kejadian tersebut," kata Umugiraneza.

Bagaimanapun, kini dia yang tinggal di AS telah dapat mengawal perasaan tersebut dengan penyembuhan menerusi doa di samping berkongsi cerita bersama mangsa lain yang terselamat.

"Ia telah berlaku dan kita tidak boleh mengembalikan rakyat kita, jadi kita perlu bergerak dan membantu antara satu sama lain," ujarnya.

Pengalaman dan cerita Umugiraneza telah menjadi sebahagian daripada arkib video di Institut Visual Sejarah dan Pendidikan, Yayasan Shoah Universiti Southern California.

Pihak institut tersebut telah mengumpul video testimoni daripada mangsa pembunuhan beramai-ramai di beberapa negara di dunia ini.

Bagi kes Rwanda pula, institut berkenaan menyasarkan untuk mengumpul sebanyak 500 testimoni. Setakat ini, sejumlah 65 testimoni telah berjaya disimpan dalam arkib visual sejarah oragnisasi berkenaan.

Pada masa sama, institut berkenaan turut terlibat dengan Kwibuka20, satu siri acara seluruh dunia termasuk dunia maya bagi memperingati ulang tahun ke-20 pembunuhan beramai-ramai di Rwanda.

Pada laman web Kwibuka20 yang diwujudkan pula, orang ramai boleh menawarkan mesej harapan dan perpaduan.

Sementara itu, Stephen Smith dari Yayasan Shoah Universiti Southern California merupakan Pengarah Eksekutif bagi Kwibuka20.


RWANDA merupakan negara yang terletak di timur tengah Afrika Selatan.


Pandangan

"Orang ramai dari seluruh dunia datang bersama-sama sebagai sebuah komuniti bagi mencerminkan apa yang berlaku.

"Pada masa sama, mereka turut menyuarakan pandangan mereka dengan jelas berhubung pembunuhan beramai-ramai pada dunia hari ini dan apa yang boleh dilakukan mengenainya serta bagaimana untuk melibatkan diri," kata Smith.

Seorang pelajar universiti tersebut, Gregory Irwin teruja untuk terlibat sama selepas penyelidikannya ke Rwanda telah menemukan dia dengan mangsa yang terselamat dan mendengar cerita-cerita mereka.

"Saya telah didorong untuk melakukan sesuatu berhubung kejadian pembunuhan beramai-ramai itu berbanding sebelum ini," katanya.

Pelajar, Nora Snyder yang juga berpeluang berkunjung ke Rwanda turut bersependapat dengan Irwin.

"Kejadian yang berlaku di Rwanda sebenarnya masih terjadi pada dunia hari ini bahkan ia akan terus berlaku kecuali kita mengambil masa untuk mengingatinya," kata Snyder.

Dalam pada itu, sebagai sebahagian daripada persatuan pelajar, Yayasan Shoah menganjurkan acara di kampus yang turut disertai oleh Tona dan Umugiraneza bagi memperingati kejadian pembunuhan beramai-ramai itu.

Tujuannya adalah untuk menjadikan para pelajar mengambil berat serta melakukan sesuatu bagi mencegah atau menghentikan apa-apa kejadian pembunuhan beramai-ramai pada masa depan.

Sejarah hitam jadi intipati satukan rakyat

Posted:

Sejarah hitam jadi intipati satukan rakyat

Sejarah hitam jadi intipati satukan rakyat

AMALUDIN


SEJARAH hitam yang berlaku pada sesebuah negara harus sentiasa diingatkan kepada generasi ke generasi sebagai garis panduan supaya kejadian seumpamanya tidak berulang bahkan tidak berlaku lagi dalam ketamadunan moden sekarang.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Amaludin Ab. Rahman berkata, sejarah mahupun pengalaman pahit ekoran kejadian hitam tersebut seharusnya dijadikan intipati dalam menyatukan seluruh rakyat.

Dalam erti kata sebenar menurutnya, perpaduan dalam kalangan rakyat perlu dititikberatkan, saling berkerjasama atau berganding bahu untuk membentuk negara yang makmur dan damai.

Tegas Amaludin, ia bukan tertumpu kepada rakyat sahaja bahkan pemimpin juga perlu berhati-hati dan berwaspada dalam menangani krisis seumpama itu dengan memainkan peranan lebih aktif menyatukan rakyat.

"Lazimnya, kejadian atau krisis besar kepada sesebuah negara akan menyebabkan rakyatnya berada dalam penyatuan, bersatu padu dan bersama-sama mengatasi masalah yang dihadapi.

"Mengambil kira kejadian pembunuhan beramai-ramai di Rwanda, krisis itu mengingatkan rakyatnya yang terselamat tentang betapa pentingnya mereka memupuk perpaduan sesama mereka berbanding untuk berdepan situasi pisang berbuah dua kali,'' katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Amaludin berkata, kejadian pembunuhan beramai-ramai seperti apa yang berlaku di Rwanda dua dekad lalu bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat secara langsung, bahkan negara itu sendiri turut berdepan dengan pelbagai masalah termasuk politik, ekonomi dan sosial.

Paling menerima kesan katanya, sektor ekonomi dalam negara sudah pasti terjejas apatah lagi di peringkat antarabangsa apabila negara-negara lain hilang kepercayaan untuk berurusan dengan mereka.

Jika terus dibiarkan krisis sama berulang, sesebuah negara itu boleh runtuh kerana tiada lagi akar umbi kukuh atau rakyat yang boleh memartabatkan negara bangsa berkenaan.

"Krisis buruk yang berlaku dalam sesebuah negara akan menyebabkan negara berkenaan boleh dipinggirkan di peringkat global dan tiada yang sudi untuk berurusan dan memberi kerjasama.

"Pada masa sama, peranan negara-negara dunia di peringkat global juga perlu bagi mengecam, menyelar dan mengutuk setiap perbuatan pembunuhan beramai-ramai agar menjadi iktibar kepada negara lain," ujarnya.

Justeru, Amaludin menambah, perpecahan dan permusuhan merupakan perbuatan atau gejala yang boleh membinasakan sesebuah negara dan tamadun itu sendiri.

Disebabkan itu katanya, penting sejarah hitam terdahulu diangkat dan diperingatkan pada setiap masa agar generasi kini tidak akan melupakannya malah menghargai keamanan negara sedia ada.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat