{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Lupus tiga tan kiub setiap bulan

Posted:

Lupus tiga tan kiub setiap bulan

Lupus tiga tan kiub setiap bulan

MUSHAF yang basah akan dijemur terlebih dulu sebelum dicarik.


SEBELUM ini, sensitiviti umat Islam teruji dengan perebutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian untuk penerbitan mingguan mereka, The Herald.

Bersatu hati mempertahankan kesucian kalimah Allah, umat Islam tampil menepis permohonan penggunaan tersebut.

Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober tahun lalu turut memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam seksyen bahasa Melayu majalah itu selepas mendengar rayuan Kerajaan dan Menteri Dalam Negeri.

Reaksi tegas umat Islam di negara ini sekali gus menunjukkan kalimah tersebut sangat eksklusif dan perlu dipelihara kegunaannya kepada hamba-Nya sahaja.

Namun, segelintir umat Islam mungkin terlepas pandang mengenai hal memelihara kemuliaan ayat-ayat suci di bahan bercetak atau barang perhiasan.

Itulah antara isu yang ingin diutarakan oleh seorang pemilik pusat pelupusan mushaf, Rahmat Mahdan, 57, yang telah membuka premis tersebut sejak 2007. Menurutnya, selain memandang berat sudut penggunaan, antara perkara penting yang perlu dititikberatkan ialah cara menjaga keeksklusifan kalimah itu sendiri.

"Selain berjuang mempertahankan kalimah Allah, umat Islam perlu menjaga ia daripada perkara-perkara mengaibkan seperti berada di atas lantai, dibiarkan kotor dan meletakkannya setaraf dengan bahan kitar semula yang lain.

"Kita perlu tahu tujuan menulis kalimah Allah ini dan bukan sewenang-wenang mencetaknya untuk kegunaan yang sementara seperti di kad perkahwinan," jelasnya ketika ditemui di pusat pelupusan percetakan Saufi, Batu 10, Cheras.


RAHMAT(dua dari kanan) memasukkan kertas yang siap dicarik ke dalam mesin insinerator.


Peningkatan

Luahan itu unjuran peningkatan jumlah bahan bacaan ayat suci al-Quran rosak dengan berat minimum 20 kilogram yang diterimanya setiap hari. Bukan sahaja al-Quran usang, malah barang-barang perhiasan seperti ayat gantungan di dinding, mangkuk tembaga dan kaca juga diterima.

Sekilas lalu, pusat pelupusan itu kelihatan seperti kedai menjual barang perhiasan rumah ekoran bingkai ayat al-Quran yang banyak. Antara yang terpampang di dinding bahagian hadapan kedainya termasuklah surah empat Qul iaitu al-Kafirun, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas.

Rahmat memberitahu, bingkai yang masih cantik itu dihantar ke pusat pelupusan kerana mengandungi beberapa kesilapan penulisan dalam baris ayat.

"Jika diperhatikan betul-betul ada beberapa ayat yang disusun secara terbalik dengan tanda bacaan salah. Ini menunjukkan sama ada penulis surah ini bukanlah orang Islam atau wahyu Allah ini dicoretkan sekadar mengaut keuntungan dan bukan untuk meraih pahala.

"Segelintir umat Islam yang tidak mahir tentang penulisan khat pula tertipu dan membeli bingkisan ini. Akhirnya setelah menyedari kesilapan penulisan tersebut, mereka telah menghantarnya ke sini untuk dilupuskan," jelasnya yang kecewa dengan sikap ambil mudah sesetengah peniaga.

Mengulas lanjut tentang pusat pelupusan tersebut, Rahmat berkata, premis tersebut dibuka selepas terbit rasa tanggungjawab di hati untuk menjaga keeksklusifan ayat-ayat suci al-Quran selepas mengambil tempahan mencetaknya.

MESIN insinerator ini dibina khas untuk pembakaran al-Quran.


Selain menjadi pemilik pusat lupus al-Quran, Rahmat juga merupakan pengurus kedai percetakan Saufi di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Pusat percetakan Saufi merupakan antara yang diberi lesen oleh Bahagian Kawalan Penerbitan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membekal al-Quran dan teks.

Pada permulaannya, kedai lupus itu menawarkan perkhidmatan melupus secara percuma, namun selepas menerima longgokan demi longgokan naskhah ayat suci di depan pagar, bayaran mengikut berat terpaksa dilakukan bagi menampung kos pelupusan.

Setiap satu kilogram mushaf akan dikenakan bayaran sebanyak RM6, manakala bagi naskhah agama RM10. Wang diperoleh digunakan untuk membayar gaji kira-kira 10 orang yang bekerja di bahagian proses pelupusan.

Antara proses yang terlibat dalam pelupusan termasuklah pengasingan potongan ayat-ayat suci daripada helaian yang tidak berkaitan, menjemur, mencarik dan dibakar menggunakan mesin khas, insinerator.

Abu kemudian dikumpulkan dan disimpan dalam bekas abu sebelum dibungkus di dalam plastik kuning. Cebisan itu dikiubkan bagi tujuan menghalang cebisan ayat-ayat al-Quran berterbangan apabila ditiup angin.

Pusat perkhidmatan melupus ayat suci al-Quran itu membuang kira-kira tiga tan kiub setiap bulan ke dalam saluran yang dibuat khas di premis berkenaan.

Bagaimanapun, menurut anak kedua Rahmat, Khairul Aizat, 30, yang turut mengawal selia operasi, proses pelupusan menjadi rumit jika ayat-ayat suci al-Quran dicetak di atas kepingan logam dan kaca yang telah rosak.

KIUB abu akan dihanyutkan ke dalam saluran khas ini.


"Ukiran ayat-ayat suci seperti surah Yasin di dalam mangkuk perhiasan seperti gangsa dan tembaga antara bahan paling susah untuk dileburkan. Ia perlu dibakar lama dalam mesin pembakar dan memakan masa dan bahan bakar yang lebih banyak.

"Bagi bahan kaca pula kami terpaksa mengikis ayat-ayat tersebut atau hancurkannya sehingga sempurna," jelasnya yang turut memberitahu, antara bahan lain yang memakan kos penghapusan tinggi termasuklah gegantung dan poster-poster besar.

Pengerusi Masjid As-Syakirin Taman Dagang, Ampang , Zainal Abidin Pilus, 59, turut menghantar kira-kira 56 kilogram bahan untuk dilupus yang terdiri daripada al-Quran rosak, bahan-bahan bacaan dan buku teks agama sekolah.

Menurutnya, bahan-bahan itu merupakan hasil pengumpulan daripada para jemaah yang tidak yakin untuk melupuskannya sendiri.

"Setelah mengetahui ada pihak yang lebih arif dalam melupus al-Quran, saya telah memaklumkannya kepada para jemaah di masjid As-Syakirin dan mula mengumpul bahan-bahan mengandungi ayat-ayat suci al-Quran selama dua bulan.

"Maklum balas yang diterima sangat menggalakkan. Ini kerana rata-rata daripada mereka tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk membakar dan menanam, selain memahami cara-cara betul bagi melupuskannya," jelasnya.


ABU ayat-ayat suci al-Quran dikumpul dan dikiubkan sebelum dimasukkan ke dalam plastik.


Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah juga yang memelihara dan menjaganya". (Surah Al-Hijr, ayat: 9)

Terdahulu, pusat pelupusan tersebut turut bekerjasama dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) dalam usaha mendidik orang ramai untuk menjaga nilai eksklusif ayat-ayat suci al-Quran.

Ketua Pegawai Eksekutif yayasan tersebut, Marhaini Yusoff berkata, sejak dilancarkan pada Februari lalu, pihaknya giat memaklumkan tentang pelupusan al-Quran lama atau telah rosak dan dicetak pada tahun sebelum 1990.

"Saya memahami faktor masa dan jarak antara masalah sering dihadapi oleh umat Islam di luar sana yang sibuk bekerja untuk datang ke pusat pelupusan di Cheras ini. Jadi, membantu meluaskan tempat pengumpulan, kami membuka ruang di Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam.

"Selain itu, pihak kami turut menyarankan mereka menghantar naskhah lama yang tidak mendapat kelulusan Lajnah Tashih Al-Quran Kementerian Dalam Negeri dan memberikan satu al-Quran Mushaf Resam Uthmani untuk setiap dua al-Quran lama yang dihantar sebagai dorongan," jelasnya.

Marhaini turut memberitahu, pihaknya juga bekerjasama dengan pusat tahfiz, masjid, dan rumah anak yatim untuk menjayakan program pelupusan tersebut. Orang ramai yang berminat untuk menyerahkan al-Quran lama boleh menghubungi talian 03-5101 3789 atau 013-955 2106.

Jaga Rukun Iman ketiga

Posted:

Jaga Rukun Iman ketiga

Jaga Rukun Iman ketiga

Umat Islam perlu menjaga kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran seperti tidak mencetaknya pada kad undang perkahwinan atau pakaian.


SEJAK di bangku sekolah rendah anak-anak telah dididik untuk menjaga kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran.


APABILA berbicara mengenai pemeliharaan ayat-ayat suci al-Quran, antara perkara paling mudah untuk mengingatkan betapa pentingnya pelaksanaan itu kepada umat Islam adalah dengan berbalik kepada Rukun Iman yang ketiga, iaitu beriman kepada kitab-kitab Allah.

Sejak di bangku sekolah rendah lagi anak-anak telah dididik mengenai betapa tingginya nilai kalamullah ini. Antara yang sering dipesan adalah meletakkannya di tempat yang tinggi, dipegang dalam keadaan suci dan rajin mengalunkannya.

Bagaimanapun, segelintir umat Islam pada hari ini dilihat leka dan tidak mengambil berat mengenai kemuliaan kalimah Allah apabila sewenang-wenangnya mencetaknya seperti pada kad perkahwinan.

Kesal

Turut meluahkan rasa kesal ialah Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut.

Menurutnya, kalimah suci Allah tidak sepatutnya berada pada bahan cetakan selain daripada mushaf dan bahan bacaan agama.

"Umat Islam disarankan supaya tidak mencetak kalimah Allah, walaupun pada kad undangan perkahwinan. Kaedah pembuka kata boleh diubah seperti meletakkan pantun yang melambangkan adat budaya orang Melayu.

"Ia bagi mengelakkan penghinaan terhadap kalimah Allah berlaku apabila kad-kad ini dibuangkan ke dalam tong sampah atau diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya," jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.


PELBAGAI jenis barang perhiasan rumah dengan kalimah Allah diterima oleh pusat pelupusan percetakan Saufi.


Dalam pada itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid berkata, umat Islam perlu lebih berhati-hati dalam penggunaan aplikasi mengandungi ayat-ayat suci al-Quran.

Ujarnya, antara hal yang perlu dipandang serius adalah penggunaan deringan atau aplikasi yang mengalunkan ayat-ayat suci Allah.

"Pada era ini, pelbagai aplikasi pada telefon mudah alih telah dibuat bagi memudahkan orang ramai, termasuklah aplikasi bacaan al-Quran dan masuk waktu solat.

"Individu yang menggunakan aplikasi ini harus lebih berhati-hati kerana kita tidak mahu alunan azan kedengaran ketika berada di dalam tandas. Jika berlaku, ia bermakna kita telah menghina kalimah Allah. Seelok-eloknya, telefon diletakkan dalam mod senyap apabila masuk ke dalam tandas," ujarnya yang turut kecewa dengan penggunaan kalimah Allah dan Muhammad pada pakaian sukan.

Berhati-hati

Tambahnya, selain memelihara kesucian kalimah, umat Islam perlu lebih berhati-hati dalam membeli barang-barang perhiasan mengandungi ayat-ayat suci al-Quran.

"Ini kerana terdapat orang bukan Islam menjual barang perhiasan mempunyai kalimah Allah seperti bingkai dan jam dengan seni khat, sedangkan mereka tidak tahu cara mengendalikan barang-barang mengandungi ayat suci al-Quran.

UMAT Islam harus berhati-hati dalam menggunakan aplikasi yang mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran.


"Tindakan tersebut sekali gus dianggap menghina agama Islam dan kita tidak sepatutnya menyokong dengan membeli barang perhiasan tersebut daripada mereka," jelasnya.

Menurutnya lagi, perkara tersebut juga dipantau oleh pihak Kementerian Dalam Negeri Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran dan beberapa rampasan turut dilaksanakan.

Mengulas lanjut, pemilik pusat pelupusan percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, 57, berkata, kebanyakan bahan perhiasan diterimanya merupakan hasil jualan daripada warga asing dari Pakistan dan India.

Dia yang telah membuka pusat pelupusan mushaf sejak 2007 memberitahu, barang-barang dijual oleh mereka bukan Islam seperti bingkai surah turut mempunyai kesalahan penulisan.

"Beberapa bingkai surah yang kami terima mengandungi kesilapan susunan ayat dan tanda baris yang hilang. Mereka yang menghantarnya ke pusat pelupusan ini memberitahu kebanyakan bingkai tersebut dibeli daripada penjual Pakistan dan India.

"Terdapat juga bingkai perhiasan yang dijual oleh umat Islam, tetapi barang-barang itu dibawa masuk daripada negara-negara luar," katanya.

Beberapa barang perhiasan seperti kaca, cakera video digital dan bingkai surah digantungkan pada dinding kedainya untuk dijadikan contoh kesilapan penulisan kalimah Allah kepada orang ramai. -NUR DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA.

Festival lumba jip popularkan Pakistan

Posted:

Festival lumba jip popularkan Pakistan

Festival lumba jip popularkan Pakistan


ORANG ramai yang hadir teruja menyaksikan perlumbaan jip ekstrem ini.


UDARA padang pasir Cholistan dipenuhi debu dan asap diesel. Suasana yang sunyi pada mulanya bertukar riuh dengan bunyi deruan enjin kenderaan pacuan empat roda (4x4) dan sorakan ratusan ribu penonton.

Laluan kering dan berbatu sepanjang 240 kilometer (km) itu menjadi medan ujian kepada hampir 90 pelumba jip. Bahang mentari di lokasi terpencil di wilayah Punjab, Pakistan itu telah beberapa tahun menemani setiap peserta dan hadirin pada acara bernama Cholistan Jeep Rally.

Padang pasir Cholistan terletak kira-kira 400km dari barat daya pusat bandar Punjab, Lahore. Begitupun, jarak jauh itu tidak menghalang pengunjung untuk menonton sukan ekstrem yang diperkenalkan sejak tahun 2005 itu.

Perbadanan Kemajuan Pelancongan Punjab (TDCP), penganjur festival itu mendedahkan, perlumbaan yang berlangsung pada Februari lalu itu kini semakin popular dari tahun ke tahun.

"Kami menganggarkan sejumlah 200,000 orang dari kampung-kampung berhampiran dan penduduk bandar hadir ke perlumbaan ini.

"Festival ini banyak membantu penduduk setempat memperbaiki taraf kehidupan. Mereka sewakan rumah masing-masing dan menyediakan bekalan makanan kepada pelancong dari luar bagi mengaut keuntungan," ujar pengarah urusan TDCP, Habirur Rehman Gilani.

Penduduk di sekitar padang pasir Cholistan hidup susah. Peluang pekerjaan yang terhad dan kekurangan bekalan air untuk ternakan mereka menambah beban kepada kelangsungan hidup.

Tahun ini, selain lumba jip, festival tersebut turut merangkumi acara muzik, tarian, gusti dan perkhemahan sebagai hiburan tambahan kepada pelancong. Ia juga membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.


PADANG pasir Cholistan yang berdebu bertukar menjadi tapak pesta.


Seorang pemain dram, Ghulam Nabi yang tinggal di Liaquatpur, kira-kira 60 kilometer dari kawasan festival mampu menjana 6,000 rupee (RM200) dalam tempoh tiga hari. Amaun itu adalah dua kali ganda lebih banyak berbanding pendapatan bulanannya.

"Di sini jarang ada majlis perkahwinan dan parti menyebabkan khidmat saya sebagai pemuzik kurang diperlukan. Namun dengan adanya festival sebegini saya mampu mendapatkan wang tambahan," kongsi Nabi.

Cholistan merupakan sebahagian daripada Bahawalpur, sebuah negeri kecil yang pernah diperintah berabad lamanya oleh dinasti Abbasiyah. Ia hanya bergabung bersama Pakistan pada sekitar tahun 1950-an, beberapa tahun selepas negara itu mengecap kemerdekaan daripada Britain.

Tarik pelancong

Batu-batu nisan marmar putih, tanda pusara kepada kesemua pemerintah dan ratu dinasti itu menjadi latar belakang elegan bagi perlumbaan tersebut.

Kubu Derawar lama yang terletak berhampiran pula dijadikan pusat pelepasan bunga api sebelum perlumbaan dimulakan. Penggunaan bunga api pada festival itu juga memberi keuntungan kepada peniaga bunga api tempatan, Fiaz Ahmed Shirazi.

"Saya meraih 300,000 rupee (RM10,000) hasil jualan bunga api di sini. Terdapat juga peniaga yang membuka gerai makan sepanjang perlumbaan dan berjaya mengumpul ribuan rupee dalam tempoh yang singkat," ujar Shirazi.


PERLUMBAAN ini menarik kehadiran ribuan penduduk luar ke daerah Cholistan setiap tahun.


Sementara itu, ribuan pelancong tempatan dan mereka yang datang dari Karachi, Lahore dan Islamabad berkumpul bagi memberi sokongan kepada para pelumba. Suasana turut dimeriahkan dengan muzik dan tarian dalam kostum tradisional berwarna-warni.

"Ia amat menyeronokkan dan pengalaman ini tidak diperoleh di tempat lain," cerita seorang pengunjung, Ameera Rao, 26, yang datang dari Lahore bersama rakan-rakannya bagi menonton perlumbaan tersebut.

Di sebalik kerancakan festival itu, sektor pelancongan di Pakistan pula berdepan kemerosotan serius. Ia ekoran reputasi menakutkan Pakistan sebagai negara Islam ekstremis.

Selepas menjadi lokasi perlindungan kepada para pemberontak Taliban tujuh tahun lalu, industri pelancongan Pakistan kini berhempas-pulas memperbaiki imej negara itu bagi menarik lebih ramai pelancong asing.

"Kami merancang untuk mempromosikan perlumbaan ini ke luar negara melalui kedutaan kami dan kelab-kelab 4x4 seluruh dunia.

"Kami juga cuba untuk membawa pelumba-pelumba antarabangsa bagi menyertai perlumbaan ini. Ia pasti melonjakkan taraf sukan dan pelancongan negara ini," tambah Gilani. - AFP

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat