Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Terima 2.8 juta panggilan sebulan Posted: Terima 2.8 juta panggilan sebulan
'SABAR ya, aduan anda telah dihantar kepada pihak bertanggungjawab. Sebentar lagi bantuan kecemasan akan tiba.' Itulah ungkapan terakhir penuh mesra yang diucapkan oleh operator talian 999 kepada Raja Nur Haliza Raja Adnan, 49, sebelum talian tersebut diputuskan. Ungkapan tersebut membuatkan Setiausaha Perbankan Islam dan Takaful di Bank Negara Malaysia itu berasa lega kerana aduan mengenai ular sawa batik yang memasuki halaman rumahnya pada pukul 2 petang di Jalan Bandar, Teluk Intan, Perak itu telah diterima. Dalam kelegaan itu, mata Haliza masih ligat memerhatikan setiap pergerakan haiwan mamalia sepanjang lima meter yang berada di dalam longkang di hadapan rumahnya itu sambil menunggu bantuan tiba. Selepas 15 minit menunggu, penantian Haliza berakhir apabila kelibat van berwarna putih dan biru dengan tulisan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) memasuki rumahnya. Kemudian, empat anggota JPAM lengkap beruniform bergegas menangkap ular tersebut untuk dilepaskan ke habitat asalnya. Itulah sebahagian daripada pengalaman yang dilalui oleh Haliza ketika menggunakan perkhidmatan talian 999. Dia sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang telah diberikan oleh kakitangan Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999. Ujarnya, operator yang mengendalikan talian tersebut pantas menyalurkan maklumat kepada pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan selanjutnya. "Saya menelefon sekitar pukul 2 petang, tidak sampai 15 minit, pasukan JPAM tiba di halaman rumah untuk membantu menangkap ular tersebut. "Perkhidmatan yang diberikan sangat cekap dan operator melayan saya dengan baik serta tutur kata penuh sopan," ujarnya yang sedang bercuti sakit di kampung halamannya di Teluk Intan, Perak selepas mengalami kemalangan jalan raya. KECEKAPAN operasi MERS 999 dapat membantu polis memberkas penjenayah. - Gambar hiasan Dalam situasi-situasi cemas, sukar bagi kita untuk mengingati dan mencari kembali nombor telefon agensi-agensi perkhidmatan kecemasan. Sehubungan itu, dengan adanya talian 999, ia memudah orang ramai melaporkan kejadian kecemasan yang berlaku dengan hanya mengingati tiga angka sahaja. "Nombor yang digunakan talian ini mudah diingati dan ia bebas tol, " ujarnya. Namun, kepada Muhammad Izzat Suhaini, 23, dia kurang berpuas hati dengan perkhidmatan MERS kerana panggilannya pernah tidak dijawab oleh operator talian 999. Menurut anak kelahiran Pulau Mutiara itu, dia telah menghubungi talian tersebut beberapa kali bagi melaporkan kejadian kemalangan yang berlaku kepada seorang lelaki berusia 50-an. Namun panggilannya tidak dijawab. "Kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 9 malam di Jalan Cheras, Cheras, Kuala Lumpur ketika saya dalam perjalanan pulang ke rumah di Pandan Perdana. "Saya fikir telefon saya rosak kerana tidak dapat mendengar suara operator talian 999. Saya cuba hubungi sekali lagi menggunakan telefon lain, namun situasinya masih sama," katanya. Disebabkan situasi tersebut, dia terpaksa menghubungi hospital dan balai polis berhampiran secara terus. Bantuan kecemasan Tambah Muhammad Izzat, sekiranya panggilan kecemasan yang dibuat lambat atau tidak dijawab oleh operator talian 999, ia dikhuatiri akan menyukarkan masyarakat untuk melaporkan kejadian kecemasan dengan cepat. "Talian tersebut melibatkan nyawa dan ketenteraman masyarakat. "Saya berharap pihak berwajib dapat memastikan setiap panggilan yang diterima dapat dijawab oleh operator talian 999 secepat mungkin," katanya yang pertama kali menggunakan talian kecemasan tersebut. SETIAP kejadian kecemasan seperti kebakaran perlu diberi tindak balas yang baik. Dalam pada itu, Penolong Pengarah Projek MERS 999, Zaliha Awang memberitahu, sejak pelancaran talian tersebut pada tahun 2007, pihaknya mengendalikan kira-kira purata 2.8 juta panggilan sebulan di tiga buah pusat operasinya iaitu di Kuala Lumpur, Melaka dan Sarawak. Pengenalan talian tersebut membolehkan rakyat Malaysia mempunyai satu nombor iaitu 999 untuk mendapatkan bantuan kecemasan membabitkan lima agensi iaitu Polis, Bomba, Kementerian Kesihatan, JPAM dan Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia. Ujarnya, setiap panggilan yang dibuat oleh orang awam akan dijawab dalam tempoh empat deringan oleh para petugas terlatih dan profesional dari Pusat MERS yang mengendalikan talian tersebut. "Pihak kami telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu setiap panggilan kecemasan harus dijawab oleh operator talian dalam tempoh 10 saat. "Situasi ini bagi mengelakkan orang awam menunggu terlalu lama sebelum panggilan mereka dijawab," katanya sambil memaklumkan MERS mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk memenuhi KPI tersebut. Kualiti perkhidmatan Tambahnya, selepas mendapat maklumat yang lengkap seperti lokasi, jenis dan situasi kejadian daripada pemanggil, pihaknya akan mengklasifikasikan jabatan yang sesuai untuk disambungkan talian tersebut. Ia bagi memudahkan kerja jabatan-jabatan terlibat dalam memberi bantuan kecemasan, contohnya tragedi bas yang berlaku di Genting Highlands, Pahang tahun lalu. Kejadian tersebut memerlukan anggota penyelamat dan kelengkapan mencukupi bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat mangsa-mangsa yang terjatuh ke dalam gaung. Sementara itu, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, beberapa langkah penambahbaikan telah diambil oleh pihak MERS. Antaranya pada tahun 2010 MERS telah mendapatkan persijilan ISO 9001/2008, bagi memastikan perkhidmatan yang diberi kepada masyarakat dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa. Sekiranya berlaku sesuatu insiden kecemasan dan direspons secara tidak mengikut KPI yang telah ditetapkan, ia akan memberi impak negatif kepada kerajaan. Selain itu, MERS juga telah menambahbaik sistem penerimaan panggilan kecemasan mereka dengan memperkenalkan sistem baharu untuk mengenal pasti setiap panggilan yang dibuat seperti nombor dan lokasi pemanggil. Tambahnya, maklumat tersebut adalah untuk memudahkan pihak MERS melakukan penyimpanan rekod dan rujukan pada masa akan datang. Selain itu, langkah tersebut juga dapat membantu mengelak berlakunya keciciran ketika panggilan kecemasan dibuat di samping memantau panggilan palsu. | |
Kesuburan Lembah Mekong terjejas Posted: Kesuburan Lembah Mekong terjejasBENDANG kering kontang akibat kekurangan air. LEMBAH sungai Mekong, Vietnam merupakan sebuah kawasan pertanian paling subur di Asia dan sering dirujuk sebagai Jelapang Padi Vietnam. Bagaimanapun, Tabung Pembangunan Pertanian Antarabangsa (IFAD) telah mengeluarkan amaran bahawa situasi kesuburan di lembah berkenaan berdepan ancaman ekoran perubahan iklim dunia. Menurut IFAD, paras air laut dan keadaan cuaca terlampau memberi cabaran serius kepada petani di Lembah Mekong sedangkan 60 peratus daripada beras negara itu disumbangkan oleh pengeluaran di kawasan berkenaan. Ramai petani termasuk Cung Phan, sudah hilang semangat juang dalam memerangi perubahan iklim dan persekitaran di Lembah Mekong. Phan merupakan seorang petani yang menanam buah-buahan dan sayur-sayuran berhampiran pesisir lembah itu, namun tanah yang dibajaknya kini semakin dipenuhi air masin. "Kami menanam tembikai, kacang tanah dan ubi keledek. Bagaimanapun kami tidak boleh melakukannya lagi kerana air laut mula membanjiri tanah kami," katanya kepada wartawan SBStempatan, Nina Tietzel. Phan memberitahu, dia bersama para petani lain telah berusaha membina tambak, namun ia tidak mampu bertahan dengan lama. "Sesetengah daripada kita tidak mampu lagi membajak tanah ini kerana tanah itu telah ditenggelami air," ujarnya. Hari ini, Phan hanya bergantung hidup dengan wang yang diberikan anak-anaknya.
Musnah Dalam pada itu, paras air laut yang meningkat telah mendatangkan masalah kepada petani di kawasan pedalaman kerana banyak tanaman rosak akibat peningkatan tahap kemasinan dalam sawah padi mereka. Ia disebabkan air masin dari laut mengalir ke hulu sungai sejauh 20 kilometer ke pedalaman sekali gus mencemar terusan air tawar. Bagi Binh Tach, seorang petani di wilayah Tra Vinh, situasi itu telah menyebabkannya kerugian selepas banyak tanaman yang rosak. "Air masin telah mengalir ke dalam sawah padi kami terutamanya pada tahun ini bahkan tahap kemasinan adalah sangat tinggi. Ia menyebabkan padi tidak dapat tumbuh dengan baik, sebaliknya mati," jelasnya. Pada masa sama, bahang cuaca panas yang terlampau juga menjadi faktor tanaman padi tidak menjadi apatah lagi bila musim debunga, suhu melebihi 36 darjah celsius menyebabkan debunga itu mandul. RAMAI yang bakal terkesan jika pengeluaran pertanian di Lembah Mekong merosot. Suhu di Tra Vinh yang semakin panas terlampau membimbangkan petani di lembah itu. Ada yang menyatakan bahawa mereka tidak boleh lagi menjadi pesaing dalam pengeluaran tanaman pertanian paling penting di Vietnam. Faktor cuaca turut membimbangkan masa hadapan penanaman padi di Vietnam kerana negara itu merupakan pengeksport beras kedua terbesar dunia selepas Thailand. Justeru, keadaan yang berlaku di Lembah Mekong telah menimbulkan kebimbangan hingga melangkaui sempadan Vietnam. "Keadaan ini agak kritikal bagi petani di Lembah Mekong. Mereka berdepan dengan peningkatan suhu manakala hujan tidak menentu menyebabkan masalah kepada air di samping meningkatkan tahap kemasinan. Cuaca Selain itu, mereka turut terdedah dengan cuaca melampau. Mereka akan mula melihat ribut taufan dan pusaran puting beliung sedangkan belum ada sejarah cuaca seumpama itu berlaku di wilayah berkenaan," kata Pakar Iklim dan Alam Sekitar Serantau IFAD, Roshan Cooke. Bermula bulan Mei ini, satu projek baharu dibiayai bersama oleh Ibu pejabat IFAD di Rom, Itali dan kerajaan Vietnam dilaksanakan untuk mengubah trend yang membimbangkan itu. KEDUDUKAN Lembah Mekong yang mengairi kawasan utama pertanian di Vietnam. Sepanjang tempoh enam tahun akan datang, projek Adaptasi di Lembah Mekong akan memperoleh peruntukan sebanyak AS$53 juta (RM171.6 juta) bagi memperkukuhkan keupayaan penduduk luar bandar terutamanya golongan miskin dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran yang berubah. Matlamat IFAD adalah untuk memberi manfaat kepada 125,000 orang yang terjejas dengan menyasarkan ketua isi rumah wanita dan etnik minoriti khususnya di wilayah Ben Tre dan Tran Vinh iaitu di utara-timur Lembah Mekong. Peruntukan tersebut akan digunakan untuk mebina empangan dan benteng yang lebih baik dan penambahbaikan tali air. Selain itu, penyelidik dari Universiti Tra Vinh juga sedang menguji pelbagai varieti beras baharu yang mampu tahan kepada haba dan boleh tumbuh dalam air masin. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |