Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Lambakan haiwan bertulang satu Posted: Lambakan haiwan bertulang satuOleh MOHD. YUNUS YAKKUB dan NOR IDAYU BOSRO TATKALA laungan azan memecah kedinginan subuh, Abdul Talib Ahmad sudah bersiap-siap untuk turun ke laut. Begitulah rutin harian nelayan berusia 43 tahun itu sejak lebih 20 tahun yang lalu. Bagi nelayan sepertinya, bulan Mac hingga Mei adalah bulan yang dinanti-nantikan para nelayan di Sabah. Mana tidaknya, pada bulan itu, lautan dalam yang diterokai selama ini menghadirkan rezeki berganda buat mereka. Ketika ini, berpuluh-puluh bot pukat tunda dan pukat jerut akan berlumba-lumba turun ke laut. Matlamat utama mereka adalah untuk menangkap sebanyak mungkin hasil laut terutama sotong. Di Sabah, khususnya kawasan pantai barat meliputi pesisir pantai Kota Kinabalu sehingga ke Kudat, sotong akan mula membanjiri perairan bahagian itu dalam tempoh tiga bulan tersebut. Lambakan haiwan lembut itu secara tidak langsung mewujudkan fenomena durian runtuh di pasar-pasar besar sekali gus memberi limpahan keuntungan kepada semua pihak. Bermula dari pengusaha bot sehingga kepada nelayan, pemborong dan seterusnya peniaga serta pembeli akan merasai nikmat luar biasa hasil daripada lambakan sotong. Ditemui kru Jurnal di Kota Kinabalu baru-baru ini, Abdul Talib mengakui pada kebiasaannya dia mampu menaikkan kira-kira 30 tan sotong hanya dalam tempoh semalaman berada di laut berbanding tiga tan pada hari biasa. "Pada musim bulan terang inilah kami berpeluang meraih pendapatan lebih kerana purata hasil tangkapan yang berjaya dijual mampu mencecah RM50,000. Namun, keuntungan itu terpaksa ditolak dengan kos sewaan jeti selain bahan bakar yang digunakan setiap kali turun ke laut," jelasnya. Bertutur lanjut, Abdul Talib memberitahu, pengusaha bot pukat tunda meraih tangkapan sotong di kawasan pesisir laut manakala bot pukat jerut lebih banyak beroperasi di laut daAlam. "Pengusaha bot pukat jerut akan meraih lebih banyak hasil memandangkan mereka menggunakan peralatan yang lebih canggih," katanya. HARGA sotong lebih murah ketika musim bulan terang iaitu dari Mac hingga Mei. RM2 sekilogram Sementara itu, seorang pemborong ikan, Chua Soi Tee, 60, berkata, kebiasaannya kesemua sotong berkenaan ditangkap di perairan laut negeri itu dengan menggunakan pukat tunda. Menurutnya, ia melibatkan kedalaman sehingga 800 meter (m) kerana kawasan itu diibaratkan seperti 'kandang sotong'. "Setiap sotong yang ditangkap akan diasingkan mengikut jenis dan saiznya sebelum dijual kepada pemborong atau peniaga kecil dengan harga berpatutan," katanya. Ketika orang ramai di Semenanjung terpaksa berfikir dua kali untuk membeli sotong, pengguna di Kota Kinabalu pula hanya tersenyum apabila harga yang ditawarkan serendah RM2 sekilogram. Harga ini jauh lebih murah berbanding harga pada hari biasa di kebanyakan negeri lain yang boleh mencecah RM20 sekilogram. Bagi Abdul Razak Bandan, 44, pendapatan sehariannya meningkat sehingga dua kali ganda dengan penjualan sotong mencecah sehingga 200 kilogram (kg) berbanding hanya 100kg di luar musim sotong. Katanya, ia berikutan permintaan tinggi dalam kalangan pengguna terutama pengusaha restoran serta peniaga kecil di bazar makanan laut. "Sotong antara makanan laut yang amat digemari dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara selain daripada ikan putih, ikan sebelah, ikan kerapu, udang galah dan ketam. "Tambahan pula, sotong yang dijual di Pasar Besar Kota Kinabalu ini segar kerana jaraknya hanya beberapa meter sahaja dari pelabuhan," tuturnya. Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mohd. Sabri Amrazi, 18, memberitahu, sotong mampu bertahan dalam lingkungan dua hari sahaja. Malah, sotong yang telah dikeluarkan untuk dijual tidak boleh dicampurkan dengan sotong segar kerana ia boleh menyebabkan jangkitan pada sotong baharu. "Sotong segar biasanya tidak berbau dan memiliki 'badan' yang cerah serta lut cahaya seakan-akan kaca manakala yang sudah lama lebih keras dan warnanya juga semakin pudar dan pucat," jelasnya. Bulan penuh Beberapa teori disuarakan ekoran lambakan makanan laut tersebut, namun pandangan pakar lebih merujuk kepada musim bulan terang bagi menjelaskan punca kebanjiran sotong di perairan negeri tersebut. "Sudah menjadi kebiasaan lambakan sotong akan berlaku di Sabah bermula bulan Mac hingga Mei. Pada musim bulan terang setiap tahun, nelayan di negeri ini akan dilimpahi dengan sotong, jadi mereka mula menawarkan harga rendah seperti sekarang," kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Datuk Irmohizam Ibrahim. Menurut Jabatan Perikanan Malaysia, sotong lebih mudah didapati selepas musim tengkujuh yang berlaku antara bulan Disember hingga Februari. RIBUAN ikan tamban naik ke pesisir pantai Kampung Tabisan di Lahad Datu pada 23 Disember lalu menunjukkan kekayaan sumber laut Sabah. Ini kerana angin monsun timur laut yang bertiup selepas musim itu iaitu pada bulan November hingga Mac setiap tahun membawa arus kuat dari perairan Vietnam yang subur terutamanya di sekitar muara Sungai Mekong. "Air laut yang kaya dengan kandungan nutrien ini telah menggalakkan pertumbuhan fitoplankton yang menjadi sumber makanan haiwan akuatik. "Keadaan ini boleh menggalakkan peningkatan produktiviti perikanan termasuk penghasilan sotong selepas musim tengkujuh," jelasnya. Berbeza dengan Sabah, kawasan Pantai Timur khususnya di perairan negeri Terengganu, aktiviti mencandat sotong biasanya dilakukan pada bulan April hingga Ogos setiap tahun. Lokasi-lokasi popular mencandat sotong di negeri itu termasuklah perairan Pulau Redang, Pulau Bidong, Pulau Perhentian, Pulau Kapas, Kemaman, Marang dan Kuala Terengganu. Menurut seorang pencandat sotong, Mohamad Abdullah, 57, aktiviti mencandat sotong biasanya pada bulan mengambang kerana ketika itu sotong gemar bermain dan lebih mudah untuk memakan umpan. 'Ketika bulan penuh, sotong bergerak bebas kerana tertarik dengan cahaya bulan," ujarnya. Dikategorikan sebagai haiwan bertulang satu dalam kumpulan Teuthida, sotong dipercayai mempunyai kira-kira 300 spesies di seluruh dunia dan menjadi antara hidangan mewah dalam kelas hidupan laut. Rasa sotong yang unik sesuai dimasak untuk hampir semua jenis hidangan baik dipanggang, digoreng, dikukus atau dibakar. "Juadah sotong bakar, sotong goreng tepung, sambal dan kari sotong serta sotong kangkung adalah antara menu yang popular di negara ini. "Di Kelantan dan Terengganu, hidangan ketupat sotong yang dimasak bersama beras pulut, santan kelapa dan gula merupakan menu signatur negeri itu," kata Ketua Jabatan Pengurusan dan Perkhidmatan Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Muhammad Shahrim Ab. Karim. Tambahnya, juadah menggunakan dakwat sotong yang berwarna hitam juga semakin mendapat tempat dalam gastronomi masyarakat tempatan. "Dakwat hitam sotong tidak beracun dan boleh digunakan dalam masakan seperti lauk sotong masak hitam atau masak kicap. "Ia akan memberikan aroma dan menambah kelazatan makanan," ujarnya sambil memberitahu, sotong hanya mengambil masa tiga hingga lima minit untuk masak secara sempurna dan teksturnya akan pantas berubah menjadi liat jika dibiarkan terlalu lama di atas api. | |
Posted: Bera jadi hub penternakanOleh AQMAR ALLADAD ISMAIL SABRI melihat demontrasi membuat makanan ternakan ruminan pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Pemakanan Ternakan Ruminan di Pakar Simpang Kepayang, Bera, Pahang baru-baru ini. POPULASI haiwan ternakan di Bera, Pahang kini mencecah hampir 40,000 ekor dengan lembu sebanyak 29,794 ekor, 5,700 ekor kambing dan 400 ekor kerbau. Jumlah itu sekali gus berupaya menjadikan negeri itu sebagai pembekal utama daging di Malaysia suatu hari nanti. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasrat menjadikan Bera sebagai pusat ternakan haiwan terbesar di negeri itu perlu dikaji secara terperinci. Antara faktor yang perlu diambil kira bagi merealisasikan matlamat itu ialah mengetahui luas kawasan, bilangan penternak dan populasi ternakan itu sendiri. Sehubungan itu, ujar Ismail Sabri, Jabatan Veterinar negeri Pahang akan menjalankan kajian secara menyeluruh termasuk meneliti kos sebelum projek itu dilaksanakan. "Kawasan Bera telah pun dikenal pasti sebagai pusat ternakan oleh Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Sehingga kini Bera mempunyai 830 penternak lembu, 200 penternak kerbau dan 290 penternak kambing. "Justeru, pihak Jabatan Veterinar perlu melihat cara untuk meningkatkan populasi haiwan ternakan dan penternak di Bera. Kawasan ini juga berpotensi menjadi pusat pengeluaran daging ruminan," katanya pada majlis penutup Kursus Pemakanan Ternakan Ruminan di Bera baru-baru ini. Kursus tersebut dihadiri 85 peserta antara lain membincangkan mengenai sumber makanan tempatan dan pemakanan, Skim Pinjaman Agropreneur Muda dan terlibat dalam demonstrasi membuat makanan ternakan. Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pihak Jabatan Veterinar akan menyediakan 10 mesin mengisar makanan haiwan ternakan untuk digunakan oleh penternak di daerah itu. Jelas beliau, mesin yang berharga kira-kira RM3,000 sebuah itu akan memudahkan para penternak menghasilkan makanan untuk haiwan ternakan mereka. "Kita faham penternak kini menghadapi banyak masalah terutama membabitkan kos makanannya yang begitu mahal pada ketika ini. "Jadi dengan adanya mesin ini, setiap penternak boleh mengisar makanan sendiri menerusi sumber sedia ada seperti daun kelapa sawit. "Ini pasti menjimatkan kos dan membantu penternak meningkatkan hasil pendapatan," katanya. | |
'Tak rugi cebur bidang pertanian' Posted: 'Tak rugi cebur bidang pertanian'
MODEL perniagaan berasaskan perkongsian dan kerjasama menjadi strategi Mohd. Shukri Mohd. Zahit, 31, untuk mengembangkan kerjayanya dalam industri perikanan dalam usia muda. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perikanan dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ini berpendapat, dalam industri perikanan, model tersebut begitu signifikan kerana pengusaha dan kakitangan bawahan mengamalkan konsep berganding bahu dan saling mempercayai antara satu sama lain. "Dalam sistem perkongsian berasaskan keuntungan, masing-masing akan berkerja sebaik mungkin kerana hasil yang diperoleh akan dinikmati secara bersama," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Ternyata, prinsip itu membuahkan kejayaan apabila Mohd. Shukri kini memiliki sebuah syarikat yang dikenali sebagai Skun Maju Enterprise yang boleh dibanggakan. Syarikat itu antara lain memiliki beberapa peralatan seperti sebuah bot nelayan jenis pukat jaring kelas C0 (bagi aktiviti penangkapan ikan untuk jarak antara 15 batu sehingga 40 batu dari persisir pantai). Selain itu, beliau turut mengusahakan beberapa buah bot pukat jaring, pukat tunda dan bot memancing yang dimiliki secara bersama dengan rakan-rakan yang lain yang berpangkalan di Kuantan, Pahang. Inisiatif anak muda tidak terhenti setakat di situ sahaja. Mohd. Shukri menambah lagi portfolio kerjanya dengan menceburkan diri dalam industri pemasaran ikan segar di pasar-pasar borong utama di seluruh Semenanjung Malaysia. Beliau juga terlibat dalam perusahaan keropok lekor. Anak muda ini galak bercerita tentang perusahaan keropok lekornya yang dijalankan secara perkongsian. "Pada peringkat awal, saya hanya bertindak sebagai pembekal ikan segar kepada seorang pengusaha yang saya sapa sebagai Pak Lah, 60, yang memiliki kilang memproses keropok lekor di Permatang Badak, Kuantan. "Mulanya Pak Lah mengambil sendiri bekalan ikan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan tempat kapal kami berlabuh untuk menurunkan ikan, kemudian apabila dia selesa berurusan dengan kami, kami membuat penghantaran ikan ke kilangnya. "Baru-baru ini, dia menawarkan diri menjadi rakan kongsi saya dan kini kami sama-sama mengusahakan kilang tersebut yang berjaya menjana jualan purata RM5,000 sehari," katanya yang juga merupakan ahli Majlis Perunding Agropreneur Muda yang dipengerusikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Mengenai aktiviti pemasaran ikan pula, beliau akan memastikan hasil tangkapan dapat dijual pada harga yang baik, sepadan dengan usaha dan kos yang telah dibelanjakan. Mengulas mengenai potensi bidang perikanan, Mohd. Shukri begitu optimis. Jelas beliau, industri perikanan merupakan salah satu cabang pertanian yang perlu diceburi oleh golongan belia di negara ini. "Tidak rugi kalau kita cebur bidang pertanian. Dalam situasi sekarang, tenaga mahir dalam ini makin berkurangan dan saya lihat masih ramai lagi yang bergantung kepada skil 'orang-orang lama'. "Justeru, menerusi Unit Agropreneur Muda, kami berhasrat untuk mengikis persepsi negatif terhadap bidang pertanian. Kami juga tanpa jemu akan mengajak belia menceburi bidang ini dengan menawarkan pelbagai kemudahan dan insentif termasuk khidmat nasihat, pinjaman dan geran," ujar beliau. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |