Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Posted: FAM bagi amaran kerasOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) kini serius memantau penglibatan beberapa kumpulan atau individu dalam laman sosial yang didakwa meniru akaun rasmi Facebook dan Twitter milik badan induk itu. Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin memaklumkan bahawa pihaknya sedang bekerja keras untuk mengesan kumpulan atau individu yang tidak bertanggungjawab itu dengan menyebarkan maklumat salah sehingga menjejaskan imej FAM. Jelas Hamidin, FAM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk menyaman pihak yang terlibat dengan perkara tersebut. "Kami akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung isu laman sosial Facebook dan Twitter FAM yang ditiru oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. "FAM memandang serius dalam hal ini. Ini kerana pihak yang berkenaan telah menyampaikan maklumat yang tidak benar sehingga mengelirukan ramai pihak terutama peminat bola sepak tempatan. "Maklumat yang mereka salurkan itu telah menyebabkan imej FAM tercalar. Lebih memburukkan keadaan, ada sesetengah mereka mengeluarkan status di laman sosial dalam bentuk provokasi," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. Hamidin memberitahu, pihaknya sudah dapat mengesan perkara tersebut sejak minggu lalu. Pihak yang terlibat dilihat cuba 'menghidupkan' kenyataan-kenyataan berbentuk negatif termasuk sentimen kenegerian, sekali gus menyebabkan berlaku provokasi antara peminat dan penyokong bola sepak tempatan. "Kami memandang serius dengan apa yang berlaku ketika ini. FAM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terlibat. "Tindakan saman akan diambil jika ada yang didapati bersalah melakukan perkara tidak bertanggungjawab ini," tegasnya. Akaun rasmi Facebook milik FAM ialah Football Association of Malaysia Official manakala Twitter (Bolasepak Malaysia @FA_Malaysia). | |
Tok Gajah gah terajui Liga Super Posted: Tok Gajah gah terajui Liga SuperOleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM JARINGAN rangkaian dua penyerang - Matias Conti dan Mohd. Azammuddin Akil meletakkan Pahang kekal sebagai peneraju Liga Super selepas menewaskan T-Team 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi. Skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu berjaya mencatatkan kemenangan kelima berturut-turut dengan mengumpul 25 mata selain mengekalkan rekod bersih di gelanggang sendiri. Gol pertama Tok Gajah diperoleh melalui Conti yang menguis bola masuk ke dalam gawang T-Team seawal minit ketiga selepas tendangan percuma Mohd. Hafiz Kamal terkena palang. Jaringan itu meletakkan Conti sebagai penjaring terbanyak Tok Gajah dengan lima gol bersama-sama rakan sepasukannya, Dickson Nwakaeme yang tidak bermain malam tadi akibat kecederaan. Stadium Darul Makmur terus bergema dengan sorakan ribuan penyokong tuan rumah apabila Azamuddin menanduk masuk bola ke gawang T-Team yang tidak dikawal kemas oleh penjaga gol, Mohd. Shahril Saari pada minit ke-57. Di Stadium Shah Alam, Selangor menepati ramalan selaku pasukan pilihan apabila menewaskan Perak 1-0. Penyerang import berbisa, Paulo Rangel sekali lagi menjadi watak pemusnah Perak apabila meledak gol kemenangan Selangor pada minit kelapan. Gol itu terhasil apabila Rangel berjaya melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti bagi menewaskan penjaga gol Perak, Razi Effendi Suhit. Namun, Gergasi Merah ditimpa masalah apabila pemain import baharu, Evaldo Silva Dos Santos dilayangkan kad merah pada minit ke-45 gara-gara menanduk kepala pemain tengah Perak, Kyaw Zayar Win. Bersambung babak kedua, Selangor tidak memperlahankan rentak permainan biarpun kehilangan khidmat Dos Santos. Skuad Gergasi Merah hampir menggandakan jaringan apabila Rangel melepaskan sepakan voli tetapi percubaan tepat itu tersasar ke kiri gawang Perak. Malang buat Perak apabila Raffi Nagorgani pula dilayangkan kad merah pada minit ke-66. Rangel berpeluang menambah jaringan pada minit ke-80, namun percubaannya melepasi pintu gol Perak. Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, nasib malang terus menimpa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila tewas 0-2 kepada Kelantan. Gol-gol Kelantan diperoleh menerusi jaringan kapten, Mohd. Badhri Radzi pada minit ke-45 dan Francis Forkey Doe (83). | |
Masters milik Zulmazran, Li Jane Posted: Masters milik Zulmazran, Li JaneZULMAZRAN (kanan) dan Li Jane menjuarai kategori Masters lelaki dan wanita Kejohanan Boling Kebangsaan ke-38 di Sunway Megalanes, Petaling Jaya semalam. DUA pemain elit negara - Zulmazran Zulkifli dan Sin Li Jane mempamerkan balingan cemerlang untuk muncul juara kategori Masters lelaki dan wanita pada Kejohanan Boling Kebangsaan ke-38 di Sunway Megalanes, Petaling Jaya, Selangor semalam. Zulmazran yang layak secara automatik ke final selepas muncul peserta terbaik dalam pusingan awal step ladder pada sesi pagi, diberikan tentangan sengit oleh pemain pelapis negara, Isaac Russell Paul sebelum menang tipis dengan kiraan 224 berbalas 223 jatuhan pin. Terdahulu, Isaac mara ke final selepas melakar kejutan ke atas seorang lagi pemain elit negara, Timmy Tan dengan kiraan 247 berbalas 176 jatuhan pin dalam saingan separuh akhir step ladder. Zulmazran yang pernah meraih kejuaraan sama pada edisi 2001, mengakui lawannya memberikan aksi terbaik sehingga memaksa dia mengerah segala pengalaman yang dimilikinya. "Saya sudah menjangkakan akan bertemu Isaac pada aksi final memandangkan dia beraksi cemerlang ketika menentang Timmy kerana jumlah balingannya mesti mencecah 200 jatuhan pin ke atas. "Alhamdulillah, saya dapat bertahan walaupun membuat balingan yang salah pada beberapa balingan awal, sebelum kembali bangkit pada penghujung permainan," kata anak jati Selangor itu. Terdahulu, dalam aksi final Masters wanita, Li Jane mengalahkan rakan sepelatih, Esther Cheah dengan catatan 213 berbalas 208 jatuhan pin. Kejayaan itu sekali gus memastikan gelaran ketiga yang dirangkul Li Jane selepas meraih kejuaraan sama pada edisi 2010 dan 2012. Esther sebelum itu mara ke final selepas menang 218 berbalas 201 jatuhan pin ke atas Dayang Khairuniza Dhiyana Abang Jamalidon dalam aksi separuh akhir step ladder. "Saya berharap kemenangan ini akan memberi motivasi kepada saya untuk beraksi cemerlang dalam beberapa kejohanan selepas ini seperti Terbuka Malaysia bulan depan dan Terbuka Singapura pada Jun," kata Li Jane yang turut mengintai slot ke Sukan Asia di Korea Selatan, September depan. Kemenangan tersebut membolehkan Zulmazran dan Li Jane masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000 dan RM3,000 serta trofi yang disampaikan oleh Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Datuk Dr. PS Nathan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |