Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Posted: Inilah LIVERPOOL!
LIVERPOOL – Jangan main-main dengan Liverpool. Gelaran juara Liga Perdana England musim ini bagaikan sudah berada dalam genggaman. Semalam, Manchester City menjadi mangsa terbaharu mereka dalam saingan liga musim ini selepas mencatat kemenangan 3-2. Biarpun mendapat tentangan sengit terutama pada separuh masa kedua, namun skuad bimbingan Brendan Rodgers itu tidak menunjukkan petanda untuk menyerah. Tiga mata berharga yang diraih pada perlawanan tersebut itu menyaksikan The Reds kini selesa memegang status selaku pendahulu liga dengan 77 mata berbanding City yang ketinggalan tujuh mata di tangga ketiga meskipun memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan. Kejayaan itu sekali gus menyaksikan skuad The Reds semakin hampir mendakap trofi liga pertama sejak kali terakhir pada 1990 lalu. Beraksi di laman sendiri, pemain sayap lincah, Raheem Sterling mengambil kesempatan daripada kesilapan City dengan menjaringkan gol pertama Liverpool seawal minit keenam. Pemain pertahanan The Reds, Martin Skrtel berjaya menggandakan kedudukan buat tuan rumah untuk mendahului 2-0 menerusi jaringannya pada minit ke-26. Tersentak dengan itu, The Citizens bangkit mengatur serangan, namun kecemerlangan penjaga gol, Simon Mignolet menafikan hajat skuad bimbingan Manuel Pellegrini itu sebelum tamat separuh masa pertama. Bersambung di babak kedua, gol yang dicari-cari City akhirnya menjelma menerusi percubaan daripada pemain tengahnya, David Silva selepas menerima hantaran cantik daripada James Milner pada minit ke-57. Selepas itu, The Citizens berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan sendiri pertahanan Liverpool, Glen Johnson pada minit ke-62. Hajat The Reds meraih tiga mata berharga itu berhasil apabila pemain tengahnya, Phillipe Coutinho memanfaatkan kesilapan kapten City, Vincent Kompany dengan rembatan deras untuk memberikan gol ketiga pada minit ke-78. Bagaimanapun, kad merah yang diterima pemain tengah Liverpool, Jordan Henderson gara-gara terjahan keras ke atas Samir Nasri pada lewat permainan tidak mampu memberikan kelebihan kepada City apabila kedudukan 3-2 itu kekal sehingga tamat perlawanan. – Agensi | |
Posted: 'Beri kami masa dua tahun'Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE SKUAD MISC-MIFA kekal optimis untuk layak ke saingan Liga Premier bagi musim 2016. Setiausaha Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), Louis Santhana Dass (gambar) berkata, ini kerana pasukan itu baru dibentuk sejak tiga bulan lalu dan masih tercari-cari rentak bagi mengharungi saingan Liga FAM musim ini. Menurut beliau, skuad itu cukup berpotensi untuk layak ke saingan Liga Premier dua musim lagi berdasarkan persembahan positif pemain-pemain muda mereka setakat ini. "Beri kami masa selama dua tahun, saya percaya pasukan ini mampu layak ke saingan Liga Premier bagi musim 2016. "Jika dilihat pada persembahan pemain dalam setiap perlawanan, mereka berpotensi untuk dibentuk menjadi pasukan yang mantap selain membentuk persefahaman yang lebih sempurna," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. Skuad MISC-MIFA kini di tangga ke-10 Liga FAM dengan enam mata hasil dua kemenangan dan lima tewas setakat ini. Mereka berjaya menundukkan Harimau Muda C dengan kemenangan tipis 2-1 selain mengatasi Hanelang FC dengan kemenangan 1-0 baru-baru ini. Justeru, Louis percaya barisan pemain MISC-MIFA masih memerlukan masa untuk digilap sepenuhnya sebelum menjadi antara pencabar utama dalam tempoh beberapa musim lagi. "Sasaran untuk layak ke saingan Liga Premier dalam tempoh dua musim lagi dilihat lebih realistik berbanding musim depan. "Jadi, saya harap kesemua pemain MISC-MIFA mampu menimba pengalaman berguna sepanjang saingan Liga FAM kelak," katanya. Sementara itu, tonggak MISC-MIFA, P. Puvanesvaran juga berjanji untuk memberikan yang terbaik bagi membantu pasukan itu kekal dalam saingan Liga FAM musim depan. "Saya juga gembira apabila kesemua pemain diberikan peluang bergilir-gilir menjadi kapten pasukan sekali gus memupuk semangat kepimpinan dalam kalangan pemain," katanya. | |
Kelantan kembali di landasan betul Posted: Kelantan kembali di landasan betulOleh YATIMIN ABDULLAH KEMENANGAN 2-0 Kelantan ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kelmarin meletakkan pasukan berkenaan berada di landasan terbaik dalam usaha mengembalikan semula reputasi selepas mempamerkan aksi hambar pada pusingan pertama Liga Super sebelum ini. Pemain sayap lincah The Red Warriors, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria berkata kemenangan ke atas ATM kelmarin meletakkan pasukannya di landasan sebenar untuk kembali memberikan saingan dalam perebutan mahkota liga. "Kemenangan ke atas ATM amat berharga kepada pasukan Kelantan selepas kami bermula agak sederhana pada pusingan pertama lalu. "Saya harap rakan-rakan sepasukan dapat terus memberikan aksi terbaik dalam perlawanan selepas ini bagi memastikan Kelantan berada di kedudukan terbaik," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kota Bharu semalam. Menurutnya, selain faktor penyokong, semangat berpasukan dan disiplin tinggi yang dipamerkan oleh pemain Kelantan menjadi kunci utama kejayaan The Red Warriors membenam ATM. Katanya, rakan-rakan sepasukannya beraksi bermati-matian bagi memastikan tiga mata menjadi milik mereka pada perlawanan tersebut. "Aksi menentang ATM bukan tugas mudah ditambah pula beraksi di gelanggang keramat mereka, Alhamdulillah kami semua berjaya melaksanakan tugas tersebut dengan baik. "Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan terutama Farisham Ismail yang berjaya merantai kemas pergerakan penyerang import berbisa ATM, Marlon Alex James sepanjang perlawanan tersebut," ujarnya. Wan Zaharul memberitahu, kemenangan itu turut membuka peluang kepada Kelantan untuk mencabar kejuaraan Liga Super musim ini. "Peluang masih terbuka dan kedudukan mata antara pasukan pendahulu dengan Kelantan tidak jauh berbeza. "Kami tidak boleh leka selepas ini dan tumpuan sepenuhnya perlu diberikan jika mahu mencabar kejuaraan liga," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |