Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
- 'Kebenaran berpihak kepada kami'
- Bertindak hasil bukti sedia ada
- Darby diminta undur diri secara terhormat
'Kebenaran berpihak kepada kami' Posted: 'Kebenaran berpihak kepada kami'Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
KETUA Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rashid Jusoh menyifatkan The Titans membuat keputusan betul apabila menarik diri daripada meneruskan aksi pusingan kedua Piala FA menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Februari lalu. Rasid memberitahu, kebenaran kini berpihak kepada T-Team selepas Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman denda RM30,000 kepada Johor DT ekoran insiden 'Terowong Larkin' itu. Menurut Rasid, keputusan FAM itu juga telah 'membuka mata' ramai pihak bahawa Johor DT bersalah kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan mencukupi. "Jika tanya kepada saya, (FAM) tak payah nak denda (Johor DT) RM30,000... denda RM1 pun sudah cukup. "Sudah jelas kami tidak bersalah. Kami telah mengemukakan bukti kepada FAM ekoran insiden yang berlaku di Larkin. "Pemain kami tidak menyerang mana-mana pemain lawan sebaliknya pemain kami sendiri yang diugut. Sudah jelas kami berada di pihak yang benar," kata Rasid ketika dihubungi Kosmo! semalam. Kelmarin, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menempelak keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM yang hanya mengenakan denda RM30,000 kepada Johor DT ekoran insiden 'panas' di Larkin. Beliau berkata, keputusan itu mengundang kemarahan Terengganu berikutan tiada sebarang pertuduhan dikenakan terhadap individu yang terlibat dalam kes berkenaan yang masih meninggalkan banyak persoalan. Ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad itu, Rasid berkata: "Sudah tentu beliau tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat Jawatankuasa Tatatertib FAM. "Namun, secara peribadi saya berpendapat keputusan itu juga adalah tepat bagi membuktikan kami tidak bersalah dalam hal ini (menarik diri daripada meneruskan aksi babak kedua pada pusingan kedua Piala FA). "Seorang pemain T-Team (Elvado Rodrigues) dan jurulatih kecergasan (Stefano Impagliazzo) telah dikasari ketika mereka menuju ke bilik persalinan selepas tamat aksi babak pertama. "Disebabkan itu, kami telah membuat laporan polis mengenai insiden yang berlaku di dalam terowong di stadium tersebut," katanya. | |
Bertindak hasil bukti sedia ada Posted: Bertindak hasil bukti sedia adaOleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI PENGENDALI Johor DT, Cesar Ferrando Jimenez berbincang dengan MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar kecil) berpendapat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mampu menyelesaikan sendiri kes 'Terowong Larkin' yang tercetus pada 1 Februari lalu. Menurut Khairy Jamaluddin, FAM boleh mengambil tindakan berdasarkan bukti dan siasatan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu. "Dari satu sudut, saya faham FAM tidak boleh mendahului siasatan polis, dari satu (sudut) lagi, saya juga rasa tidak akan ada apa-apa hasil daripada siasatan polis tersebut. "Ia turut bergantung kepada bukti, kalau polis mahu bawa ke mahkamah ia mestilah tanpa keraguan. "Saya tidak tahu burden of proof (beban bukti) yang FAM pakai, kalau mereka pakai balance of probabilities (imbangan kebarangkalian), ia tidak perlu sampai melebihi reasonable doubt (keraguan munasabah)," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Persatuan-Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Petaling Jaya, Selangor semalam. Khairy Jamaluddin berkata, FAM perlu memahami bahawa pihak polis memerlukan bukti kukuh sebelum melakukan siasatan. "Masalah sekarang ada saksi tetapi berdasarkan kepada keterangan saksi sahaja kerana tidak ada apa-apa rakaman. "Jadi, jika FAM boleh buat berdasarkan imbangan kebarangkalian, ia boleh mengambil tindakan, polis pula lain... mereka perlu melebihi keraguan munasabah sebelum melakukan siasatan. "Jadi FAM kena faham kalau polis tidak boleh selesaikan siasatan itu kerana tidak cukup bukti, mereka boleh mengambil tindakan berdasarkan bukti yang mereka ada," ujarnya. Selasa lalu, Jawatankuasa FAM yang bersidang kira-kira 10 jam hanya mengenakan denda RM30,000 ke atas Johor Darul Takzim (Johor DT) yang didapati bersalah kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan mencukupi pada aksi pusingan kedua Piala FA menentang T-Team, 1 Februari lalu. Dalam perlawanan tersebut, T-Team menarik diri daripada meneruskan aksi babak kedua apabila pemain importnya, Elvado Rodrigues dan jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo mendakwa mereka dikasari di dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin selepas tamat babak pertama. Dalam sidang akhbar pada hari yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak memberitahu, pihaknya tidak akan meneruskan siasatan kes itu kerana ia kini disiasat pihak polis. Taufek turut memaklumkan bahawa Johor DT masih dibenarkan membuat rayuan terhadap hukuman tersebut disebabkan denda itu bukan paling minimum. | |
Darby diminta undur diri secara terhormat Posted: Darby diminta undur diri secara terhormatOleh YATIMIN ABDULLAH PEMINAT serta penyokong setia The Red Warriors sudah hilang sabar dengan percaturan pengendali Kelantan, Steve Darby. 'Api kemarahan' mereka terhadap Darby semakin marak selepas Kelantan tewas 0-4 kepada wakil Vietnam, Vissai Ninh Binh dalam aksi Kumpulan G Piala AFC di Stadium Ninh Binh, Vietnam kelmarin. Rata-rata penyokong Kelantan berpendapat Darby gagal melaksanakan tugasnya dengan baik sehingga menjejaskan reputasi The Red Warriors sebagai antara pasukan yang digeruni dalam saingan Liga Malaysia. Justeru, mereka mendesak Darby melepaskan jawatan sebagai pengendali Kelantan kerana menyifatkan kekalahan kepada Vissai Ninh Binh mencemarkan maruah bola sepak negara. Bagi Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu (TRW KB), sudah tiba masanya Darby bertanggungjawab ekoran prestasi hambar Kelantan dengan melepaskan jawatan secara terhormat. Presiden TRW KB, Mohd. Zainy Mohd. Zain berkata, Darby sepatutnya tidak mengambil mudah saingan Piala AFC kerana ia melibatkan imej pasukan dan bola sepak di negara ini. Menurut Zainy, Darby seharusnya mempertaruhkan barisan terbaik dalam perlawanan tersebut bagi memberikan cabaran kepada pihak lawan dan membuktikan Malaysia tidak ketandusan pasukan hebat untuk bertanding di peringkat Asia Tenggara. "Saya cukup kecewa dengan percaturan Darby dalam perlawanan itu, pemain dilihat seolah-olah hilang punca dan pening dengan taktikal yang diterapkan beliau. "Pada saya pemain telah memberikan persembahan terbaik, namun dimusnahkan oleh kesilapan dalam membuat percaturan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Zainy memberitahu, secara jujur penyokong Kelantan sebenarnya sudah 'loya' dengan pelbagai alasan yang diberikan Darby. "Jika bagi tumpuan kepada saingan Liga Super, kenapa kita berada tangga keenam dalam carta liga? "Apa yang pasti, satu mata daripada lima perlawanan adalah pencapaian terbaik Darby," tegasnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |