{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Varia

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Varia


Khidmat sukarela JPAM

Posted:

Khidmat sukarela JPAM

Khidmat sukarela JPAM


PENYANYI seperti Nasharuddin Elias atau Nash (tiga dari kanan), Datuk Hattan (dua dari kanan) dan isteri, Datin Arianie Mohd. Abidin serta Datuk Malek Ridzuan (dua dari kiri) melihat kain rentang yang tertera #PRAY FOR MH370 ketika mengunjungi ahli keluarga penumpang pesawat MH370 di Hotel Everly, Putrajaya baru-baru ini.


USIA Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mencecah 62 tahun pada 24 Mac lalu, namun kehadiran pasukan ini tidak begitu disedari oleh masyarakat berikutan kurangnya publisiti mengenainya.

Masih ramai yang tidak mengetahui bahawa pasukan, yang ditubuhkan sejak Perang Dunia Kedua ini, berfungsi sebagai satu badan berkecuali yang melaksanakan tugas-tugas menyelamat nyawa dan harta benda secara sistematik tatkala negara dilanda bencana.

Jabatan ini juga adalah satu daripada tiga jabatan yang diamanahkan menjaga keamanan negara, sebarisan dengan pasukan tentera dan polis.

Bagi mencapai hasrat itu, satu majlis penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara kepada anggotanya bersempena sambutan ulang tahun ke-62 JPAM telah diadakan di Pusat Pertahanan Awam Negara (Puspan) di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

"Pelbagai aktiviti menarik dijalankan seperti pertunjukan, demonstrasi dan pameran tentang aktiviti pertahanan awam," kata Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Timbalan Pesuruhjaya (Pertahanan Awam) Selamat Dahalan kepada Bernama.

Hari ini JPAM memainkan fungsinya sesuai dengan keadaan semasa. Waktu negara berada dalam keadaan aman, ia memainkan peranan mengambil apa-apa langkah bagi melindungi nyawa dan harta benda sebelum, sewaktu dan selepas berlakunya sesuatu bencana di dalam negara, jelas Selamat.

Jika negara berada dalam keadaan perang, tugas JPAM ialah mengambil langkah yang tidak melibatkan penggunaan senjata sebelum, semasa dan selepas serangan musuh.


JAAFAR ONN (tiga dari kanan) dan Zur Eda Mokhtar (tengah), antara artis tempatan yang menerima sijil pentauliahan sebagai Mejar Bersekutu sempena Majlis Sambutan Hari Ulangtahun Pertahanan Awam ke-62 Peringkat Kebangsaan Tahun 2014 di Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Sembilan baru-baru ini.


Sejarah

Sejarah aktiviti pertahanan awam di Malaysia telah melangkau tempoh 70 tahun, dibentuk oleh British dikenali sebagai Passive Defence pada tahun 1939, sebagai persiapan menghadapi Perang Dunia Kedua.

Selepas penubuhannya secara rasmi pada 24 Mac 1952, JPAM melalui pelbagai bentuk perkembangan dan menjadi komponen penting dalam pertahanan negara terutamanya pada waktu-waktu sukar.

Prestasi cemerlang pasukan Passive Defence telah membuatkan pihak pemerintah British menggubal The Civil Defence Ordinance pada tahun 1951 sebagai satu undang-undang dalam sistem keselamatan di Tanah Melayu ketika itu.

Berikutan peristiwa kemerdekaan negara, ordinan ini telah menjadi Akta Pertahanan Awam 1951. Peranan JPAM turut diiktiraf sebagai unsur tetap pertahanan negara seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan peristiwa konfrantasi Indonesia ke atas Malaysia, JPAM melebarkan sayapnya ke Sabah dan Sarawak. Peristiwa ini juga telah menambahkan keanggotaan JPAM sehingga 36,000 anggota dengan 37 cawangan di seluruh negara.

Banjir besar yang melanda hampir seluruh negara pada 1970 telah membawa kepada peristiwa kerahan tenaga besar-besaran. Pada 1972 skop tugas JPAM ditambah dengan memasukkan perkhidmatan bantuan bencana.

"Bantuan kepada mangsa banjir sudah menjadi 'acara tahunan' kami. Kalau dahulu kami tunggu banjir berlaku baru bertindak, sekarang sebelum banjir pun kita sudah siap siaga di kawasan potensi banjir", jelas Selamat.

Sejak itu, JPAM telah terlibat secara aktif dalam pelbagai peristiwa bencana dalam negara. Antaranya, tragedi kondominium Highland Towers tumbang pada 1993, Ops Daulat di Lahat Datu pada tahun lepas dan yang terkini, kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

Mengenai penglibatan JPAM dalam krisis MH370, Selamat berkata, pihak JPAM mengambil tiga tindakan iaitu menyediakan pasukan khas siap sedia untuk misi menyelamat, rondaan pantai dan petugas yang menguruskan keluarga mangsa di hotel tempat mereka menginap.


ANGGOTA JPAM menunjukkan kecekapan menerusi demonstrasi menuruni bangunan tinggi.


Sukarelawan

Berbeza dengan pasukan tentera atau polis dan sesuai dengan nama 'pertahanan awam', tulang belakang pasukan JPAM ialah anggota masyarakat yang mahu memberi khidmat secara sukarela.

Kerja kami lebih bersifat memberi bantuan kemanusiaan, tidak kira siapapun mangsa kepada sesuatu tragedi tanpa mengira latar belakang, warna kulit, bangsa atau agama.

Hari ini, keanggotaan JPAM dibahagikan kepada beberapa jenis, melibatkan kira-kira 1.3 juta orang daripada pelbagai peringkat umur.

Jumlah terkini Anggota Sukarelawan Pertahanan Awam (ASPA) ialah 750,630 orang. Daripada jumlah ini, 11,800 orang berada dalam keadaan siap siaga dan sedia berkhidmat dalam masa sejam selepas mendapat arahan.

Penyertaan JPAM juga dibuka kepada mahasiswa universiti. Sebanyak 37 universiti dari seluruh negara mempunyai pasukan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) dengan keanggotaan keseluruhan seramai 4,678 mahasiswa.

Moussaka terbaik Kuala Lumpur

Posted:

Moussaka terbaik Kuala Lumpur

Moussaka terbaik Kuala Lumpur

Oleh ALIF ABU BAKAR


MOUSSAKA menjadi hidangan signatur Maliqa.


KUALITI makanan sangat diutamakan oleh Shazi Sultan. Wanita berusia 43 tahun itu tidak teragak-agak untuk memohon kebenaran menjenguk dapur restoran yang dikunjunginya.

Dapur restoran Maliqa, Kuala Lumpur antara yang mendapat 'perakuan' Shazi. Malah sejak pertama kali menjejak kaki ke restoran berkonsep Mediterranean itu, Shazi menjadi pelanggan lazim Maliqa.

Maliqa yang bebas daripada sebarang alkohol, sama ada dalam masakan atau menu minuman, diibaratkan rumah kedua buat Shazi. Perkhidmatan katering restoran itu juga menjadi pilihan ibu dua anak itu setiap kali ada majlis di rumahnya.

"Pemilik dan staf di Maliqa sangat ramah. Dekorasi, pencahayaan dan suasana yang tenteram pula membuatkan pengunjung berasa seperti berada di rumah sendiri.

"Saya sarankan mereka yang datang ke sini untuk mencuba lamb shank, stik dan kentang lenyek keju. Tiga menu ini dijamin menepati selera anda," kongsi Shazi yang datang ke Maliqa sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Mula dibuka pada tahun 2012, Maliqa merangkumkan seni dan juadah dari Turki, Itali dan Sepanyol. Keutamaan makanan Mediterranean di sini menjadikan ia restoran sajian Asia Barat yang unik di Malaysia.

SOS betis kambing ini dihasilkan sendiri oleh cef Maliqa.


Terbaik

Bintang di Maliqa ialah moussaka. Sajian popular Mediterranean berasaskan kentang yang diperbuat daripada terung itu diklasifikasi sebagai yang terbaik di Kuala Lumpur.

Seorang daripada empat pemilik Maliqa, Syed Salehuddin Wafa memberitahu, kali pertama dia mencuba moussaka adalah ketika berkunjung ke Greece. Kembalinya ke Malaysia, dia mencari restoran yang menyajikan menu serupa.

"Memang tidak banyak restoran yang menyediakan moussaka. Kalau adapun, rasanya tidak sama dengan yang saya cuba dahulu. Dari situ terbit idea untuk memperkenalkan moussaka sebagai menu tarikan di Maliqa.

"Setakat ini, ia mendapat pujian daripada ramai pelanggan termasuk pelancong dari Asia Barat," ujar Syed Salehuddin ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Berkonsepkan restoran mewah, kehandalan penyediaan makanan Maliqa juga dapat dirasa menerusi stik dan betis kambing. Setiap sos termasuk sos salad dihasilkan sendiri cef mereka yang merupakan warganegara Malaysia.

Setiap hari Isnin hingga Jumaat pula, pengunjung ditawarkan set makan tengah hari yang menjimatkan. Ia dipecahkan kepada empat jenis set dengan harga bermula RM14.90 hingga RM19.90.

Pelanggan boleh memilih sama ada mahu menikmati aglio olio atau napolitana (set A); ayam panggang, chicken chop, chicken lasagna, beef lasagna atau vegetable lasagna (set B); au polet, confrango atau pasta dish (set C) dan piza andalusia atau piza Hawaiian (set D).

Setiap set didatangkan dengan sup sama ada cendawan atau makanan laut (seafood) bersama teh lemon ais.


MENU apple crumble bertambah menyelerakan dihidangkan bersama ais krim.


Panna cotta

Pencuci mulut Maliqa juga ada tarikan tersendiri. Meskipun hanya disediakan dengan dua variasi, apple crumble bersama ais krim vanila dan panna cotta di sini menjadi penutup santapan malam yang sempurna.

Panna cotta merupakan pemanis mulut Itali hasil campuran krim, susu dan gula berserta gelatin.

Selang seminggu atau sebulan sekali, Maliqa turut menyajikan menu eksklusif buat pelanggan mereka seperti nasi Andalusia.

Restoran dua tingkat itu boleh memuatkan 48 orang di ruang makan bawah dan 40 orang lagi di tingkat atas. Ia juga dibuka untuk kumpulan yang menginginkan hidangan bufet dengan minimum 20 orang.

"Kami juga mengubah suai menu untuk jemputan katering luar," tambah Syed Salehuddin.

Siti Hasmah kongsi rahsia sihat

Posted:

Siti Hasmah kongsi rahsia sihat

Siti Hasmah kongsi rahsia sihat


SITI HASMAH (tengah) melancarkan Forum TChat melalui simbolik sesi minum petang yang berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur baru-baru ini.


PADA usia 88 tahun, bekas wanita pertama negara, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali masih lagi mampu menyertai aktiviti sosial dalam usaha mendidik masyarakat agar mengubah gaya hidup ke arah yang lebih baik.

Melalui Forum TChat yang dianjurkan oleh Persekutuan Penyakit Tidak Berjangkit Malaysia (NCD Alliance Malaysia) di Hotel Shangri La, Kuala Lumpur baru-baru ini, Siti Hasmah bersemangat berkongsi pengalaman hidup yang dilalui ketika zaman mudanya.

"Sewaktu zaman Jepun dahulu, keluarga saya memang jarang makan nasi. Kami hanya makan ubi kayu yang dicampur dengan ragi. Namun, selepas perang, kami dapat menikmati makanan yang lebih baik.

"Malah, saya masih ingat, hari pertama saya makan coklat yang menjadi kegemaran kanak-kanak masa kini. Ia amat mengujakan," ujar Siti Hasmah yang mengakui perlu berjalan dengan berhati-hati kerana penglihatannya kini agak kabur.

Tambah isteri kepada pemimpin hebat, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu, beliau sentiasa bersyukur pada Allah atas rahmat yang dikurniakan sepanjang kehidupannya.

"Alhamdulillah, pada usia begini, setiap hari merupakan bonus bagi saya. Justeru, nikmati hidup kita sebaiknya," ungkap Siti Hasmah yang merupakan veteran dalam bidang perubatan dan advokat untuk kesihatan awam dan kawalan penyalahgunaan dadah.

Mengulas mengenai penganjuran Forum TChat ini, beliau memuji inisiatif NCD Alliance untuk mempromosikan kesedaran terhadap penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, kanser, penyakit kardiovaskular, buah pinggang, respiratori kronik dan sebagainya.

"Ketika ini masih terdapat kekurangan motivasi dalam kalangan rakyat Malaysia tentang kehidupan yang seimbang. Jadi, saya menyeru mereka agar menyemak semula pilihan gaya hidup dengan teliti dan membuat perubahan sedikit demi sedikit.

"Melalui Forum TChat, perbincangan boleh diperluaskan kepada keluarga dan rakan anda supaya mereka boleh mengamalkan cara hidup seimbang yang hanya boleh dicapai melalui usaha kolektif," terang Siti Hasmah yang mengakui masih lagi mengamalkan senaman seperti regangan badan dan senaman Jane Fonda.

NCD atau Penyakit Tidak Berjangkit adalah penyebab utama kematian iaitu 60 peratus (35 juta) daripada keseluruhan kematian peringkat global.

Menurut Non-Communnicable Diseases Country Profile 2011 yang diterbitkan oleh Badan Kesihatan Sedunia (WHO), NCD bertanggungjawab ke atas 67 peratus kematian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Statistik ini amat mengejutkan kerana 86 peratus kematian akibat NCD sebenarnya boleh dicegah. Penyakit ini pada amnya berkisar kepada empat faktor risiko yang boleh diubah iaitu penggunaan tembakau (merokok), kurang aktiviti fizikal, pemakanan tidak sihat dan minuman keras yang diambil secara berlebihan. Di Malaysia juga, dianggarkan 4.4 juta rakyatnya mengalami obesiti.

Penaung NCD Alliance Malaysia, Puan Sri Akmal Abdul Salam berkata, melihat situasi tersebut, adalah wajar bagi setiap individu mengubah sikap dengan mengamalkan cara hidup sihat setiap hari.

"Seiring dengan Pelan Strategik Nasional untuk Penyakit Tidak Berjangkit 2010, objektif utama Forum TChat ialah mencari langkah-langkah mudah, pragmatik dan senang dikelolakan menuju ke arah cara hidup sihat merangkumi kesihatan fizikal, emosi, sosial, intelektual dan kerohanian.

"Cara hidup sihat boleh menjadi pelaburan kepada kita untuk mencapai usia emas kelak. Justeru, kami berharap Forum TChat ini dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat secara keseluruhan terhadap penjagaan kesihatan diri," jelas beliau.

Pelancaran Forum TChat tersebut menandakan permulaan kepada 10 siri forum bagi tahun 2014.

Turut serta, Ketua Pemakanan, Institut Jantung Negara, Mary Easaw; Pensyarah Kanan dan Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Mohd. Nahar Azmi Mohamed. Ia dikendalikan oleh moderator Ranjit Kaur yang merupakan Presiden NCD Alliance Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.ncdalliancemalaysia.org.

– KHADIJAH MOHAMAD NOR

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat